Friday, 31 October 2014

ZAKAT MAS KAHWIN



Oleh : Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif
Komunikasi Korporat,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

SOALAN: Saya ada beberapa persoalan mengenai zakat dan mohon pencerahan pihak ustaz. Pertama, mengenai mahar atau ‘mas kahwin’ yang diberikan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita yang dinikahinya, adakah ia wajib dizakatkan? Kedua, adakah seorang wanita yang menerima elaun bulanan daripada suaminya juga wajib mengeluarkan zakatnya? Ketiga, adakah seorang wanita yang kematian suami dan telah diwasiatkan oleh suaminya untuk mengelolakan harta tertentu bagi pihak anak-anaknya yang masih di bawah usia baligh, wajib mengeluarkan zakat bagi pihak anak-anaknya? Harap penjelasan ustaz, terima kasih.


JAWAPAN: Alhamdulillah, sesungguhnya persoalan-persoalan yang dikemukakan ini amat baik sebenarnya bagi memberikan pencerahan kepada kalangan majoriti umat Islam yang mungkin selama ini masih kabur mengenai persoalan zakat seperti di atas ini. Mudah-mudahan, Allah SWT membantu saya dalam menyajikan jawapan yang terbaik, amin. Baiklah, mari kita telusuri satu persatu soalan yang dikemukakan.

Pertama, mengenai mahar atau mas kahwin yang diberikan kepada seorang wanita, maka adakah ia wajib dizakatkan? Ada beberapa pandangan fuqaha dalam hal ini, namun majoriti fuqaha berpandangan bahawa mahar yang diberikan itu, maka ia wajib dizakatkan. Cumanya, apakah bentuk mahar berkenaan? Ini kerana, mahar tidak semestinya dalam bentuk emas, kerana ia juga boleh dalam bentuk wang, harta yang bernilai yang lain hatta boleh juga dalam bentuk bukan harta, seperti mana diriwayatkan oleh Imam Muslim, ada sahabat nabi yang bernikah hanya membayar maharnya dengan beberapa surah daripada al-Quran kerana kemiskinannya tidak memungkinkan dia memberikan hartanya. Maka, fuqaha menyatakan jika ia diberikan dalam bentuk emas, hendaklah disandarkan kepada zakat emas. Jika diberikan dalam bentuk wang, maka ia boleh dicampurkan dengan lain-lain harta perolehan (pendapatan) dan dikeluarkan zakatnya sebagai zakat pendapatan. Jika dalam bentuk harta lain yang tidak berkembang, misalnya diberikan sebuah kereta atau rumah atau tanah, maka tidaklah wajib dizakatkan, kecuali harta itu berubah sifatnya menjadi harta yang berkembang (mendatangkan wang seperti disewa atau dijualkan). Jika maharnya dalam bentuk bukan harta (seperti sepotong surah), maka tidak adalah zakat ke atasnya (rujuk Dr. Amir Said az-Zahari, Tanya Jawab Tentang Zakat, hal. 21).

Kedua, mengenai zakat ke atas wang elaun bulanan yang diberikan oleh seorang suami kepada isterinya? Hakikatnya, bukan sahaja wang elaun bulanan daripada seorang suami kepada isteri, malah ia juga boleh dikembangkan lagi kepada semua jenis pemberian daripada orang-orang yang lain, misalnya daripada anak-anak, daripada saudara-mara hatta sesiapa sahaja. Ini kerana, setiap pemberian itu hakikatnya bersifat harta perolehan kepada si penerima. Berdasarkan fatwa zakat pendapatan di Selangor, semua jenis harta perolehan termasuklah pemberian daripada seseorang, maka ia dikategorikan sebagai pendapatan dan wajib dizakatkan sebagai zakat pendapatan. Maka, di sini jelaslah pemberian elaun daripada suami kepada isterinya itu, wajib dizakatkan. Cuma, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu apakah elaun bulanan itu diberikan oleh suami, sebagai elaun khusus buat isteri atau perbelanjaan asasi bagi rumahtangga. Misalnya, jika si suami memberikan RM4,000 dan diberi tahu kepada isterinya, RM2,000 adalah untuk keperluan rumahtangga, misalnya untuk belanja dapur, bayaran bil elektrik dan air serta sebagainya lagi, dan RM2,000 lagi ialah khusus untuk isterinya, maka hanya RM2,000 itu sahajalah yang wajib dizakatkan oleh isterinya sebagai zakat pendapatan.

Ketiga, apabila seseorang ibu atau wanita itu menerima wasiat suaminya untuk mengelolakan sebahagian harta bagi pihak anak-anaknya, maka di sini pengelolaan tersebut termasuklah juga kewajipan menjaga hak zakat ke atasnya. Ini kerana, wasiat mengelolakan harta tersebut bermaksud menjaga agar harta itu tidak binasa, dan berzakat adalah salah satu cara agar harta tidak binasa, yakni disejahterakan oleh Allah SWT daripada sebarang mara bahaya. Hadis Nabi Muhammad SAW: “Lazimnya habuan (bahagian) zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, (maka tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta itu.” (Hadis riwayat Imam Syafie) Dan sebuah hadis lagi: “Peliharalah hartamu dengan zakat dan ubatilah penyakitmu dengan sedekah.” (Hadis riwayat Imam Tabrani) Manakala, kewajipan zakat kepada harta yang dikendalikan bagi anak-anak sememangnya ada dalil khusus baginya, seperti mana yang disebutkan di dalam suatu hadis: “Berniaga, labur atau usahakanlah harta-harta anak yatim, semoga ia tidak surut (semakin berkurang) dengan (sebab) zakat (dizakatkan setiap tahun sehingga harta terus menjadi sedikit).” (Hadis riwayat Imam Baihaqi) Maka, berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa nabi sendiri memerintahkan agar harta milik anak-anak yatim yang dipelihara oleh penjaganya, maka hendaklah dizakatkan dan dalam masa yang sama juga, harta itu perlu dikembangkan, agar ia tidak menyusut kerana zakat yang dikeluarkan ke atasnya saban tahun. Dengan menggunakan konsep qiyas di dalam hukum Islam, hal ini juga bolehlah dikembangkan kepada sesiapa sahaja yang diamanahkan menjaga harta bagi pihak orang lain. Misalnya harta bagi orang yang dipenjara, dibuang negeri dan sebagainya. Maka, kewajipan zakat ke atasnya juga masih terlaksana, yakni ditunaikan oleh si penjaga, sesuai dengan mafhum hadis di atas. Hal ini sesuai dengan konsep ibadah zakat itu sendiri yang berbentuk ibadah maliyyah atau harta benda, dan kewajipan ke atasnya harus terlaksana apabila ada orang yang dipertanggungjawabkan mengendalikannya secara sepenuhnya, bagi pihak pemilik asalnya. Ia juga menepati kehendak Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan hendaklah kamu bertolong bantu dalam perkara baik dan ketakwaan.” (al-Maidah:2) Apabila penjaganya mengeluarkan zakat bagi harta berkenaan, maka akan terlepaslah beban zakat kepada pemiliknya yang mungkin terpenjara. Hal ini samalah seperti kes, orang yang mati dan dia mempunyai qada zakat, maka kewajipan menunaikan qada zakat itu terbeban atas bahu warisnya dan sebahagian fuqaha menyatakan, warisnya wajib mengeluarkan zakatnya walaupun tidak diwasiatkan oleh si mati (rujuk Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 28).

Kesimpulannya, kewajipan zakat itu adalah sesuatu yang wajib diperhatikan kerana ia bukanlah kewajipan seperti solat atau puasa dan haji yang lebih bersifat ibadah badaniyyah, melainkan ia kewajipan harta yang boleh diwakilkan kepada orang lain untuk dilaksanakan sehingga terlepaslah diri seseorang daripada tanggungan dosa kerana mengingkarinya. Wallahua’lam.