Oleh : Prof Dr. Azizi Ayob (Setiausaha
I-Medik – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia)
Bulan syawal
mengembalikan kita kepada ‘fitrah’ atau kebiasaan kehidupan pengambilan makanan
dan juga amalan ibadah di luar Ramadan. Jadi, kesan ‘tarbiah’ di bulan Ramadan bukan
hanya pada sudut roh akibat beribadah, fisiologi badan juga turut berubah
sewaktu berpuasa. Kembali kepada kebiasaan dalam keadaan yang tergesa-gesa
tidaklah sesuai kepada sistem tubuh kita. Pastinya ada hikmah kenapa Islam
sangat menggalakan umatnya terus berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal
bermula Syawal kedua.
Abu Ayyub
al-Ansari meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan,
kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa
sepanjang tahun.” (Riwayat Imam Muslim, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
Kesan Puasa Kepada Berat Badan
Menurut
kajian sains, puasa Ramadan selama 30 hari boleh memberi kesan kepada berat
badan dan beberapa parameter fisiologi darah termasuklah perubahan pada paras
glukos, urea, kolesterol, trigliserides, LDL kolesterol dan HDL kolesterol.
Bagaimanapun, tidak semua mereka yang berpuasa Ramadan boleh mendapat kesan
yang baik pada penurunan parameter itu. Ada antara kita berat badannya
bertambah sewaktu akhir bulan Ramadan disusuli dengan pengambilan makanan tanpa
kawalan ketika berhari raya. Ini memberi kesan agak buruk kepada sistem
pencernaan badan yang telah ‘berehat’ pada siang hari selama sebulan dan terus
didedahkan dengan pelbagai jenis makanan serta juadah sebaik sahaja tarikh hari
raya diistiharkan.
Ini juga
bertepatan dengan beberapa kajian sains di mana ada kalangan individu tidak
mendapat manfaat kesihatan selepas berpuasa. Tabiat pemakanan tidak terkawal
berserta pelbagai menu hari raya, sedikit sebanyak mempengaruhi roh kita untuk
terus konsisten melakukan ibadah seperti pada Ramadan. Itulah cabaran dan
hikmahnya!
Kelebihan Puasa Sunat Enam
Islam agama
yang syumul mensunatkan enam hari berpuasa di bulan Syawal sebagai pelengkap
kepada puasa sebulan Ramadan. Dengan puasa sunat itu dan dilakukan seawall yang
mungkin member ruang masa yang cukup untuk sistem badan dan selnya kembali
kepada ‘fitrah’. Puasa ini boleh diamalkan secara berterusan atau
diselang-selikan. Ia memberi ruang masa untuk pelarasan progresif oleh sistem
pencernaan secara semula jadi. Berpuasa enam Syawal juga member kebaikan
detoksifikasi setelah kita mula mengambil makanan ketika berhari raya.
Oleh itu, ia
harus diamalkan secepat mungkin. Kajian sains juga membuktikan dengan berpuasa
secara berturut-turut dalam beberapa hari akan menigkatkan paras hormone tertentu
dalam badan. Ini sangat baik kerana badan telah mula membuat pelarasan kepada
perubahan puasa-raya-puasa. Mereka yang berpuasa sunat enam Syawal akan berasa
lebih mudah untuk mengekalkan momentum puasa dan berdepan tarikan luar untuk
berhari raya dengan segala menu dan rumah terbuka. Semoga kita terus mendapat
rahmat di bulan mulia ini sambil bermaafan sesame Muslim.
Sumber : Berita
Harian (7 Ogos 2014)
No comments:
Post a Comment