Tuesday, 19 August 2014

APABILA ULAMA DAN UMARA’ BERGANDINGAN


Oleh : Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri

Gejala kebejatan akidah, keruntuhan akhlak dan kelunturan nilai-nilai murni yang melanda umat Islam ini semakin membimbangkan. Persekitaran kehidupan yang mementingkan materialistik telah mengheret masyarakat bersikap dingin terhadap akhlak buruk yang dilakukan oleh golongan tertentu.

Masyarakat perlu diberi kesegaran agar menghayati konsep ‘menyeru kepada kebaikan’ dan ‘mencegah kemungkaran’ sebagai satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

Membetulkan Nawaitu

Tujuan sebenar pelaksanaan nahi mungkar adalah untuk mencari keredaan Allah. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Tujuan Islam menitikberatkan ikhlas bukan bertujuan untuk membebankan manusia tetapi kehidupan ini tidak akan sempurna melainkan dengan keberadaan orang yang ikhlas. Bala paling besar yang menimpa dunia adalah wujudnya golongan ahli dunia dan riyak. Sesungguhnya islam tidak reda dengan kewujudan dua golongan ini:

1.    Golongan yang tidak mencari reda Allah
2.    Golongan yang mencari sesuatu selain daripada Allah.

Sesungguhnya keikhlasan yang menyatukan kehidupan seorang Muslim. Seorang Muslim menjadikan segala kehidupannya kerana Allah sama ada dalam solat, ibadah, kehidupan dan kematian kerana Allah. Bacalah sejarah yang menjadi sebaik-baik bukti seperti kisah Abu Ghiyas al-Hanafi dan ramai lagi.”  

Umara’ Pembimbing

Sultan Salahuddin al-Ayyubi seorang tokoh pahlawan Islam dan Raja yang gagah. Ketokohan beliau memimpin pasukan tentera merampas kembali Baitulmaqdis (al-Quds) membuahkan kejayaan setelah penjajahan hitam selama 88 tahun. Malah kejayaan menghancurkan tentera salib terpahat dalam sejarah sebagai lambang kejayaan agung menundukkan musuh yang kejam. Beliau juga seorang yang sangat warak dalam beribadah hingga digambarkan seolah-olah seorang abid pada waktu malam yang sentiasa berzikir dan bermunajat kepada Allah. Siangnya seperti singa yang tangkas berjuang di medan pertempuran. Solat berjemaah dan puasa sunat adalah rutin harian yang tidak pernah ditinggalkan. Yang menjadi kekuatan perjuangan beliau adalah ikhlas dalam menegakkan kalimah Allah. Menurutnya, perjuangan yang berasaskan kaum atau bangsa, sekali-kali tidak akan membuahkan hasil. Sebaliknya perjuangan yang berpaksikan agama Islam sahaja yang menjamin kejayaan yang gemilang.

Setelah Sultan Salahuddin al-Ayyubi Berjaya menawan kembali Baitulmaqdis, beliau berjalan-jalan di sekeliling kota. Tiba-tiba beliau disapa oleh seorang lelaki tua beragama Kristien: “Wahai pahlawan agung, mengapa tuan tidak membalas semula tindakan kejam tentera salib terhadap tentera tuan?”. Jawab Sultan Salahuddin: “Wahai orang tua, agama kami bukan sahaja melarang sifat balas dendam, tetapi sangat menegah tindakan diluar batas perikemanusiaan seperti yang pernah musuh-musuh kami lakukan. Islam menyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang laindan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa.”

Orang tua itu berkata: “Alangkah indahnya agama tuan! Saya ingin sangat menikmati kehidupan yang indah seperti itu pada sisa-sisa akhir hidup ini. Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini?”. Sultan Salahuddin menjawab: “Lafazkanlah syahadah, beriktikadlah bahawa Allah itu Maha Esa dan Muhammad itu Rasulnya. Kemudian kerjakanlah apa yang Allah perintahkan dan tinggalkanlah segala larangannya.” Mendengar penjelasan itu, lelaki itupun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan.

Ulama Pendidik

Apabila manusia jauh daripada ulama, maka manusia terus berada dalam kejahilan dan senang sekali disambar oleh syaitan-syaitan daripada manusia dan syaitan jin dari setiap penjuru dan sudut yang menyeru kepada kesesatan dan keinginan hawa nafsu yang tiada penghujungnya. Kehadiran ulama suatu nikmat yang tidak terhingga kepada seluruh penduduk di muka dunia ini. Mereka hadir sebagai lampu yang menyinari, pembimbing dan yang menjadi hujah kepada Allah ketika berada dimuka bumi ini. Sekaligus mereka menghapuskan segala pemikiran yang sesat dan menyingkir kabus kesangsian yang menyelubungi hati dan diri manusia.

Perumpamaan yang sangat secocok sebagai pengiktirafan terhadap ulama disabdakan oleh Rasulullah: “Sesungguhnya perumpamaan ulama dimuka bumi seperti bintang dilangit yang menjadi pedoman dalam kegelapan didarat dan laut. Apabila bintang telah malap, maka hampirlah juru petunjuk itu kepada kesesatan.” (Riwayat Ahmad)

Malah perkara ini pernah dinukilkan oleh Profesor Dr. Hamka dalam tafsir al-Azhar untaian kalimah Imam Malik: “Ulama adalah pelita pada zamannya.” Tanpa pelita ulama, manusia terus meraba-raba dalam hidupnya yang penuh kegelapan. Tidak mengerti yang mana putih dan yang mana hitam. Ungkapan “Ulama Pewaris Para Nabi” ini bukanlah manifesto yang ditonjolkan oleh para ulama sendiri, bahkan ungkapan ini telah meniti keluar dari bibir yang mulia Rasulullah: “Sesungguhnya seluruh benda yang berada di langit dan di bumi meminta ampun kepada para ulama sehinggakan ikan di laut pun turut serta. Kelebihan para ulama keatas mereka yang kuat beribadah seumpama kelebihan bulan mengatasi segala bintang-bintang. Sesungguhnya ulama pewaris para Nabi.” (Riwayat al-Tirmizi)

Kedudukan para ulama terlalu istimewa berbanding manusia yang lain. Keistimewaan ini dapat kita hayati menerusi sabda Rasulullah: “Kelebihan orang alim diatas abid (ahli ibadah) seperti kelebihanku diatas orang yang paling bawah dalam kalangan kamu. Sesungguhnya Allah, Malaikat-nya dan penghuni langit dan bumi sehingga semut didalam sarangnya dan ikan-iakan didalam air mendoakan orang alim yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (Riwayat al-Tirmizi)

Semoga gandingan mantap antara pemerintah dengan ulama menatijahkan banyak kebaikan sehingga tertegaknya amar makruf dan nahi mungkar. Sementelahan lagi sokongan padu oleh kakitangan dan staf sudah pasti dapat menjayakan hal ini dengan lebih berkesan. Akhirnya negara kita menjadi negara yang disifatkan sebagai Baldatun Taiyyibatun wa Rabbun Ghafur.   

Sumber : Solusi, Isu 69

No comments:

Post a Comment