Tuesday, 20 February 2018

SEJARAH RINGKAS NEGERI SELANGOR


Negeri Selangor wujud sebagai sebuah kerajaan berpolitik kira-kira 200 tahun yang lalu. Dari segi sejarah, Klang merupakan salah satu tempat yang terpenting di klang. Klang telah dijajah oleh Raja Chulan dan India. Ia juga di sebut sebagai jajahan Majapahit dan Melaka. Seperti diketahui, Melaka telah jatuh ketangan Portugis pada tahun 1511 dan kemudiannya Belanda pada 1641. Kira-kira satu setengah abad berikutnya orang-orang Bugis telah memulakan pemerintahan Negeri Selangor.

Orang-orang Bugis terkenal sebagai ahli pelayaran dan perdagangan yang terkenal dan pejuang yang berani. Mereka berasal dari Makasar di Selatan Sulawesi. Kemasyhuran orang-orang Bugis menjadi ancaman kepada keselamatan dan monopoli perdagangan orang-orang Belanda di Hindia Timur. Pada tahun 1666 – 1667, Belanda telah menyerang Makasar. Ini menyebabkan orang-orang Bugis terpaksa berhijrah ke lain-lain bahagian di kepulauan Melayu. Menjelang awal 1681 ramai saudagar-saudagar Bugis telah bermastautin di Kuala Sungai Klang dan Sungai Selangor.

Abad ke 18 dikatakan abad orang Bugis dalam sejarah Melayu. Mereka berjaya mempengaruhi kesultanan Johor dan berkembang hingga ke Perak dan Kedah. Merekalah yang mengasaskan kesultanan Negeri Selangor diantara tahun 1743 – 1780. Raja Lumu anak Daeng Chelak telah dilantik menjadi Yang Di Pertuan Negeri Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Salahuddin. Kuala Selangor dijadikan Ibu Negeri hingga ke pemerintahan Sultan Abdul Samad (1857-1898) di mana Ibu Negeri kemudiannya dipindahkan ke Jugra.

Perkembangan pengaruh Bugis di Barat Semenanjung Tanah Melayu telah menyebabkan orang Belanda dan orang-orang Melayu tempatan (terutama orang-orang Johor) bersatu untuk menentang Bugis. Kekuatan Bugis sukar digugat yang akhirnya ia berjaya menguasai Riau antara tahuan 1760 – 1784. Kedudukan Sultan Salahuddin sebagai pemerintah Negeri Selangor telah diiktiraf iaitu apabila ia berkahwin dengan anak saudara Sultan Perak keturunan keluarga Diraja Melaka. Beberapa tahun berikutnya anak perempuan Sultan Salahuddin berkahwin pula dengan putera Sultan Kedah yang kemudian menjadi Sultan Kedah dan dalam tahun 1778 bergelar Sultan Abdullah.

Sultan Salahuddin mangkat dalam tahun 1780. Ia digantikan oleh puteranya Sultan Ibrahim. Pada tahun1784 Raja Haji yang menjadi Yamtuan Muda Riau telah sekali lagi menyerang Belanda. Sultan Ibrahim telah membantu bapa saudaranya Raja Haji menyerang orang-orang Belanda yang berpusat di Melaka. Dalam peperangan ini Raja Haji telah terbunuh. Berikutan dengannya orang-orang Belanda menghalakan serangannya pula ke kubu Sultan Ibrahim di Kuala Selangor. Sultan Ibrahim tewas dan dan berundur ke Pahang. Setelah berjaya menawan Kuala Selangor, Belanda melengkapkan tenteranya di situ untuk mengawal eksport bijih timah di Negeri Selangor.

Dalam tahun 1785, Sultan Ibrahim bersam-sama dengan orang Melayu Pahang menyerang pihak Belanda. Mereka dapat menguasai kembali kubu di Kuala Selangor itu. Akhirnya satu perjanjian ditandatangani antara Sultan Ibrahim dengan Belanda dimana hasil bijih dari Selangor hendaklah di jual kepada pihak Belanda. Dengan adanya perjanjian tersebut ancaman dari Belanda telah berhenti buat sementara waktu. Pada tahun 1795, Inggeris telah menguasai Melaka iaitu waktu peperangan Napoleon.

Selangor di awal abad ke 19 merupakan negeri yang kuat dan aggresif. Sultan Ibrahim mempunyai keperibadian yang dinamik. Ketiadaan orang-orang Belanda di Melaka memberinya peluang untuk mengembangkan kuasanya di Perak dan menguasai negeri itu di bawah kuasa tentera selama dua tahun (1804 – 1806). Dalam tahun 1818, kerajaan British memulangkan Melaka kepada Belanda. Oleh kerana tidak ingin melihat ancaman dari Belanda lagi. Sultan Ibrahim dan pegawai-pegawai Inggeris di Pulau Pinang telah menandatangani satu perjanjian dikenali sebagai ‘Perjanjian Cracroft’, tetapi perjanjian ini telah menakutkan Belanda. Belanda juga mengingatkan Sultan Ibrahim tentang perjanjian yang pernah dibuat dulu. Akhirnya pada tahun 1824, Belanda terpaksa keluar daripada Semenanjung Tanah Melayu berikutan dengan perjanjian Inggeris – Belanda.

Seterusnya Sultan Mohamed ialah Raja ketiga memerintah Negeri Selangor iaitu dari 1826 hingga 1857. Ketiga-tiga Raja Selangor yang awal ini mangkat dan dimakamkan di Bukit Selangor (Bukit Melawati). Manakala Raja Selangor keempat Sultan Abdul Samad memerintah mulai tahun 1859 di mana pusat pemerintahannya telah berpindah dari Kuala Selangor ke Jugra, Kuala Langat dan kemudiannya berpindah ke Klang.

Pada bulan disember 1874, orang British yang telah mengamalkan dasar campur tangan dan menubuhkan Sistem Residen (Residensi) dengan J.G. Davidson sebagai Residen Pertama Selangor manakala Frank Swettenham sebagai Penolong Residen Selangor yang pertama. British juga telah memindahkan Ibu Negeri Selangor dari Klang ke Kuala Lumpur yang merupakan pusat pertambahan penduduk dan aktiviti ekonomi.

Dari sejak itu hinggalah tertubuhnya Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur telah menjadi Ibu Negeri Selangor. Kemudiannya pada 7 Disember 1978, Kerajaan Negeri telah mengistiharkan Shah Alam sebagai Ibu Negeri Selangor yang baru.
    



SUMBER:
Arkib Korporat MAIS

No comments:

Post a Comment