Friday, 27 April 2018

CELIK MAKLUMAT: HUBUNGKAIT KEPENTINGAN TEKNOLOGI DAN MAKLUMAT TERHADAP PELAJAR


Oleh: Mohd Hafiz Bin Abdul Salam

Dunia hari ini merupakan dunia yang sangat mencabar bagi masyarat. Cabaran datang dari pelbagai sudut iaitu berkaitan ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, cara hidup dan banyak lagi. Pendidikan juga tidak terlepas dari masalah ini. Artikel ini akan saya fokuskan kepada isu yang berkaitan dengan celik maklumat dikalangan pelajar. Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin mengajak pembaca untuk memahami apa itu maklumat. Secara umumnya, maklumat merujuk kepada data, bahan dan pengetahuan di mana maklumat tersebut mestilah relevan, boleh dipercayai, boleh difahami dan dapat membantu mengurangkan ketidakpastian seseorang. Menurut Byerly et al. (1999) pula, pelajar yang celik maklumat seharusnya bukan sekadar mampu mengakses sumber maklumat dengan cekap semasa proses pengumpulan maklumat, bahkan mampu menilai maklumat secara kritis serta dapat menggunakan maklumat tersebut dengan tepat dan kreatif bagi pelbagai tujuan. Selain itu, maklumat juga adalah suatu data yang tersusun dalam satu struktur yang mempunyai makna yang relevan, boleh dipercayai, boleh difahami, lengkap dan tepat.

Dalam erti kata lain maklumat adalah sangat signifikan kepada manusia dalam kehidupan ini. Melalui maklumat manusia boleh mereka cipta suatu yang dapat memudahkan mereka dalam menjalankan aktiviti harian. Oleh sebab itu, proses penyimpanan maklumat sangat penting. Maklumat perlu di uruskan dan disimpan bagi memudahkan pencarian apabila diperlukan. Pada masa sekarang, pelbagai agensi yang menguruskan maklumat seperti perpustakaan, arkib, muzium, galeri dan sebagainya. Pada masa ini juga terdapat satu lagi sumber maklumat yang tidak kurang pentingnya iaitu sumber diatas talian sebagai contoh e-book, e-jurnal, online databases dan sebagainya. Sumber atas talian ini semakin hari semakin berkembang selaras dengan perkembangan teknologi jaringan (network) dan internet. Malaysia secara langsung juga terkesan dengan perkembangan ini.

Seterusnya kita pergi pula kepada definisi teknologi. Masyarakat biasanya akan mengaitkan teknologi dengan sesuatu yang dapat memudahkan kehidupan seharian mereka. Biasanya ia juga akan dikaitkan dengan hasil ciptaan terbaru oleh seseorang samaada dengan menggunakan kos yang tinggi atau sebaliknya. Mengikut kamus dewan edisi keempat, teknologi adalah aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktikal dalam industri, pertanian, perubatan dan sebagainya. Robert F. (2007) pula menambah teknologi adalah suatu pengetahuan dan alatan ciptaan manusia yang digunakan untuk menyelesaikan masalah kehidupan. Manakala untuk mengaitkannya dengan tajuk artikel ini yang berkaitan maklumat, saya akan sertakan sekali definisi teknologi maklumat daripada Williams dan Sawyer (2003) dimana teknologi maklumat adalah satu teknologi yang membenarkan gabungan komputer dengan jalur komunikasi tinggi yang boleh membawa data, suara dan video. Dengan semua kemampuan teknologi ini, segala informasi dapat dicapai hanya dihujung jari dalam tempoh yang sangat cepat.

Pada masa ini, dunia sekarang sedang beralih kepada revolusi industri 4.0 iaitu industri yang menggunakan kecanggihan teknologi mesin, sistem pintar (intelligent system) dan jaringan internet (network) dalam setiap penghasilan produk dan perkhidmatan mereka. Rajah 1, dibawah menunjukkan secara ringkas revolusi perindustrian yang telah berlaku dari dahulu sehingga sekarang.

Rajah 1: Revolusi Perindustrian Dunia



Revolusi ini bukan sahaja berlaku kepada sektor perindustrian semata-mata tetapi ia juga terkait rapat dengan revolusi maklumat. Dewasa ini, maklumat yang merupakan sumber yang terpenting dalam kehidupan masyarakat yang bertamadun. Manusia sanggup melakukan bermacam perkara bagi mendapatkan maklumat yang tepat berdasarkan kehendak dan keperluan masing-masing. Revolusi ini juga bakal membawa kepada perubahan secara menyeluruh dan mendadak kepada cara hidup manusia, cara bekerja dan cara melihat dunia secara global. Revolusi ini sedang bergerak sekarang, pemangkin utama revolusi maklumat ini ialah teknologi maklumat (IT) yang berkaitan dengan komputer dan telekomunikasi. Negara kita juga telah melihat perkara ini sebagai peluang membangunkan Negara. Kemunculannya dapat memenuhi kehendak negara dalam membina generasi berilmu dan bermaklumat. Justeru, negara yang sedang membangun seperti Malaysia seharusnya memastikan generasi pekerja dan pelajarnya celik maklumat seawal mungkin. Ini kerana generasi yang didedahkan dengan maklumat dan teknologi maklumat dari peringkat awal dapat menjadikan negara ini sebuah negara yang bertambah maju dan lebih berdaya saing. Berdasarkan statistik yang diperolehi daripada International Telecommunications Union (ITU) pada 2017, seramai 3.6 bilion masyarakat dunia menggunakan Internet dengan sejumlah 71% darinya adalah pengguna remaja yang berumur diantara 15-24 tahunan.

Oleh yang demikian, dalam memastikan sistem pendidikan negara kita tidak ketinggalan satu inisiatif telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Awamnya supaya dapat meningkatkan penyelidikan dalam mewujudkan kursus-kursus baru bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan masa ini. Ini juga bagi memastikan setiap graduan dapat dilengkapkan dengan ilmu dan maklumat yang terkini bagi bersaing untuk menambah nilai kepada seseorang pelajar dalam mendapatkan pekerjaan. Ini kerana seorang individu yang cekap, tidak kira sama ada seorang itu adalah seorang pelajar, profesional atau seorang pekerja semestinya berupaya mengenalpasti keperluan-keperluan maklumatnya dengan tepat. Dalam kata lain, mereka tahu bagaimana untuk mengesan, mengakses, mendapat semula, menilai, menyusun dan menggunakkan maklumat itu. Seseorang itu perlu tahu bagaimana memperolehi manfaat daripada maklumat yang telah dikumpulkan untuk menjadi seseorang yang celik maklumat (Lau, 2006).

Justeru, semua pelajar samaada di peringkat rendah dan menengah perlu mengetahui kemahiran tambahan ini untuk bersaing dalam dunia era teknologi maklumat ini iaitu celik maklumat selain daripada kemahiran serta kepakaran dalam bidang masing-masing. Ciri-ciri pelajar yang celik maklumat ini adalah seperti berikut;

1.  Mempunyai kefahaman asas untuk mencari dan mengumpul maklumat;
2.  Boleh menggunakan komputer sebagai satu alat bagi kegunaan harian dan juga pekerjaan;
3. Boleh berinteraksi dengan komputer dan menggunakan aplikasi terkini seperti aplikasi berbentuk multimedia dan aplikasi internet; dan
4.  Memahami implikasi sosial yang disebabkan oleh teknologi maklumat pada masa kini dan akan datang.

Dengan adanya ciri-ciri seperti diatas, seorang pelajar itu dijangka mampu meneroka dunia maklumat dengan lebih berkeyakinan dan kewaspadaan yang bijaksana. Ini adalah sangat penting pada era letusan dan globalisasi maklumat agar sistem penilaian kita terhadap sesuatu maklumat lebih tersusun dan mantap serta dapat menjamin masa depan kerjaya dan kehidupan yang lebih baik. Memang diakui pada zaman teknologi maklumat ini, aspek teknologi ini tidak dapat diasingkan daripada realiti hidup bermaklumat. Sudah tentu sekali sesiapa yang celik maklumat harus tahu mengendalikan komputer, mencapai internet, menelusuri maklumat dalam talian dan banyak lagi. Semuanya ini juga bagi mempertingkat kemampuan dan kemahiran mendapatkan maklumat bagi seseorang.

Secara kesimpulannya, seseorang pengguna maklumat mungkin sangat mahir mencari maklumat menerusi pelbagai enjin carian terkini tetapi apabila dia tidak dapat menggunakan maklumat tersebut dengan tepat dan berkesan maka dia belum layak digelar seorang yang celik maklumat. Justeru, maklumat dan pengetahuan yang diperolehi seharusnya dapat mengembangkan kemampuan kita dalam berinteraksi dengan dunia di sekeiling kita. Proses pembelajaran ini hendaklah berterusan sehingga ke akhir hayat. Ini kerana pembangunan teknologi baru tidak akan terhenti selagi masih ada kehidupan dan permasalahan di dunia ini yang membuatkan manusia akan mempelajari sesuatu dan menambahbaik ilmu yang baru setiap hari.

Rujukan

Byerly, Greg and Brodie, Carolyn S. (1999). Information Literacy Skills Models: Defining

the Choices. In Learning and Libraries in an Information Age. Principles and Practice, ed. Barbara K. Stripling, Englewood: Littleton: Libraries Unlimited, p.5482.

Facts And Figures ICT (2017). Access on 2 April 2018 at https://www.itu.int/en/ITUD/Statistics/Documents/facts/ICTFactsFigures2017.pdf

Kursus-Kursus Baharu Hadapi Revolusi Industri 4.0 (2018). Access on 3 April 2018 at
https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/01/379067/kursusbaharu-hadapi-revolusi-industri-40

Lau J. (2006), Guidelines on Information Literacy for lifelong learning - IFLA, Veracruz

Robert Friedel (2007). A Culture of Improvement: Technology and the Western
Millennium, University of Maryland historian Robert. pg.1

Williams dan Sawyer (2003). Using Information Technology: A Practical Introduction to
Computers and Communications. London: Career Education

No comments:

Post a Comment