Friday 10 March 2017

MASJID-MASJID LAMA DI SELANGOR


Pengertian Masjid

Masjid adalah tempat berkumpul bagi umat Islam untuk melakukan ibadah. Masjid dari sudut bahasa di dalam bahasa Arab ialah nama bagi ‘tempat bersujud’. Dari sudut syara‘ pula ialah di mana-mana tempat  permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi: Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi  mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Mu‘jam Lughat Al-Fuqaha: 428 dan Ihkam As-Sajid: 26-27)

Warisan Masjid Lama di Selangor

Secara umumnya, terdapat 34 buah masjid lama yang masih wujud di Negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, hampir kesemua daerah di Negeri Selangor ini mempunyai peninggalan masjid lama yang dibina sebelum merdeka (31 Ogos 1957) kecuali dua buah daerah iaitu Petaling dan Gombak yang tiada langsung kesan peninggalan binaan masjid lama era tersebut kerana telah diruntuhkan dan digantikan dengan masjid yang baru.

Pecahan bilangan masjid lama yang masih wujud mengikut daerah adalah seperti berikut:-

LOKASI
BILANGAN
Sepang
1
Hulu Langat
2
Kuala Selangor
3
Hulu Selangor
4
Klang
7
Kuala Langat
7
Sabak Bernam
10
JUMLAH
34

Dalam artikel ini, Unit Arkib Korporat MAIS hanya akan memfokuskan kepada lima (5) buah masjid yang telah berusia lebih daripada 100 tahun pembinaannya. Antara masjid yang telah menepati kriteria yang dinyatakan adalah seperti dibawah iaitu:-

1)               Masjid Al-Muhsinin, Kampung Sungai Kandis (1906/110 Tahun).

Masjid Al-Muhsinin atau lebih dikenali sebagai Masjid Kampung Sungai Kandis adalah salah satu masjid tertua yang terdapat di Selangor. Masjid ini terletak di Kampung Sungai Kandis, Mukim Bukit Raja, Klang berkoordinat N03°01.962' E101°29.288'. Ia dibina pada tahun 1906. Masjid ini dibina secara gotong royong oleh penduduk kampung yang kebanyakkannya berketurunan Jawa. Kos pembinaannya dibiayai oleh hasil daripada kutipan wang masyarakat setempat.
Pembinaan masjid ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan iaitu kira-kira 10 tahun.

Anggaran luas kawasan masjid ini kira-kira seratus kaki persegi. Bahan binaan yang digunakan terdiri daripada batu dan kayu. Pada asalnya bangunan ini mempunyai dua (2) kolam pada bahagian kiri dan kanan Masjid, ia digunakan sebagai tempat jemaah berwuduk. Dahulunya, di tepi-tepi kolam mini dijadikan tempat untuk penduduk berkumpul. Pengubahsuaian dilakukan dengan kedua-dua kolam di tepi masjid ini dikambus untuk tujuan membesarkan lagi bangunan masjid ini, bermula dari bahagian kanan dan kemudian bahagian kiri. Ini kerana berlakunya penambahan populasi penduduk Kampung Sungai Kandis. Pada masa ini, penggunaan kolam digantikan dengan kemudahan kolah dan saluran paip air.

Reka bentuk masjid Kampung Sungai Kandis ini agak ringkas tetapi unik. Bentuk asal hampir menyerupai seni bina masjid di Pulau Jawa, Indonesia. Namun setelah melalui proses penambahan, bentuk masjid ini sedikit sebanyak telah mengalami perubahan wajah. Namun begitu Masjid Kampung Sungai Kandis ini masih mengekalkan ciri-ciri seni bina asal dengan beberapa struktur binaannya yang masih utuh dan berada dalam keadaan baik sehingga ke hari ini. Struktur tersebut termasuklah empat tiang utama yang terletak di dewan solat. Tiang tersebut diperbuat daripada kayu cengal yang didatangkan khas dari Tanah Jawa. Selain itu, masjid ini juga dilengkapi dengan dewan orang ramai di kawasan masjid yang dahulunya digunakan sebagai madsarah.

Antara ciri-ciri istimewa yang terdapat pada Masjid Kampung Sungai Kandis ini adalah bumbungnya yang menampilkan rekabentuk bertingkat atau lebih dikenali sebagai bumbung tumpang. Menurut penduduk setempat, susunan bumbung dengan cara tersebut bukan sahaja memberi ruang untuk cahaya masuk bahkan memberi ruang yang cukup untuk udara keluar masuk ke masjid, terutamanya ketika jemaah memenuhi ruang solat.

Mimbar asal dibina oleh penduduk kampung sendiri, sebahagian daripada kayu yang digunakan adalah dari Indonesia. Beduk yang ada sekarang ini masih berada dalam keadaan baik walaupun hanya digunakan untuk mengumumkan tentang berita kematian kepada penduduk. Pada masa dahulu, fungsi beduk adalah untuk menandakan masuknya waktu solat sembahyang. Selain beduk, kentung juga masih ada lagi di masjid ini yang seusia dengan masjid tersebut, iaitu lebih kurang 100 tahun. Masjid ini juga dilengkapi dengan sebuah menara azan yang dibina bersebelahan masjid.

 Walaubagaimanapun, tangga untuk ke menara azan telah dirobohkan kerana menara tidak digunakan lagi dan diganti dengan sistem pembesar suara.

2)               Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa (1876/140 Tahun)

Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa di Kampung Jawa terletak di Mukim Bukit Raja, Klang berkoordinat N03°01.728' E101°27.683. Masjid ini dibina pada tahun 1876. Namanya diambil bersempena dengan nama pengasas kampung berkenaan iaitu Dato’ Dagang. Gelaran Dato’ Dagang diberikan oleh Raja Mahadi semasa zaman pemerintahannya pada tahun 1860-an. Nama beliau ialah Haji Muhammad Tahir bin Haji Mahmud yang berasal daripada Batu Bara Sumatera, Indonesia.

Jika dilihat daripada sejarahnya, beliau mula-mula berkhidmat dengan Raja Abdullah. Apabila terjadinya perang saudara antara Raja Abdullah dengan Raja Mahadi kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Raja Abdullah, berikutan terjadinya pembunuhan ke atas seorang pengikutnya dari Batu Bara. Atas dasar ini, beliau telah berjuang dengan Raja Mahadi dan menumpaskan pentadbiran Raja Abdullah di daerah Klang.

Atas jasanya itu, beliau telah dianugerahkan oleh Raja Mahadi sejumlah kawasan di daerah Klang bermula daripada Bukit Markabah sehinggalah ke Pengkalan Batu. Beliau telah membawa masuk sekumpulan orang dari Jawa untuk memajukan kawasan ini. Selain membina penempatan, sebuah masjid juga turut dibina di kawasan tersebut.

Tapak untuk mendirikan masjid ini telah diwakafkan sendiri oleh Dato’ Dagang, sebahagian daripadanya iaitu lebih kurang lima (5) ekar telah dijadikan tanah perkuburan untuk kegunaan orang ramai. Dahulunya, bersebelahan dengan masjid ini terdapat sebuah sekolah, tetapi sekarang sekolah tersebut telah dipindahkan ke kawasan yang bersesuaian.

Pembinaan asal bangunan adalah daripada batu dan kayu. Struktur pembinaannya tidak pernah diubah sehinggalah ke zaman cicit Dato’ Dagang iaitu Dato’ Abdul Sudak. Beliau telah melakukan pengubahsuaian ke atas bangunan ini untuk menampung jumlah jemaah yang semakin ramai. Sehingga kini terdapat beberapa perubahan yang dilakukan terhadap bangunan tersebut. Namun begitu, sesetengah struktur asalnya masih lagi dikekalkan. Antaranya, empat tiang asal yang diperbuat daripada kayu cengal yang diletak tengah-tengah masjid. Masjid yang turun temurun dijaga oleh waris keturunan Dato’ Dagang ini telah mendapat sumbangan dari pihak Kerajaan untuk dibaikpulih. Setelah dinaik taraf, masjid ini mampu menampung kira-kira 500 hingga 600 orang jemaah pada satu-satu masa.

Dari segi reka bentuk dan ragam hias, masjid ini banyak dipengaruhi oleh unsur seni bina dari Indonesia. Bahagian atapnya bersegi empat sama dan disusun bertingkat tiga, ia lebih dikenali sebagai bumbung bertingkat dan menyerupai bumbung Masjid Agung Demak, di Jawa. Seni bina ini juga kadang-kala dikenali dengan nama bumbung atap tumpang, kerana sifatnya bertumpang-tumpang atau bertangkup-tangkup antara satu sama lain. Melalui struktur bentuk atap, masjid ini secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga. (3) bahagian utama iaitu bahagian bawah bumbung bersifat paling besar, bahagian tengah bumbung bersifat sederhana besar dan bahagian atas bumbung bersifat mengecil dan menguncup.

Masjid ini juga turut dilengkapi sebuah menara azan, namun ia tidak digunakan lagi kerana sistem pembesar suara telah digunakan untuk melaungkan azan. Antara peninggalan lain yang masih kekal termasuklah beduk dan kentung. Dahulunya beduk tersebut digunakan untuk menandakan masuknya waktu sembahyang, sementara kentung pula digunakan untuk menyampaikan berita dan hebahan kepada orang kampung sekiranya berlaku kematian, malapetaka, kecemasan dan sebagainya. Kini, ianya disimpan bahan bukti sejarah sahaja. Beberapa buah pinggan mangkuk pendatang dari Negara China yang pernah dating ke masjid ini suatu ketika dahulu antara peninggalan berharga yang masih disimpan hingga kini. Mimbar yang ada sekarang pula adalah mimbar yang baru, hasil daripada kerja tangan penduduk tempatan. Tempat wuduk yang ada hari ini tidak lagi menggunakan kolah sebaliknya digantikan dengan saluran paip air sepenuhnya.

Di luar bangunan terutamanya di Bahagian sisi perkarangan masjid terdapat banyak makam-makam lama, antara yang dimakamkan di situ termasuklah makam Tok Dagang sendiri, makam Nakhoda Darus yang juga kerabat rapat Dato’ Dagang, di samping beberapa orang pengikutnya. Makam-makam yang terdapat di sini juga agak unik bentuknya kerana binaannya dipengaruhi unsur-unsur dari daerah Batu Bara, Indonesia.

3)   Masjid Rahmani, Kampung Permatang, Kuala Selangor (1916/100 Tahun)
       
Masjid ini terletak di Kampung Permatang, dalam daerah Kuala Selangor berkoordinat N03°21.754' E101°15.072’. Masjid ini dibina pada tahun 1916, ia adalah masjid yang paling awal terdapat di mukim ini selepas Masjid Bukit Belimbing dirobohkan sepenuhnya dan digantikan dengan masjid baru. Tapak masjid ini diwakafkan oleh salah seorang penduduk kampung, sementara dana untuk membina masjid ini pada peringkat awal adalah hasil sumbangan daripada penduduk setempat.

Sebelum terbinanya sebuah masjid di tapak wakaf ini terlebih dahulu dibina sebuah surau untuk kemudahan penduduk setempat berkumpul untuk bermuzakarah dan mendirikan sembahyang berjemaah.  Walaubagaimanapun, untuk mendirikan sembahyang Jumaat pada peringkat awal penduduk kampung terpaksa menumpang di kampung berhampiran seperti di Kampung Bukit Belimbing sebelum masjid ini dibina.

Masjid ini mengalami beberapa kali sesi pengubahsuaian dan pembesaran bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Namun begitu, ciri-ciri asal masjid ini masih kekal hingga kini. Reka bentuk masjid ini menampilkan bumbung bertingkat atau dikenali juga sebagai bumbung tupang, tidak mempunyai menara azan. Bahan yang digunakan untuk membina masjid ini pada peringkat awal terdiri daripada kayu dan papan yang diambil dari hutan berhampiran dengan cara bergotong-royong oleh orang kampung.

Namun, bahan binaan ini kemudiannya telah diubah suai dan digantikan dengan bahan baru daripada batu bata, simen dan beratap genting. Walaupun begitu, masjid ini tetap mengekalkan sebahagian binaan asal seperti tiang-tiang dan palang-palang utama diruang solat, begitu juga dengan sebahagian binaan kemasan dinding dan siling yang masih mengekalkan ciri-ciri asal, bahkan beberapa ukiran tebuk tembus di atas panel kayu yang dijadikan sisip angin dan hiasan atas pintu masjid ini telah mengalami perubahan fizikal terutamanya dari segi penggunaan bahan dan saiznya, namun masih tetap mengekalkan ciri-ciri asal.

Penggunaan kolam air tempat wuduk kekal hingga kini, namun ia telah diubah suai dengan ditinggikan sedikit kedudukannnya. Ia sekaligus mewujudkan dua (2) cara pengunaan mengambil wuduk, cara pertama menampilkan kaedah tradisi menggunakan cebok (gayung), di samping menggunakan salur paip sebagai alternatif kedua. Di pekarangan masjid ini terdapat sebuah perigi lama dipercayai digunakan untuk mensucikan diri dan berwuduk oleh jemaah dahulu, namun ia tidak digunakan lagi kini.

Alat kentung yang digunakan untuk memberitahu penduduk kampung tentang masuknya waktu sembahyang pada masa dahulu tidak digunakan lagi, sebaliknya kini telah menggunakan sistem pembesar suara, terutamanya untuk melaungkan azan mahupun membuat hebahan kepada penduduk kampung sekiranya ada perkara yang hendak disampaikan. Di pekarangan masjid dan di sebahagian laman penduduk berhampiran ini turut dilimpahi dengan makam-makam lama dipercayai peneroka dan juga penduduk awal kampung berkenaan.
  
4)               Masjid Lama Kampung Pancang Bedena (1905/111 Tahun)

Masjid Pancang Bedena ini dibina pada tahun 1905, ia dipercayai masjid yang tertua di daerah Sabak Bernam dan sebuah masjid lama yang masih mengekalkan ciri-ciri asal. Lokasinya terletak di Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam berkoordinat N03°41.713' E101°57.620’. Nama masjid ini diambil bersempena nama kampung iaitu Kampung Pancang Bedena. Pada awalnya kampung ini diberi nama Kampung Api-Api kerana terdapat banyaknya pokok api-api di kawasan berkenaan. Namun kemudiannya ditukar kepada nama Pancang Bedena diambil sempena peristiwa penemuan sebuah bedena besar (tempayan bekas menyimpan harta) di dasar laut yang kemudiannya dipancang kayu oleh penduduk kampung sebagai tanda untuk memudahkan orang ramai datang bagi membawanya ke darat.

Masjid ini diasaskan oleh Tuan Haji Muhamad bin Haji Shafie yang juga menantu kepada Penghulu Haji Talib atau lebih dikenali sebagai Haji Taib Keramat iaitu orang yang mula-mula datang dan membuka kampung ini selepas perang Selangor. Beliau bersama temannya yang bernama Pawang Latib. Semasa Tuan Haji Muhamad menjadi Penghulu beliau memohon perkenan daripada Sultan Aleddin Sulaiman Shah serta penduduk kampung untuk mendirikan masjid di atas tanahnya seluas setengah ekar yang diwakafkan, bagi menggantikan Masjid Pancang Bedena yang lama dan Masjid Sungai Burung yang telah roboh.

Mengikut cerita daripada penduduk kampung baginda bukan sahaja memperkenankan pembinaan masjid ini, malah menyumbangkan sebahagian sumber kewangan bagi membiayai pembinaan masjid tersebut, di samping derma daripada Penghulu Mukim Pancang Bedena, Tuan Haji Muhamad sendiri dan orang-orang kampung. Tukang yang bertanggungjawab membina masjid ini adalah Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Hamid Tukang yang berasal dari Kampung Sungai Keli, Sabak Bernam. Dibantu oleh Bilal Hashim dan Haji Muhamad Jawa, disamping bantuan daripada beberapa orang kampung dan seorang penduduk berbangsa Cina yang dikenali sebagai Ang Gun.

Masjid ini diperbuat daripada kayu sepenuhnya dan beratapkan zink, menampilkan reka bentuk gabungan bumbung bertingkat dan bumbung limas yang dikenali sebagai bumbung limas bungkus.

Bumbung masjid ini juga turut dilengkapi dengan ukiran cucur atap dan tunjuk langit, masjid ini tidak mempunyai menara azan. Dinding dan tingkapnya dihiasi dengan ukiran tebuk timbus bermotif tradisi Melayu seperti sulur kacang dan pola bujang. Selain sebagai hiasan, ia sekaligus berfungsi sebagai rongga-rongga udara atau lebih dikenali sebagai sisipan angin untuk menyejukkan bahagian dalam masjid. Masjid ini pada peringkat awal tidak mempunyai kolam seperti lazimnya, sebaliknya menggunakan tempayan-tempayan besar (bedena) untuk menakung air hujan bagi jemaah mengambil wuduk.

Masjid ini adalah satu-satunya masjid lama yang dikesan masih mengekalkan ciri-ciri rumah Melayu tradisi dengan bahagian lantai tinggi daripada permukaan tanah dengan sokongan tiang dan pelapik batu. Ciri-ciri lain yang masih kekal termasuklah binaan mimbar yang sehingga kini masih berada dalam keadaan baik. Pada tahun 2005, masjid ini dibaik pulih sepenuhnya oleh Jabatan Muzium Malaysia dengan mengekalkan ciri-ciri asal. Hari ini masjid ini tidak lagi digunakan untuk sembahyang Jumaat kerana masjid baru telah dibina yang terletaknya di jalan utama kampung ini. Walaupun begitu masjid lama ini masih digunakan oleh orang kampung, terutamanya dalam menunaikan sembahyang waktu dan sembahyang Hari Raya.

5)                Masjid Raja Alang, Pekan Beranang (1900/116 Tahun)
  
Masjid Raja Alang terletak di Pekan Beranang, Selangor berkoordinat N02°52.436' E100°52.253’. masjid ini dibina sebelum tahun 1900 lagi. Masjid ini diberi nama sempena nama pengasasnya iaitu Raja Alang. Tanah untuk mendirikan masjid ini diwakafkan oleh Raja Alang sendiri, keluasan tanah wakaf masjid tersebut adalah satu (1) ekar. Masjid ini didirikan bersebelahan dengan Sekolah Rendah Agama Integrasi, Pekan Beranang. Ia memudahkan pelajar sekolah berkenaan menjalani pelajaran praktikal, terutamanya apabila masuk waktu solat Zohor dan Asar. Masjid ini telah dirasmikan pembukaannya pada tahun 1939 oleh Raja Alang sendiri yang ketika itu berusia 100 tahun.

Sepanjang tempoh kewujudannya, masjid ini telah melalui proses beberapa pengubahsuaian, ia dilakukan bagi menaik taraf masjid ini. Antara kerja-kerja penambahbaikan tersebut termasuklah penambahan tandas dan garaj. Kolah tempat mengambil wuduk telah dikekalkan hingga kini, tetapi kedudukannya ditinggikan dan ditambah bumbung. Peralatan telekomunikasi awal seperti kertuk dan beduk tidak digunakan lagi masa kini, namum ia masih disimpan rapi. Mimbar asal masjid pertama juga masih dikekalkan hingga kini. Masjid ini masih mengekalkan menara azan yang dahulunya digunakan sebagai tempat muazzin melaungkan azan apabila masuk waktu solat, namun sekarang ini ia telah diubahsuai dengan menambah corong pembesar suara.

Reka bentuk dan seni bina masjid yang paling tua di Pekan Beranang ini agak unik dengan menampilkan reka bentuk moden, iaitu menampilkan ciri-ciri rekaan bentuk Moorish gabungan Timur Tengah (Arab) dan Asia Tengah (India) dan Barat (Rom). Ia dipercayai direka oleh arkitek British yang ketika itu bertugas di Pejabat Daerah Hulu Langat pada zaman penjajahan British.

Binaan masjid ini terdiri daripada batu-bata, simen, kayu, jaring besi dan kaca berwarna. Masjid ini walaupun telah melalui beberapa sesi baik pulih, namum bentuk asal tetap dipelihara, ia adalah hasil wasiat yang ditinggalkan oleh Raja Alang sendiri yang mahukan bangunan tersebut terus dijaga dan dipelihara. Kini, masjid ini telah dicat dengan warna-warna yang terang, (kuning, oren dan hijau) ia menyerlahkan lagi seni bina yang tersergam indah di Pekan Beranang ini.


Sumber: Warisan Masjid-Masjid Lama Di Selangor (Mohd Zainuddin Abdullah dan Noorhayati Md. Yatim)

PROGRAM WAKAF BUKU