Respons Vs Cry it out
Tahukah anda secara amnya, terdapat dua
pendekatan popular yang di guna pakai di dunia apabila berhadapan dengan
tangisan bayi?
Kumpulan Pertama:
Ibubapa yang akan memberi respons segera
setiap kali bayi menangis.
Kumpulan Kedua:
Ibubapa yang percaya dan mengamalkan kaedah cry
it out (CIO) , (juga dikenali sebagai controlled crying). Pengamal
CIO membiarkan bayi menangis atau mengabaikan tangisan bayi dalam tempoh waktu
tertentu sebelum memikirkan untuk memberi respons terhadap tangisan tersebut.
Pengamal CIO percaya kaedah ini dapat mendidik anak supaya tidak memanipulasi
tangisan sebagai alat untuk menarik perhatian, berdikari untuk menenangkan diri
sendiri serta belajar untuk menangis ketika perlu atau pada waktu yang sesuai
sahaja.
Adakah tangisan itu suatu perkara yang
negatif?
Umum mengetahui bahawa tangisan adalah
satu-satunya cara bayi berkomunikasi. Bayi tidak berfikir untuk menangis atau
sebelum menangis. Menangis adalah tindakan refleks.
Tiga sebab utama bayi menangis.
Pertama:
Untuk menyatakan keperluannya seperti lapar,
mengantuk atau ingin sendawa. Setiap keperluan asas ini diwakili oleh tindakan
refleks yang berbeza yang berlaku secara semula jadi di dalam badan bayi.
Apabila bunyi ditambah kepada tindakan refleks yang sedang mengambil tempat di
dalam badan bayi, maka bunyi yang unik dan tersendiri akan dihasilkan. Ia
serupa dengan fenomena sedu, sendawa, menguap, bersin atau batuk yang dialami
oleh orang dewasa. Bukankan semua fenomena itu berlaku secara spontan dan
datang dengan bunyi yang tersendiri?. Perbezaannya hanyalah bayi tidak pandai
mengungkapkan keperluannya dan untuk itu, bayi menangis bila keperluan yang
cuba disampaikannya tidak fahami atau gagal diberikan.
Kedua:
Bayi menangis untuk memberitahu ada sesuatu
yang tidak kena dengan dirinya. Ia seperti bayi merasa sakit atau kerana tidak
sihat.
Ketiga:
Kadang kala bayi menangis hanya kerana ingin
dipegang, di dukung, di belai atau diberi perhatian. Ia mungkin bukan satu
keperluan harian orang dewasa tetapi ia adalah keperluan harian penting bagi
bayi. Tanyalah kepada mana-mana pakar dan mereka akan memberitahu betapa
pentingnya belaian dan sentuhan terhadap perkembangan emosi, sahsiah dan
intelektual bayi.
Atas semua sebab yang telah dinyatakan, perlu
diketahui bahawa memberi respons kepada bayi yang menangis dengan apa cara
sekalipun tidak akan sekali-kali merosakkan bayi atau menjadikannya seorang
yang mengada-ngada. Bayi kecil tidak tahu perkara asas seperti beza siang dan
malam. Jadi belailah bayi anda apabila dia menangis.
Tangisan berlebihan boleh memudaratkan bayi
Sama ada anda pengamal CIO atau sebenarnya
tidak pernah tahu akan kewujudan istilah tersebut, satu fakta penting yang
harus diketahui oleh semua orang ialah tangisan berlebihan boleh memudaratkan
bayi.
Sains memberitahu kita bahawa bayi akan
merasa panik dan resah bila dibiarkan menangis tanpa diberi perhatian. Lebih
daripada itu, ia amat memudaratkan bayi serta memberi impak negatif terhadap
otak bayi.
Fakta di bawah adalah penerangan sains
terhadap perkara ini:
1.
Ketidakstabilan hormon dan bahan kimia di
dalam otak
-Kajian mendapati, bayi yang sering dibiarkan
bersendirian dalam suasana yang tertekan mempunyai tahap lambakan hormon
Kortisol (stress related hormone) yang abnormal. Dr. Allan Schore dari UCLA
School of Medicine menjelaskan lambakan hormon ini memusnahkan hubungan antara
saraf di bahagian penting otak bayi yang sedang berkembang.
-Kajian lanjutan berkaitan impak negatif
tangisan terhadap otak menunjukkan bayi mengalami potensi peningkatan 10X ganda
menjadi kanak-kanak ADHD (Attention Deficit and Hyper Activity Disorder). Iaitu
kurang tumpuan pembelajaran di sekolah dan kemahiran sosial yang lemah.
2.
Kemunduran perkembangan intelektual, emosi
dan kemahiran sosial
-Pasukan Dr Rao dari National Institutes of
Health USA membuktikan, bayi yang mengalami episod tangisan yang berpanjangan (
tetapi bukan di sebabkan kolik) pada tiga bulan pertama hidupnya mempunyai
tahap IQ rendah iaitu purata 9 mata kurang menjelang usia lima tahun berbanding
kanak-kanak lain. Kanak-kanak ini juga menunjukkan kelembapan perkembangan
fungsi motor badan.
-Para pengkaji di Universiti
Pennsylvania dan Arizona pula mendapati, bayi yang menangis secara berlebihan
di awal usianya mempamerkan kesukaran mengawal emosi seawal usia 10 bulan
dan menjadi sangat cerewet walaupun ketika cuba ditenangkan.
INFO
Alat bantu anda
Terdapat banyak cara untuk membantu orang
yang terlibat dalam penjagaan bayi anda dalam memahami tangisan bayi. Salah
satu caranya adalah memperkenalkan sistem Dunstan Baby Language: iaitu sistem
yang mengajar mentafsir maksud tangisan bayi dengan tepat berdasarkan
bunyi-bunyian pra-vokal yang dihasilkan bayi sebelum memulakan tangisan.
Bunyi-bunyian pra-vokal ini dihasilkan oleh tindak balas refleks dalam badan
bayi dan merangkumi lima bunyi rutin bayi iaitu lapar, mengantuk, ingin
sendawa, tak selesa dan kembung perut. Mereka hanya perlu menonton DVD Dunstan
Baby Language yang mengandungi sampel kelima-lima tangisan bayi yang disebutkan.
Berlatih mendengar berulang kali sebelum membandingkannya dengan tangisan bayi
anda. Terdapat juga penerangan ringkas bagi setiap bunyi, cara-cara menenangkan
bayi bagi setiap tangisan yang dilakonkan semula oleh pakar serta tip berguna.
Ingat! Tangisan bayi itu tak mengapa namun membiarkan bayi menangis sendirian
itu suatu masalah.
(Sumber:
Majalah Pa&Ma Disember 2012)