Bersumber dari Anas bin Malik r.a
katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku telah didatangi Buraq.
Baginda bersabda lagi: Tanpa
membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke
Baitulmuqaddis.
Baginda bersabda lagi: Aku
mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.
Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan
mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar,
secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh
Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah.
Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar
dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s
menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku
bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan
kebaikan. Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya
dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s
menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku
bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku
dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril
a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan
sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan
kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan
pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril.
Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad.
Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya,
dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan
Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman
Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi
darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya
dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s
menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku
bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan
kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya
dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s
menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku
bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan
kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya
dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril.
Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad.
Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya,
dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan
Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur.
Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar
mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha.
Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan.
Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t,
baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang
mampu menggambarkan keindahannya. Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada
baginda dengan mewajibkan sembahyang lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala
baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah
difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Sembahyang lima puluh
waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan
kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel
dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada
Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah
s.w.t mengurangkan lima waktu sembahyang dari baginda. Baginda kembali kepada
Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu sembahyang
dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya.
Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda
tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah
s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan
hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan
sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu sembahyang fardu sama
dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk
melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu
kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya.
Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak
melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia
melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga
sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi
berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku
terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu
kepada-Nya.
(HADIS RIWAYAT MUSLIM)
Sumber:
Terjemahan Shahih Muslim
KH. Adib Bisri Musthofa
No comments:
Post a Comment