Thursday, 15 September 2011

MAKSIAT : DOSA YANG MERESAHKAN

Maksiat terbahagi dua; maksiat lahir dan maksiat batin. Maksiat lahiriah itu seperti merompak, berzina, minum arak, berjudi, mencuri dan sebagainya. Manakala maksiat batin pula ialah sifat mazmumah seperti hasad, takbur, tamak, penakut, cinta dunia, gila puji dan lain-lain. Tidak kira maksiat yang mana, sama ada maksiat zahir mahupun batin, kedua-duanya akan menjejaskan kesihatan seseorang. Maksiat zina misalnya, menyebabkan penyakit yang direct seperti AIDS, sifilis dan lain-lain. Minum arak, menagih dadah atau mengambil bahan-bahan yang memabukkan atau menghayalkan akan mengakibatkan hilang kewarasan fikiran dan terdedah kepada perbuatan yang membahayakan diri dan orang lain. 

Meninggalkan zakat akan menyebabkan keretakan dalam hubungan sosial seterusnya menggugat hubungan antara si kaya dengan si miskin. Ini akan menigkatkan kadar jenayah curi, rompak, dadah, pelacuran dan lain-lain lagi dan secara langsung akan menjejaskan kesihatan dan nyawa. Untuk menjelaskan hakikat ini, telitilah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar ini : “Wahai golongan Muhajirin, ada lima perkara jika terjadi kepada golongan kamu maka aku berlindung kepda Allah dan apabila hal itu terjadi kepada kamu :

i.        Apabila satu kaum melakukan penzinaan secara terang-terangan maka mereka akan diserang penyakit yang belum pernahdialami oleh nenek moyang mereka.
ii.      Apabila mereka mengurangi timbangan dan ukuran, mereka akan dihukum dengan kepapaan dan kemiskinan serta kezaliman pihak penguasa.
iii.    Setiap mereka yang enggan membayar zakat, mereka akan terhalang daripada beroleh hujan dari langit dan jika tidak kerana adanya haiwan dan binatang ternak tidaklah akan diturunkan hujan.
iv.    Setiap mereka yang melanggar janji Allah dan Rasulnya maka mereka akan dijajah oleh musuh daripada bangsa lain yang akan merampas sebahagian daripada harta mereka.
v.      Dan selama para pemimpin tidak menjalankan hukum-hukum yang terdapat dalam kitab Allah, maka saling sengketa akan berlaku.

(Riwayat Ibn Majah)

Manakala maksiat-maksiat batin seperti marah, hasad dan dendam juga akan menggugat kesihatan seseorang secara perlahan-lahan. Ia pembunuh senyap yang menyebabkan banyak penyakit berbahaya seperti darah tinggi, barah, lemah jantung dan lain-lain. Bagaimanakah ini terjadi? Untuk menjawabnya marilah kita lihat apakah akibat dosa (maksiat) terhadap diri seseorang. Ketika seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Apakah itu dosa?” Rasulullah telah menjawab bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan hatimu. Ertinya, orang yang melakukan dosa akan resah kerana dia akan sentiasa diburu oleh rasa bersalah bukan sahaja kepada Allah tetapi juga kepada dirinya sendiri. Ini kerana fitrah manusia tetap menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Oleh sebab itu apabila seseorang melakukan kejahatan, dia sebenarnya bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang fitrahnya sendiri. Sebab itulah orang yang berdosa tidak tenang.

Akibat Hati Tak Tenang

Apakah akibatnya hati yang tidak tenang kepada kesihatan? Apabila hati tidak tenang, degupan jantung dan tekanan darah menjadi tidak menentu. Inilah antara perubahan fisiologi yang dikesan oleh ujian poligraf atas orang yang berbohong. Jadi maksiat akan memberi kesan kepada tubuh badan manusia secara langsung. Bukan bohong sahaja, begitu juga kepada maksiat-maksiat lain. Semuanya akan menyebabkan pengaliran darah dan sistem penghadaman terjejas. Ini akan menyebabkan penyerapan vitamin dan pengeluaran antibodi menurun. Akibatnya sistem saraf tidak berfungsi dengan betul dan seluruh organ tubuh akan sakit. 

Maksiat boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Pakar-pakar perubatan moden telah mengakui hakikat ini. Sayangnya, ramai manusia gerun terhadap penyakit lahir tetapi tidak endah tentang penyebab utamanya iaitu maksiat. AIDS misalnya menyebabkan huru-hara dan suasana panik seluruh dunia. Semua manusia diberitahu tentang bahaya penyakit itu hinggakan pelbagai kempen dibuat. Berjuta ringgit dibelanjakan untuk tujuan penyebaran maklumat, penyelidikan dan pencegahan. Sayangnya kempen anti zina iaitu anti maksiat (penyebab AIDS) tidak serancak itu. Sedangkan korban penyakit-penyakit ini lebih ramai daripada mana-mana penyakit didunia. Mungkin berpuluh-puluh ribu kali ganda daripada penyakit lahiriah. Mencegah perbuatan maksiat seharusnya diutamakan daripada mencegah penyakit-penyakit lahiriah. Kita sedia maklum punca maksiat ialah hati yang kotor. Ironinya tidak ada satu usaha serius untuk mengatasi penyakit jiwa (hati) berbanding penyakit lahir.

Maksud penyakit jiwa disini bukan penyakit mental tetapi sakit hati iaitu sifat-sifat mazmumah seperti dendam, hasad, marah, iri hati, takut dan sebagainya. Amat kurang usaha untuk membanteras atau mencegah penyakit mazmumah. Padahal telah terbukti penyakit mazmumah boleh menyebabkan penyakit lahiriah. Risau misalnya, terbukti menjadi punca kepada penyakit-penyakit lahir. Dale Carnegie dalam bukunya Hentikan Risau telah menulis: “Ahli perniagaan yang tidak tahu melawan risau akan mati muda.” Dan sudah terbukti juga risau dan takut menjadi punca kepada penyakit barah, jantung, darah tinggi dan sakit kepala. Penyakit kencing manis juga berkait dengan risau, bimbang dan lain-lain. Contohnya apabila berlaku kemelesetan ekonomi dunia dan pasaran saham merudum, gula dalam darah tokoh-tokoh korporat akan naik begitu juga sakit sendi, sakit gigi (reput), sakit kerongkong dan lain-lain. Secara sinis, para doktor yang terkenal telah mengingatkan bahawa sakit jantung, perut dan kencing manis ialah “adik beradik” kepada rasa bimbang.

Ahli falsafah terkenal Plato berkata: “Kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Ertinya kalau penyakit jiwa dan fikiran dapat diubati, penyakit lahiriah juga akan dapat diubati secara automatik. Oleh sebab itu, terdapat sejenis rawatan yang dikenali dunia sekarang ialah Psychomatic iaitu rawatan jasad dan pemikiran sekali gus.

Cinta Dunia

Satu fakta yang tidak dapat dinafikan ialah sains perubatan Berjaya mengubat penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus dan kulat, tetapi gagal melawan kemusnahan mental, jiwa dan jasad disebabkan oleh risau, takut, benci dan lain-lain. Sehingga kini, apa yang menyebabkan penyakit gila masih misteri. Tetapi besar kemungkinan ia disebabkan oleh penyakit mazmumah (hati) dan kecelaruan fikiran (akal). Jadi untuk mengubatnya, akal mesti “diikat” pada kekuatan jiwa dan kekuatan jiwa pula perlu diikat pada iman. Jika akal dan hati terlepas daripada iman, maka kemusnahan diri akan berlaku seperti mana kipas yang ligat berpusing tetapi tidak terikat pada dinding atau syiling.

Apakah punca kecelaruan fikiran dan jiwa? Jika ditanya kepada lelaki puncanya dua; wanita atau wang. Manakala kepada wanita, faktor utama yang menyebabkan stres dan tekanan (seperti yang selalu dilaporkan media) adalah kerana terlalu berusaha menjaga hubungan dengan pasangan, terlalu mengambil serius terhadap persepsi orang lain terhadap diri dan keluarga serta bekerja kuat untuk mendapat pengiktirafan majikan. Jika dirumuskan semua sebab stres (lelaki atau wanita) puncanya adalah kerana cinta dunia. Suami, isteri dan anak-anak serta lain-lain itu termasuk dalam soal dunia. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Manusia diberi perasaan mencintai keinginan, misalnya kepada perempuan, anak-anak, kekayaan yang banyak daripada emas dan perak, kuda yang bagus, binatang ternak dan lading. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Suruh Ali-Imran 3:14)

Allah s.w.t telah mengingatkan lagi dengan ayatnya yang bermaksud: “Harta benda dan anak-anak mereka (kaum munafik) janganlah mengagumkan engkau kerana Allah hendak menyeksa mereka dengan itu dalam kehidupan dunia dan hilang nyawanya ketika mereka dalam keadaan tidak beriman.” (Surah al-Tawbah 9:55). Cinta dunia itu kepala segala kejahatan, demikian kata hukama. Akibat cinta dunia yang keterlaluan, orang sering takut kehilangannya dan bermati-matian memburunya. Dunia yang sepatutnya hanya diletakkan ditangan, telah diletakan dihati. Sedangkan hati manusia yang satu tidak akan dapat menampung dua cinta. Jika cinta dunia telah menguasainya, cinta Allah akan terpinggir. Anehnya bagi pemburu dunia ini yang tidak mendapatnya akan berputus asa dan menderita. Manakala yang mendapatnya pula sentiasa berasa tidak puas, turut menderita. Mereka bagaikan meminum air laut, semakin diminum semakin haus. Bukan sahaja jiwa dan hati mereka kelelahan, fizikal dan tenaga mereka juga keletihan. Inilah yang menjadi punca penyakit-penyakit kronik.

Hasil kajian di Barat (seperti yang ditulis oleh Dale Carnargie) Menunjukan golongan  korporat secara mejoriti menghidap salah satu daripada penyakit ini; sakit jantung, barah atau darah tinggi. Kejayaan dalam perniagaan kerap digandingkan dengan penyakit yang dihadapi. Apalah gunanya kejayaan merebut seluruh kekayaan dunia kalau hilang kesihatan. Ingatlah, sekaya manapun seseorang, sebanyak manapun harta yang dimiliki, seseorang hanya dapat makan tiga kali untuk kenyang dalam sehari dan tidur di atas sebuah katil pada satu-satu masa.

John C. Maxwell, seorang pakar motivasi Barat turut menegaskan bahawa kejayaan dalam bidang perniagaan atau kerjaya yang lain tanpa tujuan dan matlamat hidup yang jelas hanya akan menjerumuskan seseorang ke kancah perzinaan dan kemurungan yang amat sangat. Oleh sebab itu, ramai selebriti barat yang kaya dan ternama, hidup merana dengan rasa kekosongan, kemuraman dan kesunyian yang mencengkam jiwa. Tercatat boredom (Kebosanan) sebagai pembunuh nombor satu di Amerika Syarikat. Hakikatnya, lebih setengan daripada jumlah mana-mana hospital di dunia dihuni oleh pesakit jiwa. Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat sarat tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan. Semuanya akibat maksiat lahiriah dan batiniah yang berpunca daripada belitan syaitan dan pujukan hawa nafsu yang memperalatkan dunia yang menipu daya.

Sumber : Majalah Solusi Isu No. 35, September 2011 (Pahrol Mohamad Juoi)

No comments:

Post a Comment