Thursday 30 August 2018

MEREMAJAKAN KEMERDEKAAN NEGARA


Oleh: Mohd Hafiz Bin Abdul Salam

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Laungan inilah yang akan berkumandang bila tibanya 31 Ogos setiap tahun. Terdapat juga bibit-bibit lagu yang dinyanyikan oleh Allayarham Sudirman yang sentiasa kedengaran sepanjang bulan tersebut. Suasana sebegini adalah perkara yang biasa berlaku semasa bulan kemerdekaan Malaysia. Lagu itulah juga yang didendangkan oleh pelajar-pelajar sekolah dalam menghidupkan suasana kemerdekaan negara. Saban tahun warganegara kita meraikan hari kemerdekaan Malaysia pada tanggal 31 Ogos. Adalah sudah menjadi lumrah bagi setiap rakyat Malaysia meraikan dan menyambutnya tatkala tarikh keramat tersebut menjelma. Apakah natijahnya kepada kita? Bagi kebanyakkan orang, kemerdekaan hanya diertikan dengan hari terlepasnya Malaysia dari penjajahan kuasa luar dan kita bebas membentuk dan memandu negara mengikut acuan sendiri. Menurut Kamus Dewan (Edisi keempat) pula, merdeka adalah bebas dari penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain serta lepas dari tebusan, tuntutan dan berdiri sendiri. Secara umumnya makna kemerdekaan biasanya berbeza diantara setiap individu dengan individu yang lain berdasarkan cara pemikiran, taraf pendidikan, cara hidup, sejarah lampau dan sebagainya.

Merdeka biasanya akan dikaitkan dengan kebebasan. Terdapat 2 kategori kemerdekaan yang perlu kita selusuri iaitu kemerdekaan bagi negara dan kemerdekaan bagi masyarakat. Bagi kontek sebuah negara, kemerdekaan biasanya akan dikaitkan dengan kedaulatan sesebuah negara. Sebagai contoh, Malaysia adalah sebuah negara yang telah memperolehi kemerdekaan dari penjajah setelah dijajah selama ratusan tahun. Kedaulatan Malaysia telah diperolehi tanpa pertumpahan darah yang tidak seperti kebanyakkan negara lain. Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi setiap rakyatnya untuk menjaga dengan baik agar kemakmuran yang diperolehi hari ini tidak terlepas ke tangan orang lain. Bagi kontek masyarakat pula adalah diertikan dengan kebebasan dalam mengamalkan budaya dan fahaman masing-masing selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa di dalam negara.

Adalah penting untuk kita sentiasa meremajakan kemerdekaan negara agar roh dan semangat kemerdekaan sentiasa wujud dalam diri setiap individu, ruang-ruang perpecahan perlulah ditutup agar keharmonian ini dapat dikekalkan. Negara dan masyarakat kedua-duanya adalah penting dalam memainkan peranannya masing-masing. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, adalah perlu sentiasa menyemai bibit-bibit perpaduan dan rasa saling hormat-menghormati diantara setiap masyarakat yang pelbagai bangsa ini. Perasaan cintai negara ini perlu dipupuk dari kecil lagi melalui program-program yang berbentuk kesedaran dan pencerahan. Perkara ini perlu diambil tanggungjawab oleh pihak kementerian dalam negara. Pewujudan bulan kemerdekaan juga adalah salah satu inisiatif yang sangat baik bagi negara dengan penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang bulan tersebut sehingga hari kemerdekaan. Selain itu suasana kemerdekaan juga perlu dihidupkan kembali bukan sahaja dirumah-rumah, malah dijabatan-jabatan kerajaan juga perlu cakna dengan perkara ini. Tambahan lagi promosi kemerdekaan juga perlu ditingkatkan melalui iklan-iklan jabatan, iklan-iklan di media cetak dan elektronik, iklan kain rentang serta pemasangan bendera di setiap premis kerajaan.

Seterusnya,  bagi masyarakat pula pelbagai aktiviti juga perlu dianjurkan dikalangan mereka seperti penganjuran di peringkat masjid dan surau, peringkat taman perumahan, pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan dan sebagainya. Semua peringkat perlu mengambil cakna akan perkara ini dalam memastikan setiap masyarat dapat pendedahan dan kesedaran berkaitan kemerdekaan negara. Sebagai masyarakat di zaman moden ini, pastinya tidak pernah merasakan situasi sebenar sebelum kemerdekaan dicapai, sudah pasti kita tidak mampu menandingi semangat juang dan semangat patriotik yang ada dalam diri setiap pejuang tanah air kita dahulu. Buktinya ialah kita boleh lihat sendiri bagaimana sambutan yang diberikan oleh golongan belia masa kini ketika sambutan kemerdekaan negara dilakukan. Mereka lebih bersikap liar dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan seperti lumba haram, pesta seks dan sebagainya. Perkara ini sepatutnya tidak wajar dilakukan oleh anak muda sekarang sekiranya mereka betul-betul menghayati dan mempunyai semangat kemerdekaan tersebut. Oleh yang demikian aktiviti-aktiviti kemerdekaan ini perlu diperhebatkan lagi kepada golongan seperti ini.

Sebagai ibubapa pula, pelbagai pendekatan juga boleh dimainkan bagi mendidik masyarakat dalam kerangka yang lebih kecil iaitu anak-anak. Ibubapa boleh memikirkan aktiviti bersama yang dapat meningkatkan rasa kecintaan anak-anak kepada negara. Sebagai contoh, menonton cerita yang berkisar dengan kemerdekaan negara, membelikan bahan bacaan anak-anak berkaitan pejuang kemerdekaan dan mengadakan sesi bercerita berkaitan perjuangan dan jsa-jasa pahlawan negara dalam memperjuangkan kemerdekaan kepada negara. Disamping itu, ibubapa juga boleh membawa anak-anak ke tempat-tempat yang bersejarah seperti muzium, kawasan yang diwartakan bersejarah dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, hari kemerdekaan adalah hari yang penting untuk diraikan oleh setiap masyarakat. Tidak kira apa fahaman politik, kepercayaan dan pegangan mereka. Adalah sangat tidak wajar hari tersebut tidak diraikan dan dibiarkan lesu tanpa sambutan. Pihak yang berkuasa dan masyarakat hendaklah bersatu-padu dalam menyemarakkan kembali semangat kemerdekaan ini. Sebagai masyarakat pula, raikanlah dan ikut sertalah dalam segala aktiviti dan program yang telah dirancang oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan lagi rasa kecintaan mesyarakat kepada negara. Dengan itu, mudah-mudahan ia dapat meningkatkan kembali semangat kemerdekaan yang kian pudar di dalam diri masyarakat, justeru negara dapat mengekalkan masyarakat yang sentiasa sayangkan negara.