Friday, 27 January 2012

SEBARKAN CAHAYA ILMU

Belajar Untuk Keluar Daripada Kesesatan

Selain menurut perintah Allah Taala supaya mencari ilmu seperti yang dinukilkan dalam surah al-‘alaq, ayat 1 mafhum firman Allah s.w.t.: “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama tuhanmu yang menciptakan (Sekelian makhluk)” Maqasid utama mencari ilmu adalah untuk mengeluarkan diri kita daripada kegelapan dan kesesatan kepada cahaya ilmu. Jahil itu sesat dan gelap manakala ilmu itu hidayah dan cahaya. Imam al-Syafi’i pernah berkata: “Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang melakukan maksiat.”

Justeru, setiap pelajar perlu memasang niat bahawa ilmu yang dicari kerana Allah adalah semata-mata untuk menjauhkan dirinya daripada kesesatan. Bukankah dalam setiap rakaat solat, kita membaca surah al-Fatihah dan itu menunjukkan sekali gus kita berdoa supaya ditunjukan jalan yang benar. Inilah jalan-jalan orang yang diberikan nikmat kepada mereka dan bukan jalan orang yang dimurkai serta orang yang sesat. Siapakah orang yang sesat? Sahabat Nabi, ‘Adi bin Hatim r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w mengenai hal ini. Baginda s.a.w menjawab, maksudnya: “Mereka ialah orang Nasrani.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi). Mengapa mereka digelar sebagai orang yang sesat? Ini kerana mereka tiada ilmu, maka mereka tidak mendapat petunjuk kea rah kebenaran.

Memberi Manfaat Kepada Orang Lain

Setelah kita mendapat ilmu, jangan lupa untuk memberikannya kepada orang lain. Inilah yang dikatakan ilmu yang bermanfaat. Sabda Nabi s.a.w., maksudnya: “Apabila mati anak Adam, maka akan terputus segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak soleh mendoakannya.” Riwayat Muslim)

Ilmu yang dimanfaatkan ialah apa-apa yang ditinggalkan oleh seseorang sama ada dalam bentuk penulisan yang boleh dibaca oleh generasi lain, atau ilmu yang diajarkan kepada orang lain dan manusia dapat mengambil faedah daripada buku atau murid-muridnya.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebahagian daripada apa yang akan dihubungkan kepada orang beriman daripada amalan serta kebaikannya selepas mati ialah ilmu yang diajarkan dan disebarkan.” (Riwayat Ibn Majah). Lihatlah sumbangan para alim ulama silam terhadap dunia ilmu. Sehingga era moden sekarang kita masih membaca kitab-kitab yang dikarang oleh mereka. Inilah yang dikatakan ilmu yang dimanfaatkan.

Menghidupkan Ilmu

Tujuan atau maqasid lain mempelajari ilmu adalah untuk menghidupkan ilmu yang dipelajari. Imam al-Ghazali, tokoh tasawuf terkenal menulis kitab Ihya’ Ulum al-Din dengan maksud menghidupkan ilmu-ilmu agama. Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah ilmu yang dipelajari mesti dihidupkan. Bagaimana mahu menghidupkan ilmu? Jawapannya mudah iaitu dengan mengamalkan ilmu tersebut.

Saya pernah mendengar seorang mualaf berkata sebelum memeluk Islam beliau tidak melihat Islam itu pada diri orang Islam tetapi hanya menemui Islam dalam buku. Ini menunjukkan seolah-olah ilmu Islam yang kita ketahui tidak diamalkan. Jadi, untuk mendapatkan ilmu maka setiap perkara yang dipelajari hendaklah diamalkan. Orang Yahudi dimurkai Allah Taala kerana mereka mengetahui, namun enggan beramal dan mengikut apa-apa yang diketahui. Sebab itu gelaran mereka adalah “al-maghdub ‘alaihim” iaitu golongan yang dimurkai Allah.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Bandingan orang (Yahudi) yang diberi tanggungjawab dan ditugaskan kepada mereka (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, sama seperti keldai yang memikul bandela kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan (ingatlah) Allah tidak member hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu’ah 62:5)

Ibn al-Qayyim menjelaskan: “Perumpamaan ini dibuat untuk orang Yahudi dan dari segi makna ia juga merangkumi orang yang menanggung al-Quran (ada ilmu agama), namun ia meninggalkan daripada beramal dengannya dan tidak menunaikan hak-haknya serta tidak memeliharanya.” Oleh sebab itu beramallah dengan ilmu yang kita pelajari. Mengenang semula kata-kata hikmah yang kerap saya dengari ketika zaman sekolah dahulu: “Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.”

Itulah perumpamaan orang yang menuntut ilmu tetapi tidak beramal dengan apa-apa yang diketahuinya. Apa yang boleh difahami daripada kata-kata hikmah ini ialah pohon yang tidak berbuah tidak dapat memberikan apa-apa manfaat kepada tuannya. Inilah yang ditekankan oleh al-Hasan al-Basri: “Ilmu ada dua, iaitu ilmu (hanya) di lidah dan itu adalah hujah Allah atas anak Adam. Kemudian ilmu dalam hati dan itulah yang bermanfaat, ia meninggikan darjat dan menggugurkan dosa. Ilmu itu apabila ia tetap di hati ia akan dibenarkan oleh anggota tubuh badan dengan amalan.”

Semoga Allah member taufik dan hidayah kepada kita untuk menjadi orang yang mempunyai ilmu yang memberi manfaat di dunia dan akhirat. Amin.   

SUMBER : Solusi (Isu 39) Januari 2012 oleh, Nik Abd. Rahim Nik Abd. Ghani.

No comments:

Post a Comment