Monday, 19 September 2011

ADAB MENYAMBUT TETAMU


  1. Niat Yang Betul
Tuan rumah perlu berniat mengharapkan pahala dalam menyambut kedatangan tetamu daripada makanan yang dihidangkan serta sambutan yang baik kepada mereka. Tetamu juga hendaklah meniatkan pahala daripada mendatangi undangan tersebut kepada tuan rumah. Dengan demikian, kedua-dua belah pihak akan mendapat pahala atas sebab itu.

  1. Memuliakan Tetamu
Tuan rumah perlu menerima tetamunya dengan hormat dan memuliakan iaitu menerimanya dengan senyuman, wajah yang ceria dan mengucapkan kata-kata selamat datang dan sambutan. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

  1. Menempatkan Tetamu Ditempat Yang Sesuai
-          Mempersilakan duduk di tempat yang paling selesa
-          Jika tetamu wanita, tempat yang tidak menyingkap aurat mereka
-          Tempat yang tidak tersebar bau yang kurang senang dan kotor

  1. Menyegerakan Hak Tetamu
Tuan rumah perlu segera menghidangkan hak tetamu seperti air minuman, makanan dan sebagainya. Jangan lambat dalam menyediakan hidangan sehingga tetamu hampir pulang. Menghidangkan makanan merupakan adab yang dianjurkan sebagaimana yang disebut dalam firman Allah yang bermaksud : “Lalu dihidangkan kepada mereka.” (Surah al-Dhariyat 51:27)

  1. Tidak Berlebihan Dalam Menjamu Tetamu
Tuan rumah tidak perlu memberatkan diri diluar kemampuannya dalam menyediakan makanan kepada tetamu. Namun hidangan yang disediakan untuk tetamu perlu disertai dengan sikap memuliakan mereka. Nabi Ibrahim a.s telah menyembelih seekor anak lembu yang gemuk untuk tetamunya. Itu ialah hidangan terbaik yang dimiliki baginda.

  1. Layanan Terbaik Kepada Tetamu
Malayani sendiri tetamu merupakan satu adab yang dianjurkan dalam al-Quran, sebagaimana yang disebut dalam kisah Ibrahim a.s, Allah berfirman yang bermaksud : “Kemudian ia masuk menemui keluarganyaserta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang) lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata : “Silakan makan.” (Surah al-Dhariyat 51: 26-27). Antara layanan baik yang boleh diberikan kepada tetamu seperti menyediakan tempat tidur yang bersih, memastikan anak-anak tidak bising, tidak mengganggu tetamu dan sebagainya.

  1. Menghantar Ke Muka Pintu
Apabila tiba waktu tetamu akan pulang, tuan rumah perlu menghantarnya sampai ke pintu rumah sebagai tanda memuliakan dan menghormatinya. Abu ‘Ubaid pernah mengunjungi Imam Ahmad di rumahnya. Dia bercerita : “Ketika aku bangkit ingin pulang, Imam Ahmad juga bangun bersamaku. Aku berkata : “Jangan bersusah wahai Abu Abdillah.” Beliau mengatakan bahawa al-Sha’bi berkata : “Termasuk kesempurnaan memuliakan tetamu ialah tuan rumah berjalan bersama tetamu hingga ke pintu rumah dan sehingga mereka menaiki kenderaannya.” (Al-Adab al-Syar’iyyah, jil.3, hlm. 227). Tuan rumah tidak terus masuk ke rumah dan mengunci pintu sejurus tetamu keluar rumah kecuali setelah tetamu sudah berlalu pergi atau kenderaannya sudah berjalan.

Sumber : Ensiklopedia adab Islam Menurut Al-Quran dan As-Sunnah, Pustaka Imam Asy-Syafi’i, Jakarta. (Dari Majalah Solusi Isu No. 35, September 2011)

1 comment: