Thursday, 6 June 2013

ISRA’ MI’RAJ DAN KEWAJIPAN SOLAT


Bersumber dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

Aku telah didatangi Buraq. 

Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. 

Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah. Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan. Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya. Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan sembahyang lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Sembahyang lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu sembahyang dari baginda. Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu sembahyang dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu sembahyang fardu sama dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya.

(HADIS RIWAYAT MUSLIM)

Sumber: 
Terjemahan Shahih Muslim 
KH. Adib Bisri Musthofa

Wednesday, 5 June 2013

TENGKU MAHMUD ZUHDI AL-FATHANI : SYEIKHUL ISLAM SELANGOR


Nama lengkapnya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tunku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Ayahnya adalah Raja Jambu, Patani yang ditangkap oleh Siam dan ditempatkn di istana tersendiri di Ban Sim Dip, Bangkok. Ibunya bernama Kalsum binti Haji Sa’ad, berasal dari India.

Tengku Mahmud lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Beliau meninggal dunia di Mekah pada tanggal 6 Rabiulawal 1376 Hijrah/10 Oktober 1956 Masihi.

PENDIDIKAN

Walaupun berada di dalam keadaan sangat darurat di dalam tahanan, namun ayahnya sempat mengajar Tengku Mahmud ilmu-ilmu asas Islam tradisi Patani dan pengetahuan adab raja-raja Melayu. Tengku Mahmud juga sempat belajar kepada Syeikh Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani di Thait (pinggiran Bangkok). Ketika berusia antara 8-9 tahun (1302 Hijrah/1885 Masihi), dalam keadaan sukar, Tengku Mahmud berhasil dikirim ke Mekah. Di Mekah, diserahkan sekalian urusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mendidiknya sendiri dan memasukkannya ke Maktab Saulatiyah, yang diasaskan oleh orang India. Dengan demikian Tengku Mahmud memperoleh dua system pendidikan, iaitu sistem tradisional pondok dan sistem persekolahan.

Beliau adalah murid yang paling cemerlang di sekolah itu. Oleh kerana itu beliau diminta mengajar di sekolah tersebut pada tahun 1895. Syeikh Ahmad al-Fathani mendesak Tengku Mahmud supaya melanjutkan pelajarannya ke Mesir bersama Syeikh Muhammad Nur al-Fatani, Syeikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dan lain-lain pada tahun 1900.

Di Mesir beliau hanya memperdalam pelbagai ilmu yang telah dipelajarinya di Mekah, terutama ilmu falakiyah dan ilmu khat. Pada tahun 1905, Tengku Mahmud lulus peperiksaan Hasyimiyah (Syarif Husein) dengan memperoleh Syahadah al-Kubra dan memperoleh kebenaran mengajar di Masjidil Haram, Mekah.

Sungguhpun Tengku Mahmud Zuhdi telah mngajar di Maktab Saulatiyah dan Masjidil Haram, namun beliau sentiasa memperdalam ilmu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani terutama ilmu sastera Arab. Beliau juga menerima bai’ah Tariqat Syatariyah dan Tariqat Syaziliyah daripada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Selain pendidikan yang telah disebutkan, agak kebelakangan Tengku Mahmud Zuhdi juga belajar kepada Syeikh Mukhtar ‘Atarid Bogor.

HUBUNGAN DENGAN KERABAT DIRAJA SELANGOR

Tengku Mahmud Zuhdi berhijrah dari Mekah ke Jambi, Sumatera. Beliau sampai di Jambi pada hari Khamis, 6 Rabiulawal 1344 Hijrah/23 Oktober 1925 Masihi. Di sana beliau mendirikan sekolah Arab di sebuah tempat yang bernama Tahtul Yaman. Apabila Sultan Sulaiman Syah mendengar ulama tersebut berada di Jambi, baginda sendiri datang ke Jambi mengajak Tengku Mahmud supaya pindah ke Selangor.

Tengku Mahmud Zuhdi berangkat ke Klang pada tahun 1929. Pada mulanya beliau dilantik sebagai Penasihat Agama Selangor, selanjutnya menjadi Syeikhul Islam Setia Diraja Selangor. Di Selangor Tengku Mahmud berkahwin dengan Tengku Hajah Safiah, puteri Sultan Abu Samah bersama isterinya Tengku Kubis. Tengku Mahmud Zuhdi berkahwin beberapa kali, isterinya di Kelantan bernama Tengku Maryam. Di Kedah beliau berkahwin dua kali dan di Patani sekali.

Anak perempuannya yang bernama Tengku Aminah (tidak jelas daripada isterinya yang mana) berkahwin dengan Tengku Badli Syah (Tengku Laksamana Selangor) ibni Sultan Hisyamuddin Alam Syah.

MURID-MURIDNYA

Di kalangan kerabat Diraja Selangor termasuk Sultan Sulaiman (mangkat 1937), putera baginda Tengku Haji Ibrahim Syah (Tengku Sri Wangsa) adalah murid Tengku Mahmud Zuhdi.

Selain itu, Tengku Mahmud Zuhdi telah mencetuskan idea sehingga berdirinya madrasah di Klang yang bernama Marta’ al-Ulum ad-Diniyah (1933 sampai tahun 1945). Pada tahun 1945, madrasah ini terpaksa ditutup kerana perang dunia ke-II. Setelah peperangan selesai madrasah tersebut dibuka kembali dengan mudirnya Hj. Abdul Ghani bin Hj. Othman. Selanjutnya ia dipimpin oleh Sayid Abdul Aziz as-Syami al-Masri dan nama madrasah tersebut diganti dengan Darul ‘Ulumid Diniyah.Kemudian setelah pimpinannya beralih kepada Sayid Mahmud ‘Arif Bukhari, madrasah tersebut kembali kepada nama asalnya, iaitu Marta’ al-Ulum ad-Diniyah.

Seorang ulama besar berbangsa Arab dan berasal dari Mekah yang pernah belajar kepada Tengku Mahmud Zuhdi sewaktu di Klang, ialah Sayid Mahmud ‘Arif al-Bukhari. Ramai para pentadbir Islam di dalam Selangor yang menjadi murid kepada Tengku Mahmud Zuhdi, diantara mereka ialah Ustaz Ahmad Dahlan Bin Abdul Mannan, bekas Pembantu Pelajaran Agama di Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Hj. Abdul Jalil Safwan bin Hj. Abdul Rahman, bekas Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Islam Selangor (PEGUAM) dan ramai lagi.

Murid Tengku Mahmud Zuhdi yang mempunyai hubungan dengan golongan korporat pula, seperti Haji Abdullah bin Faqih, ayah kepada Dato’ Hj. Shahrani, D.P.M.S, J.P, F.C.I.T, Group Excutive Chairman, Shapadu Corporation Sdn. Bhd Dato’ Hj. Shahrani Hj. Abdullah adalah salah seorang usahawan yang berjaya, berasal dari Selangor dan beliau berminat terhadap khazanah dunia Melayu.

KARYA-KARYANYA

Tengku Mahmud Zuhdi dapat dikategorikan sebagai ulma dunia Melayu yang mampu mengarang dalam dwi bahasa; bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antara karangannya yang telah ditemui disenaraikan sebagai berikut:

1.    Al-Faridatus Saniyah wal Khuthbatul Bahiyah, diselesaikan pada hari Isnin, akhir Muharram 1321 Hijrah. Cetakan pertama Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah 1331 Hijrah. Kata pujian oleh Syeikh Abdullah Daud al-Fathani dan saudaranya Syeikh Muhammad Nur Daudi al-Fathani. Kandungannya mengenai khutbah Jumaat. Pada halaman akhir terdapat puisi Syeikh Abdullah Daud Fathani dan puisi pe-ngarangnya. Kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

2.      Janiyatus Tsamarat fi Ta’rifi Ba’dhil Kalimat, diselesaikan di Mekah, Subuh Jumaat, awal Rabiulawal 1325 Hijrah. Cetakan pertama Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah 1325 Hijrah. Kandungannya membicarakan nahu dalam bahasa Arab dan merupakan syarah Matan al-Ajrumiyah. Pada cetakan ini terdapat juga tentang ilmu isti’arah karya gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

3.    Syarh Tadrijish Shibyan ila Tasywiqil Bayan, diselesaikan di Mekah, 1330 Hijrah. Cetakan pertama Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1332 Hijrah. Pada bahagian tepi dicetak juga matan ilmu tersebut yang disusun oleh gurunya, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kata pujian oleh Sayid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (Mufti Makkah al-Mukarramah). Kandungannya membicarakan ilmu isti’arah (bahagian ilmu bayan), ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarah karya gurunya, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

4.     Tsimarul Khuthab al-Mahbarah al-Minbariyah, diselesaikan Muharam 1335 Hijrah. Dicetak oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyah. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah dan terdapat berbagai-bagai amalan.

5.     Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 likur Muharam 1339 Hijrah. Dicetak oleh Mathba’ah Dar at-Thiba’ah al-Islamiyah, Patani. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Mukhtar bin ‘Atharid Bogor, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Yahya Legih ar-Ramani al-Fathani, Syeikh Ismail/Pak De ‘El bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Muhammad Nashir al-Fathani, bertarikh 16 Zulkaedah 1339 Hijrah dan Syeikh Abdul Haq, tahun 1341 Hijrah. Pentashihnya adalah Syeikh Abdullah bin Ibrahim Langgar al-Qadhi. Kandungannya menolak beberapa pemikiran Kaum Muda terutama karangan Mufti Haji Wan Musa Kelantan.

6.     Pemudahan Yang Disayang, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 Muharram 1343 Hijrah. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Kandungannya mengenai melakukan fidiyah menurut Mazhab Hanafi yang boleh dipakai dalam Mazhab Syafi’i.

7.      Pegangan Yang Terutama Pada Sedikit Daripada Pangkal Ugama, diselesaikan pada 10 Syaban 1352 Hijrah. Dicetak pada hari Rabu, 2 Safar 1353 Hijrah/16 Mei 1934 Masihi, tanpa disebut tempat mencetaknya. Kandungannya membicarakan akidah.

8.      Tamhidul Manahij al-Adabiyah fi I’rabi Mabanil Ajrumiyah,  diselesaikan pada hari Isnin 10 Zulkaedah 1352 Hijrah. Jilid 1 dan 2 dicetak oleh The New Klang Press, Klang, pada hari Isnin, 11 Rejab 1352 Hijrah/30 Oktober 1933 Masihi. Jilid 4, dicetak oleh Persama Press, Penang. Kandungannya mengenai ilmu nahu dan merupakan huraian Matan Ajrumiyah.

9.      Dua Khutbah Bagi Dua Hari Raya Fitrah dan Adha, tidak terdapat tahun selesai penulisan. Cetakan yang pertama Mathba’ah al-Ishlah, Jeddah. Dicetak atas perbelanjaan pengarang sendiri. Kandungannya mengenai khutbah, doa khatam al-Quran untuk khanduri/kenduri, talqin mayat dan doa Nifsu Syaaban.

KETURUNAN

Anak Tengku Mahmud Zuhdi yang meninggalkan keturunan ada empat orang; Haji Muhammad, keturunannya di Jambi, Sumatera, Haji Ahmad keturunannya di Jambu, Patani, Tengku Abdul Hamid dan  Tengku Aminah, keturunan dua orang yang terakhir ini di Selangor.

Anak Tengku Mahmud Zuhdi yang menjadi ulama besar dua orang; Haji Muhammad, sangat terkenal di Jambi. Digelar oleh masyarakat sebagai ‘Ulama Jubah Hitam.’ Yang menjadi ulama pula ialah Haji Ahmad, Imam Masjid Jambu, Patani dan guru mengajar pelbagai kitab. Semua anak Tengku Mahmud Zuhdi yang tersebut telah meninggal dunia.





___________________________________
Rujukan: Tokoh-Tokoh Ulama Selangor
Pengarang: Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Terbitan: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

AYAT-AYAT MANZIL


Tulisan mengenai MANZIL ini mengandungi beberapa ayat Al-Qur’an yang telah diajar oleh Rasulullah saw kepada sahabat r.a sabagai syifa’ (penawar dan ubat) dari beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani serta sebagai pelindung dari sihir.

Fadhilat Manzil ini terlalu banyak . Dari pengalaman kebanyakan orang, Manzil ini sangat mujarab untuk menyembuh penyakit sihir, jin dan lain-lain. Dua cara untuk mengubati pesakit ialah dengan pesakit sendiri membaca ayat-ayat tersebut ataupun org lain boleh membacakan dan menghembus di atas air. Air ini diminum oleh pesakit.

Hadith sahih mengenai amalan ini terdapat di dalam kitab HAYATUS-SAHABAH [jilid 3 ,m.374] yang dikarang oleh As-syeikhul kabir Maulana Mohammad Yusuf rah.a ibn Maulana Ilyas rah.a .hadist tersebut dikeluarkan oleh Imam Ahmad,Hakim, dan Tarmidhi rah.a.
Ubai bin Kaab r.a. telah meriwayat kan ;

”sewaktu kami bersama Rasulullah saw seorang badwi telah datang kepada Baginda dan berkata;”Ya Rasulullah saw saya ada seorang saudara yang telah ditimpai penyakit.” Baginda saw telah bertanya; ”penyakit apa?” jawab nya;”sejenis gila,” Rasulullah saw menyuruh orang itu membawa saudara nya.

Kemudian Baginda Rasulullah saw telah membaca surah-surah dan ayat di bawah ini:-

Bacaan           1   : Al-Fatihah

Bacaan           2   : Surah Al-Baqarah (Surah 2) ayat 1-5.

Bacaan           3   : Surah Al-Baqarah (Surah 2) ayat 163

Bacaan           4   : Surah Al-Baqarah (Surah 2) ayat 255-257

Bacaan           5   : Surah Al-Baqarah (Surah 2) ayat 284-286

Bacaan           6   : Surah Al-Imran (Surah 3) ayat 18

Bacaan           7   : Surah Al-Imran (Surah 3) ayat 26-27

Bacaan           8   : Surah Al-A'raaf (Surah 7) ayat 54-56

Bacaan           9   : Surah Al-Israa' (Surah 17) ayat 110-111
 
Bacaan           10 : Surah Surah Al-Mu’minuun (Surah 23) ayat 115-118

Bacaan           11 : Surah Asy-Syaffat (Surah 37) ayat 1-11

Bacaan           12 : Surah A-Rahman (Surah 55) ayat 33-40

Bacaan           13 : Surah Al-Hasyr (Surah 59) ayat 21-24

Bacaan           14 : Surah Al-Jinn (Surah 72) ayat 1-4

Bacaan           15 : Surah Al-Kafiruun (Surah 109) ayat 1-6

Bacaan           16 : Surah Al-Ikhlas (Surah 112) ayat 1-4

Bacaan           17 : Surah Al-Falaq (Surah 113) ayat 1-5

Bacaan           18 : Surah An-Nas (Surah 114) ayat 1-6