Tuesday, 7 August 2018
BULAN MEMBACA MAIS 2018 (1 OGOS 2018 - 31 OKTOBER 2018)
Friday, 27 April 2018
CELIK MAKLUMAT: HUBUNGKAIT KEPENTINGAN TEKNOLOGI DAN MAKLUMAT TERHADAP PELAJAR
Oleh:
Mohd Hafiz Bin Abdul Salam
Dunia hari
ini merupakan dunia yang sangat mencabar bagi masyarat. Cabaran datang dari
pelbagai sudut iaitu berkaitan ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, cara hidup
dan banyak lagi. Pendidikan juga tidak terlepas dari masalah ini. Artikel ini
akan saya fokuskan kepada isu yang berkaitan dengan celik maklumat dikalangan
pelajar. Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin mengajak pembaca untuk
memahami apa itu maklumat. Secara umumnya, maklumat merujuk kepada data, bahan
dan pengetahuan di mana maklumat tersebut mestilah relevan, boleh dipercayai,
boleh difahami dan dapat membantu mengurangkan ketidakpastian seseorang.
Menurut Byerly et al. (1999) pula, pelajar yang celik maklumat seharusnya bukan
sekadar mampu mengakses sumber maklumat dengan cekap semasa proses pengumpulan
maklumat, bahkan mampu menilai maklumat secara kritis serta dapat menggunakan
maklumat tersebut dengan tepat dan kreatif bagi pelbagai tujuan. Selain itu,
maklumat juga adalah suatu data yang tersusun dalam satu struktur yang
mempunyai makna yang relevan, boleh dipercayai, boleh difahami, lengkap dan
tepat.
Dalam erti
kata lain maklumat adalah sangat signifikan kepada manusia dalam kehidupan ini.
Melalui maklumat manusia boleh mereka cipta suatu yang dapat memudahkan mereka
dalam menjalankan aktiviti harian. Oleh sebab itu, proses penyimpanan maklumat
sangat penting. Maklumat perlu di uruskan dan disimpan bagi memudahkan
pencarian apabila diperlukan. Pada masa sekarang, pelbagai agensi yang menguruskan
maklumat seperti perpustakaan, arkib, muzium, galeri dan sebagainya. Pada masa
ini juga terdapat satu lagi sumber maklumat yang tidak kurang pentingnya iaitu
sumber diatas talian sebagai contoh e-book, e-jurnal, online databases dan sebagainya.
Sumber atas talian ini semakin hari semakin berkembang selaras dengan perkembangan
teknologi jaringan (network) dan internet. Malaysia secara langsung juga
terkesan dengan perkembangan ini.
Seterusnya
kita pergi pula kepada definisi teknologi. Masyarakat biasanya akan mengaitkan
teknologi dengan sesuatu yang dapat memudahkan kehidupan seharian mereka.
Biasanya ia juga akan dikaitkan dengan hasil ciptaan terbaru oleh seseorang samaada
dengan menggunakan kos yang tinggi atau sebaliknya. Mengikut kamus dewan edisi
keempat, teknologi adalah aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains
untuk tujuan praktikal dalam industri, pertanian, perubatan dan sebagainya. Robert
F. (2007) pula menambah teknologi adalah suatu pengetahuan dan alatan ciptaan
manusia yang digunakan untuk menyelesaikan masalah kehidupan. Manakala untuk
mengaitkannya dengan tajuk artikel ini yang berkaitan maklumat, saya akan sertakan
sekali definisi teknologi maklumat daripada Williams dan Sawyer (2003) dimana
teknologi maklumat adalah satu teknologi yang membenarkan gabungan komputer
dengan jalur komunikasi tinggi yang boleh membawa data, suara dan video. Dengan
semua kemampuan teknologi ini, segala informasi dapat dicapai hanya dihujung jari dalam
tempoh yang sangat cepat.
Pada masa
ini, dunia sekarang sedang beralih kepada revolusi industri 4.0 iaitu industri yang
menggunakan kecanggihan teknologi mesin, sistem pintar (intelligent system) dan jaringan internet
(network) dalam setiap penghasilan produk dan perkhidmatan mereka. Rajah 1,
dibawah menunjukkan secara ringkas revolusi perindustrian yang telah berlaku
dari dahulu sehingga sekarang.
Rajah 1: Revolusi Perindustrian Dunia
Revolusi ini
bukan sahaja berlaku kepada sektor perindustrian semata-mata tetapi ia juga
terkait rapat dengan revolusi maklumat. Dewasa ini, maklumat yang merupakan sumber
yang terpenting dalam kehidupan masyarakat yang bertamadun. Manusia sanggup
melakukan bermacam perkara bagi mendapatkan maklumat yang tepat berdasarkan
kehendak dan keperluan masing-masing. Revolusi ini juga bakal membawa kepada
perubahan secara menyeluruh dan mendadak kepada cara hidup manusia, cara bekerja
dan cara melihat dunia secara global. Revolusi ini sedang bergerak sekarang, pemangkin
utama revolusi maklumat ini ialah teknologi maklumat (IT) yang berkaitan dengan
komputer dan telekomunikasi. Negara kita juga telah melihat perkara ini sebagai
peluang membangunkan Negara. Kemunculannya dapat memenuhi kehendak negara dalam
membina generasi berilmu dan bermaklumat. Justeru, negara yang sedang membangun
seperti Malaysia seharusnya memastikan generasi pekerja dan pelajarnya celik
maklumat seawal mungkin. Ini kerana generasi yang didedahkan dengan maklumat
dan teknologi maklumat dari peringkat awal dapat menjadikan negara ini sebuah
negara yang bertambah maju dan lebih berdaya saing. Berdasarkan statistik yang
diperolehi daripada International Telecommunications Union (ITU) pada 2017,
seramai 3.6 bilion masyarakat dunia menggunakan Internet dengan sejumlah 71%
darinya adalah pengguna remaja yang berumur diantara 15-24 tahunan.
Oleh yang
demikian, dalam memastikan sistem pendidikan negara kita tidak ketinggalan satu
inisiatif telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui
Universiti Awamnya supaya dapat meningkatkan penyelidikan dalam mewujudkan
kursus-kursus baru bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan masa
ini. Ini juga bagi memastikan setiap graduan dapat dilengkapkan dengan ilmu dan
maklumat yang terkini bagi bersaing untuk menambah nilai kepada seseorang
pelajar dalam mendapatkan pekerjaan. Ini kerana seorang individu yang cekap,
tidak kira sama ada seorang itu adalah seorang pelajar, profesional atau
seorang pekerja
semestinya berupaya mengenalpasti keperluan-keperluan maklumatnya dengan tepat.
Dalam kata lain, mereka tahu bagaimana untuk mengesan, mengakses, mendapat
semula, menilai, menyusun dan menggunakkan maklumat itu. Seseorang itu perlu
tahu bagaimana memperolehi manfaat daripada maklumat yang telah dikumpulkan
untuk menjadi seseorang yang celik maklumat (Lau, 2006).
Justeru,
semua pelajar samaada di peringkat rendah dan menengah perlu mengetahui kemahiran
tambahan ini untuk bersaing dalam dunia era teknologi maklumat ini iaitu celik
maklumat selain daripada kemahiran serta kepakaran dalam bidang masing-masing. Ciri-ciri
pelajar yang celik maklumat ini adalah seperti berikut;
1. Mempunyai kefahaman asas untuk mencari dan
mengumpul maklumat;
2. Boleh menggunakan komputer sebagai satu alat
bagi kegunaan harian dan juga pekerjaan;
3. Boleh berinteraksi dengan komputer dan
menggunakan aplikasi terkini seperti aplikasi berbentuk multimedia dan aplikasi internet; dan
4. Memahami implikasi sosial yang disebabkan oleh
teknologi maklumat pada masa kini dan akan datang.
Dengan
adanya ciri-ciri seperti diatas, seorang pelajar itu dijangka mampu meneroka dunia
maklumat dengan lebih berkeyakinan dan kewaspadaan yang bijaksana. Ini adalah
sangat penting pada era letusan dan globalisasi maklumat agar sistem penilaian kita
terhadap sesuatu maklumat lebih tersusun dan mantap serta dapat menjamin masa depan
kerjaya dan kehidupan yang lebih baik. Memang diakui pada zaman teknologi maklumat
ini, aspek teknologi ini tidak dapat diasingkan daripada realiti hidup bermaklumat.
Sudah tentu sekali sesiapa yang celik maklumat harus tahu mengendalikan
komputer, mencapai internet, menelusuri maklumat dalam talian dan banyak lagi.
Semuanya ini juga bagi mempertingkat kemampuan dan kemahiran mendapatkan
maklumat bagi seseorang.
Secara
kesimpulannya, seseorang pengguna maklumat mungkin sangat mahir mencari maklumat
menerusi pelbagai enjin carian terkini tetapi apabila dia tidak dapat menggunakan
maklumat tersebut dengan tepat dan berkesan maka dia belum layak digelar
seorang yang celik maklumat. Justeru, maklumat dan pengetahuan yang diperolehi
seharusnya dapat mengembangkan kemampuan kita dalam berinteraksi dengan dunia
di sekeiling kita. Proses pembelajaran ini hendaklah berterusan sehingga ke
akhir hayat. Ini kerana pembangunan teknologi baru tidak akan terhenti selagi
masih ada kehidupan dan permasalahan di dunia ini yang membuatkan manusia akan mempelajari
sesuatu dan menambahbaik ilmu yang baru setiap hari.
Rujukan
Byerly, Greg
and Brodie, Carolyn S. (1999). Information Literacy Skills Models: Defining
the Choices.
In Learning and Libraries in an Information Age. Principles and Practice, ed.
Barbara K. Stripling, Englewood: Littleton: Libraries Unlimited, p.5482.
Facts And Figures ICT (2017). Access
on 2 April 2018 at https://www.itu.int/en/ITUD/Statistics/Documents/facts/ICTFactsFigures2017.pdf
Kursus-Kursus
Baharu Hadapi Revolusi Industri 4.0 (2018). Access on 3 April 2018 at
https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/01/379067/kursusbaharu-hadapi-revolusi-industri-40
Lau J.
(2006), Guidelines on Information Literacy for lifelong learning - IFLA,
Veracruz
Robert
Friedel (2007). A Culture of Improvement: Technology and the Western
Millennium,
University of Maryland historian Robert. pg.1
Williams dan
Sawyer (2003). Using Information Technology: A Practical Introduction to
Computers
and Communications. London: Career Education
Tuesday, 20 February 2018
SEJARAH RINGKAS NEGERI SELANGOR
Negeri Selangor wujud sebagai sebuah
kerajaan berpolitik kira-kira 200 tahun yang lalu. Dari segi sejarah, Klang
merupakan salah satu tempat yang terpenting di klang. Klang telah dijajah oleh
Raja Chulan dan India. Ia juga di sebut sebagai jajahan Majapahit dan Melaka.
Seperti diketahui, Melaka telah jatuh ketangan Portugis pada tahun 1511 dan
kemudiannya Belanda pada 1641. Kira-kira satu setengah abad berikutnya
orang-orang Bugis telah memulakan pemerintahan Negeri Selangor.
Orang-orang Bugis terkenal sebagai ahli
pelayaran dan perdagangan yang terkenal dan pejuang yang berani. Mereka berasal
dari Makasar di Selatan Sulawesi. Kemasyhuran orang-orang Bugis menjadi ancaman
kepada keselamatan dan monopoli perdagangan orang-orang Belanda di Hindia
Timur. Pada tahun 1666 – 1667, Belanda telah menyerang Makasar. Ini menyebabkan
orang-orang Bugis terpaksa berhijrah ke lain-lain bahagian di kepulauan Melayu.
Menjelang awal 1681 ramai saudagar-saudagar Bugis telah bermastautin di Kuala
Sungai Klang dan Sungai Selangor.
Abad ke 18 dikatakan abad orang Bugis
dalam sejarah Melayu. Mereka berjaya mempengaruhi kesultanan Johor dan
berkembang hingga ke Perak dan Kedah. Merekalah yang mengasaskan kesultanan
Negeri Selangor diantara tahun 1743 – 1780. Raja Lumu anak Daeng Chelak telah
dilantik menjadi Yang Di Pertuan Negeri Selangor yang pertama dengan gelaran
Sultan Salahuddin. Kuala Selangor dijadikan Ibu Negeri hingga ke pemerintahan
Sultan Abdul Samad (1857-1898) di mana Ibu Negeri kemudiannya dipindahkan ke
Jugra.
Perkembangan pengaruh Bugis di Barat
Semenanjung Tanah Melayu telah menyebabkan orang Belanda dan orang-orang Melayu
tempatan (terutama orang-orang Johor) bersatu untuk menentang Bugis. Kekuatan
Bugis sukar digugat yang akhirnya ia berjaya menguasai Riau antara tahuan 1760
– 1784. Kedudukan Sultan Salahuddin sebagai pemerintah Negeri Selangor telah
diiktiraf iaitu apabila ia berkahwin dengan anak saudara Sultan Perak keturunan
keluarga Diraja Melaka. Beberapa tahun berikutnya anak perempuan Sultan
Salahuddin berkahwin pula dengan putera Sultan Kedah yang kemudian menjadi
Sultan Kedah dan dalam tahun 1778 bergelar Sultan Abdullah.
Sultan Salahuddin mangkat dalam tahun
1780. Ia digantikan oleh puteranya Sultan Ibrahim. Pada tahun1784 Raja Haji
yang menjadi Yamtuan Muda Riau telah sekali lagi menyerang Belanda. Sultan
Ibrahim telah membantu bapa saudaranya Raja Haji menyerang orang-orang Belanda
yang berpusat di Melaka. Dalam peperangan ini Raja Haji telah terbunuh.
Berikutan dengannya orang-orang Belanda menghalakan serangannya pula ke kubu
Sultan Ibrahim di Kuala Selangor. Sultan Ibrahim tewas dan dan berundur ke
Pahang. Setelah berjaya menawan Kuala Selangor, Belanda melengkapkan tenteranya
di situ untuk mengawal eksport bijih timah di Negeri Selangor.
Dalam tahun 1785, Sultan Ibrahim bersam-sama
dengan orang Melayu Pahang menyerang pihak Belanda. Mereka dapat menguasai
kembali kubu di Kuala Selangor itu. Akhirnya satu perjanjian ditandatangani
antara Sultan Ibrahim dengan Belanda dimana hasil bijih dari Selangor hendaklah
di jual kepada pihak Belanda. Dengan adanya perjanjian tersebut ancaman dari
Belanda telah berhenti buat sementara waktu. Pada tahun 1795, Inggeris telah
menguasai Melaka iaitu waktu peperangan Napoleon.
Selangor di awal abad ke 19 merupakan
negeri yang kuat dan aggresif. Sultan Ibrahim mempunyai keperibadian yang
dinamik. Ketiadaan orang-orang Belanda di Melaka memberinya peluang untuk
mengembangkan kuasanya di Perak dan menguasai negeri itu di bawah kuasa tentera
selama dua tahun (1804 – 1806). Dalam tahun 1818, kerajaan British memulangkan
Melaka kepada Belanda. Oleh kerana tidak ingin melihat ancaman dari Belanda
lagi. Sultan Ibrahim dan pegawai-pegawai Inggeris di Pulau Pinang telah
menandatangani satu perjanjian dikenali sebagai ‘Perjanjian Cracroft’, tetapi
perjanjian ini telah menakutkan Belanda. Belanda juga mengingatkan Sultan
Ibrahim tentang perjanjian yang pernah dibuat dulu. Akhirnya pada tahun 1824,
Belanda terpaksa keluar daripada Semenanjung Tanah Melayu berikutan dengan
perjanjian Inggeris – Belanda.
Seterusnya Sultan Mohamed ialah Raja
ketiga memerintah Negeri Selangor iaitu dari 1826 hingga 1857. Ketiga-tiga Raja
Selangor yang awal ini mangkat dan dimakamkan di Bukit Selangor (Bukit
Melawati). Manakala Raja Selangor keempat Sultan Abdul Samad memerintah mulai
tahun 1859 di mana pusat pemerintahannya telah berpindah dari Kuala Selangor ke
Jugra, Kuala Langat dan kemudiannya berpindah ke Klang.
Pada bulan disember 1874, orang British
yang telah mengamalkan dasar campur tangan dan menubuhkan Sistem Residen
(Residensi) dengan J.G. Davidson sebagai Residen Pertama Selangor manakala
Frank Swettenham sebagai Penolong Residen Selangor yang pertama. British juga
telah memindahkan Ibu Negeri Selangor dari Klang ke Kuala Lumpur yang merupakan
pusat pertambahan penduduk dan aktiviti ekonomi.
Dari sejak itu hinggalah tertubuhnya
Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur telah menjadi Ibu Negeri
Selangor. Kemudiannya pada 7 Disember 1978, Kerajaan Negeri telah
mengistiharkan Shah Alam sebagai Ibu Negeri Selangor yang baru.
SUMBER:
Arkib
Korporat MAIS
Subscribe to:
Posts (Atom)

