Wednesday, 11 January 2012

AKRABKAN ANAK-ANAK DENGAN MASJID

Kewajipan Bapa

Memang menjadi kewajipan ayah untuk membawa anak-anak lelakinya ke masjid sejak kecil lagi. Terlebih dahulu fahamkan mereka tujuan ke masjid, cara memuliakan masjid dan keutamaan solat berjemaah. Kelak mereka datang ke masjid bkan kerana ikut-ikutan atau mengikut musim sahaja (musim perayaan) tetapi kerana Allah s.w.t. Namun usaha ini akan gagal jika si ayah juga menjadi seorang penjauh masjid. Tidak cukup dengan menghantar anak-anaknya tetapi diri sendiri liat berjemaah di masjid.

Peranan kaun ibu pula adalah menyiapkan pakaian bersih dan sesuai untuk dipakai oleh anak-anak ke masjid misalnya baju melayu, gamis dan seluar panjang yang bersih. Begitu juga pada hari jumaat anak-anak lelaki disediakan baju khas untuk hari tersebut. Anak-anak dipakaikan wangi-wangian dan disisir rambut supaya kemas. Alangkah bagusnya jika anak-anak kita dapat mecontohi Rasulullah s.a.w. Rasulullah sentiasa membawa kayu wangi untuk melerai-leraikan rambutnya supaya kemas dan berbau yang menyenangkan.

Sentiasa Memberi Dorongan
Ketika menyiapkan anak-anak, kita berikan mereka dorongan dan kata-kata nasihat. Biarlah berkali-kali supaya kata-kata itu melekat di fikiran anak-anak. “Anak-anak, sekejap lagi kita akan berurusan dengan Allah s.w.t, jagalah kebersihan dirimu dan masjid.” Atau nasihatkan mereka : “ Jagalah ahklak di masjid, jangan sampai mengganggu jemaah di sana.” Bagi ibu bapa yang mungkin pulang lewat dari tempat kerja, berusahalah mencari masa untuk membawa anak-anak ke masjid. Misalnya waktu isyak dan subuh. Jadikan waktu tersebut sebagai waktu keutamaan untuk anak-anak berada di masjid.

Mengapa Masjid Kurang Tumpuan? 

1.  Kurang aktiviti mesra remaja

Buangkan salah anggapan kepada anak-anak remaja bahawa masjid hanya tempat untuk solat semata-mata. Sebenarnya, banyak perkara yang boleh mereka manfaatkan ketika berada di masjid. Selain solat berjemaah atau mendengar kuliah-kuliah agama, mereka boleh jadikan masjid sebagai tempat menelaah pelajaran sekolah sesama mereka. Jika ada guru yang sukarela memberi kelas bimbingan, ini juga boleh menjadi daya tarikan kepada anak-anak mendekati masjid.
Libatkan anak-anak dengan program terbuka seperti sambutan Maulidur Rasul, Nisfu Syaaban, sambutan Maal Hijrah dan sebagainya. Mereka boleh diajak bergotong-royong membuat sepanduk, membersihkan karpet, menyusun telekung, membasuh kolah dan sebagainya. Jika masjid mengadakan majlis kenduri, anak-anak juga boleh diajak untuk turut menolong misalnya menghidangkan air, membasuh pinggan mangkuk, menggulung tikar dan sebagainya.

Jika tiada sebarang aktiviti di masjid, jadikan hari minggu sebagai waktu pengisian untuk anak-anak, misalnya mengajar mereka bernasyid, atau bermain alat-alat muzik seperti kompang, alat-alat lain yang akan mengiringi nasyid, belajar berpidato dan berolahraga. Biarlah anak-anak melihat Islam itu dinamik sebagai “The way of life”.

2.  Tiada tempat riadah atau permainan

Apabila Sayidina Umar r.a hendak mendirikan masjid, beliau akan melihat kawasan yang sesuai untuk masjid dan juga taman permainan. Ia akan menjadi tumpuan kanak-kanak bermain dan memudahkan mereka menuju ke masjid apabila menghampiri waktu solat. Bayangkan jika setiap masjid menyediakan kemudahan riadah, perpustakaan dan taman rekreasi, ia akan menjadi tarikan kepada remaja untuk mendampingi masjid.

Anak-Anak Kecil ke Masjid

Bolehkah membawa anak-anak kecil ke masjid? Imam Malik pernah ditanya tentangnya dan beliau menjawab : “Jika dia mengerti tatatertib (adab) di dalam masjid dan tidak bermain-main di dalamnya maka tidak mengapa miskipun dia masih kecil. Tetapi, jika dia tidak boleh menjaga hal tersebut dan suka bermain-main, hal ini tidak disukai.” Oleh sebab itu ajarkan kepada anak-anak kita tentang adab-adab ke masjid iaitu:

1.  Berniat

Berniat untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Juga untuk mencari pahala dan balasan. Ingatkan mereka dalam apa jua keadaan, anak-anak lelaki terutamanya hendaklah sentiasa mengutamakan solat berjemaah di masjid.

2.  Dahulukan kaki kanan

Jika hendak mula melangkah masuk ke dalam masjid, mulakan dengan kaki kanan. Susunkan selipar atau kasut di atas rak yang disediakan, kemudian ambil wuduk. Pastikan anak-anak tahu bagaimana membersihkan diri daripada najis. Pastikan kaki bersih apabila keluar dari tandas supaya tidak membawa najis ke dalam masjid.

3.  Solat sunat tahiyyatul masjid

Biasakan anak-anak sebelum duduk untuk menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebelum duduk sebagai memuliakan masjid. Rasulullah s.a.w menganjurkan perkara ini sebagaimana sabdanya yang bermaksud : “Sesiapa yang masuk kedalam masjid hendaklah dia mangerjakan solat dua rakaat sebelum duduk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4.  Menjaga akhlak dalam masjid

Ada kalanya kita melihat anak-anak kecil berlari-lari atau membuat bising di dalam masjid. Ini sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman para jemaah yang sedang solat atau mendengar kuliah pengajian. Mengapa anak-anak suka bersikap demikian?

Memanglah lumrah anak-anak bersifat nakal, suka berlari dan membuat bising. Namun keadaan ini tidak boleh dibiarkan kerana ia akan berlarutan dan berpanjangan. Sifat mazmumah ini patut dihindari sejak anak-anak masih kecil. Apabila para jemaah sedang solat sepatutnya mereka juga solat. Paling tidak, mereka duduk dibelakang masjid dan diam. Begitu juga ketika khatib sedang membaca khutbah, mereka juga sepatutnya diam. Justeru, kewajipan bagi ibu dan ayah supaya mengingatkan anak-anak mereka jangan sampai menimbulkan suasana tidak selesa di dalam masjid.

Setiap Anak Kecil Insan Istimewa

Walau bagaimanapun, anak-anak kecil perlu diberi perhatian istimewa. Rasulullah s.a.w sangat bimbang jika ada perkara-perkara yang akan memberatkan mereka. Misalnya dalam solat berjemaah, Baginda pernah mengingatkan para imam supaya meringankan solat. Ini menunjukkan baginda menyanyangi anak-anak kecil dan mahu mereka terus mengunjungi masjid. 

Jika ada jamuan di masjid, jangan lepaskan anak-anak begitu sahaja. Semasa mengambil makanan, ibu atau bapa perlu duduk dan makan bersama-sama anak untuk melihat atau memantau akhlak mereka. Ibubapalah yang akan memberi tunjuk ajar atau membetulkan kesalahan supaya anak-anak menjaga adab-adab makan. Semoga mereka dijauhi daripada melahap atau gelojoh ketika makan. Ingatkan mereka bahawa datang ke masjid atau surau bukan kerana adanya jamuan untuk memuaskan nafsu makan, sebaliknya ada tujuan yang lebih besar daripada itu. Datang ke masjid untuk membesarkan Allah s.w.t dan mencari keredaannya.

SUMBER : Majalah Solusi (ISU 39), Rashidah Mustaffa, Januari 2012


No comments:

Post a Comment