Monday 3 April 2017

INSTITUSI FATWA DAN MUFTI DI MALAYSIA

INSTITUSI FATWA DI SELANGOR

PENDAHULUAN

Fatwa di Malaysia telah melalui sejarah yang panjang. Bermula daripada kedatangan Islam ke rantau ini pada abad ke-7 Masihi telah membawa tertubuhnya sistem pemerintahan yang bercirikan Islam. Corak pemerintahan khalifah yang ada di negara Islam ketika itu turut mempengaruhi alam Melayu. Ketua pemerintah (sultan ataupun raja) telah dinobatkan selaku khalifah Islam untuk urusan pentadbiran negara. Justeru, dalam usaha memantapkan sistem pentadbiran negara, ketua pemerintah telah menubuhkan institusi pelaksananya seperti perlantikan mufti, kadi, imam, khatib, syeikh al-Islam, syeikh al-ulama dan jawatan-jawatan lain yang membawa tujuan yang sama.

Kesemua jawatan ini berkait rapat secara langsung dengan tugas-tugas penguatkuasaan hukum syarak, mengeluarkan fatwa-fatwa (berhubung kait dengan umat Islam), menjalankan tugas-tugas keadilan, mengetuai upacara rasmi negara dan menangani pelbagai persoalan yang berbangkit. Selepas kemerdekaan tanah Melayu pada tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara terus mengekalkan kedudukan Sultan sebagai ketua agama di negeri masing-masing. Perlembagaan juga telah menjelaskan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan pusat, di mana pentadbiran agama Islam ialah urusan negeri secara umumnya. Namun begitu, Perlembagaan Persekutuan dalam masa yang sama tidak menafikan sepenuhnya kuasa Persekutuan berkaitan undang-undang dan tatacara pentadbiran Islam.

Melalui bidang kuasa perlembagaan yang diperuntukkan mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu ini, kerajaan negeri mengekalkan organisasi pentadbiran berkaitan Islam yang telah wujud sebelum merdeka sebagai badan yang berkuasa mengenai hal ehwal agama Islam di setiap negeri. Urusan fatwa juga menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dalam mengadakan peraturan-peraturan dan undang-undang mengenai fatwa di negeri masing-masing. Oleh itu, perkara-perkara yang bersangkutan dengan fatwa tercatat dalam setiap enakmen/ordinan/akta di negeri di Malaysia sejak mula enakmen/ordinan/akta tersebut dibuat. Jawatankuasa Fatwa di negeri-negeri pula ditubuhkan untuk membantu Jabatan Mufti mengeluarkan sesuatu fatwa. Ianya dikanunkan dalam enakmen/ordinan/akta yang ada pada peringkat negeri masing-masing di dalam Malaysia. Kepentingan fatwa dalam melayari kehidupan ini jelas terbukti. Dengan adanya fatwa perlaksanaan hukum-hukum syarak dapat ditegakkan mengikut kaedah-kaedah syariah.

Institusi fatwa sentiasa menjadi rujukan bagi umat Islam di Malaysia. Terdapat pelbagai fatwa yang diputuskan dalam berbagai bidang kehidupan sama ada muamalat, ibadat hinggalah ke bidang sains dan teknologi. Ini menunjukkan institusi fatwa mempunyai peranan yang signifikan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Di Malaysia, fatwa yang diputuskan dapat dikategorikan dalam tiga bentuk, iaitu pertama, fatwa yang diwartakan; kedua, jawapan-jawapan fatwa yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa dan ketiga, fatwa yang dikeluarkan oleh mufti secara persendirian berbentuk lisan dan tulisan. Hanya fatwa kategori pertama sahaja yang mengikat, manakala kategori kedua dan ketiga tiada sebarang implikasi undang-undang. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik, di mana terdapat 14 jawatan mufti yang mewakili 14 buah negeri. Dalam proses istinbat hukum, para mufti dibantu oleh Jawatankuasa Fatwa. Nama jawatankuasa ini berbeza antara negeri-negeri.

Di negeri Johor, Kedah dan Terengganu yang dinamakan Jawatankuasa Fatwa. Di Sabah dipanggil Majlis Fatwa. Bagi Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan, ia dipanggil Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak. Di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Pulau Pinang dikenali dengan Jawatankuasa Syariah. Di Kelantan dipanggil Jemaah Ulama’. Manakala di Sarawak dikenali dengan Lembaga Fatwa. Selain jawatankuasa fatwa peringkat negeri, terdapat jawatankuasa fatwa peringkat kebangsaan, iaitu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI). Ia ditubuhkan pada awal tahun 1970. Penubuhannya bertindak sebagai sebuah institusi pengeluar fatwa peringkat kebangsaan di Malaysia dalam rangka menyelaras dan menyeragamkan keputusan fatwa di seluruh negara. Jawatankuasa ini juga dianggap sebagai badan yang paling berautoriti dalam mengeluarkan fatwa di Malaysia walaupun tidak mempunyai bidang penguatkuasaan.

Dengan fatwa yang benar dan tepat dapat menjamin perlaksanaan atau perjalanan syariat Islamiah. Justeru fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang Islam atau hukum syarak. Dengan kedudukannya itulah, institusi fatwa diberikan perhatian yang utama oleh dunia Islam. Ini terbukti dengan wujudnya Darul Ifta' atau nama lain mempunyai fungsi yang sama hampir di seluruh negara Islam. Al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi sumber utama dalam syariah Islam tidak mungkin difahami oleh semua golongan muslim kecuali mereka yang mengkaji secara mendalam dalam bidang ilmu agama. Justeru  para ulama’ memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan tuntutan agama bagi memberi kefahaman yang jelas dan benar dengan cara pengajaran, nasihat, tunjuk ajar dan juga fatwa.

Pada zaman globalisasi kini, fatwa dilihat begitu penting dalam menyelesaikan masalah atau isu baru yang timbul di kalangan umat Islam. Di Malaysia, institusi fatwa mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri untuk menyelesaikan persoalan mengenai hukum syarak serta menjelaskan kekeliruan dan kesamaran sesuatu hukum yang timbul di dalam masyarakat. Berbeza dengan situasi yang berlaku pada umat Islam pada zaman dahulu jika berlaku apa-apa permasalahan yang berkaitan dengan sesuatu hukum, mereka akan terus bertemu dengan baginda Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikannya. Ini kerana pada zaman tersebut baginda masih hidup dan baginda merupakan satu-satunya sumber rujukan utama dalam segala permasalahan.  Merujuk  kepada fatwa yang berpandukan kitab-kitab usul yang lain, pengeluaran fatwa melibatkan mufti perseorangan serta tidak melibatkan apa-apa prosedur seperti di Malaysia. Namun begitu, di Malaysia pengeluaran sesuatu fatwa itu mempunyai kaedah, prosedur, cara serta syarat tertentu yang telah ditetapkan bagi membolehkan susuatu fatwa itu dikeluarkan. Perkara-perkara yang telah ditetapkan ini adalah bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya sebarang kesilapan dalam memberikan jawapan dalam sesuatu masalah.

DEFINISI

a)             Pengertian Fatwa Pada Bahasa

Ia diambil daripada يفتى  افتى- yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum
permasalahan. Pengertian fatwa menurut ahli usul fiqh: Ibn Manzur menerangkan bahawa fatwa ialah
satu perbuatan yang dilakukan oleh Mufti mengenai sesuatu hukum, atau satu keputusan hukum yang
dikeluarkan oleh faqih (seorang yang berpengetahuan luas lagi mendalam dalam perundangan Islam.
(Othman 1981:9)  Fatwa ialah ism masdar yang bermaksud ‘ifta’ atau mengeluarkan fatwa, dengan
jamaknya iatu ‘al-fatawa’ atau ‘al-fatawi’. ‘Al-istifta’ pula ialah meminta jawapan terhadap sesuatu 
perkara yang dimusykilkan atau memberi erti pertanyaan. Fatwa dalam hukum syarak ialah memberi
penerangan tentang hukum syarak berdasarkan kepada dalil bagi orang yang bertanya tentangnya 
(Uthman 2006 :1)


b)            Pengertian Fatwa Di Malaysia

Kenyataan Mufti yang diterbitkan melalui Warta Undang-undang (Ahmad Hidayat Buang 2006 :44).
Maksud ini berbeza dengan istilah yang terdapat dalam fiqh. Oleh yang demikian, fatwa di Malaysia
telah menjadi urusan rasmi pemerintah yang dikawal pengeluarannya dan dikuatkuasakan
peruntukannya.

c)       Hukum Fatwa

Mengikut pandangan kebanyakan ulama, hukum fatwa adalah fardhu kifayah, kecuali jika tiada yang
layak (melainkan seorang sahaja), maka ketika itu hukumnya adalah wajib atau fardhu ain ke atasnya.
Ini kerana fatwa termasuk dalam keperluan-keperluan agama yang sepatutnya wujud bagi manfaat
dan kemaslahatan umum. Dengan adanya fatwa, masyarakat dapat menyelesaikan masalah yang
berkaitan dengan agama untuk mencapai keredhaan Allah. (Zulkifli Mohamad 2008:13)

d)            Peranan Fatwa

Fatwa memainkan beberapa peranan yang penting dalam sesebuah negara Islam seperti di Malaysia.
Antaranya ialah: (Abdul Monir 1998:58)

a.    Memberikan penjelasan hukum hakam untuk pegangan mustafti (orang yang memohon fatwa) dan masyarakat;

b.        Membuat penyeragaman dan penyelarasan hukum untuk kepentingan umum;
c.         Menyelesaikan masalah dan pertikaian di kalangan masyarakat dan ummah;

d.       Mewujudkan suasana perpaduan, kesatuan dan persaudaraan di dalam kehidupan seharian di kalangan umat Islam;

e.   Memperlihatkan imej dan maruah Islam serta ummahnya yang tinggi pada pandangan masyarakat bukan Islam;

f.      Fatwa yang telah diputuskan dan diwartakan merupakan suatu peraturan dan undang-undang yang mengikat orang ramai terutama kepada mustafti untuk memahaminya; dan

g.     Fatwa menjadi rujukan di dalam sesuatu hal berhubung dengan hukum hakam dan hal ehwal Islam yang timbul dari semasa ke semasa.

INSTITUSI MUFTI DI SELANGOR

LATAR BELAKANG

Pengurusan fatwa di Malaysia dikendalikan oleh Jabatan Mufti Negeri dalam usaha mengembangkan ilmu terutama yang melibatkan hukum-hakam. Salah satu contoh yang boleh diketengahkan dalam hal ini adalah Jabatan Mufti negeri Selangor dengan melihat perkembangan dan perjalanan Jabatan Mufti Negeri Selangor, pengurusan organisasi, pentadbiran dan pengurusan dalam pengeluaran fatwa. Institusi Fatwa di negeri Selangor pada hari ini diterajui oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor yang terletak di Tingkat 7 dan Tingkat 8, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor. Jabatan ini mengalami beberapa perubahan daripada aspek struktur organisasi dan pentadbiran sehinggalah menjadi satu badan khusus yang terlibat secara langsung di dalam perkara yang berkaitan dengan hukum syarak di negeri Selangor.

Pada peringkat awal, Jabatan Mufti Negeri Selangor merupakan salah satu Bahagian yang terdapat di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dikenali sebagai bahagian Fatwa. Sebelum tahun 1985, hanya terdapat dua (2) orang kakitangan di Bahagian ini iaitu Mufti dan pemandu. Pada tahun 1991, jawatan Timbalan Mufti diwujudkan. Segala urusan berkaitan pentadbiran, perkhidmatan dan kewangan adalah di bawah pengurusan JAIS. Bagi menambahbaik kepada institusi Fatwa pada tahun 1996, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling mengenai pengasingan Bahagian Fatwa daripada Jabatan-Jabatan Agama Islam di setiap negeri di Malaysia termasuk Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan arahan tersebut menerusi Enakmen Pentadbiran Islam (Selangor) 1955 untuk menubuhkan Pejabat Mufti Selangor. Walaubagaimanapun, proses pengasingan tidak dapat dilakukan dengan serta merta kerana masih mengalami kesukaran terutama yang melibatkan kekurangan kakitangan. Oleh itu, bahagian Fatwa masih lagi bergantung kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari sudut pentadbiran dan kewangan.

Beberapa perubahan struktur dalam mewujudkan sebuah Jabatan Mufti yang berasingan bermula sedikit demi sedikit. Pada November 1996, jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam mula diisi, diikuti Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) pada 2 Mei 1997 serta dibantu oleh beberapa kakitangan kontrak. Bermula pada akhir tahun 1997, jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Pembantu Tadbir Rendah, Penolong Pegawai Tadbir, Pembantu Am Rendah, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dan Pembantu Hal Ehwal Islam mula diisi sepenuhnya oleh Bahagian Perkhidmatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Perancangan untuk menguruskan pentadbiran dan kewangan secara sepenuhnya oleh Jabatan Mufti telah dilakukan sejak pertengahan tahun 1998 lagi. Walaupun pada zahirnya Jabatan Mufti telah berasingan daripada Jabatan Agama Islam Selangor tetapi masih berhubung rapat dan bekerjasama dengan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Selangor dalam menangani perkara-perkara yang berkaitan dengan ajaran salah (menyeleweng). Tanggal 22 Februari 1999 dengan ehsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Mufti telah berpindah ke ruang pejabat yang baru di Tingkat 4, Podium Selatan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Pada awal tahun 2001, Pejabat Mufti Selangor telah ditukar nama kepada Jabatan Mufti Selangor sesuai fungsi, visi dan misi penubuhannya. Pada 15 Oktober 2001, Pemangku Raja Selangor, Tengku Idris Shah telah berkenan mencemar duli bagi mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Mufti Selangor.

TOKOH MUFTI DI SELANGOR

Di Selangor, pelantikan seseorang Mufti telah diperuntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2015. Dalam hal ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhak melantik mereka yang mempunyai kelayakan dan dilihat sesuai untuk menjawat jawatan tersebut. Pelantikan tersebut juga perlu disiarkan di dalam warta. Kedudukan ini hampir sama seperti negeri-negeri lain di Malaysia. Tugas dan peranan utama seorang mufti juga telah diperuntukkan dalam Seksyen 45, Enakmen yang sama iaitu membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara iaitu berkaitan hukum syarak.

Kelahiran tokoh-tokoh mufti di Selangor mempunyai sejarah yang panjang seiring dengan kedatangan Islam di negeri tersebut. Pada peringkat awal, gelaran mufti tidak digunakan, tetapi ini merupakan istilah yang diterima pakai menjelang Malaysia mencapai kemerdekaan. Oleh yang demikian, jawatan mufti juga belum diwujudkan lagi tetapi dikenali sebagai Syeikh Islam dan Penasihat Agama. Beberapa orang tokoh yang pernah dicatatkan menjawat jawatan tersebut adalah seperti di Jadual 1 :-

Jadual 1 : Perjawatan Institusi Fatwa di Selangor

BIL
NAMA
TAHUN PERKHIDMATAN
JAWATAN : PENASIHAT AGAMA
1.
Sahibul Fadhillah,
Tuan Syeikh Abdul Ghani
1826 -1857
2.
Sahibul Fadhilah,
Tuan Hj Jaafar bin Hj Abdullah
1885 – 1887
3.
Sahibul Fadhilah,
Tuan Syeikh Ahmad bin Mahyiddin
1888 – tiada rekod
Syeikhul Islam Setia Diraja Y.M Raja Hj. Mahmud Zohdi bin Tengku Abdul Rahman
1930 - 1935
JAWATAN : SYEIKH ISLAM
1.
Syeikhul Islam Setia Diraja Y.M Raja Hj. Mahmud Zohdi bin Tengku Abdul Rahman
1935 - 1952
JAWATAN : MUFTI
1.
Sahibus Samahah,
Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Hj. Yusof b. Sahabuddin
1953 - 1968
2.
Sahibus Samahah,
Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Hj. Ghazali bin Hj. Abdullah
1968 - 1973
3.
Sahibus Samahah,
Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Hj. Md. Salleh b. Hassan
1974 - 1976
4.
Sahibus Samahah,
Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Hj. Hassan b. Omar
1976 - 1985
5.
Sahibus Samahah,
Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Hj. Ishak b. Baharom
1985 - 1997
6.
Sahibus Samahah,
Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Setia Hj. Mohd Tamyes b. Abd. Wahid
1998 - kini
JAWATAN : TIMBALAN MUFTI
1.
Sahibus Samahah,
Tuan Haji Jamauddin bin Omar
1991 - 1997
2.
Sahibus Samahah,
Dato’ Haji Abdul Majid bin Omar
1998 - 2015
3.
Sahibus Samahah,
Dr. Anhar bin Opir
2016 - kini
(Sumber: Brosur Jabatan Mufti Negeri Selangor)

Bagi mengetahui catatan biografi ringkas bagi setiap tokoh yang pernah dilantik dengan gelaran mufti di Selangor yang merangkumi latar belakang diri, pendidikan serta sumbangan yang pernah diberikan, pihak tuan/puan bolehlah melayari laman web Jabatan Mufti atau membuat pinjaman buku berjudul “Tokoh-Tokoh Ulama di Selangor” – Terbitan Jabatan Peradaban dan Pemikiran Islam, Akademi Islam, KUIS di Perpustakaan Wakaf MAIS, Tingkat 2-1-4, Wisma MAIS, Seksyen 3, Shah Alam.

 RUJUKAN

1.        Brosur Jabatan Mufti Negeri Selangor

2.        Kemajuan Pentadbiran Islam Di Negeri Selangor (2005). Majlis Agama Islam Selangor. 

3.        Seminar Tokoh-Tokoh Ulama Selangor (2008). Jabatan Peradaban dan Pemikiran
      Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Edited by : Ayu
      Nor Azilah Mohamad.