Oleh : Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif
Komunikasi Korporat,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
SOALAN: Saya ada beberapa persoalan mengenai zakat
dan mohon pencerahan pihak ustaz. Pertama, mengenai mahar atau ‘mas kahwin’
yang diberikan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita yang dinikahinya, adakah
ia wajib dizakatkan? Kedua, adakah seorang wanita yang menerima elaun bulanan
daripada suaminya juga wajib mengeluarkan zakatnya? Ketiga, adakah seorang
wanita yang kematian suami dan telah diwasiatkan oleh suaminya untuk mengelolakan
harta tertentu bagi pihak anak-anaknya yang masih di bawah usia baligh, wajib
mengeluarkan zakat bagi pihak anak-anaknya? Harap penjelasan ustaz, terima
kasih.
JAWAPAN: Alhamdulillah, sesungguhnya persoalan-persoalan yang dikemukakan ini
amat baik sebenarnya bagi memberikan pencerahan kepada kalangan majoriti umat
Islam yang mungkin selama ini masih kabur mengenai persoalan zakat seperti di
atas ini. Mudah-mudahan, Allah SWT membantu saya dalam menyajikan jawapan yang
terbaik, amin. Baiklah, mari kita telusuri satu persatu soalan yang
dikemukakan.
Pertama, mengenai mahar atau mas kahwin yang diberikan
kepada seorang wanita, maka adakah ia wajib dizakatkan? Ada beberapa pandangan
fuqaha dalam hal ini, namun majoriti fuqaha berpandangan bahawa mahar yang
diberikan itu, maka ia wajib dizakatkan. Cumanya, apakah bentuk mahar
berkenaan? Ini kerana, mahar tidak semestinya dalam bentuk emas, kerana ia juga
boleh dalam bentuk wang, harta yang bernilai yang lain hatta boleh juga dalam
bentuk bukan harta, seperti mana diriwayatkan oleh Imam Muslim, ada sahabat
nabi yang bernikah hanya membayar maharnya dengan beberapa surah daripada
al-Quran kerana kemiskinannya tidak memungkinkan dia memberikan hartanya. Maka,
fuqaha menyatakan jika ia diberikan dalam bentuk emas, hendaklah disandarkan
kepada zakat emas. Jika diberikan dalam bentuk wang, maka ia boleh dicampurkan
dengan lain-lain harta perolehan (pendapatan) dan dikeluarkan zakatnya sebagai
zakat pendapatan. Jika dalam bentuk harta lain yang tidak berkembang, misalnya
diberikan sebuah kereta atau rumah atau tanah, maka tidaklah wajib dizakatkan,
kecuali harta itu berubah sifatnya menjadi harta yang berkembang (mendatangkan wang
seperti disewa atau dijualkan). Jika maharnya dalam bentuk bukan harta (seperti
sepotong surah), maka tidak adalah zakat ke atasnya (rujuk Dr. Amir Said
az-Zahari, Tanya Jawab Tentang Zakat, hal. 21).
Kedua, mengenai zakat ke atas wang elaun bulanan
yang diberikan oleh seorang suami kepada isterinya? Hakikatnya, bukan sahaja
wang elaun bulanan daripada seorang suami kepada isteri, malah ia juga boleh dikembangkan
lagi kepada semua jenis pemberian daripada orang-orang yang lain, misalnya daripada
anak-anak, daripada saudara-mara hatta sesiapa sahaja. Ini kerana, setiap
pemberian itu hakikatnya bersifat harta perolehan kepada si penerima. Berdasarkan
fatwa zakat pendapatan di Selangor, semua jenis harta perolehan termasuklah
pemberian daripada seseorang, maka ia dikategorikan sebagai pendapatan dan
wajib dizakatkan sebagai zakat pendapatan. Maka, di sini jelaslah pemberian
elaun daripada suami kepada isterinya itu, wajib dizakatkan. Cuma, hendaklah
diperhatikan terlebih dahulu apakah elaun bulanan itu diberikan oleh suami,
sebagai elaun khusus buat isteri atau perbelanjaan asasi bagi rumahtangga.
Misalnya, jika si suami memberikan RM4,000 dan diberi tahu kepada isterinya,
RM2,000 adalah untuk keperluan rumahtangga, misalnya untuk belanja dapur,
bayaran bil elektrik dan air serta sebagainya lagi, dan RM2,000 lagi ialah
khusus untuk isterinya, maka hanya RM2,000 itu sahajalah yang wajib dizakatkan
oleh isterinya sebagai zakat pendapatan.
Ketiga, apabila seseorang ibu atau wanita itu
menerima wasiat suaminya untuk mengelolakan sebahagian harta bagi pihak
anak-anaknya, maka di sini pengelolaan tersebut termasuklah juga kewajipan
menjaga hak zakat ke atasnya. Ini kerana, wasiat mengelolakan harta tersebut
bermaksud menjaga agar harta itu tidak binasa, dan berzakat adalah salah satu
cara agar harta tidak binasa, yakni disejahterakan oleh Allah SWT daripada
sebarang mara bahaya. Hadis Nabi Muhammad SAW: “Lazimnya habuan (bahagian)
zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta,
(maka tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta itu.” (Hadis
riwayat Imam Syafie) Dan sebuah hadis lagi: “Peliharalah hartamu dengan zakat
dan ubatilah penyakitmu dengan sedekah.” (Hadis riwayat Imam Tabrani) Manakala,
kewajipan zakat kepada harta yang dikendalikan bagi anak-anak sememangnya ada
dalil khusus baginya, seperti mana yang disebutkan di dalam suatu hadis: “Berniaga, labur atau
usahakanlah harta-harta anak yatim, semoga ia tidak surut (semakin berkurang)
dengan (sebab) zakat (dizakatkan setiap tahun sehingga harta terus menjadi
sedikit).” (Hadis riwayat Imam Baihaqi) Maka, berdasarkan hadis di atas, jelas
bahawa nabi sendiri memerintahkan agar harta milik anak-anak yatim yang
dipelihara oleh penjaganya, maka hendaklah dizakatkan dan dalam masa yang sama
juga, harta itu perlu dikembangkan, agar ia tidak menyusut kerana zakat yang
dikeluarkan ke atasnya saban tahun. Dengan menggunakan konsep qiyas di dalam
hukum Islam, hal ini juga bolehlah dikembangkan kepada sesiapa sahaja yang
diamanahkan menjaga harta bagi pihak orang lain. Misalnya harta bagi orang yang
dipenjara, dibuang negeri dan sebagainya. Maka, kewajipan zakat ke atasnya juga
masih terlaksana, yakni ditunaikan oleh si penjaga, sesuai dengan mafhum hadis
di atas. Hal ini sesuai dengan konsep ibadah zakat itu sendiri yang berbentuk
ibadah maliyyah atau harta benda, dan kewajipan ke atasnya harus terlaksana
apabila ada orang yang dipertanggungjawabkan mengendalikannya secara
sepenuhnya, bagi pihak pemilik asalnya. Ia juga menepati kehendak Allah SWT di
dalam al-Quran: “Dan hendaklah kamu bertolong bantu dalam perkara baik dan
ketakwaan.” (al-Maidah:2) Apabila penjaganya mengeluarkan zakat bagi harta
berkenaan, maka akan terlepaslah beban zakat kepada pemiliknya yang mungkin
terpenjara. Hal ini samalah seperti kes, orang yang mati dan dia mempunyai qada
zakat, maka kewajipan menunaikan qada zakat itu terbeban atas bahu warisnya dan
sebahagian fuqaha menyatakan, warisnya wajib mengeluarkan zakatnya walaupun tidak
diwasiatkan oleh si mati (rujuk Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh
Wanita Jilid 2, hal. 28).
Kesimpulannya, kewajipan zakat itu adalah
sesuatu yang wajib diperhatikan kerana ia bukanlah kewajipan seperti solat atau
puasa dan haji yang lebih bersifat ibadah badaniyyah, melainkan ia kewajipan
harta yang boleh diwakilkan kepada orang lain untuk dilaksanakan sehingga
terlepaslah diri seseorang daripada tanggungan dosa kerana mengingkarinya.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment