Wednesday, 30 January 2013

KENALI PERIHAL TANGISAN BAYI

Respons Vs Cry it out

Tahukah anda secara amnya, terdapat dua pendekatan popular yang di guna pakai di dunia apabila berhadapan dengan tangisan bayi?

Kumpulan Pertama:

Ibubapa yang akan memberi respons segera setiap kali bayi menangis.

Kumpulan Kedua:

Ibubapa yang percaya dan mengamalkan kaedah cry it out (CIO) , (juga dikenali sebagai controlled crying). Pengamal CIO membiarkan bayi menangis atau mengabaikan tangisan bayi dalam tempoh waktu tertentu sebelum memikirkan untuk memberi respons terhadap tangisan tersebut. Pengamal CIO percaya kaedah ini dapat mendidik anak supaya tidak memanipulasi tangisan sebagai alat untuk menarik perhatian, berdikari untuk menenangkan diri sendiri serta belajar untuk menangis ketika perlu atau pada waktu yang sesuai sahaja.

Adakah tangisan itu suatu perkara yang negatif?

Umum mengetahui bahawa tangisan adalah satu-satunya cara bayi berkomunikasi. Bayi tidak berfikir untuk menangis atau sebelum menangis. Menangis adalah tindakan refleks.
Tiga sebab utama bayi menangis.

Pertama:

Untuk menyatakan keperluannya seperti lapar, mengantuk atau ingin sendawa. Setiap keperluan asas ini diwakili oleh tindakan refleks yang berbeza yang berlaku secara semula jadi di dalam badan bayi. Apabila bunyi ditambah kepada tindakan refleks yang sedang mengambil tempat di dalam badan bayi, maka bunyi yang unik dan tersendiri akan dihasilkan. Ia serupa dengan fenomena sedu, sendawa, menguap, bersin atau batuk yang dialami oleh orang dewasa. Bukankan semua fenomena itu berlaku secara spontan dan datang dengan bunyi yang tersendiri?. Perbezaannya hanyalah bayi tidak pandai mengungkapkan keperluannya dan untuk itu, bayi menangis bila keperluan yang cuba disampaikannya tidak fahami atau gagal diberikan.

Kedua:

Bayi menangis untuk memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Ia seperti bayi merasa sakit atau kerana tidak sihat.

Ketiga:

Kadang kala bayi menangis hanya kerana ingin dipegang, di dukung, di belai atau diberi perhatian. Ia mungkin bukan satu keperluan harian orang dewasa tetapi ia adalah keperluan harian penting bagi bayi. Tanyalah kepada mana-mana pakar dan mereka akan memberitahu betapa pentingnya belaian dan sentuhan terhadap perkembangan emosi, sahsiah dan intelektual bayi.
Atas semua sebab yang telah dinyatakan, perlu diketahui bahawa memberi respons kepada bayi yang menangis dengan apa cara sekalipun tidak akan sekali-kali merosakkan bayi atau menjadikannya seorang yang mengada-ngada. Bayi kecil tidak tahu perkara asas seperti beza siang dan malam.  Jadi belailah bayi anda apabila dia menangis.

Tangisan berlebihan boleh memudaratkan bayi

Sama ada anda pengamal CIO atau sebenarnya tidak pernah tahu akan kewujudan istilah tersebut, satu fakta penting yang harus diketahui oleh semua orang ialah tangisan berlebihan boleh memudaratkan bayi.
Sains memberitahu kita bahawa  bayi akan merasa panik dan resah bila dibiarkan menangis tanpa diberi perhatian. Lebih daripada itu, ia amat memudaratkan bayi serta memberi impak negatif terhadap otak bayi.

Fakta di bawah adalah penerangan sains terhadap perkara ini:

1.    Ketidakstabilan hormon dan bahan kimia di dalam otak

-Kajian mendapati, bayi yang sering dibiarkan bersendirian dalam suasana yang tertekan mempunyai tahap lambakan hormon Kortisol (stress related hormone) yang abnormal. Dr. Allan Schore dari UCLA School of Medicine menjelaskan lambakan hormon ini memusnahkan hubungan antara saraf di bahagian penting otak bayi yang sedang berkembang.

-Kajian lanjutan berkaitan impak negatif tangisan terhadap otak menunjukkan bayi mengalami potensi peningkatan 10X ganda menjadi kanak-kanak ADHD (Attention Deficit and Hyper Activity Disorder). Iaitu kurang tumpuan pembelajaran di sekolah dan kemahiran sosial yang lemah.

2.    Kemunduran perkembangan intelektual, emosi dan kemahiran sosial

-Pasukan Dr Rao dari National Institutes of Health USA membuktikan, bayi yang mengalami episod tangisan yang berpanjangan ( tetapi bukan di sebabkan kolik) pada tiga bulan pertama hidupnya mempunyai tahap IQ rendah iaitu purata 9 mata kurang menjelang usia lima tahun berbanding kanak-kanak lain. Kanak-kanak ini juga menunjukkan kelembapan perkembangan fungsi motor badan.

-Para pengkaji  di Universiti Pennsylvania dan Arizona pula mendapati, bayi yang menangis secara berlebihan di awal usianya  mempamerkan kesukaran mengawal emosi seawal usia 10 bulan dan menjadi sangat cerewet walaupun ketika cuba ditenangkan.

INFO

Alat bantu anda

Terdapat banyak cara untuk membantu orang yang terlibat dalam penjagaan bayi anda dalam memahami tangisan bayi. Salah satu caranya adalah memperkenalkan sistem Dunstan Baby Language: iaitu sistem yang mengajar mentafsir maksud tangisan bayi dengan tepat berdasarkan bunyi-bunyian pra-vokal yang dihasilkan bayi sebelum memulakan tangisan. Bunyi-bunyian pra-vokal ini dihasilkan oleh tindak balas refleks dalam badan bayi dan merangkumi lima bunyi rutin bayi iaitu lapar, mengantuk, ingin sendawa, tak selesa dan kembung perut. Mereka hanya perlu menonton DVD Dunstan Baby Language yang mengandungi sampel kelima-lima tangisan bayi yang disebutkan. Berlatih mendengar berulang kali sebelum membandingkannya dengan tangisan bayi anda. Terdapat juga penerangan ringkas bagi setiap bunyi, cara-cara menenangkan bayi bagi setiap tangisan yang dilakonkan semula oleh pakar serta tip berguna. Ingat! Tangisan bayi itu tak mengapa namun membiarkan bayi menangis sendirian itu suatu masalah.

(Sumber: Majalah Pa&Ma Disember 2012)


1 comment:

  1. Tangisan bayi yang berlaku mungkn jugak mengalami gangguan daripada makhluk Allah yang kita sendiri tidak nampak.. Maka kita seharusnya menyediakan benda yang buleh terjadinya gangguan tersebut

    ReplyDelete