Pada
21 Januari, 1948 perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan Perjanjian Negeri
Selangor telah ditandatangani di antara pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan
dan Kerajaan Negeri bagi pembentukan Negeri Selangor.
Pada
01 Februari 1948, pengumuman rasmi tentang perkara ini telah dibuat oleh Duli
Yang Maha Mulia Sultan setelah perlembagaan tersebut diterima oleh Kerajaan
Negeri Selangor.
Bagi
memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dapat berjalan lancar, Dato’ Hamzah bin Abdullah M.C.S telah
dilantik menjadi Menteri Besar yang pertama dan Raja Uda bin Raja Muhammad, M.C.S. telah dilantik menjadi Setiausaha
Kerajaan Negeri Selangor yang pertama.
Selaras
dengan itu, sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri “Executive Council” dan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri “State Council” telah ditubuhkan. Raja Uda
bin Raja Muhammad bertanggungjawab
dalam merancang dan menubuhkan Kerajaan Negeri Selangor. Gambar dibawah
menunjukkan keahlian Majlis Mesyuarat Negeri Selangor yang pertama (1948).
Pengalaman
beliau sebelum itu yang telah dilantik dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu
sejak Oktober 1910 telah membantu beliau bagi melaksanakan tugas tersebut. Beliau
merupakan seorang pegawai yang berkebolehan dan berpengalaman dan telah
menyandang beberapa jawatan yang penting antaranya:
i) dilantik sebagai Pemangku Penolong
Pegawai Daerah, Ulu Langat pada tahun 1918;
ii) dilantik sebagai Majistret Kedua dan
Pertama Kuala Lumpur pada tahun 1924 – 1926 dan pelantikan kali kedua pada
tahun 1928-1929;
iii) dilantik sebagai Deputy Chairman Kuala Lumpur Sanitary Board pada tahun 1930;
iv) dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala
Lumpur pada tahun 1933-1936;
v) dilantik sebagai Pemungut Hasil Tanah,
Kuala Lumpur pada tahun 1938; dan
vi)
pernah berkhidmat di Negeri Sembilan dan
Negeri Pahang.
Beliau
juga menghadapi cabaran dalam merealisasikan hasrat penubuhan Kerajaan Negeri Selangor
ini. Antaranya dua (2) cabaran utama
beliau adalah;
i) Keadaan ekonomi Negeri Selangor yang
masih dalam proses pemulihan akibat
daripada pemerintahan Jepun dan agak perlahan ketika negara ini ditadbir oleh
Pentadbiran Tentera British; dan
ii) Kemajuan dalam pembangunan yang agak
lambat untuk dicapai disebabkan penentangan
terhadap Malayan Union.
Melihat
kepada kredibiliti yang telah ditunjukkan oleh Raja Uda, beliau telah dilantik
sebagai Menteri Besar Selangor apabila Dato’ Hamzah bersara pada bulan Julai
1949 hingga tahun 1953. Atas ketokohan yang ditunjukkan dalam memimpin kerajaan
Negeri Selangor, beliau telah dipilih untuk menyandang jawatan sebagai Pesuruhjaya
Tanah Melayu di United Kingdom.
Walaubagaimanapun,
peminjaman tersebut bukanlah untuk tempoh yang lama memandangkan atas
kepentingan tugas dan pembangunan negeri Selangor beliau telah dilantik untuk menyandang
semula jawatan Menteri Besar Selangor pada bulan November 1954.
Sepanjang
menyandang jawatan tersebut, beliau telah menyelia pentadbiran dengan teratur
dan rapi, adil dan bijaksana dalam menangani masalah yang timbul dan meningkatkan
perkembangan ekonomi di Selangor yang secara tidak langsung telah memberikan
manfaat kepada pembangunan di Negeri Selangor. Pada bulan Ogos 1955, beliau
telah dipilih untuk menyandang jawatan ‘Speaker’
Majlis Mesyuarat Persekutuan dan terus diberikan kepercayaan untuk menyandang
jawatan tersebut sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan.
Ketokohan
yang ditunjukkan oleh beliau juga telah melayakkan beliau untuk diberikan
augerah oleh Kerajaan British C.B.E, C.M.G dan K.B.E yang membawa gelaran ‘Sir’.
Sebagai tanda penghargaan atas jasa yang dicurahkan, Raja Uda telah
dianugerahkan dengan gelaran ‘Tun’
iaitu gelaran tertinggi sekali di Malaysia semasa beliau dilantik menjadi Gabenor Pulau Pinang pada tahun 1985.
Sumbangan
dan jasa yang telah dicurahkan oleh Raja Uda telah menjadikan namanya diabadikan
di sebuah kampung di Klang iaitu Kampung
Raja Uda, Klang, sebuah masjid di Shah Alam iaitu Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam dan juga nama
jalan iaitu Jalan Raja Uda, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Ketokohan, keperibadian
mulia dan kebijaksanaan beliau dalam mentadbir negeri Selangor telah menjadikan
negeri Selangor telah mencapai kemajuan yang lebih cepat berbanding dengan negeri-negeri
yang lain di Malaysia.
Sumber:
- Arkib Korporat MAIS
- Perbadanan
Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
No comments:
Post a Comment