Thursday, 19 January 2012

TRANSFORMASI ORDE BARU GLOBAL UMAT ISLAM

Pada 26 dan 27 Oktober 2011, satu Kongres yang menempa sejarah di Malaysia diadakan di Kuala Lumpur anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan perkenan Persidangan Majlis Raja-Raja. Fokus Kongres yang julung kali diadakan ialah transformasi ummah dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di Malaysia sebagai pemacunya. Ia bertujuan menilai semula dan memperbaharui peranan dan meningkatkan impak MAIN dalam system pemerintahan negara, khasnya mengambil kira status istimewa agama Islam dalam sejarah pembentukan negara dan dalam perlembagaan Malaysia.

Saya bersyukur kerana diberi kesempatan membentang kertas ekonomi di bawah tajuk, ‘Wakaf Korporat Memperkasa Ekonomi Ummah’. Dua pembentang lain ialah Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Datuk Mustafa Abdul Rahman, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Sesi dipengerusikan oleh Dr. Abdul Malik Awang Kechil, Ketua Pengarah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Mustafa menekankan potensi peranan institusi zakat dan kaedah menigkatkan keupayaan dan prestasi pungutan zakat di peringkat negeri-negeri dengan mengaplikasikan pendekatan pengurusan terkini. Pengalaman Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dijadikan rujukan untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

Manakala Nik Mustapha menegaskan bagaimana system ekonomi kapitalis global yang didominasi barat kelihatan semakin lemah, setelah berlaku banyak kerosakan dan mengakibatkan masalah ekonomi dan ketidakadilan serta ketidak seimbangan sosial termasuk dibarat sendiri. Sistem ini kelihatan semakin tidak disenangi dan mendapat tentangan ramai. Tanda-tanda nyata juga menunjuk kea rah ketidaklestarian system, khasnya dalam bentuk dan corak yang dipraktikkan dalam lingkungan ideologi kapitalisme liberal. Justeru, keupayaan kelangsungan sistem semakin diragui. Dalam hal ini umat Islam berperanan penting dan berpeluang besar menyumbang kepada pembaharuan sistem ekonomi global mengikut acuan Islam.

Sementara saya mengutarakan Waqaf Korporat sebagai satu inovasi institusi Islam yang berupaya menggabungkan kekuatan korporat dengan ketahanan wakaf untuk membasmi kemiskinan, menjana nilai ekonomi dan menghimpun harta kekayaan. Waqaf Korporat juga berupaya mangatasi kebocoran hak milik bisnes muslim dan boleh menjadi dasar alternatif penswastaan, iaitu mengikut kaedah Islam yang menjamin kelangsungan hak milik, insya-Allah, sampai kiamat.

Pada jangka panjang, setelah diamalkan secara meluas, institusi ini berupaya memperkasa ekonomi ummah di samping menegakkan keadilan dan membasmi kezaliman ekonomi. Institusi yang berteraskan amanah serta pro bisnes dan pro pasaran ini berpotensi menggantikan amalan kapitalis barat yang kerap tidak perihatin. Sebaliknya menggalakkan kerakusan dan keserakahan sistem, menjadikannya greed-driven – iaitu punca utama kerosakan kehidupan dunia hari ini.

Saya juga menekankan, Wakaf Korporat bukan satu teori atas kertas atau slogan kosong. Pengalaman Waqaf An Nur Corporation Bhd. (WANCorp) yang dibentuk oleh Johor Corporation dengan persefahaman dan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor diketengahkan sebagai bukti nyata bagaimana inovasi institusi Waqaf Korporat ini boleh dibina dan dijayakan. Antaranya nilai harta wakaf yang semakin meningkat. WANCorp bermula pada 3 Ogos 2006 dengan pewakafan sebahagian saham syarikat tersenarai (PLC) milik JCorp dengan nilai RM200 juta. Nilai saham PLC yang diwakafkan ini dapat dilipatgandakan sehingga melebihi RM430 juta di akhir 2010 setelah pasaran saham Malaysia meningkat naik dalam tempoh sama.

Selain itu, pembahagian manfaat hasil dividen daripada salam PLC yang diwakaf juga menyumbang perkembangan jangka panjang harta Waqaf Korporat setelh 70 peratus dilabur semula menurut syarat hujah wakaf. Selebihnya 25 peratus diagihkan untuk manfaat fi sabilillah dan amal kebajikan. Sementara 5 peratus lagi diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Peluang dan kesempatan juga terbuka luas untuk membuktikan kesucian, kebesaran dan kemuliaan Islam dengan menentukan manfaat kebajikan turut membantu meringankan beban golongan miskin dan daif dalam kalangan warga bukan muslim.

Saya amat bersyukur kerana diakhir sidang, kongres menerima perakuan Kertas Kerja supaya Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri menubuhkan Waqaf Korporat Nasional di peringkat Persekutuan dan Waqaf Korporat negeri di peringkat negeri masing-masing. Perakuan ini dijadikan salah satu usul rasmi kongres.

Institusi Untuk Transformasi dan Orde Baru Global

Jelas sekali andainya kejayaan WANCorp dapat bercambah diperingkat nasional dan negeri-negeri, institusi Waqaf Korporat berupaya memperkasa ekonomi di samping mempertahan, membela dan melindungi kepentingan jangka panjang ummah. Selain itu menyumbang pertambahan nilai dan pertumbuhan ekonomi negara. Bayangkan, tidak mustahil satu hari nanti, andainya umat Islam bersatu tekad menghimpun sumber dan daya ummah global, mereka berupaya mengambil alih dan meneraju syarikat MNC global (seumpama KFC milik Amerika Syarikat – mengawal bisnes global menguntungkan dan kemudiannya menghalalkan makanan KFC di seluruh dunia!)

Sesungguhnya sistem ekonomi global hari ini semakin tidak menentu. Menjadikan seluruh orde kehidupan dunia terancam dan menantikan pembaharuan menyeluruh. Dalam senario bergolak hari ini, pembaharuan institusi sangat penting dan kaedah yang diperkenalkan seperti menerusi inovasi institusi Waqaf Korporat berpotensi memainkan peranan transformasi besar. Hal ini perlu diberi perhatian oleh dunia Islam, terutama di negara-negara Arab dan Asia Barat yang sedang dilanda tsunami transformasi dan revolusi. Jelas sekali revolusi di negara-negara seperti Tunisia, Mesir dan Libya telah dicetus oleh tindakan menolak korupsi, kronisme, kerakusan serta kesekongkolan kuasan golongan elit pemerintah dengan kepentingan sempit korporat swasta, akibat penciplakan sistem kapitalis liberal barat. Setelah revolusi terlaksana, rakyat terbabit menantikan pembaharuan sistem supaya lebih Islamik, adil, seimbang dan saksama.

Dalam urusan ini pengenalan institusi baru sangat penting. Dipercayai prinsip asas ekonomi Islam yang mensifatkan harta kekayaan sebagai anamah Allah s.w.t. wajib diterjemahkan menjadi reality. Ideologi Jihad Bisnes dan Institusi Waqaf Korporat adalah pembaharuan institusi yang berteraskan prinsip menegakkan kalimah Allah dan menginstitusikan amanah. Justeru kedua-duanya berpotensi membawa impak positif untuk disambut baik oleh ummah.

Kesimpulannya, Waqaf Korporat adalah satu kaedah institusi yang berupaya membawa impak pembaharuan menyeluruh dan transformasi bermakna khasnya bagi umat Islam di Malaysia. Institusi wakaf berperanan besar dalam sejarah perkembangan tamadun Islam di zaman kegemilangannya, iaitu sebelum barat mengatasinya. Barat Berjaya mengatasi kecemerlangan Islam setelah menghimpunkan kuasa ekonomi menerusi ideology penjajahan. Kemudiannya setelah menguasai teknologi, diikuti kejayaan membina himpunan kekayaan secara berorganisasi menerusi penubuhan syarikat dan korporat besar-besaran.

Tiba masanya umat Islam memperkasa ekonomi dengan menguasai bisnes (kerana Sembilan per sepuluh sumber rezeki berpunca dari bisnes), sekaligus memupuk perpaduan dan kebulatan ummah dengan menginstitusikan amanah dan memperjuangkan keadilan. Mereka juga wajib segera menggunakan kekuatan organisasi bisnes dan korporat, mengadaptasikannya supaya serasi dengan nilai dan kaedah Islam. Satu pilihan ialah menginstitusikan  hak milik bisnes strategik di bawah pegangan institusi kepentingan awam seumpama syarikat milik kerajaan (GLC), kepada koperasi atau kepada institusi Waqaf Korporat.

Umat Islam perlu menggunakan segala tenaga spiritual dan keupayaan institusi kurniaan Allah s.w.t. seperti wakaf untuk memperkasa ekonomi umat. Menerusi kaedah ini, usaha dapat dimulakan untuk mentransformasi orde global dan mentamadunkan semula kehidupan manusia di dunia mengikut acuan Islam iaitu merialisasikan tuntutan Allah s.w.t. menurunkan agama Islam ‘sebagai rahmat kepada sekelian alam’.

SUMBER : Al-Islam, Tahun ke-37, Bil : 453 (Disember 2011) oleh, Tan Sri Datuk Muhammad Ali Hashim, Pengerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad.


No comments:

Post a Comment