Oleh:
Mohd Hafiz Bin Abdul Salam
Dunia hari
ini merupakan dunia yang sangat mencabar bagi masyarat. Cabaran datang dari
pelbagai sudut iaitu berkaitan ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, cara hidup
dan banyak lagi. Pendidikan juga tidak terlepas dari masalah ini. Artikel ini
akan saya fokuskan kepada isu yang berkaitan dengan celik maklumat dikalangan
pelajar. Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin mengajak pembaca untuk
memahami apa itu maklumat. Secara umumnya, maklumat merujuk kepada data, bahan
dan pengetahuan di mana maklumat tersebut mestilah relevan, boleh dipercayai,
boleh difahami dan dapat membantu mengurangkan ketidakpastian seseorang.
Menurut Byerly et al. (1999) pula, pelajar yang celik maklumat seharusnya bukan
sekadar mampu mengakses sumber maklumat dengan cekap semasa proses pengumpulan
maklumat, bahkan mampu menilai maklumat secara kritis serta dapat menggunakan
maklumat tersebut dengan tepat dan kreatif bagi pelbagai tujuan. Selain itu,
maklumat juga adalah suatu data yang tersusun dalam satu struktur yang
mempunyai makna yang relevan, boleh dipercayai, boleh difahami, lengkap dan
tepat.
Dalam erti
kata lain maklumat adalah sangat signifikan kepada manusia dalam kehidupan ini.
Melalui maklumat manusia boleh mereka cipta suatu yang dapat memudahkan mereka
dalam menjalankan aktiviti harian. Oleh sebab itu, proses penyimpanan maklumat
sangat penting. Maklumat perlu di uruskan dan disimpan bagi memudahkan
pencarian apabila diperlukan. Pada masa sekarang, pelbagai agensi yang menguruskan
maklumat seperti perpustakaan, arkib, muzium, galeri dan sebagainya. Pada masa
ini juga terdapat satu lagi sumber maklumat yang tidak kurang pentingnya iaitu
sumber diatas talian sebagai contoh e-book, e-jurnal, online databases dan sebagainya.
Sumber atas talian ini semakin hari semakin berkembang selaras dengan perkembangan
teknologi jaringan (network) dan internet. Malaysia secara langsung juga
terkesan dengan perkembangan ini.
Seterusnya
kita pergi pula kepada definisi teknologi. Masyarakat biasanya akan mengaitkan
teknologi dengan sesuatu yang dapat memudahkan kehidupan seharian mereka.
Biasanya ia juga akan dikaitkan dengan hasil ciptaan terbaru oleh seseorang samaada
dengan menggunakan kos yang tinggi atau sebaliknya. Mengikut kamus dewan edisi
keempat, teknologi adalah aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains
untuk tujuan praktikal dalam industri, pertanian, perubatan dan sebagainya. Robert
F. (2007) pula menambah teknologi adalah suatu pengetahuan dan alatan ciptaan
manusia yang digunakan untuk menyelesaikan masalah kehidupan. Manakala untuk
mengaitkannya dengan tajuk artikel ini yang berkaitan maklumat, saya akan sertakan
sekali definisi teknologi maklumat daripada Williams dan Sawyer (2003) dimana
teknologi maklumat adalah satu teknologi yang membenarkan gabungan komputer
dengan jalur komunikasi tinggi yang boleh membawa data, suara dan video. Dengan
semua kemampuan teknologi ini, segala informasi dapat dicapai hanya dihujung jari dalam
tempoh yang sangat cepat.
Pada masa
ini, dunia sekarang sedang beralih kepada revolusi industri 4.0 iaitu industri yang
menggunakan kecanggihan teknologi mesin, sistem pintar (intelligent system) dan jaringan internet
(network) dalam setiap penghasilan produk dan perkhidmatan mereka. Rajah 1,
dibawah menunjukkan secara ringkas revolusi perindustrian yang telah berlaku
dari dahulu sehingga sekarang.
Rajah 1: Revolusi Perindustrian Dunia
Revolusi ini
bukan sahaja berlaku kepada sektor perindustrian semata-mata tetapi ia juga
terkait rapat dengan revolusi maklumat. Dewasa ini, maklumat yang merupakan sumber
yang terpenting dalam kehidupan masyarakat yang bertamadun. Manusia sanggup
melakukan bermacam perkara bagi mendapatkan maklumat yang tepat berdasarkan
kehendak dan keperluan masing-masing. Revolusi ini juga bakal membawa kepada
perubahan secara menyeluruh dan mendadak kepada cara hidup manusia, cara bekerja
dan cara melihat dunia secara global. Revolusi ini sedang bergerak sekarang, pemangkin
utama revolusi maklumat ini ialah teknologi maklumat (IT) yang berkaitan dengan
komputer dan telekomunikasi. Negara kita juga telah melihat perkara ini sebagai
peluang membangunkan Negara. Kemunculannya dapat memenuhi kehendak negara dalam
membina generasi berilmu dan bermaklumat. Justeru, negara yang sedang membangun
seperti Malaysia seharusnya memastikan generasi pekerja dan pelajarnya celik
maklumat seawal mungkin. Ini kerana generasi yang didedahkan dengan maklumat
dan teknologi maklumat dari peringkat awal dapat menjadikan negara ini sebuah
negara yang bertambah maju dan lebih berdaya saing. Berdasarkan statistik yang
diperolehi daripada International Telecommunications Union (ITU) pada 2017,
seramai 3.6 bilion masyarakat dunia menggunakan Internet dengan sejumlah 71%
darinya adalah pengguna remaja yang berumur diantara 15-24 tahunan.
Oleh yang
demikian, dalam memastikan sistem pendidikan negara kita tidak ketinggalan satu
inisiatif telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui
Universiti Awamnya supaya dapat meningkatkan penyelidikan dalam mewujudkan
kursus-kursus baru bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan masa
ini. Ini juga bagi memastikan setiap graduan dapat dilengkapkan dengan ilmu dan
maklumat yang terkini bagi bersaing untuk menambah nilai kepada seseorang
pelajar dalam mendapatkan pekerjaan. Ini kerana seorang individu yang cekap,
tidak kira sama ada seorang itu adalah seorang pelajar, profesional atau
seorang pekerja
semestinya berupaya mengenalpasti keperluan-keperluan maklumatnya dengan tepat.
Dalam kata lain, mereka tahu bagaimana untuk mengesan, mengakses, mendapat
semula, menilai, menyusun dan menggunakkan maklumat itu. Seseorang itu perlu
tahu bagaimana memperolehi manfaat daripada maklumat yang telah dikumpulkan
untuk menjadi seseorang yang celik maklumat (Lau, 2006).
Justeru,
semua pelajar samaada di peringkat rendah dan menengah perlu mengetahui kemahiran
tambahan ini untuk bersaing dalam dunia era teknologi maklumat ini iaitu celik
maklumat selain daripada kemahiran serta kepakaran dalam bidang masing-masing. Ciri-ciri
pelajar yang celik maklumat ini adalah seperti berikut;
1. Mempunyai kefahaman asas untuk mencari dan
mengumpul maklumat;
2. Boleh menggunakan komputer sebagai satu alat
bagi kegunaan harian dan juga pekerjaan;
3. Boleh berinteraksi dengan komputer dan
menggunakan aplikasi terkini seperti aplikasi berbentuk multimedia dan aplikasi internet; dan
4. Memahami implikasi sosial yang disebabkan oleh
teknologi maklumat pada masa kini dan akan datang.
Dengan
adanya ciri-ciri seperti diatas, seorang pelajar itu dijangka mampu meneroka dunia
maklumat dengan lebih berkeyakinan dan kewaspadaan yang bijaksana. Ini adalah
sangat penting pada era letusan dan globalisasi maklumat agar sistem penilaian kita
terhadap sesuatu maklumat lebih tersusun dan mantap serta dapat menjamin masa depan
kerjaya dan kehidupan yang lebih baik. Memang diakui pada zaman teknologi maklumat
ini, aspek teknologi ini tidak dapat diasingkan daripada realiti hidup bermaklumat.
Sudah tentu sekali sesiapa yang celik maklumat harus tahu mengendalikan
komputer, mencapai internet, menelusuri maklumat dalam talian dan banyak lagi.
Semuanya ini juga bagi mempertingkat kemampuan dan kemahiran mendapatkan
maklumat bagi seseorang.
Secara
kesimpulannya, seseorang pengguna maklumat mungkin sangat mahir mencari maklumat
menerusi pelbagai enjin carian terkini tetapi apabila dia tidak dapat menggunakan
maklumat tersebut dengan tepat dan berkesan maka dia belum layak digelar
seorang yang celik maklumat. Justeru, maklumat dan pengetahuan yang diperolehi
seharusnya dapat mengembangkan kemampuan kita dalam berinteraksi dengan dunia
di sekeiling kita. Proses pembelajaran ini hendaklah berterusan sehingga ke
akhir hayat. Ini kerana pembangunan teknologi baru tidak akan terhenti selagi
masih ada kehidupan dan permasalahan di dunia ini yang membuatkan manusia akan mempelajari
sesuatu dan menambahbaik ilmu yang baru setiap hari.
Rujukan
Byerly, Greg
and Brodie, Carolyn S. (1999). Information Literacy Skills Models: Defining
the Choices.
In Learning and Libraries in an Information Age. Principles and Practice, ed.
Barbara K. Stripling, Englewood: Littleton: Libraries Unlimited, p.5482.
Facts And Figures ICT (2017). Access
on 2 April 2018 at https://www.itu.int/en/ITUD/Statistics/Documents/facts/ICTFactsFigures2017.pdf
Kursus-Kursus
Baharu Hadapi Revolusi Industri 4.0 (2018). Access on 3 April 2018 at
https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/01/379067/kursusbaharu-hadapi-revolusi-industri-40
Lau J.
(2006), Guidelines on Information Literacy for lifelong learning - IFLA,
Veracruz
Robert
Friedel (2007). A Culture of Improvement: Technology and the Western
Millennium,
University of Maryland historian Robert. pg.1
Williams dan
Sawyer (2003). Using Information Technology: A Practical Introduction to
Computers
and Communications. London: Career Education