SOALAN: Saya dianugerahkan empat orang anak perempuan. Sebagai
ibu,saya amat bimbang dengan senario yang berlaku dalam persekitaran masyarakat
kita. Maksiat seperti zina telah berleluasa, malah menjadi lebih parah dengan
isu pembuangan bayi dan sebagainya. Bagaimanakah pendidikan yang sepatutnya
saya terapkan kepada anak-anak perempuan?
JAWAPAN:
Anak
perempuan permata keluarga dan masyarakat. Melihat anak perempuan sama seperti
kita melihat gambaran generasi yang akan dating. Mendidik dan mempersiapkan
mereka dengan ilmu dan wawasan mampu merubah wajah dunia. Dari rumah merekalah
kelak akan lahir generasi berikutnya yang berkualiti. Bahkan Rasulullah s.a.w.
bersabda bahawa mereka dapat menjadi
hijab api neraka bagi kedua-dua ibu bapanya yang mendidik mereka dengan
kesempurnaan dan keindahan islam. (riwayat al-Bukhari dan muslim). Ustazah cuba
mengkhususkan huraian ini kepada perkara yang lebih berkait dengan psikologi
anak perempuan.
1. Hubungan
ibu bapa dengan anak-anak perempuan mestilah memenuhi keperluan emosi mereka.
Caranya adalah dengan mencurahkan kasih sayang dan perhatian kepada mereka.
Sayidatina Aisyah pernah menggambarkan betapa suburnya kasih sayang antara
rasulullah dan anakanda perempuannya sayidatina Fatimah al-Zahra: aku tidak
melihat seseorang yang lebih mirip dengan rasulullah dalam berbicara berbanding
Fatimah. “Ketika Fatimah menemui Rasullah,maka Baginda segera berdiri dan
menyambutnya,menciumnya dan mendudukinya di tempat baginda. Begitu juga ketika
baginda mengunjungi Fatimah, lalu Fatimah berdiri menyambut Baginda ,memegang
tangan baginda lalu mendudukkan Baginda di tempat duduknya. Ketika baginda
sakit kuat,Fatimah menziarahi Baginda,lalu Baginda menyambut dan mengucupnya
.”(Riwayat al-Bukhari).
Jangan
kita terlepas perhatian terhadap soal ini. Nabi kita telah menunjukkan teladan
yang terbaik buat para ibu dan ayah,bahawa anak-anak perempuan khususnya perlu
dikasihi,dibelai,dipeluk dengan kasih sayang dan dihormati perasaan dan naluri
mereka. Imam al-Alusi berkata: “yang diketahui dari orang yang mulia itu ialah
mereka sangat menjiwai perasaan wanita. Mereka selalu berusaha untuk
membahagiakan dan menghiburkan hati wanita kerana tabiat wanita yang lemah dan
perlukan perlindungan. Oleh kerana itu, ketika orang tua ingin memberikan
sesuatu kepada anak-anaknya, maka dianjurkan untuk mendahulukan anak perempuan,.”
Begitulah
juga teladan yang boleh kita pelajari daripada insan mulia Sayadina Abu Bakar
al-Siddiq, seperti yang diriwayatkan oleh al-Barra”: “bagaimana keadaanmu
puteriku?” lalu beliau mencium pipi puterinya itu.” (Riwayat al-Bukhari).
2. Menanam
dalam jiwa anak perempuan perasaan takut kepada allah dan ancaman azab-Nya.
Islam tidak menggesa ibu bapa untuk menanam ketakutan dalam jiwa anak-anak
terhadap mereka dengan menjadi garang dan sebagainya. Sebaliknya islam menyuruh
ibu bapa agar menanam ketakutanterhadap allah dalam diri anak-anak. Rasulullah
bersabda.mafhumnya: “Jangan kamu mengangkat tongkatmu terhadap keluargamu.
Buatkanlah mereka takut kepada allah.”(Riwayat Ahmad). Dalam hal ini juga, kita
boleh melihat penekanan yang diberi rasulullah kepada anakanda Baginda supaya
memiliki kekuatan rasa takut kepada Allah. Sabda Rasululah, Maksudnya: “Wahai
Fatimah,mintalah daripadaku apa sahaja yang kamu inginkan daripada hartaku.
Namun aku tidak berupaya menolak seksaan Allah terhadapmu.” (Riwayat
al-Bukhari).
3. Menghukum
dengan cara merenggangkan komunikasi dan interaksi dalam tempoh yang sesuai.
Adalah diriwatyatkan bahawa jika ada salah seorang anggota keluarga Rasulullah
yang berbohong sekali, maka baginda akan tetap menjauhinya sehinggalah dia
bertaubat. (Riwayat Ahmad). Sekiranya kita mendidik anak-anak dengan asas
akidah, ibadah dan akhlak maka jika berlaku perlanggaran terhadap mana-mana
asas tadi, maka ibu dan ayah boleh membuat pemulauan sementara selama dirasakan
tidak sampai menyebabkan anak perempuan memberontak.
4. Tanamkan
dalam diri anak-anak perempuan sikap untuk mengadu hanya kepada Allah. Kita
sedia maklum bahawa secara psikologinya anak-anak perempuan lebih suka
meluahkan masalah, memerlukan pendengar yang setia berkenaan runtunan kehidupan
mereka. Lumrah inilah yang akhirnya menyebabkan anak perempuan ini cenderung
untuk memiliki teman istimewa daripada kaum lelaki. Maka ibu dan ayah wajib
menanam asas tauhid dalam diri anak-anak dengan meletakkan pengaduan dan
kebergantungan kepada Allah. Ibnu Qayyim berkata : Telah sampai kepada kami
satu kisah. Pada suatu hari seorang penguasa daerah tempat hatim al-Asham
tingal melewati pintu rumah beliau. Lalu sang penguasa meminta air minuman.
Sebaik selesai minum, penguasa itu melemparkan wang kepada hatim dan
teman-temannya. Mereka semua bergembira menerima wang tersebut kecuali seorang
gadis. Dia menangis melihat keadaan tersebut. “apa yang membuatkan kamu
menangis?” Gadis itu menjawab: “Tatkala seorang makhluk memandang kita, lalu
memberi bantuan, pun kita sudah berasa bergembira. Lalu bagaimana jika
sekiranya yang memandang kepada kita dan menghulurkan bantuan itu ialah Allah
yang maha pencipta?”
5. Memperkayakan
mereka dengan kisah wanita-wanita solehah. Gunakanlah kesempatan bersama
anak-anak perempuan untuk memperkenalkan tokoh-tokoh wanita solehah sepanjang
zaman antaranya Asiah dan Maryam. Jadilah ibu yang menyambungkan silaturahim
antara mereka dengan wanita-wanita agung tersebut. Caranya dengan mengambil
iktibar daripada kehidupan mereka yang mulia.
Wallahu a’lam.