Tuesday, 4 October 2011

KONSEP MEMBANTERAS JENAYAH DALAM ISLAM

Dr Zainal Azam bin Abd Rahman
Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus.  Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia merangkumi dosa.  Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai implikasi-implikasi tertentu dari segi hukuman.

Jenayah hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada pandangan Islam.  Hukuman hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah.  Begitupun ia boleh digugurkan jika pengakuan itu ditarik balik oleh tertuduh walaupun pada saat-saat akhir sebelum hukuman.

Jenis-jenis kesalahan hudud dan kukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda kerana ia bersifat mandatori.  Pendakwaan kes-kes hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya.  Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat.  Fungsi hukuman hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.
Takzir ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang sama juga merupakan satu dosa. Jenis kesalahan takzir disebut dalam syariah, tetapi hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau hakim yang mendengar sesuatu kes itu. Hukuman yang dikenakan tidak bersifat mandatori kerana ada banyak pilihan yang boleh dibuat oleh hakim berkenaan dengan mengambil kira keadaan atau status pesalah, melainkan pihak pemerintah telah menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan tersebut.
Pendakwaan bagi kes-kes takzir dilakukan oleh pihak pendakwa awam dan kerana itu takzir juga mempunyai ciri-ciri jenayah dalam konteks konvensional. Ia juga bertujuan menghukum pesalah dan juga untuk pencegahan. Yang membezakan takzir dengan hudud ialah hukuman hudud sudah ditentukan bagi kesalahan berkenaan dan tidak boleh dipinda atau diubah kepada hukuman lain.
Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi sebarang tindakan salah dengan sengaja dan niat bagi membunuh atau mencederakan seseorang. Ia adalah hukum bunuh balas bunuh dan cedera balas cedera. Dari segi konsepnya, pelanggaran hak yang berlaku dalam kes qisas adalah terhadap hak Allah/awam dan juga hak individu tetapi Islam menganggap hak individu adalah lebih besar dalam hal ini.
Oleh itu Islam memberikan hak kepada individu berkenaan ataupun warisnya untuk mengambil tindakan ke atas tertuduh. Lantaran itu ia terserah kepada mereka sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak. Kerana itu kesalahan qisas dari segi teknikalnya tidak boleh dikategorikan sebagai jenayah mengikut kaca mata konvensional kerana hak mendakwa bukan terletak kepada pendakwa awam atau masyarakat.
Manakala bagi kes-kes yang tidak terjadi akibat adanya niat dan perlakuan sengaja oleh tertuduh, maka hak mangsa atau keluarganya adalah terhadap pampasan atau ganti rugi yang dikenali dalam Islam sebagai diyat dan daman. Hukuman qisas juga boleh ditukar dengan tuntutan diyat atau pampasan jika diinginkan oleh mangsa atau warisnya dan mereka juga boleh memberikan kemaafan secara percuma kepada pesalah yang telah disabitkan. Jika kerana sesuatu sebab khusus qisas tidak dapat dikenakan ke atas pesalah, maka hukuman qisas itu dengan sendiri digugurkan dan diganti dengan diyat atau pampasan.
Kesalahan qisas dan diyat sebenarnya merupakan satu bentuk hukuman yang merangkumi tujuan menghukum pesalah sengaja dan juga memberi pampasan kepada mangsa bagi kesalahan tanpa niat. Kerana itu ia lebih sesuai dikaitkan dengan undang-undang tort dalam konteks konvensional melainkan ia melibatkan pihak mangsa atau waris menuntut qisas dilaksanakan kepada pesalah di mana elemen pampasan tidak timbul.
Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam pada asasnya merupakan sebahagian daripada ketaatan umat Islam kepada perintah Allah s.w.t. dan kerana itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal akidah dan keimanan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan Maha Adil. Ini kerana peraturan jenayah seperti mana yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan juga sunah Nabi adalah sebahagian daripada agama Islam itu sendiri.
Dari segi yang lain pula, hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah yang terbukti bersalah, sebenarnya satu proses penyuciannya daripada dosa yang dilakukan. Ini membezakan kedudukan hukuman Islam dengan hukuman biasa atau sivil di mana tidak seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah undang-undang syariah yang akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah undang-undang biasa tidak akan menikmati kedudukan yang sama.
Ini kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan hukuman tiada kaitan dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di hari akhirat. Lantaran menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi ada orang yang telah melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang menemui Nabi meminta dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan oleh Allah.
Keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam sistem perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah akan sentiasa berusaha untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun memang sebenarnya dia telah melakukan jenayah berkenaan.
Sistem perundangan jenayah Islam juga mengambil kira nilai kemanusiaan sejagat. Ini jelas dapat dilihat dalam peruntukan qisas bagi kes bunuh dengan niat serta disengajakan di mana kedudukan dan rasa hati waris mangsa diambil kira dalam menentukan jenis hukuman yang bakal dihadapi oleh pembunuh. Bagi yang berasa puas hati jika hukuman balas bunuh dapat dikenakan ke atas pembunuh, mereka berhak untuk menuntut agar hukuman demikian dilaksanakan. Ini sudah tentulah akan dapat menghapuskan rasa marah dan keinginan hendak membalas dendam yang lumrahnya ada pada ahli keluarga mangsa yang mati dibunuh.
Manakala bagi yang ingin memaafkan pembunuh boleh berbuat demikian sama ada dengan menuntut pampasan/diyah sebagai balasan ataupun membebaskannya secara percuma. Elemen pampasan ini sudah tentulah akan lebih bermakna lagi bagi ahli keluarga mangsa yang berada dalam keadaan yang serba kekurangan dari segi kewangan, maka sudah tentulah bayaran yang diterima dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka akibat kematian yang disebabkan jenayah berkenaan. Namun begitu bagi yang inginkan ganjaran pahala dan tidak perlukan wang pampasan mereka boleh memberikan kemaafan secara percuma, bahkan pilihan inilah yang sangat digalakkan oleh Islam.
Undang-undang hudud diperuntukan bagi menggerunkan masyarakat yang ada cadangan untuk melakukan jenayah berat. Undang-undang ini mempunyai syarat-syarat yang amat banyak sebelum ia boleh dikenakan ke atas seseorang tertuduh. Kadangkala kelihatan mungkin agak mustahil untuk mensabitkan seseorang tertuduh melainkan dengan pengakuan bersalah yang dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti zina yang memerlukan empat orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu dilakukan. Manakala bagi kes-kes yang lain pula sebarang keraguan yang wujud atau berjaya ditimbulkan akan dengan mudah dapat menyebabkan hukuman hudud itu tidak kenakan. Bahkan seseorang hakim yang membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa bersikap terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak menghukum daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes hudud.

Friday, 23 September 2011

DARI KUBUR HINGGA DI HIMPUNKAN

Rasulullah S.A.W bersabda : “Bagaimana aku merasa nikmat jika tanduk sangkakala telah berada dimulut Israfil. Dia mengerutkan keningnya dan menutup telinga, menanti perintah lalu dia meniup.”

Baginda bersabda : “Manakala sekali dia meniup sangkakala itu, matilah seluruh makhluk langit dan bumi kecuali yang dikehendaki Allah. Iaitu Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail. Kemudian Allah memerintahkan Izrail agar mencabut nyawa Jibril. Kemudian nyawa Mikail, nyawa Israfil dan akhirnya nyawa Izrail sendiri. Setelah tiupan pertama itu, semua mati dan dialam barzah selama empat puluh tahun. Kemudian Allah menghidupkan Israfil kembali. Dia diperintahkan meniup tiupan kedua.”

Inilah yang dimaksudkan firman Allah S.W.T, : “… Kemudiannya ditiup sekali lagi, lalu mereka berdiri (bangkit dari dalam kuburnya) sambil menanti (hukuman Alllah).
                                                                                                                            (Q.S. Az Zumar : 68)

Dan Rasulullah S.A.W bersabda : “Ketika dibangkitkan, datanglah Israfil kembali membenarkan tanduk sangkakala kemulutnya. Sebelah kakinya melangkah ke depan dan dan sebelah lagi ke kiri, menantikan perintah meniup. Takutlah akan tiupan itu. Fikirkanlah wahai manusia, betapa kehinaan dan kepedihannya ketika dibangkitkan kerana takut akan tiupan itu, serta manantikan keputusan apa yang akan mereka terima itu, bahagia atau celaka dan kau adalah di antara mereka juga akan merasa sedih dan bingung sebagaimana kesedihan serta kebingungan mereka. Bahkan jika didunia kau suka berbuat dosa atau kaya namun bakhil maka raja-raja dunia di hari ini adalah orang yang paling hina, kakinya melangkah longlai dan ketika itu pula berdepan dengan binatang liar dimana gunung akan hancur dan tidak boleh menghindari dari itu semua.”  

Demikianlah firman Allah : “Dan apabila binatang-binatang liar telah dihimpunkan.”
                                                                                                                             (Q.S. At Takwir : 5)

Kemudian mereka berjumpa pula dengan syaitan-syaitan dan orang-orang murtad dalam ketakutan kerana haibah Allah dan membenarkan firmannya : “Demi Tuhanmu, sesungguhnya Kami akan menghimpunkan mereka bersama-sama syaita. Kemudian kami hadirkan mereka dikeliling neraka dengan berlutut.”
                                                                                                                              (Q.S. Maryam : 68)

Cuba bayangkan, bagaimana keadaanmu dan keadaan hatimu ketika itu? Cube renungkan apabila telah dibangkitkan mereka dibawa ke tempat perhimpunan dengan gondol dan telanjang. Tempat perhimpunan itu adalah bumi yang putih, datar, tidak ada jurang atau bukit tempat manusia bersembunyi. Mereka di bawa kesitu beramai-ramai. Maha suci zat yang mengumpulkan semua manusia dengan barisan yang berbeza dari segala penjuru bumi. Tentu saja ketika itu hati berdebar ketakutan dan mata bermuram sahaja.

Allah S.W.T berfirman : “Pada hari (Kiamat) ditukar bumi dengan bumi yang lain, begitupun langit …”
                                                                                                                               (Q.S. Ibrahim : 48)

Ibnu Abas mengatakan, di situ segala pohon, gunung dan apa saja yang ada di situ dan ditambahkan bumi yang putih bagai emas. Tidak ada darah tertumpah di situ dan tidak pernah pula kesalahan dilakukan disitu. Adapun langitnya tidak ada matahari, bulan dan bintang. Renugkan wahai manusia, betapa kedahsyatan hari itu. Sungguh jika manusia telah berkumpul, bintang-bintang dilangit berguguran, matahari dan bulan terbenam dan bumi gelap kehilangan lampunya. Di saat demikian langit berputar di atas kepala mereka dan pecah dengan dahsyatnya selama lima ratus tahun. Wahai betapa ngerinya suara pecahnya langit itu di telingamu, kemudian langit mencair dan mengalir bagai bubur baja kekuningan. Lalu seperti kuah dan akhirnya jadi nanah dan gunung-gunung bagai bulu yang diputar dan manusia bagaikan kupu-kupu bertebaran.

Rasulullah S.A.W bersabda : “Manusia dibangkitkan telanjang tidak bersunat dan tenggelam dalam air keringat sampai ke telinganya.”

Berkata Saudah, Isteri Nabi S.A.W, “Aku bertanya: Apakah sebahagian kita melihat akan kemaluan yang lain?” Rasulullah menjawab, “Manusia sibuk akan hal masing-masing.”

“Bagi tiap-tiap orang di antara mereka pada hari itu ada urusan yang mencukupinya.”
                                                                                                                                  (Q.S. Abasa : 37)

Betapa kedahsyatan hari di mana tidak sedar aurat sampai terbuka, namun tidak sempat juga menoleh atau memandang. Bagaimana mungkin sedang setengah mereka ada yang berjalan dengan perutnya, ada yang dengan mukanya hingga tidak boleh menoleh pada yang lain. Telah berkata Abu Hurairah r.a :

Rasulullah S.A.W bersabda : “Pada hari kiamat manusia dikumpulkan jadi tiga golongan. Ada yang menunggang, ada yang berjalan, dan ada yang berjalan dengan mukanya.”

Seorang lelaki berkata, “Bagaimana boleh berjalan dengan mukanya? Rasulullah S.A.W menjawab, “Zat yang menjalankan mereka dengan kakinya berkuasa pula untuk menjalankan mereka dengan mukanya.”

Watak manusia selalu mengingkari hal yang belum dibuktikannya. Kalau orang belum melihat ular boleh berjalan tanpa kaki tentu ia mengingkari ada binatang tanpa kaki boleh berjalan. Bahkan yang berjalan dengan kaki pun akan dianggap aneh kalau ia belum pernah melihatnya. Maka jangan mengingkari keajaiban-keajaiban pada hari kiamat. Andaikan diceritakan kepadamu keajaiban dunia ini sebelum engkau menyaksikannya, kau akan ingkar juga. Camkan dihatimu, bagaimana rupamu kelak. Kau berdiri telanjang, hina dan bimbang bukan kepalang menanti keputusan Syurga atau Neraka.

Lalu fikirkan juga bagaimana seluruh makhluk langit dan bumi, malaikat, jin, manusia, syaitan dan segala bintang dan burung, berkumpul berhimpit-himpitan di satu tempat di bawah pancaran matahari yang digandakan panasnya. Tidak ada lagi naungan selain Arasy Tuhan yang hanya boleh dinaungi oleh mereka yang mendekatkan diri kepadanya. Satu sama lain saling bergelut oleh kerana panasnya dan malu terbongkar keburukannya dihadapan Allah. Panahan matahari, panasnya nafas dan terbakarnya hati oleh api kemaluan dan ketakutan berkumpul menjadi satu hingga keringat bercucuran hingga hujung rambut mengalir ke hamparan kiamat. Kemudian tubuh mereka diangkat sesuai dengan darjatnya dan di hadapan Allah. Ada yang mengalir keringat hingga sampai paras lutut, ada yang paras dada, ada yang paras telinga dan ada pula yang hampir tenggelam.

Ibnu Umar berkata, “Telah bersabda Rasulullah S.A.W : “Di hari manusia menghadap tuhannya ada setengah mereka yang tenggelam sampai keparas telinganya.”

Dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda : “Di hari kiamat nanti peluh manusia akan meleleh hingga sampai ke paras telinga.”

Dalam Hadis lain : “Sambil berdiri, mata mereka memandang ke langit selama empat puluh tahun dan merasa sangat sedih, peluh menggenangi mereka.”

Dari Uqbah bin Amir, Rasulullah S.A.W bersabda : “Pada hari kiamat, matahari berada sejengkal di atas kepala. Tahulah manusia, ada orang yang peluhnya sampai ke tumit, ada yang sampai betis, ada yang sampai lutut, ada yang sampai ke paha, ada yang sampai ke lambung, ada yang sampai ke mulut,” Sambil Nabi mengisyaratkan tangannya ke mulutnya. “ Ada pula yang tenggelam dalam peluhnya.” Sambil Nabi S.A.W memukulkan tangan ke kepalanya demikian.

Cuba renungkan peluh manusia waktu di kumpulkan dan betapa kepedihan mereka. Sampai setengah mereka berkata, “Ya Tuhan, hindarkan aku dari kepedihan dan penantian ini, biarlah cepat ke neraka sahaja.” Tapi mereka tidak dilemparkan sebelum dihisab dan diseksa. Kau adalah salah seorang dari mereka. Kau tidak tahu sampai di mana peluhmu akan menggenangimu. Ketahuilah, keringat yang tidak keluar oleh kesusahan dalam mengerjakan perintah samada haji, perang, puasa, qiamullail, sibuk melayani keperluan soerang muslim, menanggung masyaqat dalam amar makruf nahi mungkar atau ibadah lainnya akan terkurus pula oleh kerana malu dan ketakutan. Amat panjang kedukaan disitu. Jika tidak bodoh, tentu orang akan tahu bahawa kesusahan ibadah itu hanya sebentar sahaja daripada kepedihan dan penantian pada hari kiamat. Hari yang amat dahsyat dan dalam waktu yang lama.

Sumber : Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan, Imam Al-Ghazali (Terjemahan kitab – Mukashafah Al-Qulub)

Thursday, 22 September 2011

PERPUSTAKAAN WAKAF TELAH MENAIKTARAF TALIAN INTERNET KEPADA UNIFI (JALUR LEBAR TERPANTAS)


Kami juga menyediakan perkhidmatan WIFI secara percuma kepada semua pengguna perpustakaan yang ingin melayari internet menggunakan komputer riba atau telefon pintar. Untuk pertanyaan bolehlah berhubung terus dengan pegawai perpustakaan yang bertugas di nombor 03 5510 8631.

Datanglah beramai-ramai.