Monday 22 June 2015

JOM SERTAI PERTANDINGAN BULAN MEMBACA MAIS 2015 (1 JUN – 28 OGOS 2015)

SHAH ALAM 1 Jun  –  Bermula pada 1 Jun sehingga 28 Ogos ini, Perpustakaan Wakaf MAIS akan menganjurkan aktiviti dan program khas sempena Bulan Membaca MAIS 2015 yang terbuka kepada semua ahli perpustakaan wakaf MAIS. Program ini telah dirasmikan oleh Dato' Haji Bakhtiar bin Haji Hussin, Setiausaha MAIS.
Sebanyak enam jenis pertandingan yang akan dijalankan seperti Pertandingan Fotografi (Ragam Membaca), Pertandingan Review Buku, Pertandingan Silang kata dan Slogan (Saya suka membaca kerana…..), Pertandingan Pinjaman Buku Terbanyak Sepanjang Bulan Membaca dan Pertandingan Teka Jumlah Buku dan Berat Keseluruhan. Setiap penyertaan bagi kesemua pertandingan ini dikenakan bayaran sebanyak RM0.50 sahaja.
Selain itu, sepanjang bulan membaca MAIS juga turut diadakan program Le Tour De MAIS iaitu terbuka kepada pegawai MAIS yang menjadi ahli perpustakaan sahaja. Program yang diadakan pada setiap hari Isnin ini merupakan perkhidmatan troli bergerak kepada setiap bahagian di MAIS bagi menggalakkan pinjaman buku kepada setiap pegawai MAIS.
Melalui aktiviti  ini juga turut diadakan program Friendly Library Card yang mana setiap ahli yang berminat akan diberikan kad friendly ini yang mengandungi 12 kolum untuk dicop dengan smiley face sebanyak 12 kali untuk setiap buku yang dipinjam.  Ahli hanya perlu mengumpul ke semua cop tersebut dan akan diberikan hadiah setelah cop tersebut dikumpul. Program ini terbuka sepanjang tahun.
Sebarang pertanyaan dan informasi berkaitan program ini bolehlah menghubungi Encik Zharif dan Puan Shahirah di talian 03-55108631 atau bolehlah melayari laman web http://libmais.gov.my atau www.perpustakaanwakaf.blogspot.com

PROGRAM PENDIDIKAN PRASEKOLAH PERPUSTAKAAN WAKAF MAIS BERSAMA TADIKA KEMAS SEKSYEN 2 SHAH ALAM

SHAH ALAM   –   Program Pendidikan Prasekolah Perpustakaan Wakaf MAIS bersama Tadika Kemas Seksyen 2 telah dijalankan pada 16 April 2015 bermula 8.30 pagi hingga 11 pagi yang bertujuan untuk mendedahkan pendidikan awal kepada kanak-kanak prasekolah di Tadika Kemas Seksyen 2 Shah Alam sebagai satu bentuk persediaan untuk mereka sebelum memasuki ke alam sekolah rendah.
Program ini juga bertujuan untuk mempromosi Perpustakaan Wakaf MAIS kepada kanak-kanak, ibubapa dan guru-guru di Tadika Kemas Seksyen 2 supaya konsep perpustakaan dapat didedahkan kepada mereka dan mereka dapat menjadi sebahagian daripada komuniti pengguna Perpustakaan Wakaf pada masa akan datang.

Program ini telah berlangsung selama setengah hari yang melibatkan semua kanak-kanak tadika seramai 30 orang dan seorang guru tadika berkenaan iaitu Cikgu Siti Rokiah binti Ariffin serta dua orang pegawai perpustakaan bersama seorang pelajar praktikal Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Puncak Perdana dalam menjayakan program ini. Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah senaman ice breaking, pertandingan mewarna bagi pelajar 6 tahun, pertandingan menyambung titik bergambar bagi pelajar 5 tahun dan pertandingan Few and Many bagi pelajar 4 tahun serta satu pertandingan Musical Chair yang memerlukan penglibatan kesemua kanak-kanak tadika sekolah tersebut.

PERPUSTAKAAN WAKAF MAIS SUMBANG BUKU KEPADA PERTUBUHAN RUMAH AMAL CAHAYA TENGKU AMPUAN RAHIMAH (RACTAR)

SUBANG USJ 28 Februari  –  Perpustakaan Wakaf MAIS telah memberi sumbangan buku kepada Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) dalam program Khidmat Masyarakat anjuran UiTM Sarawak.
Sumbangan buku ini merupakan buku-buku yang telah diwakafkan oleh orang ramai bertujuan bagi manambah bahan bacaan yang terdapat di Perpustakaan RACTAR yang disampaikan oleh Encik Mohd Hafiz bin Abd Salam, Pengurus Perpustakaan Wakaf MAIS. Antara buku yang disumbangkan meliputi buku akademik, majalah, biografi, buku cerita kanak-kanak, dan buku sejarah untuk kegunaan bacaan oleh penghuni RACTAR yang terdiri daripada anak-anak yatim.
Sementara itu, pada majlis yang sama turut diadakan program khidmat masyarakat antara Kakitangan Perpustakaan Wakaf MAIS dan pelajar-pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Sarawak bersama penghuni RACTAR.
Program yang berlangsung selama sehari ini melibatkan 27 orang pelajar termasuk dua orang pensyarah dengan melibatkan pelbagai aktiviti seperti acara sukaneka dan menyusun buku-buku sumbangan mengikut subjek di Perpustakaan RACTAR. Program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi pegawai-pegawai Perpustakaan Wakaf MAIS disamping perkongsian ilmu pengetahuan yang baru bersama pensyarah dan pelajar-pelajar UiTM Sarawak dalam program berkenaan.