Wednesday, 2 July 2014

HUKUM MENGENAI URUSAN JUAL BELI (TRADING) EMAS ATAU PERAK SECARA ONLINE (BROKER)



SOALAN:

Saya ingin mendapatkan kepastian mengenai hukum mengenai urusan jual beli (trading) emas atau perak secara online (broker). Saya difahamkan urusan jual beli matawang (forex) secara online adalah haram. Bagaimana dengan jual beli emas atau perak?

PENJELASAN:

Sebagaimana dimaklumi bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik sepertimana yang diamalkan pada hari ini melalui broker-broker forex adalah tidak menepati hukum-hakam al-
arf.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik, dan memutuskan antara lain:

“….bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara”.

Hukum ini juga adalah terpakai kepada perdagangan komodoti yang bersifat ribawi iaitu emas dan perak melalui platfom forex. Ini kerana isu-isu syariah yang timbul berkenaan dengan perdagangan emas dan perak melalui platform elektronik adalah sama dengan isu-isu syariah dalam perdagangan forex secara online.

Secara ringkas, isu-isu syariah yang terdapat dalam operasi pelaburan emas maya adalah:

Pertama: Isu leverage Sebagaimana dalam forex secara online, operasi perdagangan emas dan perak melalui platform forex juga dijalankan dengan adanya kemudahan leverage. Leverage telah ditakyīfkan sebagai pinjaman kewangan (qard), dan dimaklumi bahawa setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat kepada pemberi pinjam adalah riba yang diharamkan. Unsur leverage juga menimbulkan isu pensyaratan akad jual beli di dalam akad qard.

Kedua: Isu Qabd Dalam operasi perdagangan emas dan perak menggunakan platform elektronik, isu qabd berlaku apabila emas yang dibeli oleh pelabur ketika membuka posisi tidak akan dikreditkan ke dalam akaunnya, sehingga dia menutup balik posisi dengan menjualnya kepada broker. Ini bermakna, tidak berlaku qabd samada hakiki atau hukmi ketika transaksi pembelian emas dijalankan.

Ketiga: Penjualan sesuatu yang tiada dalam pegangan Dalam konteks perdagangan emas dan perak melalui platform forex, penjualan emas sebelum qabd berlaku dalam dua keadaan:

Pertama: Ketika pelabur membuat penutupan posisi (close position), dia akan menjual balik emas yang dibelinya dari broker, sedangkan dia belum lagi melakukan qabd terhadap emas tersebut.

Kedua: Ketika pelabur memulakan transaksi dengan membuka posisi short (menjual emas), dia telah membuat transaksi penjualan emas yang tidak dimilikinya dan tidak ada dalam pegangannya.

Justeru, perniagaan emas dan perak menggunakan platform elektronik adalah tidak menepati hukum syarak. Ia juga menyalahi beberapa Parameter Pelaburan Emas yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, iaitu Parameter No. 5, 11, 13, 20 dan 23. (rujuk Parameter Pelaburan Emas: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa kebangsaan/parameter-pelaburan-emas)


Sumber: Fatwa Malaysia


No comments:

Post a Comment