Wednesday 30 January 2013

KENALI PERIHAL TANGISAN BAYI

Respons Vs Cry it out

Tahukah anda secara amnya, terdapat dua pendekatan popular yang di guna pakai di dunia apabila berhadapan dengan tangisan bayi?

Kumpulan Pertama:

Ibubapa yang akan memberi respons segera setiap kali bayi menangis.

Kumpulan Kedua:

Ibubapa yang percaya dan mengamalkan kaedah cry it out (CIO) , (juga dikenali sebagai controlled crying). Pengamal CIO membiarkan bayi menangis atau mengabaikan tangisan bayi dalam tempoh waktu tertentu sebelum memikirkan untuk memberi respons terhadap tangisan tersebut. Pengamal CIO percaya kaedah ini dapat mendidik anak supaya tidak memanipulasi tangisan sebagai alat untuk menarik perhatian, berdikari untuk menenangkan diri sendiri serta belajar untuk menangis ketika perlu atau pada waktu yang sesuai sahaja.

Adakah tangisan itu suatu perkara yang negatif?

Umum mengetahui bahawa tangisan adalah satu-satunya cara bayi berkomunikasi. Bayi tidak berfikir untuk menangis atau sebelum menangis. Menangis adalah tindakan refleks.
Tiga sebab utama bayi menangis.

Pertama:

Untuk menyatakan keperluannya seperti lapar, mengantuk atau ingin sendawa. Setiap keperluan asas ini diwakili oleh tindakan refleks yang berbeza yang berlaku secara semula jadi di dalam badan bayi. Apabila bunyi ditambah kepada tindakan refleks yang sedang mengambil tempat di dalam badan bayi, maka bunyi yang unik dan tersendiri akan dihasilkan. Ia serupa dengan fenomena sedu, sendawa, menguap, bersin atau batuk yang dialami oleh orang dewasa. Bukankan semua fenomena itu berlaku secara spontan dan datang dengan bunyi yang tersendiri?. Perbezaannya hanyalah bayi tidak pandai mengungkapkan keperluannya dan untuk itu, bayi menangis bila keperluan yang cuba disampaikannya tidak fahami atau gagal diberikan.

Kedua:

Bayi menangis untuk memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Ia seperti bayi merasa sakit atau kerana tidak sihat.

Ketiga:

Kadang kala bayi menangis hanya kerana ingin dipegang, di dukung, di belai atau diberi perhatian. Ia mungkin bukan satu keperluan harian orang dewasa tetapi ia adalah keperluan harian penting bagi bayi. Tanyalah kepada mana-mana pakar dan mereka akan memberitahu betapa pentingnya belaian dan sentuhan terhadap perkembangan emosi, sahsiah dan intelektual bayi.
Atas semua sebab yang telah dinyatakan, perlu diketahui bahawa memberi respons kepada bayi yang menangis dengan apa cara sekalipun tidak akan sekali-kali merosakkan bayi atau menjadikannya seorang yang mengada-ngada. Bayi kecil tidak tahu perkara asas seperti beza siang dan malam.  Jadi belailah bayi anda apabila dia menangis.

Tangisan berlebihan boleh memudaratkan bayi

Sama ada anda pengamal CIO atau sebenarnya tidak pernah tahu akan kewujudan istilah tersebut, satu fakta penting yang harus diketahui oleh semua orang ialah tangisan berlebihan boleh memudaratkan bayi.
Sains memberitahu kita bahawa  bayi akan merasa panik dan resah bila dibiarkan menangis tanpa diberi perhatian. Lebih daripada itu, ia amat memudaratkan bayi serta memberi impak negatif terhadap otak bayi.

Fakta di bawah adalah penerangan sains terhadap perkara ini:

1.    Ketidakstabilan hormon dan bahan kimia di dalam otak

-Kajian mendapati, bayi yang sering dibiarkan bersendirian dalam suasana yang tertekan mempunyai tahap lambakan hormon Kortisol (stress related hormone) yang abnormal. Dr. Allan Schore dari UCLA School of Medicine menjelaskan lambakan hormon ini memusnahkan hubungan antara saraf di bahagian penting otak bayi yang sedang berkembang.

-Kajian lanjutan berkaitan impak negatif tangisan terhadap otak menunjukkan bayi mengalami potensi peningkatan 10X ganda menjadi kanak-kanak ADHD (Attention Deficit and Hyper Activity Disorder). Iaitu kurang tumpuan pembelajaran di sekolah dan kemahiran sosial yang lemah.

2.    Kemunduran perkembangan intelektual, emosi dan kemahiran sosial

-Pasukan Dr Rao dari National Institutes of Health USA membuktikan, bayi yang mengalami episod tangisan yang berpanjangan ( tetapi bukan di sebabkan kolik) pada tiga bulan pertama hidupnya mempunyai tahap IQ rendah iaitu purata 9 mata kurang menjelang usia lima tahun berbanding kanak-kanak lain. Kanak-kanak ini juga menunjukkan kelembapan perkembangan fungsi motor badan.

-Para pengkaji  di Universiti Pennsylvania dan Arizona pula mendapati, bayi yang menangis secara berlebihan di awal usianya  mempamerkan kesukaran mengawal emosi seawal usia 10 bulan dan menjadi sangat cerewet walaupun ketika cuba ditenangkan.

INFO

Alat bantu anda

Terdapat banyak cara untuk membantu orang yang terlibat dalam penjagaan bayi anda dalam memahami tangisan bayi. Salah satu caranya adalah memperkenalkan sistem Dunstan Baby Language: iaitu sistem yang mengajar mentafsir maksud tangisan bayi dengan tepat berdasarkan bunyi-bunyian pra-vokal yang dihasilkan bayi sebelum memulakan tangisan. Bunyi-bunyian pra-vokal ini dihasilkan oleh tindak balas refleks dalam badan bayi dan merangkumi lima bunyi rutin bayi iaitu lapar, mengantuk, ingin sendawa, tak selesa dan kembung perut. Mereka hanya perlu menonton DVD Dunstan Baby Language yang mengandungi sampel kelima-lima tangisan bayi yang disebutkan. Berlatih mendengar berulang kali sebelum membandingkannya dengan tangisan bayi anda. Terdapat juga penerangan ringkas bagi setiap bunyi, cara-cara menenangkan bayi bagi setiap tangisan yang dilakonkan semula oleh pakar serta tip berguna. Ingat! Tangisan bayi itu tak mengapa namun membiarkan bayi menangis sendirian itu suatu masalah.

(Sumber: Majalah Pa&Ma Disember 2012)


Wednesday 23 January 2013

PEKA ISYARAT AUTISMA ANAK



Apakah Autisme?
 “Autisme ialah gangguan psikitrik atau gangguan perkembangan yang mengakibatkan masalah dalam komunikasi sama ada perkembangan bahasa yang lambat atau tidak berkembang. Keadaan ini berkisar mengenai masalah mengaitkan perkataan dengan penuh makna, interaksi sosial dan kesukaran untuk memahami persekitaran. Pengesanan awal mampu menyelamatkan keadaan dan kanak-kanak ini boleh dilatih sekurang-kurangnya untuk menguruskan diri sendiri,” kata Dr Mastura Badzis.

Biasanya, petanda kesihatan anak yang menunjukkan simptom gangguan sama ada secara mental dan fizikal tidak disedari. Misalnya masalah autisme yang boleh dikesan pada peringkat umur 12 bulan hingga tiga tahun namun disebabkan kurang peka, masalah ini gagal dikesan pada peringkat awal dan menyebabkan anak terus terperangkap dengan dunianya dan sukar untuk menjalani kehidupan apabila membesar kelak.

Menurut Dr Mastura, terdapat beberapa kategori autisme iaitu autisme Autistic disorder atau “Klasik” Autisme”, “Sindrom Asperger” atau turut dikenali sebagai “Atypical Autisme” dan Pervasive Developmental Disorder.

Peka Akan Simptomnya
Kanak-kanak yang mengalami autisme mempunyai rupa bentuk fizikal yang sama seperti kanak-kanak normal lain. Hal ini menyukarkan masalah ini sukar dikenal pasti kecuali ibu bapa peka akannya simptom-simptom yang ditunjukkan secara konsisten oleh mereka.
Antara simptom-simptom autisme ialah:
  • Tidak menunjukkan eye contact
  • Tidak bertindak balas terhadap senyuman
  • Tantrum yang keterlaluan tanpa sebab sehingga mencederakan diri seperti menghantukkan kepada ke dinding.
  • Tidak menunjukkan minat untuk berkawan dan bermain dengan kanak-kanak lain, malah selesa bermain sendirian.
  • Sering menyebut sesuatu perkataan secara berulang-ulang atau mengeluarkan suara ‘robotik’ atau disebut sebagai echolalia. Mereka juga sering mengulang-ulang apa yang diperkatakan dan kerap melentikkan badan apabila dipeluk.
  • Terlalu sensitif, mempunyai minat yang pelik kepada sesuatu seperti cahaya, bunyi atau pergerakan.
  • Gemar mengibarkan tangan dan memusing-musingkan badan setempat. Malah pada kanak-kanak 18 bulan ke atas, mereka cenderung untuk menggunakan isyarat berbanding perkataan.
  • Sukar untuk mengubah rutin yang mana jika diubah akan mengakibatkan tantrum.
  • Mereka juga sering kali menunjukkan obsesi kepada sesuatu perkara seperti permainan tertentu sahaja.
Apabila ditanya apakah penyakit ini boleh diwarisi secara genetik atau keturunan, Dr Mastura berkata “Penyakit ini diwarisi secara keturunan atau genetik tanpa sebab yang diketahui. Hal ini kerana autisme disebabkan oleh keganjilan pada faktor biologi dan neurologi pada otak mereka. Keadaan tidak normal ini juga boleh disebabkan olah pendedahan kepada persekitaran yang tercemar atau berat semasa lahir yang rendah atau kelahiran pramatang”.

Anakku autisme, apa perlu dilakukan?
“Ibu bapa hanya boleh mengesan tanda-tanda awal melalui senarai semak perkembangan normal kanak-kanak tetapi tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan si manja autistik. Jangan lekas melabelkan si manja mengalami autisme dengan hanya kerana dia menunjukkan beberapa signal autistik. Bawalah si manja mendapatkan pemeriksaan dengan pakar pendengaran untuk memeriksa pendengarannya kerana khuatir mereka pekak. Setelah dikenal pasti tidak pekak, maka bawalah pula berjumpa pakar psikologi klinikal atau pakar psikiatri untuk membuat ujian dan pemantauan sama ada si manja benar-benar menghidap autisme sebelum diberikan rawatan sewajarnya,” ujar Dr Mastura.
Rawatan terapi untuk kanak-kanak autisme hanya boleh dijalankan oleh pakar sahaja. Antara rawatan tersebut ialah Applied Behaviour Analysis yang dilakukan secara bermain atau play theraphy.

Mendekati kanak-kanak Autistik
Kanak-kanak autistik memerlukan penjagaan secara perseorangan atau one-to-one care. Hal ini perlu dilakukan dengan berterusan dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana mereka tidak menghiraukan kewujudan orang lain. Elakkan merenung atau menyentuh si kecil autistik kerana kelakuan ini akan menyebabkan mereka stres. bagi mengasuh dan membimbing, banyakkan menggunakan alat bantuan seperti gambar supaya mereka mudah menterjemahkan. Anda juga boleh memberikan kemahiran sosial melalui teknik berkumpulan, bercerita dan sebagainya.

Gejala autisme boleh diredakan dengan menyediakan persekitaran yang selamat, struktur jadual rutin yang tetap dan suasana yang tenang. Mereka juga perlu diberi peluang untuk merasa apa juga yang ada di persekitaran mereka bertujuan untuk merangsang. Penyakit yang dikenal pasti tidak mempunyai penawar ini akan berkekalan sehingga dewasa. Oleh sebab itu, kepekaan ibu bapa dan pengesanan awal amat diperlukan. Anak-anak autisme boleh diberikan latihan menguruskan diri sendiri adalah langkah yang boleh diambil sebagai persediaan menempuh kedewasaan.

Ibu bapa yang memiliki anak autisme bolehlah mendaftarkan anak ke persatuan atau group support untuk mendapatkan sokongan, bertukar pendapat dan mengatasi ketegangan yang dialami. Menghantar anak ke kelas yang menawarkan pendidikan khas untuk pesakit autisme boleh membantu mereka mengatasi masalah komunikasi dan sosial serta mengurangkan tingkah laku yang tidak sesuai agar mereka mampu menguasai kemahiran untuk hidup apabila dewasa kelak.

INFO:
Seramai 10 peratus penghidap autisme dikenal pasti memiliki idiot savant di mana mereka mempunyai kemahiran istimewa di dalam bidang matematik atau komputer, berupaya mengingati fakta, kebolehan dalam bidang muzik dan kesenian. 

(Sumber: Majalah Pa&Ma Januari 2013)

Tuesday 8 January 2013

HUKUM PELABURAN DI ASB, ASN DAN SEUMPAMANYA

Di Selangor hukum pelaburan di ASB, ASN dan seumpamanya adalah seperti berikut:

“Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

1.   Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ” 

2.   Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

3.   Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.”

Pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya di syarikat konvensional adalah seperti berikut:

a.      Malayan Banking Berhad 28.49%
b.      Fraser & Neave Holdings Berhad 0.95%
c.       PNB Structured Investment Fund 0.87%
d.      British American Tobacco (Malaysia Berhad) 0.78%

Sehingga kini, semua dana amanah di bawah PNB tidak diklasifikasikan mematuhi syariah. (Rujuk:http://www.sc.com.my/eng/html/resources/stats/UTF.pdf dan https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqWjWQqN6XtUuOKYilZ9ejrnTOlhD8k8pGfxZLWOT25Yk_HXmVmRn-QwlYEyA26oVg6fSymMrrCwcIvODL7oFThpaML8MFeUBq3_V4RvPKVXw6duMpHck5b8zFg6BW7hHsSPwPZzYrLW4/s1600-h/ASB2.JPG). Jika menurut kayu ukur (benchmark) peratusan pelaburan haram dalam sesebuah syarikat yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti hendaklah pada kadar yang minima dan boleh dimaafkan. Walau bagaimanapun, jumlah pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya itu telah melebihi daripada tanda aras yang dibenarkan dan sudah menjadikan pelaburan haram menguasai dana pelaburan ASB. Ini menyebabkannya menjadi haram.

Bagaimanapun satu aspek kritikal yang perlu juga diambil kira dalam mengesahkan pelaburan ASB ialah berkenaan aspek akad pelaburan yang digunakan. Adakah ia mudabarah atau musyarakah atau apa? dan jika mudarabah, perlu diingat bahawa jika akadnya tidak sah dari sudut syara’ maka seluruh pelaburan adalah batal tanpa mengira dalam industri halal atau haram ia dilaburkan.

Maka setelah dirujuk ke PNB dan buku prospektus ASB kita dapati bahawa termaktub bahawa modal (capital) pelaburan ASB adalah di jamin oleh PNB yang bermakna syarat dalam akad pelaburan ini telah bercanggah dengan syarat pelaburan Mudarabah dalam Islam.

Menurut mazhab Syafie, akad pelaburan tadi adalah batal. Malah modal pelaburan tidak boleh dijamin oleh pihak yang menguruskan pelaburan juga di fatwakan oleh Majma’ Fiqh Islami atau OIC Islamic Fiqh Academy dalam konvensyen ke-9 yang mana telah diputuskan bahawa jaminan modal hanya dibenarkan jika ia datang dari pihak ketiga. Dan dengan syarat ia tidak dimasukkan di dalam kontrak mudarabah.

Adakah perkara ini dipelihara oleh ASB? tidak sama sekali kerana mereka langsung tidak mempunyai Penasihat Syariah. Secara mudahnya, untuk mengenalpasti sesuatu institusi kewangan itu mematuhi syariah atau tidak, sila rujuk sama ada institusi itu mempunyai panel Penasihat Syariah ataupun tidak. Sepatutnya jika Malaysia ingin menjadi Global Islamic Banking and Finance Hub, sebagaimana diwarwarkan, PNB harus diislamisasikan terlebih dahulu. Gunakan konsep mudarabah dalam pelaburan mereka dan melabur di kaunter halal sahaja.

Ada banyak lagi kaunter halal untuk melabur walaupun kurang sikit dividen, biar halal dan berkat walaupun sedikit, daripada banyak tapi haram dan merosakkan kehidupan kita.

Persoalan

a.   Bagaimana dengan kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya?

Kedudukan orang Islam yang telah menyertai dan membuat pelaburan ASB ini sekiranya mereka telah diberitahu bahawa pelaburan ASB tersebut adalah haram, maka mereka hendaklah meninggalkan ASB dan menyertai dana-dana amanah lain yang mematuhi syariah. Sekiranya mana-mana umat Islam yang tahu tetapi tidak meninggalkan ASB tersebut maka mereka telah melakukan dosa yang melibatkan diri mereka dengan riba.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: 275)

b.   Adakah mereka perlu mengeluarkan semua duit yang ada dalam akaun ASB mereka?

Ya, mereka perlu mengeluarkan kesemua duit yang ada dalam ASB tersebut meliputi wang pokok, dividen, pelarasan dan bonus tahunan. Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah, beliau telah memutuskan bahawa wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di dalam akaun-akaun konvensional.

Sekiranya tidak dikeluarkan, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank atau institusi kewangan konvensional tersebut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

c.    Adakah kesemua wang-wang yang disimpan dalam ASB itu menjadi haram?

Tidak, yang haram adalah faedah atau bonus yang terhasil daripada simpanan pokok tersebut. Wang pokok adalah tidak haram.

d.   Bagaimana dengan kedudukan wang-wang ASB tersebut?

Kedudukan wang-wang tersebut adalah seperti berikut:
i.                     Wang pokok yang disimpan adalah tidak haram dan boleh digunakan untuk kegunaan peribadi dan keluarga serta boleh dipusakai.
ii.                   Wang faedah, pelarasan, bonus atau apa-apa sahaja tambahan yang terhasil melalui penyimpanan tersebut adalah haram dan dianggap sebagai riba, tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi, keluarga dan kepentingan sendiri serta tidak boleh dipusakai. Wang tersebut hendaklah disalurkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.

e.   Adakah pekerja perbankan akan terus menawarkan pakej ASB ini sebagai produk di bank mereka?

Ya, dan kemungkinan masih ada oleh sebab fatwa di peringkat kebangsaan mengharuskannya. Pada masa yang sama pekerja perbankan tersebut tidak diperjelaskan secara lengkap berkenaan kedudukan ASB dan seumpamanya tersebut di negeri Selangor. Oleh yang demikian, mudah-mudahan penerangan ini mampu memperjelaskan anda dan sampaikan kepada mana-mana umat Islam.

f.    Bagaimana dengan mereka yang telah membuat pinjaman ASB? Mereka sudah terikat dengan perjanjian dan bagaimana dengan kedudukan mereka?

Sesuatu yang sukar bila mana transaksi konvensional telah dilaksanakan antara anda dengan pihak bank yang menggunakan instrumen pinjaman ASB. Oleh itu, sekiranya anda boleh membatalkan perjanjian tersebut, maka hendaklah anda mengeluarkan wang tersebut daripada akaun ASB dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang telah disebutkan di atas. Sekiranya perjanjian tersebut tidak boleh dibatalkan, maka anda hendaklah menghitung jumlah dividen atau faedah yang terhasil dalam pinjaman tersebut dan menyalurkan sebagaimana kaedah yang dinyatakan di atas juga iaitu diserahkan kepada Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.

Wallahu a’lam.

INDERA SHAHRIL BIN MOHD SHAHID
(B. Sha. (Hons) UM, DSLP IIUM)
Pengurus Harta Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor
Ting 9 & 10, Menara Utara
Bangunan Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor
Tel: 603-5514 3772 (DL)
        603-5514 3773 (GL)
Fax: 603-5512 4042