Thursday 3 August 2017

PENUBUHAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR SELEPAS PERANG: PERANAN RAJA UDA BIN RAJA MUHAMMAD – SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR YANG PERTAMA

Pada 21 Januari, 1948 perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan Perjanjian Negeri Selangor telah ditandatangani di antara pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi pembentukan Negeri Selangor.

Pada 01 Februari 1948, pengumuman rasmi tentang perkara ini telah dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan setelah perlembagaan tersebut diterima oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dapat berjalan lancar, Dato’ Hamzah bin Abdullah M.C.S telah dilantik menjadi Menteri Besar yang pertama dan Raja Uda bin Raja Muhammad, M.C.S. telah dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang pertama.

Selaras dengan itu, sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri “Executive Council” dan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri “State Council” telah ditubuhkan. Raja Uda bin Raja Muhammad bertanggungjawab dalam merancang dan menubuhkan Kerajaan Negeri Selangor. Gambar dibawah menunjukkan keahlian Majlis Mesyuarat Negeri Selangor yang pertama (1948).

Pengalaman beliau sebelum itu yang telah dilantik dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sejak Oktober 1910 telah membantu beliau bagi melaksanakan tugas tersebut. Beliau merupakan seorang pegawai yang berkebolehan dan berpengalaman dan telah menyandang beberapa jawatan yang penting antaranya:

i)           dilantik sebagai Pemangku Penolong Pegawai Daerah, Ulu Langat pada tahun 1918;

ii)    dilantik sebagai Majistret Kedua dan Pertama Kuala Lumpur pada tahun 1924 – 1926 dan pelantikan kali kedua pada tahun 1928-1929;

iii)         dilantik sebagai Deputy Chairman Kuala Lumpur Sanitary Board pada tahun 1930;

iv)          dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala Lumpur pada tahun 1933-1936;

v)            dilantik sebagai Pemungut Hasil Tanah, Kuala Lumpur pada tahun 1938; dan

vi)           pernah berkhidmat di Negeri Sembilan dan Negeri Pahang.

Beliau juga menghadapi cabaran dalam merealisasikan hasrat penubuhan Kerajaan Negeri Selangor ini. Antaranya dua (2) cabaran utama beliau adalah;

i)    Keadaan ekonomi Negeri Selangor yang masih dalam proses pemulihan akibat daripada pemerintahan Jepun dan agak perlahan ketika negara ini ditadbir oleh Pentadbiran Tentera British; dan

ii)    Kemajuan dalam pembangunan yang agak lambat untuk dicapai disebabkan penentangan terhadap Malayan Union.

Melihat kepada kredibiliti yang telah ditunjukkan oleh Raja Uda, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor apabila Dato’ Hamzah bersara pada bulan Julai 1949 hingga tahun 1953. Atas ketokohan yang ditunjukkan dalam memimpin kerajaan Negeri Selangor, beliau telah dipilih untuk menyandang jawatan sebagai Pesuruhjaya Tanah Melayu di United Kingdom.

Walaubagaimanapun, peminjaman tersebut bukanlah untuk tempoh yang lama memandangkan atas kepentingan tugas dan pembangunan negeri Selangor beliau telah dilantik untuk menyandang semula jawatan Menteri Besar Selangor pada bulan November 1954.

Sepanjang menyandang jawatan tersebut, beliau telah menyelia pentadbiran dengan teratur dan rapi, adil dan bijaksana dalam menangani masalah yang timbul dan meningkatkan perkembangan ekonomi di Selangor yang secara tidak langsung telah memberikan manfaat kepada pembangunan di Negeri Selangor. Pada bulan Ogos 1955, beliau telah dipilih untuk menyandang jawatan ‘Speaker’ Majlis Mesyuarat Persekutuan dan terus diberikan kepercayaan untuk menyandang jawatan tersebut sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan.

Ketokohan yang ditunjukkan oleh beliau juga telah melayakkan beliau untuk diberikan augerah oleh Kerajaan British C.B.E, C.M.G dan K.B.E yang membawa gelaran Sir. Sebagai tanda penghargaan atas jasa yang dicurahkan, Raja Uda telah dianugerahkan dengan gelaran ‘Tun’ iaitu gelaran tertinggi sekali di Malaysia semasa beliau dilantik menjadi Gabenor Pulau Pinang pada tahun 1985.

Sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan oleh Raja Uda telah menjadikan namanya diabadikan di sebuah kampung di Klang iaitu Kampung Raja Uda, Klang, sebuah masjid di Shah Alam iaitu Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam dan juga nama jalan iaitu Jalan Raja Uda, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Ketokohan, keperibadian mulia dan kebijaksanaan beliau dalam mentadbir negeri Selangor telah menjadikan negeri Selangor telah mencapai kemajuan yang lebih cepat berbanding dengan negeri-negeri yang lain di Malaysia.

Sumber:

- Arkib Korporat MAIS

- Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)

PROGRAM WAKAF BUKU


BULAN MEMBACA MAIS 2017