Thursday 12 December 2013

MELUPUS SEKURITI TIDAK PATUH SYARIAH DI BAITULMAL



Assalamualaikum wbt,

Tahukah anda, berkuatkuasa pada 29 Nov 2013, Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah meluluskan senarai kemas kini sekuriti yang diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh syariah di Bursa Malaysia berdasarkan kaedah penyaringan yang disemak semula. 

Berdasarkan kaedah tersebut, sebanyak 16 sekuriti baru telah diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh syariah manakala sebanyak 158 sekuriti yang sebelumnya berada dalam senarai sekuriti patuh syariah pada bulan Mei 2013 telah dikeluarkan dan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh syariah. Oleh yang demikian, daripada kira-kira 88% sekuriti yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh syariah, hanya 71% atau 653 sekuriti sahaja yang diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh syariah.

Dalam mengklasifikasi sekuriti patuh syariah, MPS menerima input dan sokongan daripada SC yang mendapatkan laporan tahunan dan pertanyaan kepada pihak syarikat. MPS melalui SC akan terus mengkaji status syariah sekuriti-sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia pada setiap tahun berdasarkan kepada penyata kewangan tahunan terkini syarikat yang diaudit. 

Dalam mengambil kira sesuatu sekuriti tersebut patuh syariah atau tidak, MPS telah mengadaptasi dua peringkat tanda aras iaitu tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan.

Tanda aras aktiviti perniagaan

Bagi tanda aras aktiviti perniagaan, sumbangan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh syariah kepada perolehan keseluruhan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat akan dikira dan dibandingkan dengan tanda aras aktiviti perniagaan yang relevan seperti berikut:

(i)        Tanda aras lima peratus

Tanda aras lima peratus ini diguna pakai bagi perniagaan-perniagaan aktiviti berikut:

·         perbankan konvensional;
·         insurans konvensional;
·         perjudian;
·         arak dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya;
·         babi dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya; 
·         makanan dan minuman tidak halal;
·         hiburan tidak patuh syariah;
· pendapatan faedah daripada akaun-akaun dan instrumen-instrumen konvensional (termasuk dividen daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen tidak patuh syariah  dan pendapatan faedah yang diterima berikutan daripada keputusan mahkamah atau penimbang tara);
·         tembakau dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya; dan
·         aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak patuh syariah.

Bagi perniagaan-peniagaan/aktiviti-aktiviti yang disenaraikan di atas, sumbangan daripada perniagaan-perniagaan/aktiviti-aktiviti tidak patuh syariah kepada perolehan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat mestilah kurang daripada lima peratus.

(ii)      Tanda aras 20 peratus

Tanda aras 20 peratus ini diguna pakai bagi perniagaan-perniagaan/aktiviti-aktiviti berikut:

·         operasi hotel dan rumah peranginan;
·         jual-beli saham;
·         pembrokeran saham;
·         sewaan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh syariah; dan
·         aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak patuh syariah.

Bagi perniagaan-perniagaan/aktiviti-aktiviti yang disenaraikan di atas, sumbangan daripada perniagaan-perniagaan/aktiviti-aktiviti tidak patuh syariah kepada perolehan keseluruhan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat mestilah kurang daripada 20 peratus.

Tanda aras nisbah kewangan

Bagi tanda aras nisbah kewangan, MPS mengambil kira perkara-perkara berikut:

(i)        Tunai ke atas jumlah aset

Tunai yang diambil kira ialah tunai yang ditempatkan dalam akaun-akaun dan instrumen-instrumen konvensional, manakala tunai yang ditempatkan dalam akaun-akaun dan instrumen-instrumen Islam tidak diambil kira dalam pengiraan ini.

(ii)      Hutang ke atas jumlah asset

Hutang yang diambil kira ialah hutang yang berteraskan faedah, manakala pembiayaan secara Islam ataupun sukuk tidak diambil kira dalam pengiraan ini. Setiap nisbah di atas, yang bertujuan untuk menilai riba dan elemen-elemen berteraskan riba dalam penyata kedudukan kewangan sesebuah syarikat mestilah kurang daripada 33 peratus. Di samping kriteria dua peringkat di atas, MPS juga mengambil kira aspek yang melibatkan persepsi masyarakat umum atau imej aktiviti-aktiviti syarikat dari perspektif pengajaran Islam.

Tempoh pelupusan sekuriti tidak patuh syariah

Adalah dinasihatkan kepada pelabur mengenai tempoh untuk melupuskan sekuriti-sekuriti yang telah diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah seperti berikut:

(i)        “Sekuriti patuh syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “tidak patuh syariah”

Ini merujuk kepada sekuriti-sekuriti yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai patuh syariah tetapi, oleh kerana beberapa faktor seperti perubahan dalam operasi perniagaan syarikat dan kedudukan kewangan, kemudiannya diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah. Dengan perlaksanaan kaedah penyaringan yang disemak semula, para pelabur diberi tempoh selama enam bulan daripada tarikh berkuat kuasa senarai kemas kini iaitu 29 November 2013 untuk melupuskan sekuriti-sekuriti tersebut, sekiranya harga pasaran sekuriti-sekuriti tersebut melebihi atau bersamaan dengan kos pelaburan. Sehubungan dengan ini, para pelabur dibenarkan menyimpan dividen yang diterima dan keuntungan modal hasil daripada pelupusan sekuriti-sekuriti tersebut sepanjang tempoh enam bulan yang diberikan. Walau bagaimanapun, sebarang dividen yang diterima dan lebihan keuntungan modal hasil daripada pelupusan sekuriti tidak patuh syariah selepas tempoh enam bulan yang diberikan hendaklah disalurkan kepada baitulmal dan/atau badan-badan kebajikan. Bagi dana-dana Islam seperti dana unit amanah Islam, dana borong Islam dan sebagainya, keuntungan mestilah disalurkan kepada baitulmal dan/atau badan-badan kebajikan seperti yang dinasihatkan oleh penasihat syariah mereka atau penasihat syariah bagi pengurusan dana berkenaan.

Sebaliknya, para pelabur dibenarkan untuk memegang pelaburan dalam sekuriti-sekuriti tidak patuh syariah sekiranya harga pasaran sekuriti-sekuriti tersebut berada di bawah kos pelaburan. Sepanjang tempoh pegangan sekuriti-sekuriti tidak patuh syariah, para pelabur juga dibenarkan untuk menyimpan dividen yang diterima sehingga jumlah dividen yang diterima dan harga pasaran sekuriti-sekuriti tidak patuh syariah tersebut bersamaan dengan kos pelaburan. Pada ketika ini, para pelabur dinasihatkan untuk melupuskan pegangan mereka. Di samping itu, sepanjang tempoh pegangan, para pelabur juga dibenarkan untuk melanggan:

(a)     Sebarang terbitan sekuriti-sekuriti baru oleh syarikat yang mana sekuritinya tidak patuh syariah yang dipegang oleh pelabur, sebagai contoh, terbitan hak, terbitan bonus, terbitan khas dan waran (tidak termasuk sekuriti-sekuriti yang tidak patuh syariah seperti stok pinjaman); dan

(b)     Sekuriti-sekuriti patuh syariah syarikat lain yang ditawarkan oleh syarikat yang mana sekuritinya tidak patuh syariah yang dipegang oleh para pelabur, dengan syarat mereka menyegerakan pelupusan sekuriti-sekuriti tidak patuh syariah tersebut.

(ii)      Sekuriti tidak patuh Syariah

Adalah dinasihatkan kepada para pelabur yang melabur berdasarkan prinsip-prinsip syariah supaya melupuskan sekuriti-sekuriti tidak patuh syariah yang dipegang, dalam tempoh tidak melebihi satu bulan selepas mengetahui status sekuriti tersebut. Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh sebelum atau selepas pelupusan sekuriti tersebut hendaklah disalurkan kepada baitulmal dan/atau badan-badan kebajikan. Para pelabur hanya berhak untuk mengambil kos pelaburan sahaja.

Rujukan berkenaan senarai sekuriti patuh syariah yang telah diputuskan oleh MPS SC adalah melalui http://www.sc.com.my/wp-content/uploads/eng/html/icm/sas/sc_syariahcompliant_291113.pdf.pdf

Fatwa-fatwa berkenaan Wang Tidak Patuh Syariah

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 1971

Ketetapan hukum berkenaan penyaluran wang-wang haram telah diputuskan sejak dahulu lagi iaitu melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 pada 21hb. Jun 1971 yang telah memutuskan:

i.             Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini.
ii.            Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang Muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan maslahah umum.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam ke 87

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah memutuskan seperti berikut:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i.             Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
ii.            Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
iii.          Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

i.            Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
ii.            Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.

Peranan Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor ke atas Wang Tidak Patuh Syariah

Secara umumnya, ramai yang tidak mengetahui mengenai fungsi dan peranan Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) khususnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Apa  yang diketahui umum ialah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Pusat-Pusat dan Lembaga Zakat, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah. Manakala skop pengurusan dan perkhidmatan Baitulmal kurang diserlahkan kepada masyarakat umum.

Dari segi sejarahnya, Baitulmal memainkan peranan yang besar dalam menyusun dan membangun ekonomi negara. Hasil pendapatan Baitulmal suatu ketika dahulu mampu untuk membiayai perbelanjaan dan pembangunan negara. Sumber pendapatan Baitulmal terdiri dari pelbagai bentuk termasuk zakat, wakaf, tarikah (harta pusaka), ghanimah (harta rampasan perang), jizyah (cukai bukan Islam), fay’ (hasil cukai yang dipungut bukan melalui peperangan), kharaj (cukai tanah bukan Islam), ‘usyur (cukai tanah orang Islam), rikaz (harta karun emas dan perak), ma’din (sumber galian dalam tanah), sedekah dan pelbagai pemberian lain. 

Walau bagaimanapun, keadaan berbeza di negara ini. Skop dan peranan Baitulmal dilihat agak sempit iaitu menjadi sebahagian kecil di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Kedudukan harta dan sumber hasil Baitulmal menjadi terbatas dan impak yang dihasilkan daripada sumber ekonomi Baitulmal tidak berkesan. Sedangkan sumber pendapatan dan agihan Baitulmal boleh berlipat kali ganda sekiranya ia ditadbir secara berkesan dan dipulangkan kembali kedudukannya.

Tidak ramai umat Islam yang mengetahui kedudukan Baitulmal dan segala aspek pengurusan Baitulmal. Masyarakat masih lagi beranggapan bahawa Baitulmal sebagai penghakis harta umat Islam. Ketinggalan dari aspek pengurusan, tidak efisyen dan seringkali diberikan tohmahan buruk.

Padahal, penerokaan ke atas sumber-sumber baru Baitulmal juga telah dilaksanakan dari semasa ke semasa. Umpamanya pada masa kini, Majlis Agama Islam Selangor melalui Baitulmal telah diberikan kuasa melalui undang-undang dan fatwa sebagai pentadbir harta wasiat, hibah, wang tidak patuh syariah, harta luqatah, wang orang berhutang, nazar, fidyah, kafarah dan wang khairat.

Malahan, Baitulmal juga berpotensi sebagai badan yang boleh menerima gharamah (bayaran ganti rugi bank) dan wang tak dituntut (unclaimed moneys) di institusi kewangan, harta pusaka amanah (waris yang mafqud, bawah umur atau OKU), hasil-hasil agama seperti fi Jabatan Agama Islam dan fi dan denda Mahkamah Syariah, sedekah tabarru’, mengurus al-rahn (pajak gadai Islam), qardul hasan dan pelbagai jenis perkhidmatan lain melalui hukum syarak.

Maka, peranan Baitulmal sebagai sebuah badan yang berautoriti menyelesai permasalahan harta umat Islam perlu diperluas dalam konteks masa kini. Tidak terhad kepada agihan zakat dan pentadbiran harta wakaf, tetapi lebih daripada itu dan meletakkan kembali Baitulmal sebagai sumber khazanah yang akan mampu meningkatkan sosio-ekonomi umat Islam.

Sebagai contoh, di bawah Seksyen 81(2), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 telah diperuntukkan bahawa, “Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, samada alih atau tidak alih menurut hukum syarak”. Sehingga kini adalah terdapat 36 jenis harta Baitulmal yang sedang dilaksanakan oleh Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor secara berperingkat.  Ini bermakna semua harta orang Islam dalam negeri Selangor adalah menjadi tanggungjawab kepada Majlis Agama Islam Selangor melalui Baitulmal untuk mengurus dan mentadbirnya jika telah ditentukan dan diputuskan oleh undang-undang yang berkaitan.

Sebagai sebuah entiti tunggal yang mentadbir harta umat Islam, Baitulmal berperanan penting dalam mendakwah masyarakat terutamanya mengurus harta secara bijaksana berdasarkan hukum syarak. Hal ini selaras sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak”.

Kebanyakan masyarakat mengetahui kewajipan membayar zakat sebagai wadah penyucian harta umat Islam. Kewajipan ini bagaimanapun terhad kepada syarat-syarat kelayakan harta yang dizakatkan dan asnaf-asnaf yang telah ditentukan. Walau bagaimanapun, kebanyakan masyarakat juga kurang arif akan perihal harta-harta yang diperolehi dengan jalan yang tidak betul. Unsur-unsur tidak halal ke atas harta dan juga keraguan yang timbul sering kali dipandang enteng oleh sebilangan masyarakat mutakhir ini. Dengan kepesatan ekonomi kini, seringkali menjauhkan masyarakat daripada menitik beratkan aspek hasil atau rezeki yang dikurniakan Allah ke atas hambanya.  Oleh yang demikian, Baitulmal MAIS mengambil peluang ini mengajak umat Islam untuk sama-sama membersihkan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh keberkatan dan sentiasa berlandaskan hukum syarak.

Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, Baitulmal menjadi wadah bagi menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak. Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan hasilnya ia direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam negeri ini. Aplikasi pelaksanaan sesuatu perkhidmatan itu dikaji dari segenap segi bagi memastikan perjalanan atau proses perkhidmatan yang dilaksanakan sentiasa bersandarkan kepada hukum syarak.

Sehubungan dengan itu, kepada seluruh umat Islam sekelian samada ada pelabur ataupun tidak, satu akaun khas telah dibuka di MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam menyalur dan melupuskan wang tidak patuh syariah agar hasil tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk maslahah umum. Penyaluran wang tidak patuh syariah ini boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 9, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam atau disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 12-038-01-009567-6 atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” atau pindahan wang melalui e-mais di laman web www.mais.gov.my.


Kesimpulan

Penggunaan wang tidak patuh syariah yang dilupuskan oleh mana-mana individu, syarikat atau institusi adalah terhad bagi tujuan maslahah umum atau kepentingan awam samada digunakan manfaatnya oleh orang Islam mahupun orang bukan Islam.

Walau bagaimanapun, dalam konteks penyucian harta, adalah tidak adil untuk kita meninggalkan komponen penyucian harta sedia ada yang dimaklumi oleh orang-orang Islam iaitu zakat.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Taubah: ayat 103)

Dalam menjalani kewajipan membayar nafkah diri, keluarga dan tanggungan kita, kadang-kadang kita gagal untuk membezakan sumber pendapatan mana yang halal, haram ataupun syubhah. Maka dengan pengeluaran zakat itulah bahagian yang difardukan untuk mengatasi kewujudan unsur tidak suci dalam pendapatan seharian.

Namun ibadat zakat adalah sesuatu penilaian yang subjektif selain dari agen penyucian, ia adalah hak “orang lain” di dalam harta kita. Berbeza dengan penyucian harta haram atau wang tidak patuh syariah. Ia adalah jelas, objektif dan umum diketahui oleh umat Islam tentang pengharamannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim, Rasululullah S.A.W. bersabda, "Barangsiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)“

Maka dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri daripada bermuamalah dengan urusan-urusan yang melibatkan perkara-perkara haram atau diragui kehalalannya.

Dengan kepesatan pembangunan ekonomi negara ketika ini dan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, akaun-akaun dan sekuriti-sekuriti patuh syariah, syarikat-syarikat takaful, syarikat-syarikat pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan (compulsory) kepada umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang wujud ini dengan sewajarnya.

Namun, sekiranya transaksi-transaksi yang berlaku masih mewujudkan elemen-elemen haram atau syubhah, maka hasil daripada aktiviti yang tidak mematuhi syariah tersebut perlu dilupuskan dan diserahkan kepada Baitulmal mengikut hukum syarak.

Sekian, Wallahu a’lam


INDERA SHAHRIL BIN MOHD SHAHID
Pengurus Harta Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor
Ting 9 & 10, Menara Utara
Bangunan Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor
Tel: 603-5514 3570 (DL)
        603-5514 3773 (GL)
Fax: 603-5512 4042


Tuesday 26 November 2013

4 TAHAP MERANCANG ANAK SOLEH


Oleh : Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sesungguhnya anak-anak merupakan hadiah Allah s.w.t  kepada hamba-hambanya. Maka setiap manusia perlu bersyukur kepada Allah atas nikmat pemberian zuriat yang membolehkan manusia hidup dengan bahagia dalam berkasih sayang sesama mereka.

Namun kita sebagai manusia perlulah sedar bahawa anak-anak juga merupakan amanah yang cukup besar daripada allah untuk mendidik dan dicorakakan kehidupan mereka. Didikan yang terbaik adalah dengan mengikut landasan yang telah islam tetapkan melalui utusan-Nya  iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Nabi bersabda: Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada untuk menjadi yahudi,nasrani mahupun Majusi. (Riwayat al-Bukhari).

Sesungguhnya islam amat mengambil berat ke atas pendidikan anak-anak bermula dari seawal usia kandungan lagi. Setelah anak-anak ini lahir,allah menyeru ibu bapa untuk menyediakan didikan yang sempurna meliputi pendidikan akal, jasmani dan rohani. Namun didikan yang terpenting dan terawal untuk anak-anak adalah supaya mereka mengenal Allah. Allah berfirman: ketahuilah bahawa tiada sembahan melainkan allah.” (surah Muhammad:19) oleh sebab itulah apabila seseorang bayi itu lahir ke dunia maka disunatkan ke atas bapanya untuk melaungkan azan ketelinga anaknya.

4 TAHAP

Untuk memastikan anak-anak kita kenal dan seterusnya mencintai Allah, terdapat beberapa perkara yang perlu kita berikan perhatian sebelum dan selepas kelahiran mereka antaranya:

1.       Memilih isteri yang solehah atau suami yang soleh

Dalam memastikan pendidikan anak-anak berjalan dengan sempurna, maka langkah pertama adalah dengan mencari pasangan yang baik agama dan budi pekertinya. sabda Nabi: jika telah datang kepada kamu seorang individu yang kamu reda agama serta akhlaknya maka kahwinilah ia. Jika tidak kamu akan menyebabkan kerosakan di atas muka bumi.(Riwayat al-Tarmizi). Kenapakah Nabi mengaitkan kerosakan bagi mereka yang tidak mengutamakan agama dan akhlak ketika mencari calon pasangan? Hal ini kerana dengan kita memilih pasangan yang soleh itu memudahkan kita untuk lebih taat kepada Allah dan seterusnya memelihara keluarga kita daripada melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Bagi mereka yang telah berumah tangga maka berusahalah untuk mengenal dan menambahkan kecintaan kita kepada Allah dan seterusnya mendidik anak-anak kita supaya menjadi hamba-hamba yang beriman kepada-Nya.

2.       Memohan agar Allah mengurniakan zuriat yang soleh dan solehah

Lihatlah bagaimana Nabi Zakaria yang memohon kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh setelah sekian lama beliau hidup kesepian tanpa zuriat bersama isterinya yang tercinta. Firman Allah: ketika Zakaria berdoa kepada tuhan-Nya: wahai tuhanku, kurniakanlah aku zuriat yang baik(soleh), sesungguhnya engkau maha mendengar segala permintaan,”(surah Ali Imran:38). Lantaran itu Allah memakbulkan doa bagunda doa baginda dengan mengurniakan zuriat yang teramat baik agamanya dan akhlaknya iaiti Nabi Yahya. Perkara yang perlu diambil perhatian oleh pasangan suami isteri dalam memohon zuriat yang baik adalah dengan memelihara adab-adab ketika bersama. Antaranya Nabi menyeru kita ketika hendak melakukan hubungan suami isteri agar membaca bismillah dan meminta Allah melindungi kita daripada tipu daya syaitan yang menggangu kehidupan kita dan juga zuriat yang akan dilahirkan.

3.       Mengikut sunnah Nabi Dalam menyambut kelahiran bayi

Setelah kita dikurniakan zuriat oleh allah,maka perlulah kita mengikut sunnah Nabi dalam menyambut kelahiran bayi. Antar sunnah tersebut adalah melafazkan azan ditelinga bayi, mencukurnya, tahnik, memilih nama yang baik dan melakukan akikah pada hari ketujuh, 14 atau 21. Namun adat-adat yang bercanggahan dengan syariat islam ketika menyambut kelahiran bayi perlulah dielakkan seperti upacara-upacara menolak bala yang mengandungi unsur-unsur syirik dan juga khurafat.

4.       Mengikut sunnah Nabi dalam pendidikan anak-anak

Ketahuilah bahawa nabi sayangkan kanak-kanak. Baginda tidak pernah segan silu untuk bermanja dengan kanak-kanak kecil dan mengucup mereka padahal itu bertentangan dengan adat pemimpin Arab pada zaman sebelum kedatangan islam. Namun inilah akhlak mulia pembawa risalah Allah yang wajib dicontohi. Nabi pernah menasihati seorang lelaki yang tidak pernah mengucup anaknya sendiri dengan sabdanya: sesiapa yang tidak menyayangi,dia tidak akan disayangi.”(riwayat al-Bukhari). Berdoalah agar Allah menyintai anak-anak kita sepertimana kita menyintai mereka. Al-Barra bin Azib meriwayatkan bahawa ketika Baginda meletakkan cucunya Hassan bin Ali,maka nabi terus berdoa: “ya Allah, sesungguhnya aku menyayanginya. Maka engkau sayangilah ia dan engkau sayangilah juga sesiapa yang menyayanginya.”(riwayat al-Bukhari).

Antara sunnah nabi adalah menceriakan kehidupan kanak-kanak kecil yang berada dalam kesedihan. Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika Nabi bertandang kerumahnya, Baginda bertanyakan tentang seorang kanak-kanak kecil yang bernama Abu Umair sedang bersedih dengan kematian burung peliharaan tersebut. Maka Nabi terus berjumpa dengan kanak-kanak tersebut dan menceriakan kembali hatinya yang berada dalam kesedihan.(riwayat al-Bukhari).

Daripada peristiwa ini juga maka dapatlah kita mengambil pendekatan murni dalam mendidik anak-anak iaitu meraikan dan menyelami perasaan  mereka ketika mereka dalam kesedihan walaupun kadangkala peristiwa tersebut boleh dianggap remeh pada mata orang dewasa.

Kesimpulannya,pendidikan anak-anak perlulah dibajai dengan syariat Allah dengan mengikuti panduan Al-quran dan sunnah Nabi. Maka gerakkanlah langkah kita dengan memulakan pendidikan keluarga melalui pembetukan peribadi mulia daripada ibu-bapa dan seterusnya menyampaikan didikan tersebut kepada anak-anak kita yang dikasihi.

                                                                                                 Wallahu a’lam.