Wednesday 23 November 2011

KENYATAAN MEDIA : PINDAAN ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM UNTUK MELANCARKAN PERJALANAN INSTITUSI AGAMA DI SELANGOR

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah dimaklumkan mengenai artikel yang bertajuk “MAIS now has free hand over zakat” yang ditulis oleh Patrick Lee dan disiarkan dalam laman sesawang Malaysia Free Today pada 10 November 2011. Artikel tersebut mengandungi komen-komen daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (yang tidak dinamakan) berhubung Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011 (RUU Pindaan) yang membuat pindaan ke atas beberapa peruntukan seksyen dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen 2003).

RUU Pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Negeri pada 11 Julai 2011 dan telah diwartakan pada 25 Ogos 2011 setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor.

Kenyataan media ini dibuat oleh MAIS untuk menjawab komen-komen yang disiarkan dalam artikel tersebut bagi mengelakkan orang ramai mempunyai tanggapan salah terhadap tujuan pindaan dibuat.

Pelantikan Setiausaha MAIS oleh DYMM Sultan

Pindaan ke atas peruntukan seksyen 16(1) Enakmen 2003 bertujuan memberi kuasa kepada DYMM Sultan, atas nasihat MAIS, untuk melantik mana-mana orang sebagai Setiausaha MAIS. Sebelum daripada pindaan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan secara automatik menjawat jawatan Setiausaha MAIS.

Pindaan tersebut dibuat setelah mengambilkira faktor beban tugas dan tanggungjawab sedia ada Pengarah JAIS sebagai Ketua jabatan berkenaan yang mempunyai pertambahan tugas dan tanggungjawab apabila menjadi Setiausaha MAIS pada masa yang sama. Pengarah JAIS mempunyai tanggungjawab yang berat dalam mengawalselia kira-kira 2,676 kakitangan yang bertugas di lapan (8) bahagian di ibu pejabat dan sepuluh (10) pejabat cawangan di daerah-daerah seluruh negeri Selangor. Ini tidak termasuk seramai lebih 8,000 guru KAFA dan kakitangan yang bertugas di sekolah-sekolah agama, Rendah dan Menengah di seluruh negeri Selangor.

Pelantikan mana-mana orang selain Pengarah JAIS sebagai Setiausaha MAIS akan membantu melancarkan lagi perjalanan pentadbiran MAIS yang antara lain perlu menguruskan pentadbiran lebih kurang 400 buah masjid dan hampir 1,900 buah surau di seluruh negeri Selangor.

MAIS bertanggungjawab kepada DYMM Sultan Selangor

Walaupun MAIS merupakan satu badan berkanun kerana ditubuhkan melalui peruntukan undang-undang seksyen 4(1) Enakmen 2003, tetapi berbeza dengan badan berkanun lain yang ditubuhkan di bawah mana-mana Enakmen Negeri, penubuhan MAIS adalah atas kehendak DYMM Sultan Selangor selaras dengan peruntukan Fasal (1) Perkara XLVIII Undang-Undang Tubuh Selangor 1959 (UTK 1959).
Selaras dengan peruntukan UTK 1959 yang sama, penubuhan MAIS adalah bagi maksud membantu dan menasihati DYMM Sultan dalam semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam. Dalam erti kata lain, MAIS bertanggungjawab sepenuhnya kepada DYMM Sultan Selangor yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri Selangor dan oleh itu tidak tertakluk kepada bidang kuasa Jawatankuasa Dewan Negeri.

Wang Zakat

Pindaan ke atas seksyen 86 Enakmen 2003 untuk memasukkan perkataan “... dan mengagih ...” adalah bagi maksud menjelaskan lagi fungsi Majlis dalam pengurusan wang zakat dan fitrah yang bukan sahaja bertanggungjawab untuk membuat pungutan tetapi juga bertanggungjawab mengagihkan wang zakat dan fitrah di negeri Selangor.

Pindaan seksyen tersebut juga bertujuan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul disebabkan penggubalan Enakmen 2003 yang telah meninggalkan perkataan “mengagihkan” sedangkan dalam undang-undang terdahulu iaitu Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1952 telah memperuntukkan kuasa kepada MAIS untuk memungut dan membahagikan wang zakat dan fitrah menurut Hukum Syarak.

Selanjutnya, wang zakat dan fitrah tidak termasuk sebagai wang yang dipertanggungkan dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan di bawah Fasal (3) Perkara LXXXVI UTK 1959. Ini adalah kerana wang zakat dan fitrah adalah merupakan wang yang berasingan dengan wang hasil Kerajaan Negeri yang perlu disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan.

Pembayaran wang zakat dan fitrah adalah merupakan kewajipan semua orang yang beragama Islam dan akan dimasukkan ke dalam Baitulmal yang ditubuhkan di bawah peruntukan seksyen 81(1) Enakmen 2003. Wang zakat dan fitrah tersebut kemudiannya akan diagihkan mengikut asnaf yang dibenarkan oleh agama Islam dan semua jumlah kutipan perlu disalurkan kepada asnaf yang berkenaan dan perlu diagih sepenuhnya dalam tahun semasa. Oleh kerana itu, pengagihan wang zakat dan fitrah perlulah dijalankan oleh MAIS.

MAIS tidak menubuhkan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Kerajaan atau pun GLC. Walau bagaimanapun MAIS telah menubuhkan beberapa anak syarikat di antaranya Lembaga Zakat Selangor (LZS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kumpulan MAIS Corporation dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Penubuhan anak syarikat ini adalah selaras dengan peruntukan seksyen 8 dan 9 Enakmen 2003 bagi membantu MAIS menjalankan kewajipannya di bawah seksyen 7 Enakmen 2003 iaitu bagi mendorong, menggalak dan membangunkan kesejahteraan sosial dan ekonomi orang Islam di negeri Selangor.

Penggunaan wang zakat oleh MAIS atau anak syarikatnya adalah terkawal. Sebarang cadangan penggunaan wang zakat hendaklah melepasi pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu termasuklah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sekiranya timbul persoalan berhubung kesahan penggunaan wang zakat menurut Hukum Syarak.

Titah DYMM Sultan
 
Berhubung titah DYMM Sultan Selangor kepada Ahli Dewan Negeri semasa RUU Pindaan dibentangkan di Dewan Negeri, titah tersebut dibuat selaras dengan kedudukan DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di bawah Perkara XLVIII UTK 1959. DYMM Sultan juga merupakan sebahagian dari Dewan Negeri di bawah Perkara LXI UTK 1959 dan boleh mengutuskan titah kepada Dewan Negeri di bawah Perkara LXXIII.

Melalui titah yang diutuskan ke Dewan Negeri, DYMM Sultan telah memaklumkan Ahli Dewan Negeri bahawa DYMM Sultan, setelah meneliti RUU Pindaan tersebut dan setelah mendengar nasihat MAIS, telah berpuas hati bahawa semua cadangan pindaan sekiranya diluluskan dapat memberikan kebaikan kepada pentadbiran Agama Islam dan juga semua rakyat yang beragama Islam.

Titah DYMM Sultan tersebut dibuat bertujuan untuk melancarkan lagi perjalanan Dewan Negeri dan bagi membolehkan Ahli Dewan Negeri menumpukan lebih masa dan perhatian kepada perkara yang lebih relevan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri dan hal ehwal kebajikan rakyat di negeri Selangor.

Pentadbiran masjid dan surau di bawah MAIS

Bukan semua masjid dan surau dibina menggunakan peruntukan kewangan Kerajaan Negeri. Hanya dalam hal keadaan di mana pembinaan dibuat di atas tanah Negeri, peruntukan kewangan diperolehi dari Kerajaan Negeri. Ini adalah selari dengan tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan peruntukan kewangan bagi pembangunan agama Islam yang merupakan Agama Negeri.

Masjid yang siap dibina kemudiannya diletakkan di bawah pentadbiran MAIS dan MAIS selanjutnya akan mentadbir dan menyelenggarakan masjid tersebut menggunakan peruntukan dari Baitulmal. Keadaan ini sebenarnya membantu meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri yang tidak lagi perlu mengeluarkan peruntukan kewangan bagi maksud yang sama.

Pengauditan akaun MAIS

Dakwaan yang mengatakan bahawa Laporan Kewangan Tahunan MAIS tidak perlu lagi diaudit oleh Ketua Audit Negara adalah tidak tepat sama sekali. Pemansuhan seksyen 85 Enakmen bukanlah dibuat tanpa asas yang kukuh. Laporan Kewangan Tahunan MAIS  Disatukan telah disediakan dan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara setiap tahun dan MAIS selama 14 tahun iaitu dari tahun 1997 sehingga tahun 2010 telah pun mendapat pengiktirafan sijil bersih melalui Sijil Ketua Audit Negara. Laporan yang sama juga telah dikeluarkan oleh MAIS untuk rujukan awam dan salinan boleh diperolehi melalui laman sesawang MAIS.

Begitu juga bagi kumpulan wang zakat yang telah diaudit oleh pihak Audit Negara bermula 1997 sehingga kini melibatkan pengurusan kutipan dan agihan zakat.  Manakala bagi akaun pengurusan amil, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga telah diaudit oleh pihak juruaudit luar bermula dari awal penubuhannya pada tahun 1996.  Di samping itu, bagi menambah nilai kualiti pengurusan LZS, pihak Price Waterhouse Coopers (PwC) telah melaksanakan audit penilaian strategik LZS pada tahun 2009.

Sebagai tambahan, bagi memperkasakan keupayaan audit dalam LZS, pihak KPMG telah diberi kepercayaan untuk melatih dan memperbaiki fungsi pengauditan dalaman.

Kesimpulan

MAIS bersedia mengadakan sesi taklimat kepada mana-mana Ahli Dewan Negeri yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai institusi MAIS supaya sebarang kekeliruan dan salah faham dapat dielakkan.

Untuk makluman semua, Ahlli MAIS terdiri dari pihak yang pakar dalam bidang pentadbiran, ekonomi, perakaunan, undang-undang Syariah dan juga undang-undang sivil. MAIS juga telah menubuhkan 24 jawatankuasa tetap untuk membantu menjalankan fungsi MAIS. Di samping itu MAIS juga telah menubuhkan  Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bagi membincangkan apa-apa persoalan berhubung dengan Hukum Syarak.

MAIS juga senantiasa mengamalkan urus tadbir terbaik bagi memastikan institusi MAIS sentiasa berada dalam kedudukan pentadbiran yang terbaik di negeri Selangor.


DATO’ SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB BIN MOHD ISA,
Pengerusi,
Majlis Agama Islam Selangor.

No comments:

Post a Comment