Tuesday, 26 June 2012

BUKHARA PERMATA BERHARGA PERADABAN ISLAM

“ Gemilang, Sejarah kebesaran Melambai rinduku, Ke kotamu Bukhara Walaupun kubahmu, Pudar ditelan zaman terpaku musafir di depanmu, Ditanahmu semangat syuhada bersemadi di dalam kenangan...”
Begitu indah bait-bait lagu “Lambaian Bukhara”, alunan daripada kumpulan Nasyid Firdaus. Jika kita hayati liriknya dari awal hingga ke akhir, ia memberikan gambaran betapa kagumnya penulis ini pada Kota Bukhara yang dahulunya megah mencapai kegemilangannya, sehinggakan ramai yang menggelarinya dengan pelbagai gelaran.

        Bukan pada lirik lagu ini sahaja, bahkan sasterawan agung Iran, Ali Akbar Dehkhoda menganggap Kota Bukhara sebagai “Gudang Pengetahuan” dan menjadi salah satu bandar yang penting dalam sejarah peradaban Islam.

        Begitu juga dengan penyair Jalaluddin Rumi Muhammad bin Hasin Al-Khattabi al-Bakri (Jalaluddn Rumi) yang begitu menyanjung Bukhara melalui ungkapan puisinya “Bukhara sumber pengetahuan. Oh, Bukhara pemilik pengetahuan”. Beliau menggambarkan kekagumannya kepada sebagai tanah kelahiran kebanyakan ulama dan ilmuwan besar yang telah banyak berjasa kepada masyarakat dunia.  Ilmuwan besar tersebut bukan sahaja telah menemui pelbagai penemuan baru, malah juga layak dijadikan panduan sehingga ke hari ini.

Pelbagai Nama

        Bandar Bukhara, mengikut sejarahnya yang sudah sekian lama, terletak di laluan sutera antara China dan Barat. Bandar ini bukan sahaja telah menjadi pusat perdagangan akademik, malah sebagai pusat kebudayaan dan keagamaan. Dikenali juga sebagai Buhe atau Puhe dalam bahasa China Tang, terdapat juga sumber yang berhujah nama Bukhara mungkin berasal daripada bahasa Tajik Soghdian yang bermaksud Bumi Bertuah.

         Namun ada juga yang mendakwa bahawa asal usul nama wilayah itu daripada perkataan Sanskrit, iaitu Vihara atau kuil berlandaskan kepada kepercayaan yang mengaitkannya dengan agama Buddha sebelum kedatangan Islam ke wilayah itu.

        Walau apapun hujahnya mengenai asal usul nama bandar Bukhara, yang pasti bandar ini telah menjadi oasis yang sejak berkurun lama unggul sebagai pusat perdagangan dan perkembangan ilmu Islam sehingga digelar Bukhori-i-Sharif atau Bukhori yang suci.

         Sebelum Islam menjengah masuk ke wilayah tersebut, kebanyakan masyarakat Bukhara masih memeluk Saman iaitu agama nenek moyang mereka dan juga memeluk agama Buddha. Kebanyakan seni bina bangunan-bangunan kuno yang terdapat di Bukhara juga dipengaruhi oleh seni bina dari Parsi dan Cina.

        Pasukan tentera Islam pertama menjejakkan kaki di Bukhara ialah pada 674 Masihi di bawah pimpinan Ubaidillah bin Ziyad. Pengaruh Islam benar-benar berkembang di wilayah itu pada 710 Masihi di bawah pimpinan Quthaibah bin Muslim. Seabad selepas berlaku Perang Talas, Islam terus kukuh dan berkembang. Pada tahun 850 Masihi, Bukhara menjadi ibu negara kerajaan Samanid yang menghidupkan kembali bahasa dan budaya Parsi di situ.

        Sepanjang 150 tahun berkuasa, Dinasti Samanid bukan sahaja menjadikan Bukhara sebagai pusat pemerintahan, tetapi juga pusat perdagangan yang menemukan pedagang dari Asia Barat dan China.

        Bandar ini kian berkembang dengan penghasilan kain sutera, tenunankain kapas, produk tembaga dan perhiasan dari emas serta perak, terkenal dengan buah-buahan serta menjadi pusat intelektual dunia Islam. Terdapat berpuluh monumen yang menjadi saksi akan kehebatan tamadun Bandar itu, khususnya selepas bertapaknya Islam di wilayah berkenaan.

     Bukhara pernah menjadi pusat intelektual dunia Islam. Di Bandar ini pernah wujud pelbagai sekolah yang menjadi pusat pengembangan ilmu pengetahuan. Bagi keluarga yang kaya-raya, mereka menggunakan sistem home schooling atau bagi member anak-anak mereka pendidikan yang secukupnya. Dari ilmu agama, ilmu kira-kira, perundangan, logic, muzik, sehinggalah ilmu sastera dan puisi. Perkembangan pendidikan di Bukhara itu telah membawa pengaruh yang positif dalam penyebaran bahasa Parsi dan Uzbek. Tanah Bukhara juga menjadi saksi lahirnya ulama dan ilmuwan Muslim yang masyhur.

     Bandar Bukhara juga pernah dikuasai, ditakluki dan diperintah oleh beberapa puak. Selepas dikuasai oleh bangsa Arab pada awalnya, Bukhara telah ditawan pula oleh puak Qarakhanid dan Tatar yang diketuai oleh Jengis Khan pada tahun 616H/1219M.

     Malangnya semasa di bawah pemerintahan Jengis Khan, banyak symbol ketamadunan serta perpustakaan yang dibakar. Malah sebahagian penduduk Bukhara dibunuh. Sejak itu, Bikhara tidak pernah bangkit lagi sebagai pusat peradaban dan perdagangan. Selepas pemerintahan Bukhara diambil alih oleh Timur Lank pada tahun (785 Hijrah / 1383 Masihi), bandar Bukhara dibina kembali dan ibu Negara kerajaan mereka pada tahun (911 Hijrah / 1505 Masihi).
     Kemudian Bukhara dikuasai pula oleh Iran dan Bukhara terus berada di bawah pemerintahan mereka beberapa ketika sehinggalah ia dikuasai oleh Russia pada tahun (1336 Hijrah / 1918 Masihi). Ketika Russia menerapkan sistem komunis di dalam pemerintahannya pada tahun (1342 Hijrah / 1923 Masihi), bandar Bukhara terus berada di bawah Persekutuan Sosialis Rusia (USSR), sehinggalah system tersebut tumbang pada tahun 1991 Masihi (1412 Hijrah), menyebabkan Bukhara menjadi salah sebuah Bandar di Negara merdeka Republik Uzbekistan.

Imam Bukhari

     Bagi kebanyakan umat Islam, Kota Bukhara ini pasti mengembalikan ingatan kita kepada kelahiran Abu Abdullah Muhammad bin Ismail Al-Bukhari atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Bukhari pada 13 Syawal 194 Hijrah atau 21 Julai 810.

     Menjadi yatim sejak kecil, Imam Al-Bukhari amat bijaksana dan mempunyai daya ingatan luar biasa kerana mampu menghafal hadis ketika berusia 10 tahun sehingga mendapat jolokan Amirul Mukminin fil Hadis. Diceritakan, beliau yang turut menguasai ilmu tafsir dan fikah dengan baik menjadi mangsa fitnah dan diusir daripada tanah kelahirannya sehingga wafat di Khartang ketika berusia 62 tahun.

     Bukhara sewaktu era kegemilangannya juga telah menyaksikan kelahiran ulama dan cendekiawan Islam terkemuka selain daripada Imam al-Bukhari, iaitu Ibnu Sina, Abu Hafs Umar bin Mansyur Al-Bukhara (Al-Bazzar) Hafis Abu Zakaria Abdurrahim, Ibnu Nasir Al-Bukhari, dan Abu Abbas Al-Magsisi Al-Hanbali.

     Selain itu, bandar Bukhara ini turut terkenal dengan monument-monumen bersejarah seperti Kubu Bandar Ark, Madrasah Mir-I Arab, Chor Minar, Menara Kalyan atau disebut juga Menara Kolon serta Masjid Jumaat.

     Kubu Bandar Ark yang dikelilingi tembok setinggi 30 meter, dikatakan telah dibina pada kurun pertama dan pernah menjadi kediaman pemimpin Bukhara, tetapi ia hampir musnah apabila diserang oleh tentera Soviet pada 1920. Selepas peperangan tersebut, kerja pemulihan Bandar serta kawasan kubu dilakukan dan kini dijadikan muzium, sekaligus membuka pintu rezeki buat penduduk tempatan yang menjual pelbagai jenis cenderahati.

     Menara Kalyan yang berusia 900 tahun setinggi 46 meter pula telah menjadi struktur paling menonjol selepas Kubu Bandar Ark dengan keunikan reka bentuknya yang tersendiri. Satu masa dulu, ia pernah berfungsi sebagai menara tinjau bagi mengawal keselamatan Bukhara dan turut menempatkan rumah api untuk memandu pedagang di Lluan Sutera. Menara yang dibina pada 1127 ini dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran dan mempunyai 14 lapisan lukisan geometri Islam, kekal utuh hingga kini yang dikatakan hasil campuran tanah liat dan susu unta dalam bahan binaannya.

     Kesemua monument-monumen ini masih lagi wujud dan boleh dilawati sekiranya kita berkunjung ke Uzbekistan. Sebahagian daripada lapisan sejarah bandar Bukhara yang dikisahkan ini pernah diriwayatkan melalui penulisan Behistun di dalam catatan diari seorang Raja Persia yang bertajuk Avesta. Namun, pengkaji sejarah bersepakat mengatakan bahawa isi kandungan Avesta hanyalah sebahagian kecil daripada kisah Bukhara, malah kandungan itu juga lebih tertumpu kepada bahagian barat Bukhara yang dikenali sebagai Sogdiana, ketika itu.

SUMBER : Majalah I, Disember 2011. Susunan : Mohd Azli Mohd Ali, m/s 38 - 39

No comments:

Post a Comment