Tuesday 18 December 2012

JEMPUTAN KE KARNIVAL JOM MAIS 2012


Sila hadir beramai-ramai untuk memeriahkan Karnival MAIS 2012 ini. Pelbagai acara menarik menanti anda. Jangan lepaskan peluang ini. Jumpa anda disana.

Acara dan pertandingan yang bakal diadakan









 



Monday 3 December 2012

Muallaf Care Bantu Saudaru Baru



KLANG 2 DIS : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melancarkan “Muallaf Care” bagi memberi bantuan dan sokongan bagi saudara baru Islam di Selangor memulakan kehidupan baru. Inisiatif tersebut bagi menyalurkan bantuan dengan lebih cekap pada tahun pertama pengislaman untuk meringankan beban mereka seperti bantuan bulanan, sewa rumah, berkhatan dan perubatan. 

Bagi muallaf seperti Fatin Ardini Monica Abdullah, 24, bantuan dan sokongan itu adalah penting di dalam keadaan mereka berasa terasing dan jauh dari keluarga. Pelajar Diploma Pengurusan dari Kolej Astin itu berkata, bantuan pelajaran RM 20,800 dari Mais memberikan kekuatan dirinya untuk meneruskan pelajaran selain meningkatkan pengetahuan mengenai Islam. “Saya jauh dari keluarga dan dengan cara ini saya tidak berasa keseorangan kerana sebagai saudara baru bimbingan amat perlu. “Perhatian diberikan mencerminkan Islam begitu pentingkan penyatuan dalam kehidupan,” kata gadis berbangsa Iban dari Sarawak yang memeluk Islam pada Julai tahun lepas.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, program yang bertemakan “We Love Muallaf” merupakan strategi baru bagi mendekati dan memastikan perkhidmatan yang baik terus diberikan kepada muallaf. “Di samping memastikan golongan muallaf ini dibantu dari pelbagai aspek, program ini akan banyak membantu dalam menyebarkan  Islam secara lebih teratur kepada bukan Islam. “Dengan program dakwah diatur, Mais berharap akan dapat terus meningkatkan bilangan muallaf dan umat Islam di Selangor,” katanya selepas majlis pelancaran Muallaf Care di Pusat Konvensyen Setia Alam, Setia Alam di sini semalam.

Mohamad Adzib berkata terdapat kira-kira 7,000 muallaf di seluruh Selangor ketika ini. Pelancaran Muallaf Care menjadikan Mais sebagai Majlis Agama Islam Negeri pertama melaksanakan sistem seperti itu.
Mohamad Adzib berkata, peruntukan keseluruhan bagi asnaf muallaf tahun ini ditingkatkan sebanyak RM 23.7 juta berbanding RM 21 juta pada tahun lepas. “Mais telah mewujudkan skuad Mesra Muallaf yang akan turun padang memantau keperluan dan aduan diterima berkaitan muallaf,” katanya. Majlis pelancaran itu disempurnakan Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Tengku Sulaiman Shah turut berkenan menyampaikan bantuan bina rumah kepada 10 muallaf berjumlah RM 442,000 dan lapan penerima bantuan pelajaran bernilai RM 154,000 dalam majlis berkenaan.

Majlis tersebut turut meraikan 30 pasangan pengantin baru muallaf. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Muallaf Selangor, Profesor Madya Dr Abdul Halim Tamuri dan  Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Sumber : Selangorku


Tuesday 25 September 2012

DR ZAKIR NAIK : WORLD FAMOUS ORATOR ON ISLAM AND COMPARATIVE RELIGION (MALAYSIAN TOUR 2012)


Datanglah beramai-ramai untuk memeriahkan majlis tersebut. Program yang dapat meningkatkan keimanan dan ilmu pengetahuan kita, Insaallah. Di Shah Alam, program akan berlangsung di UiTM Shah Alam (Dewan Agong Tuanku Canselor) pada hari Sabtu bersamaan 29 September 2012. Program bermula pada pukul 6.30 petang. Insaallah, sangat bermanfaat. Terbuka kepada semua termasuk kepada yang bukan muslim. Sesi sarahan akan diadakan didalam bahasa inggeris dan sesi soal jawab juga akan dibuka. Jangan lepaskan peluang ini. Masuk percuma.

Wednesday 19 September 2012

HAK INSTITUSI ZAKAT : ISU YANG GAGAL DIFAHAMI

Hamizul Abdul Hamid, 18 Sep 2012 


Dalam dunia pengurusan zakat, ada dua urusan utama atau disebutkan sebagai ‘core business of zakat’, iaitu kutipan dan agihan zakat. Secara asasinya sesebuah institusi zakat akan menjalankan amanah mengutip zakat dan selepas itu, bertanggungjawab pula mengagihkan kembali zakat kepada semua asnaf yang berhak.

Dalilnya, semasa Nabi Muhammad SAW mengutuskan Saiyidina Muadz bin Jabal r.a ke Yaman sebagai gabenor dan amil, maka nabi menyatakan: “(kamu) ambillah daripada penduduk Yaman yang kaya sebahagian harta mereka (sebagai zakat) dan agihkan kembali harta itu kepada golongan fakir (dan miskin) dalam kalangan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari)

Atas dasar itulah, sesebuah organisasi zakat tidak akan berjaya jika mengabaikan salah satu daripada elemen ini. Kecekapan kutipan mestilah diiringi dengan kecekapan agihan. Timbulnya pelbagai tohmahan liar dan sangkaan negatif kepada sesebuah institusi zakat, adalah apabila kecekapan hanya berlaku dalam aspek kutipan; tidak pula dalam bab agihan.

Hak Institusi Zakat

Harus diingat, sesebuah institusi zakat itu berhak menjalankan kerja-kerja kutipan dan agihan ini atas arahan pemerintah Islam (ulil amri), sesuai dengan tindakan nabi melantik para sahabat sebagai amil, misalnya Muadz bin Jabal r.a dan Abu Hurairah r.a sebagaimana yang telah dipaparkan di dalam hadis di atas.

Bahkan dalam mentafsirkan ayat 103 daripada surah at-Taubah, kalimah ‘ambillah’ yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, merupakan suatu penegasan bahawa pihak amil berhak mengambil waima secara paksa harta orang-orang kaya jika mereka enggan berzakat; dan dalam konteks ini, pastilah yang berhak ‘merampas’ itu adalah para penguasa zakat yang diberi kuasa. Siapakah yang layak diberikan kuasa, andai bukannya para amil lantikan pemerintah.

Disebutkan oleh Sa’id Ibn Mansyur daripada Suhail r.a, bahawa: “Telah berkumpul padaku nafkah, yang padanya ada zakat, yakni telah sampai nisab zakat, maka aku bertanya kepada Sa’ad bin Abu Waqas, Ibn Umar, Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah, kataku: Apakah aku (patut) membahagikannya (sendiri) atau aku berikan kepada pemerintah? Semua mereka menyuruh aku memberikan kepada pemerintah. Seorang pun tidak ada di antara mereka yang menyuruh aku membahagikannya sendiri.” (Disebutkan di dalam kitab al-Majmu’ dan dinukil kembali di dalam Pedoman Zakat oleh Tengku Muhammad Hasbi Ash Shidieqy, hal. 51).

Jelas di sini, jumhur fuqaha bahkan pendapat dalam kalangan sahabat sendiri, bahawa lebih utama menyalurkan zakat kekayaan kepada pihak pemerintah, yakni melalui amil yang telah dilantik oleh pemerintah.

Imam Abu Yusuf (anak murid Imam Malik) pernah mengungkapkan kepada Khalifah Harun al-Rasyid: “Wahai Amirul Mukminin, perintahkanlah para amil zakat untuk mengutip harta zakat dan bahagikannya kepada mereka yang berhak. Lakukanlah semua urusan itu sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW dan para khalifah selepas baginda.” (Lihat al-Kharaj sebagaimana diungkapkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi, Institusi Zakat, hal. 52)

Kemahiran Mengurus Zakat

Oleh itu, hanya institusi zakat yang lebih layak menjalankan kerja-kerja mengutip dan mengagih zakat. Hal ini kerana, pihak pengurusan zakat yang disebut sebagai amil, telah dilatih untuk menaksir zakat secara tepat, sesuai dengan pelbagai inovasi pengiraan dan berdasarkan perakaunan baharu zakat yang dirumus oleh fuqaha kontemporari dan para pakar kewangan Islam terkini.

Ambil sahaja contoh dalam menaksir harta zakat perniagaan; ramai orang (termasuklah kadang kala kalangan agamawan yang kurang arif) yang mengambil jalan mudah mengira zakat atas keuntungan semata-mata; walhal zakat perniagaan itu dikenakan ke atas kecairan modal dan juga keuntungan semasa.

Begitu juga dalam penaksiran zakat pendapatan, implementasi had al-kifayah pembayar dan perkembangan fatwa mengenainya hanya lebih dimaklumi oleh amil yang terlatih, yakni amil zakat. Sebab itulah, Umar al-Khattab r.a dalam memperkasakan pentadbiran Negara, telah melantik pegawai khas bergaji, yang bertugas menaksir zakat umat Islam demi kebaikan semua pihak tanpa ada sebarang kepentingan lain.

Bahkan, dalam aspek pengagihan zakat, ia memerlukan mereka yang lebih memahami situasi masyarakat. Tidak selalunya tepat, andai kita hanya mentafsir berdasarkan lahiriah manusia semata-mata. Maka, demi memastikan zakat hanya disalurkan kepada mereka yang layak, maka pelbagai inovasi dalam bancian dan siasatan diwujudkan. Para amil zakat dilatih agar menghadami keperluan ini.
Formula had al-kifayah asnaf misalnya, dilahirkan demi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak disantuni seoptimanya dengan wang zakat. Hal ini penting, atas beberapa faktor berikut:

1.    Keterbatasan sumber zakat
2.    Menangani kes penipuan zakat
3.    Mengoptimakan natijah agihan zakat

Dalam isu keterbatasan sumber, hal ini hendaklah dimaklumi bahawa kutipan zakat sebenarnya masih belum mampu memenuhi keperluan seluruh asnaf zakat. Ambil sahaja dua asnaf zakat yang muqaddam (paling utama), iaitu golongan fakir dan miskin; keperluan menyediakan keperluan mereka masih belum sampai ke tahap maksimum.

Misalnya, tidak semua asnaf miskin mampu disalurkan bantuan kewangan dan makanan bulanan dan tidak semua juga mampu dibiayai modal perniagaan. Hal ini kerana, sumber yang ada masih terbatas dan mewajibkan pihak institusi zakat untuk lebih cermat dan cerdas menyalurkan dana berkenaan.

Manakala dalam isu menangani kes-kes penipuan zakat, ia lebih rumit memandangkan orang-orang yang mahu mengambil kesempatan hari ini, semakin licik dalam tindakan. Kelicikan mereka boleh menyebabkan wang zakat jatuh ke tangan orang yang salah, yakni bukan asnaf; dan pada masa yang sama akan menyebabkan orang-orang yang sebenarnya lebih berhak dan layak tidak menerima haknya.

Sementara itu, dalam usaha mengoptimakan kesan atau natijah di sebalik agihan zakat, maka pihak institusi zakat sebenarnya memang perlu mempunyai data dan maklumat yang lengkap dan kemaskini mengenai seseorang asnaf. Misalnya, latar belakang keluarga, pendidikan yang dilalui, pengalaman bekerja, sejarah kesihatannya dan pelbagai perkara lain. Adalah tidak munasabah memberikan modal perniagaan makanan kepada seorang yang berpenyakit TB misalnya, kerana lebih memudaratkan.

Peranan Pembayar Zakat

Namun begitu, pihak institusi zakat juga wajar menyedari bahawa mereka hanyalah sebagai pemegang amanah, yakni pihak yang diberikan autoriti sementara bagi mengendalikan urusan zakat. Para pembayar menyerahkan harta-harta zakat mereka dengan satu niat, yakni melepaskan kewajipan zakat. Kepada siapakah ia dilepaskan? Sudah pastilah ke bahu para amil zakat.

Maka, dalam konteks ini para pembayar zakat sebenarnya seakan-akan enggan lagi mengambil tahu perihal harta zakat mereka. Namun, dalam konteks yang lain, hakikatnya ia masih perlu, kerana matlamat sebenar di sebalik pensyariatan zakat oleh Allah SWT adalah untuk memastikan harta kekayaan mereka itu benar-benar dapat memperkasakan ummah keseluruhannya.

Umar al-Khattab r.a misalnya menegaskan, harta zakat hendaklah diagihkan secara maksimum sesuai dengan keperluan umat Islam dan Umar tidak membenarkan wujudnya lebihan harta zakat untuk dibawa ke tahun hadapannya.

Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin pula di dalam fatwanya menyatakan: “...agihan zakat kepada lapan asnaf ini boleh memenuhi keperluan khusus bagi mereka yang menerimanya...melalui zakat juga, terjalin kedamaian masyarakat dengan bersatunya hati mereka (antara orang-orang kaya dan miskin),” (lihat Ensaiklopedia Zakat, hal. 48).

Realitinya, zakat adalah antara mekanisme perkongsian harta dan sekaligus mengekang pengumpulan harta hanya kepada orang-orang dan golongan yang tertentu sahaja. Ertinya, zakat mencegah monopoli kekayaan dan dalam hal ini Allah SWT menegaskan: “Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu.” (al-Hasyr: 7)

Maka, pembayar zakat masih wajar mengambil tahu apakah agihan zakat yang dilakukan itu benar-benar sampai kepada lapan asnaf ataupun tidak. Seandainya berlaku ketempangan dalam pengurusan zakat, khususnya dalam urusan agihan, maka para pembayar wajar memberikan teguran dan mencadangkan penambah baikan. Ia hakikatnya adalah suatu corak ‘check and balance’ demi menjamin kesinambungan keberkesanan sistem zakat.

Kendatipun fuqaha majoritinya cenderung agar semua pembayar menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat yang ditubuhkan pemerintah; namun ia masih tertakluk kepada keamanahan dalam pengurusan zakat berkenaan. Seandainya ternyata dan terbukti, penyaluran zakat tidak sampai kepada matlamat, maka sebahagian fuqaha menegaskan zakat itu boleh disalurkan sendiri oleh pembayar kepada mustahiknya (penerima).

Perbincangan ini dibahaskan antaranya oleh Syeikh Rashid Ridha, yang dengan tegas menyatakan: “Kepada pemerintah-pemerintah semacam ini (yang menyeleweng daripada amanah zakat – penulis), tidak boleh kita (umat Islam) membayarkan zakat (kepada mereka) walaupun ketua pemerintahan itu bergelar khalifah,” (rujuk TM Hasbie Ash Shidieqy, Pedoman Zakat, hal. 53).

Budaya Kerjasama

Oleh itu, biar pun penyerahan harta zakat telah berlaku; namun keprihatinan pembayar zakat masih diraikan dalam kerja-kerja agihan. Misalnya, mereka boleh mencadangkan orang yang difikirkan layak dan sesuai untuk menerima bantuan zakat, manakala pihak zakat akan menyiasat demi membolehkan mereka diberikan zakat jika menepati kriteria kelayakan.

Budaya saling membantu seperti ini, walaupun bukan lagi menjadi suatu tuntutan wajib kepada pembayar zakat; namun masih menepati ajaran Islam. Allah SWT menegaskan berulang kali, sikap saling membahu, ambil tahu dan memperbetulkan kesilapan, akan menjadikan hasil sesuatu pekerjaan itu lebih baik dan cemerlang.

Sikap ini jujurnya, jauh lebih mulia daripada tindakan segelintir pihak yang sering menunding jari dan mencebik bibir serta memicingkan mata atas sebarang kesilapan yang dilakukan oleh pihak pengurusan zakat. Mereka tidak berminat untuk memperbaiki kelemahan; sebaliknya lebih bergembira mendedahkan keaiban.

Akibatnya, umat Islam menjadi rosak kerana hilangnya kepercayaan kepada sebuah institusi yang diamanahkan menguruskan hal ehwal zakat. Sedangkan kesilapan yang terjadi bukanlah menjadi kesalahan total yang membawa hukuman ‘mati mandatori’; masih ada jalan bagi memperbaiki kelemahan berkenaan.

Apatah lagi jika terbukti bahawa institusi zakat berkenaan selama ini sudah berusaha sehabis daya menunaikan amanah zakat dengan penuh jujur dan akauntabiliti. Tidak sewenang-wenangnya menghamburkan wang zakat tanpa kelihatan sebarang manfaat. Institusi zakat seperti ini, sekali melakukan kesalahan; sewajarnya terus diperbetulkan dan tidak pula ia diperbesar-besarkan.

Nabi Muhammad SAW menukilkan, para amil yang ikhlas dan penuh keazaman menjalankan amanah seumpama:  “Seorang amil yang bekerja mengutip zakat di atas kebenaran, samalah dengan seorang pejuang yang sedang beperang di jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Kesimpulan

Mutakhir ini, apabila ada pihak yang sering menyinggung institusi zakat, khususnya dalam aspek agihannya, maka ia berpotensi menjadi polemik yang berpanjangan. Namun, polemik ini bisa dicantas jika umat Islam memahami bahawa tugas sesebuah institusi zakat sebagai penyambung amanah zakat, dapat dibantu oleh seluruh umat Islam yang lain.

Beramallah dengan saranan-saranan Allah SWT, bantulah institusi zakat andai mereka tersalah dan yang paling penting, sentiasa berusaha menjadikan zakat sebagai senjata ummah yang terampuh demi kebaikan bersama. Wallahua’lam.

Hamizul Abdul Hamid (hamizul@e-zakat.com.my)This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
Eksekutif Komunikasi Korporat,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

 

Monday 23 July 2012

PENGENALAN ZAKAT, WAKAF DAN BAITULMAL

ZAKAT

Dalam bahasa arab, “ZAKAT” secara umumnya bererti pertambahan. Berasaskan pengertian umum ini, ia kemudiannya digunakan bagi banyak pengertian seperti cerdik, jenih, berkat, kepujian, bersih dan lain-lain.

Sebagai salah satu istilah dalam pengajian hukum atau “fiqh” zakat bererti mengeluarkan kadar tertentu dari harta yang tertentu bagi faedah golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Selain itu, perkataan zakat ada disebut dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu istilah tunggal bagi sesuatu pengertian kerana al-Quran dan al-Sunnah juga menggunakan perkataan “sedekah” bagi pengertian yang sama. Dalam al-Quran misalnya Allah telah berfirman dalam surah At-taubah ayat 103 yang bermaksud:

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Dalam konteks penggunaan biasa, zakat dari segi bahasa didefinisikan sebagai “bersih”, “suci”, dan “berkembang”. Pengertian “bersih” dan “suci” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri dari sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya. Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat  83 :

Dan (ingatlah Wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia Dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan Katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan Yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang Yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.


WAKAF

Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jualbeli, pewarisan, hibah dan wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya (ain). Wakaf merupakan suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana pemilikan ain (benda yang diwakafkan) adalah kerana Allah S.W.T atau dihukumkan sebagai milik Allah S.W.T Adapun manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan Maukuf Alaih iaitu pihak atau jihah atau orang yang ditentukan menerima manfaat wakaf.

Wakaf adalah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan oleh syarak.
Harta wakaf boleh menyumbang dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah contohnya mendirikan projek komersil seperti hotel wakaf, pusat-pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak yatim, pusat perlindungan dan lain-lain selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Dalam konteks Malaysia, institusi wakaf perlu diberi tempat yang penting dalam era masa kini. Melalui pembangunan institusi wakaf, ia mampu mewujudkan kerjasama yang erat dikalangan golongan individu yang berkemampuan untuk berperanan secara terus dalam membangun keperluan masyarakat islam.

Islam sangat menggalakkan umatnya mengeluarkan harta lebihan yang dimiliki untuk dikongsi bersama orang yang memerlukan dan berbakti dengan harta tersebut. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 92 bermaksud:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa Yang kamu sayangi. dan sesuatu apa jua Yang kamu dermakan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya

Firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah ayat 267:

Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik, dan sebahagian dari apa Yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih Yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Berdasarkan dalil diatas, kita dapat memahami bahawa menafkahkan harta ke jalan kebajikan sangat dituntut dan wakaf adalah salah satu daripada jalan kebajikan tersebut. Selain itu, tujuan wakaf dalam islam adalah untuk menghampirkan diri seseorang kepada Allah S.W.T iaitu mendapatkan keredhaan daripada Allah dengan menyerahkan benda yang berharga dan disayangi untuk kegunaan pihak lain. Allah akan memberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda kepada pewakaf selagi harta wakaf masih memberi manfaatnya kepada mereka yang berhak ke atas wakaf itu.


BAITULMAL

Baitulmal merupakan satu istilah bahasa Arab yang bermaksud RUMAH HARTA. Dalam istilah moden, ia dikenali sebagai Perbendaharaan Negara. Baitulmal merupakan sebuah institusi kewangan yang berfungsi untuk menyelenggarakan segala harta umum atau tempat penyimpanan barang-barang berharga seperti wang emas atau perak. Ringkasnya, ia juga berperanan sebagai pusat pelaburan harta umat Islam. Sekaligus, ia juga berfungsi untuk menubuhkan Bank Islam yang aktif dan secara langsung memperniagakan harta umat islam secara terkumpul.

Sejarah Penubuhan Baitulmal Institusi kewangan Islam dalam bentuk Baitulmal secara tidak rasminya telah wujud sejak dari zaman Rasulullah (s.a.w.) dan Saidina Abu Bakar As-Sidiq lagi. Tetapi Baitulmal dalam erti kata yang sebenar belum lagi wujud kerana pendapatan Negara yang masih belum berkembang dengan pesat pada ketika itu. Pendapatan negara pada masa itu diperolehi melalui dua sumber, iaitu zakat dan harta yang diperolehi daripada peperangan seperti ghanimah, jizyah dan fai. Pendapatan negara pada ketika ini tidak disimpan lama, ia akan terus diagih-agihakan kepada golongan yang memerlukan seperti golongan fakir, anak-anak yatim dan lain-lain golongan yang memerlukan.faktor inilah yang menyebabkan fungsi Biatulmal mudah dan tidak begitu ketara penggunaannya pada ketika itu.

Institusi Baitulmal ini secara rasminya telah wujud pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab. Pada zaman ini, kerajaan Islam banyak melakukan penaklukan dan menyebabkan wilayah islam berkembang dengan pesat. Hasil daripada peluasan ini, harta benda yang terkumpul manjadi amat banyak dan tidak dapat diagihkan secara serta-merta. Khalifah Umar menerima cadangan yang dikemukakan oleh Khalid bin Al-Walid untuk menubuhkan satu Perbendaharaan Negara yang berasaskan kepada Al-Quran dan Al-Hadis serta ijtihad para Sahabat. Pada peringkat awalnya, perbendaharaan tersebut dikenali sebagai Diwan. Pada zaman Bani Umayyah (41-132H), Institusi Baitulmal telah berkembang dengan begitu pesat. Islam telah berjaya meluaskan jajahan takluknya sehingga ke Afrika, Rom dan Constantinople. Sumber pendapatan Negara yang paling penting pada ketika itu ialah Kharaj, di samping Zakat, Ghanimah, Fai dan Jizyah.

Pada zaman Bani Abbasiyyah (132-655H), pusat pemerintahan Islam telah berpindah ke Baghdad iaitu sebuah kawasan yang paling strategik dan juga merupakan yang terpenting bagi urusan perdagangan antara Timur dan Barat. Kesan daripada perpindahan ini, pendapatan institusi Baitulmal telah berkembang berlipat kali ganda. Perebutan kuasa politik antara Al-Ma’mun dengan Al-Amin adalah titik permulaan kepada kemerosotan institusi Baitulmal. Institusi Baitulmal di bawah pemerintahan Al-Ma’mun tidak dapat berfungsi dengan baik dan teratur. Apabila berlaku penaklukan kuasa Barat ke atas Negara Islam selepas era Perang Salib (1096-1250M), Institusi Baitulmal tidak lagi berfungsi dalam erti kata yang sebenarnya dalam menjana ekonomi dan membangunkan prasarana umat islam. Peranannya semakin sempit dan terhad kepada pengumpulan dan pengagihan wang zakat fitrah, zakat harta dan wakaf.

Friday 13 July 2012

KAEDAH PENENTUAN AWAL RAMADHAN, SYAWAL DAN ZULHIJJAH DI MALAYSIA

Pengenalan Takwim

"Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang, supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); Dan (ingatlah tanda seruan) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah terangkan dia satu persatu (di dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya"

Surah al-Israa 12

--------------------------------------------------------------------------------

* Kertas ini telah dibentang dalam Muzakarah Falak anjuran JAKIM pada 30 Jun - 2 Julai 2003 di Corus Paradise Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Takwim atau kalendar boleh ditakrifkan sebagai satu rekod perjalanan waktu atau sistem susunan masa yang membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu dan minggu menjadi hari. Peranan takwim dalam kehidupan manusia sangat penting. Ia merupakan sistem masa yang berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan bagi membantu manusia mentadbir kehidupan seharian. Ia diasaskan kepada kedudukan bulan (Takwim Hijriah) atau matahari (Kalendar Masehi atau lebih tepat Miladiah).

Tarikh Takwim/Kalendar Diperkenalkan

Takwim Hijriah mula diperkenalkan semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Sayidina Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah. Takwim hijriah dipilih bersempena dengan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Makkah ke Madinah. Awal Muharram tahun pertama hijriah bersamaan dengan 16 Julai 622 Miladiah.

Manakala Kalendar Miladiah pula adalah berasaskan kedudukan matahari. Tahun Miladiah atau Masehi atau Gregorian adalah berasal daripada Kalendar Julian (Julius Ceasar) yang diperkenalkan sejak tahun 45 BC. Kalendar Gregorian hanya mula digunakan secara rasmi pada tahun 1582 setelah melalui beberapa pengubahsuaian oleh Pope Gregory XIII.

JENIS TAKWIM

Pada asasnya Takwim Hijriah berdasarkan kepada peredaran bulan, tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim seperti berikut:

· Takwim Istilahi
Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli 30 dan 29 hari menjadikan 354 hari setahun.

· Takwim Hakiki
Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan hijriah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki. Apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.

· Takwim Wujudul Hilal
Takwim yang berdasarkan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.

· Takwim Imkanur-Rukyah
Takwim Imkanur-Rukyah adalah di mana penentuan bagi setiap awal bulan hijriah yang berdasarkan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

CIRI-CIRI TAKWIM DAN KALENDAR 


Takwim Hijriah

· Bulan

Firman Allah S.W.T.

Maksudnya;
'Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Ketetapan) yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertaqwa'
Surah al-Taubah; 36

Bulan qamariah dalam setahun adalah 12 bulan iaitu bulan Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bilangan hari bagi setiap bulan qamariah mengandungi 29 atau 30 hari bergantung kepada bila berlakunya ijtimak dan kewujudan/kenampakan hilal pada penghujung bulan qamariah hari ke-29 setiap bulan hijriah mengikut syarat-syarat tertentu.

· Hari

Hari di dalam perkiraan Takwim Hijriah bermula dari waktu matahari terbenam. Ini berbeza dengan Kalendar Miladiah yang perkiraan harinya bermula pada jam 12.00 tengah malam. Dalam setahun, Takwim Hijriah mempunyai 354.36 hari, beza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam Kalendar Miladiah. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru hijriah iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.


Kalendar Miladiah

· Bulan

Bulan-bulan yang terkandung dalam Kalendar Miladiah terdiri daripada bulan Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember. Jumlah bilangan hari bagi setiap bulan adalah 31 dan 30 hari berselang-seli bermula dengan bulan Januari, kecuali bulan Februari mempunyai bilangan 28 atau 29 hari sahaja.

· Hari

Pengiraan hari bagi Kalendar Miladiah bermula tengah malam. Dalam tempoh setahun ia mempunyai 365 atau 366 hari mengikut bilangan hari yang ada setiap bulan tetapi jumlah yang tepat atau sebenarnya adalah 365.2422 hari. Bagi tahun yang mempunyai jumlah hari 366 (29 hari pada bulan Februari), ia dikenali sebagai tahun lompat. Ini berlaku setiap empat tahun sekali. Tarikh bagi hari-hari penting setiap tahun adalah tetap dan disambut dalam musim yang sama, contohnya seperti Tahun Baru Miladiah yang disambut pada 1 Januari setiap tahun.