Wednesday 15 February 2012

ANDA SAKIT? JOM SOLAT JEMAAH


Solat jemaah juga dibincangkan dari sudut metafizik. Menurut pengasas Akademik Aura Metafizik, Dr. Jamaluddin Abdul Jalal, setiap bacaan, niat, doa dan pergerakan di dalam solat mengeluarkan tenaga. Solat itu adalah amalan zahir dan batin. Ia juga satu set senaman jasmani dan makanan rohani yang paling tinggi mutunya.

Kerana, semua yang ada di muka bumi ini akan mengeluarkan gelombang termasuklah suara mulut, bunyi-bunyian, gerak hati, pemikiran dan apa yang kita fikir. Semua itu akan keluar dalam bentuk gelombang yang tidak boleh dilihat.

Solat terdiri daripada tiga aspek iaitu perkataan, perbuatan dan kejiwaan. Jika digabungkan ketiga-tiganya maka orang yang sakit akan sihat, yang malas jadi rajin, yang tidak tenang menjadi tenang, miskin boleh jadi kaya. Dengan berkat kita doa orang lain yang mengaminkan.

Sebelum memulakan solat terlebih dahulu membersihkan badan, pakaian dan tempat solat. Aura kebersihan akan tersebar luas menjangkit kepada jemaah yang di sebelah. Kemudian semasa dalam solat kita buangkan fikiran yang negative dan jahat serta membersihkan jiwa supaya dapat menumpukan hati sepenuhnya kepada Allah. Semasa solat itu aura keikhlasan itu keluar, menuju ke tempat solat dengan rendah diri untuk menghadapkan diri kepada Allah, semuanya akan bersatu menjadi tenaga.

Bila kita berdiri untuk solat, tubuh badan dikawal oleh satu pusat otak. Otak mengeluarkan gelombang untuk wujudkan kesatuan kepada semua pergerakan anggota solat. Kesatuan itu dipindahkan maka wujud kesatuan di dalam saf dan umah semasa solat jemaah.

Sebab itulah keutamaan di dalam solat jemaah adalah saf yang lurus. Kerana tenaga boleh dialirkan di dalam satu garisan yang lurus. Saf perlu bersentuhan antara satu sama lain antara bahu dengan bahu supaya tenaga tidak terputus dan mudah dialirkan. Saf yang ramai lagi bagus kerana lebih banyak tenaga yang dikumpulkan.

Memang benarlah kata Yahudi umat Islam hanya akan berjaya jika solat subuh umat Islam sama seperti solat jumaatnya. Solat subuh adalah satu waktu yang sukar untuk dilakukan. Jika dapat melawannya ia satu kemenangan, di situ datangnya kesatuan. Kesatuan itu datang dari pusat otak. Apabila pusat otak itu kuat maka ia boleh mengawal seluruh badan hingga kita boleh berdiri tegak.

Itulah yang menjadikan umat Islam kuat kerana kesatuan. Kerana mereka berdiri, qiam, rukuk, sujud semuanya dilakukan di dalam keadaan yang serentak. Tenaga kesatuan keserentakan itulah yang menyatukan ummah menjadi harmoni,” jelasnya.

SETIAP GERAK SOLAT PENYEMBUH

Solat jemaah bukan sekadar untuk kesatuan dan kekuatan ummah malah ia adalah penyembuh. Menurut Dr. Jamaluddin, di dalam solat itu ada bacaan atau vokal, getaran panjang a,i,u dengan tajwid yang betul ia akan membersihkan dan merangsang hati, kelenjer tiroid, pineal, putitari, adrenal serta paru-paru.

Semasa rukuk, merenggangkan sepenuhnya otot-otot bahagian bawah belakang, paha, dan betis. Darah akan dipamkan ke bahagian atas badan. Melembutkan otot-otot perut dan buah pinggang. Lama-kelamaan gaya ini mempertingkatkan lagi peribadi menimbulkan kebaikan hati dan mengharmonikan batin. Kalau boleh saya nyatakan begini, tubuh kita ini adalah manifestasi satu masyarakat. Saling bantu-membantu itu wujud pada tubuh seseorang di dalam pergerakan solat. Saling bantu-membantu ini akan keluar dalam bentuk tenaga yang akan dikongsi oleh semua orang.

Bila kita iktidal, darah yang baru bergerak masuk semasa kembali kepada keadaan asalnya dengan membawa bahan yang tidak berguna. Badan mendapatkan kembali kerehatan dan melepaskan ketegangan. Darah akan lancar semula setelah melalui proses tekanan semasa rukuk. Darah yang lancar pergerakannya itu adalah umpama kelancaran pergerakan di dalam masyarakat.

Semasa sujud pula secara tidak langsung gerakan itu akan membersihkan pernafasan, melancarkan peredaran darah dan sistem saraf. Jemaah yang melakukannya dengan khusyuk akan mendapat kerehatan badan dan kebahagiaan emosi, secara umumnya sujud adalah untuk menyeimbangkan sistem saraf dan termasuklah untuk mengurangkan tekanan darah tinggi, “ katanya yang pernah melanjutkan pengajian agama di bawah bimbingan ulama terkenal Johor, Datuk Kiai Samsudin Ridwan dan Sheikh Mohd. Faiz Sheikh Ahmad.


SUMBER : Al Islam (Tahun ke-37 Bil : 453) Disember 2011.

No comments:

Post a Comment