Wednesday, 23 November 2011

KENYATAAN MEDIA : PINDAAN ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM UNTUK MELANCARKAN PERJALANAN INSTITUSI AGAMA DI SELANGOR

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah dimaklumkan mengenai artikel yang bertajuk “MAIS now has free hand over zakat” yang ditulis oleh Patrick Lee dan disiarkan dalam laman sesawang Malaysia Free Today pada 10 November 2011. Artikel tersebut mengandungi komen-komen daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (yang tidak dinamakan) berhubung Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011 (RUU Pindaan) yang membuat pindaan ke atas beberapa peruntukan seksyen dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen 2003).

RUU Pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Negeri pada 11 Julai 2011 dan telah diwartakan pada 25 Ogos 2011 setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor.

Kenyataan media ini dibuat oleh MAIS untuk menjawab komen-komen yang disiarkan dalam artikel tersebut bagi mengelakkan orang ramai mempunyai tanggapan salah terhadap tujuan pindaan dibuat.

Pelantikan Setiausaha MAIS oleh DYMM Sultan

Pindaan ke atas peruntukan seksyen 16(1) Enakmen 2003 bertujuan memberi kuasa kepada DYMM Sultan, atas nasihat MAIS, untuk melantik mana-mana orang sebagai Setiausaha MAIS. Sebelum daripada pindaan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan secara automatik menjawat jawatan Setiausaha MAIS.

Pindaan tersebut dibuat setelah mengambilkira faktor beban tugas dan tanggungjawab sedia ada Pengarah JAIS sebagai Ketua jabatan berkenaan yang mempunyai pertambahan tugas dan tanggungjawab apabila menjadi Setiausaha MAIS pada masa yang sama. Pengarah JAIS mempunyai tanggungjawab yang berat dalam mengawalselia kira-kira 2,676 kakitangan yang bertugas di lapan (8) bahagian di ibu pejabat dan sepuluh (10) pejabat cawangan di daerah-daerah seluruh negeri Selangor. Ini tidak termasuk seramai lebih 8,000 guru KAFA dan kakitangan yang bertugas di sekolah-sekolah agama, Rendah dan Menengah di seluruh negeri Selangor.

Pelantikan mana-mana orang selain Pengarah JAIS sebagai Setiausaha MAIS akan membantu melancarkan lagi perjalanan pentadbiran MAIS yang antara lain perlu menguruskan pentadbiran lebih kurang 400 buah masjid dan hampir 1,900 buah surau di seluruh negeri Selangor.

MAIS bertanggungjawab kepada DYMM Sultan Selangor

Walaupun MAIS merupakan satu badan berkanun kerana ditubuhkan melalui peruntukan undang-undang seksyen 4(1) Enakmen 2003, tetapi berbeza dengan badan berkanun lain yang ditubuhkan di bawah mana-mana Enakmen Negeri, penubuhan MAIS adalah atas kehendak DYMM Sultan Selangor selaras dengan peruntukan Fasal (1) Perkara XLVIII Undang-Undang Tubuh Selangor 1959 (UTK 1959).
Selaras dengan peruntukan UTK 1959 yang sama, penubuhan MAIS adalah bagi maksud membantu dan menasihati DYMM Sultan dalam semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam. Dalam erti kata lain, MAIS bertanggungjawab sepenuhnya kepada DYMM Sultan Selangor yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri Selangor dan oleh itu tidak tertakluk kepada bidang kuasa Jawatankuasa Dewan Negeri.

Wang Zakat

Pindaan ke atas seksyen 86 Enakmen 2003 untuk memasukkan perkataan “... dan mengagih ...” adalah bagi maksud menjelaskan lagi fungsi Majlis dalam pengurusan wang zakat dan fitrah yang bukan sahaja bertanggungjawab untuk membuat pungutan tetapi juga bertanggungjawab mengagihkan wang zakat dan fitrah di negeri Selangor.

Pindaan seksyen tersebut juga bertujuan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul disebabkan penggubalan Enakmen 2003 yang telah meninggalkan perkataan “mengagihkan” sedangkan dalam undang-undang terdahulu iaitu Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1952 telah memperuntukkan kuasa kepada MAIS untuk memungut dan membahagikan wang zakat dan fitrah menurut Hukum Syarak.

Selanjutnya, wang zakat dan fitrah tidak termasuk sebagai wang yang dipertanggungkan dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan di bawah Fasal (3) Perkara LXXXVI UTK 1959. Ini adalah kerana wang zakat dan fitrah adalah merupakan wang yang berasingan dengan wang hasil Kerajaan Negeri yang perlu disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan.

Pembayaran wang zakat dan fitrah adalah merupakan kewajipan semua orang yang beragama Islam dan akan dimasukkan ke dalam Baitulmal yang ditubuhkan di bawah peruntukan seksyen 81(1) Enakmen 2003. Wang zakat dan fitrah tersebut kemudiannya akan diagihkan mengikut asnaf yang dibenarkan oleh agama Islam dan semua jumlah kutipan perlu disalurkan kepada asnaf yang berkenaan dan perlu diagih sepenuhnya dalam tahun semasa. Oleh kerana itu, pengagihan wang zakat dan fitrah perlulah dijalankan oleh MAIS.

MAIS tidak menubuhkan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Kerajaan atau pun GLC. Walau bagaimanapun MAIS telah menubuhkan beberapa anak syarikat di antaranya Lembaga Zakat Selangor (LZS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kumpulan MAIS Corporation dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Penubuhan anak syarikat ini adalah selaras dengan peruntukan seksyen 8 dan 9 Enakmen 2003 bagi membantu MAIS menjalankan kewajipannya di bawah seksyen 7 Enakmen 2003 iaitu bagi mendorong, menggalak dan membangunkan kesejahteraan sosial dan ekonomi orang Islam di negeri Selangor.

Penggunaan wang zakat oleh MAIS atau anak syarikatnya adalah terkawal. Sebarang cadangan penggunaan wang zakat hendaklah melepasi pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu termasuklah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sekiranya timbul persoalan berhubung kesahan penggunaan wang zakat menurut Hukum Syarak.

Titah DYMM Sultan
 
Berhubung titah DYMM Sultan Selangor kepada Ahli Dewan Negeri semasa RUU Pindaan dibentangkan di Dewan Negeri, titah tersebut dibuat selaras dengan kedudukan DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di bawah Perkara XLVIII UTK 1959. DYMM Sultan juga merupakan sebahagian dari Dewan Negeri di bawah Perkara LXI UTK 1959 dan boleh mengutuskan titah kepada Dewan Negeri di bawah Perkara LXXIII.

Melalui titah yang diutuskan ke Dewan Negeri, DYMM Sultan telah memaklumkan Ahli Dewan Negeri bahawa DYMM Sultan, setelah meneliti RUU Pindaan tersebut dan setelah mendengar nasihat MAIS, telah berpuas hati bahawa semua cadangan pindaan sekiranya diluluskan dapat memberikan kebaikan kepada pentadbiran Agama Islam dan juga semua rakyat yang beragama Islam.

Titah DYMM Sultan tersebut dibuat bertujuan untuk melancarkan lagi perjalanan Dewan Negeri dan bagi membolehkan Ahli Dewan Negeri menumpukan lebih masa dan perhatian kepada perkara yang lebih relevan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri dan hal ehwal kebajikan rakyat di negeri Selangor.

Pentadbiran masjid dan surau di bawah MAIS

Bukan semua masjid dan surau dibina menggunakan peruntukan kewangan Kerajaan Negeri. Hanya dalam hal keadaan di mana pembinaan dibuat di atas tanah Negeri, peruntukan kewangan diperolehi dari Kerajaan Negeri. Ini adalah selari dengan tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan peruntukan kewangan bagi pembangunan agama Islam yang merupakan Agama Negeri.

Masjid yang siap dibina kemudiannya diletakkan di bawah pentadbiran MAIS dan MAIS selanjutnya akan mentadbir dan menyelenggarakan masjid tersebut menggunakan peruntukan dari Baitulmal. Keadaan ini sebenarnya membantu meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri yang tidak lagi perlu mengeluarkan peruntukan kewangan bagi maksud yang sama.

Pengauditan akaun MAIS

Dakwaan yang mengatakan bahawa Laporan Kewangan Tahunan MAIS tidak perlu lagi diaudit oleh Ketua Audit Negara adalah tidak tepat sama sekali. Pemansuhan seksyen 85 Enakmen bukanlah dibuat tanpa asas yang kukuh. Laporan Kewangan Tahunan MAIS  Disatukan telah disediakan dan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara setiap tahun dan MAIS selama 14 tahun iaitu dari tahun 1997 sehingga tahun 2010 telah pun mendapat pengiktirafan sijil bersih melalui Sijil Ketua Audit Negara. Laporan yang sama juga telah dikeluarkan oleh MAIS untuk rujukan awam dan salinan boleh diperolehi melalui laman sesawang MAIS.

Begitu juga bagi kumpulan wang zakat yang telah diaudit oleh pihak Audit Negara bermula 1997 sehingga kini melibatkan pengurusan kutipan dan agihan zakat.  Manakala bagi akaun pengurusan amil, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga telah diaudit oleh pihak juruaudit luar bermula dari awal penubuhannya pada tahun 1996.  Di samping itu, bagi menambah nilai kualiti pengurusan LZS, pihak Price Waterhouse Coopers (PwC) telah melaksanakan audit penilaian strategik LZS pada tahun 2009.

Sebagai tambahan, bagi memperkasakan keupayaan audit dalam LZS, pihak KPMG telah diberi kepercayaan untuk melatih dan memperbaiki fungsi pengauditan dalaman.

Kesimpulan

MAIS bersedia mengadakan sesi taklimat kepada mana-mana Ahli Dewan Negeri yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai institusi MAIS supaya sebarang kekeliruan dan salah faham dapat dielakkan.

Untuk makluman semua, Ahlli MAIS terdiri dari pihak yang pakar dalam bidang pentadbiran, ekonomi, perakaunan, undang-undang Syariah dan juga undang-undang sivil. MAIS juga telah menubuhkan 24 jawatankuasa tetap untuk membantu menjalankan fungsi MAIS. Di samping itu MAIS juga telah menubuhkan  Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bagi membincangkan apa-apa persoalan berhubung dengan Hukum Syarak.

MAIS juga senantiasa mengamalkan urus tadbir terbaik bagi memastikan institusi MAIS sentiasa berada dalam kedudukan pentadbiran yang terbaik di negeri Selangor.


DATO’ SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB BIN MOHD ISA,
Pengerusi,
Majlis Agama Islam Selangor.

Friday, 4 November 2011

ZULHIJJAH DAN AIDILADHA : BEBERAPA ISU DAN HUKUM

Zaharuddin Abd Rahman

KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1)

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f)  Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut  :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.  

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"


BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau. Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA.

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya. Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan.

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.



BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?. Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib. Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

KORBAN OLEH ORGANISASI DAN SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya :

"Tidak boleh !"

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.


APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah  sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah. Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hari raya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam

Sekian