Nama lengkapnya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman
bin Tunku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Ayahnya adalah
Raja Jambu, Patani yang ditangkap oleh Siam dan ditempatkn di istana tersendiri
di Ban Sim Dip, Bangkok. Ibunya bernama Kalsum binti Haji Sa’ad, berasal dari
India.
Tengku Mahmud lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, pada tahun 1293
Hijrah/1876 Masihi. Beliau meninggal dunia di Mekah pada tanggal 6 Rabiulawal
1376 Hijrah/10 Oktober 1956 Masihi.
PENDIDIKAN
Walaupun berada di dalam keadaan sangat darurat di dalam tahanan,
namun ayahnya sempat mengajar Tengku Mahmud ilmu-ilmu asas Islam tradisi Patani
dan pengetahuan adab raja-raja Melayu. Tengku Mahmud juga sempat belajar kepada
Syeikh Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani di Thait (pinggiran Bangkok). Ketika
berusia antara 8-9 tahun (1302 Hijrah/1885 Masihi), dalam keadaan sukar, Tengku
Mahmud berhasil dikirim ke Mekah. Di Mekah, diserahkan sekalian urusannya
kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mendidiknya sendiri dan
memasukkannya ke Maktab Saulatiyah, yang diasaskan oleh orang India. Dengan
demikian Tengku Mahmud memperoleh dua system pendidikan, iaitu sistem tradisional
pondok dan sistem persekolahan.
Beliau adalah murid yang paling cemerlang di sekolah itu. Oleh
kerana itu beliau diminta mengajar di sekolah tersebut pada tahun 1895. Syeikh
Ahmad al-Fathani mendesak Tengku Mahmud supaya melanjutkan pelajarannya ke
Mesir bersama Syeikh Muhammad Nur al-Fatani, Syeikh Tahir Jalaluddin
Minangkabau dan lain-lain pada tahun 1900.
Di Mesir beliau hanya memperdalam pelbagai ilmu yang telah
dipelajarinya di Mekah, terutama ilmu falakiyah dan ilmu khat. Pada tahun 1905,
Tengku Mahmud lulus peperiksaan Hasyimiyah (Syarif Husein) dengan memperoleh
Syahadah al-Kubra dan memperoleh kebenaran mengajar di Masjidil Haram, Mekah.
Sungguhpun Tengku Mahmud Zuhdi telah mngajar di Maktab Saulatiyah
dan Masjidil Haram, namun beliau sentiasa memperdalam ilmu kepada Syeikh Ahmad
al-Fathani terutama ilmu sastera Arab. Beliau juga menerima bai’ah Tariqat
Syatariyah dan Tariqat Syaziliyah daripada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani.
Selain pendidikan yang telah disebutkan, agak kebelakangan Tengku Mahmud Zuhdi
juga belajar kepada Syeikh Mukhtar ‘Atarid Bogor.
HUBUNGAN DENGAN KERABAT DIRAJA
SELANGOR
Tengku
Mahmud Zuhdi berhijrah dari Mekah ke Jambi, Sumatera. Beliau sampai di Jambi
pada hari Khamis, 6 Rabiulawal 1344 Hijrah/23 Oktober 1925 Masihi. Di sana
beliau mendirikan sekolah Arab di sebuah tempat yang bernama Tahtul Yaman.
Apabila Sultan Sulaiman Syah mendengar ulama tersebut berada di Jambi, baginda
sendiri datang ke Jambi mengajak Tengku Mahmud supaya pindah ke Selangor.
Tengku Mahmud
Zuhdi berangkat ke Klang pada tahun 1929. Pada mulanya beliau dilantik sebagai
Penasihat Agama Selangor, selanjutnya menjadi Syeikhul Islam Setia Diraja
Selangor. Di Selangor Tengku Mahmud berkahwin dengan Tengku Hajah Safiah,
puteri Sultan Abu Samah bersama isterinya Tengku Kubis. Tengku Mahmud Zuhdi
berkahwin beberapa kali, isterinya di Kelantan bernama Tengku Maryam. Di Kedah
beliau berkahwin dua kali dan di Patani sekali.
Anak
perempuannya yang bernama Tengku Aminah (tidak jelas daripada isterinya yang
mana) berkahwin dengan Tengku Badli Syah (Tengku Laksamana Selangor) ibni
Sultan Hisyamuddin Alam Syah.
MURID-MURIDNYA
Di kalangan
kerabat Diraja Selangor termasuk Sultan Sulaiman (mangkat 1937), putera baginda
Tengku Haji Ibrahim Syah (Tengku Sri Wangsa) adalah murid Tengku Mahmud Zuhdi.
Selain itu,
Tengku Mahmud Zuhdi telah mencetuskan idea sehingga berdirinya madrasah di
Klang yang bernama Marta’ al-Ulum ad-Diniyah (1933 sampai tahun 1945). Pada
tahun 1945, madrasah ini terpaksa ditutup kerana perang dunia ke-II. Setelah
peperangan selesai madrasah tersebut dibuka kembali dengan mudirnya Hj. Abdul
Ghani bin Hj. Othman. Selanjutnya ia dipimpin oleh Sayid Abdul Aziz as-Syami
al-Masri dan nama madrasah tersebut diganti dengan Darul ‘Ulumid Diniyah.Kemudian
setelah pimpinannya beralih kepada Sayid Mahmud ‘Arif Bukhari, madrasah
tersebut kembali kepada nama asalnya, iaitu Marta’ al-Ulum ad-Diniyah.
Seorang
ulama besar berbangsa Arab dan berasal dari Mekah yang pernah belajar kepada
Tengku Mahmud Zuhdi sewaktu di Klang, ialah Sayid Mahmud ‘Arif al-Bukhari.
Ramai para pentadbir Islam di dalam Selangor yang menjadi murid kepada Tengku
Mahmud Zuhdi, diantara mereka ialah Ustaz Ahmad Dahlan Bin Abdul Mannan, bekas
Pembantu Pelajaran Agama di Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Hj. Abdul Jalil
Safwan bin Hj. Abdul Rahman, bekas Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Islam
Selangor (PEGUAM) dan ramai lagi.
Murid Tengku
Mahmud Zuhdi yang mempunyai hubungan dengan golongan korporat pula, seperti
Haji Abdullah bin Faqih, ayah kepada Dato’ Hj. Shahrani, D.P.M.S, J.P, F.C.I.T,
Group Excutive Chairman, Shapadu Corporation Sdn. Bhd Dato’ Hj. Shahrani Hj.
Abdullah adalah salah seorang usahawan yang berjaya, berasal dari Selangor dan
beliau berminat terhadap khazanah dunia Melayu.
KARYA-KARYANYA
Tengku
Mahmud Zuhdi dapat dikategorikan sebagai ulma dunia Melayu yang mampu mengarang
dalam dwi bahasa; bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antara karangannya yang
telah ditemui disenaraikan sebagai berikut:
1. Al-Faridatus Saniyah wal Khuthbatul
Bahiyah,
diselesaikan pada hari Isnin, akhir Muharram 1321 Hijrah. Cetakan pertama
Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah 1331 Hijrah. Kata pujian oleh Syeikh
Abdullah Daud al-Fathani dan saudaranya Syeikh Muhammad Nur Daudi al-Fathani.
Kandungannya mengenai khutbah Jumaat. Pada halaman akhir terdapat puisi Syeikh
Abdullah Daud Fathani dan puisi pe-ngarangnya. Kedua-duanya dalam bahasa
Melayu.
2.
Janiyatus Tsamarat fi Ta’rifi
Ba’dhil Kalimat,
diselesaikan di Mekah, Subuh Jumaat, awal Rabiulawal 1325 Hijrah. Cetakan
pertama Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah 1325 Hijrah. Kandungannya
membicarakan nahu dalam bahasa Arab dan merupakan syarah Matan al-Ajrumiyah.
Pada cetakan ini terdapat juga tentang ilmu isti’arah karya gurunya Syeikh
Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
3. Syarh
Tadrijish Shibyan ila Tasywiqil Bayan, diselesaikan di Mekah, 1330 Hijrah.
Cetakan pertama Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1332 Hijrah. Pada
bahagian tepi dicetak juga matan ilmu tersebut yang disusun oleh gurunya,
Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kata pujian oleh Sayid Abdullah bin
Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (Mufti Makkah al-Mukarramah). Kandungannya
membicarakan ilmu isti’arah (bahagian ilmu bayan), ditulis dalam bahasa Arab
dan merupakan syarah karya gurunya, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
4. Tsimarul
Khuthab al-Mahbarah al-Minbariyah, diselesaikan Muharam 1335 Hijrah. Dicetak
oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyah. Kandungannya merupakan kumpulan
khutbah dan terdapat berbagai-bagai amalan.
5. Tazkiyatul
Anzhar wa Tashfiyatul Afkar, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 likur Muharam
1339 Hijrah. Dicetak oleh Mathba’ah Dar at-Thiba’ah al-Islamiyah, Patani. Kata
pujian oleh Syeikh Muhammad Mukhtar bin ‘Atharid Bogor, Syeikh Abdul Qadir bin
Shabir Mandailing, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Abdul
Qadir al-Fathani, Syeikh Yahya Legih ar-Ramani al-Fathani, Syeikh Ismail/Pak De
‘El bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Muhammad Nashir al-Fathani, bertarikh 16
Zulkaedah 1339 Hijrah dan Syeikh Abdul Haq, tahun 1341 Hijrah. Pentashihnya
adalah Syeikh Abdullah bin Ibrahim Langgar al-Qadhi. Kandungannya menolak
beberapa pemikiran Kaum Muda terutama karangan Mufti Haji Wan Musa Kelantan.
6. Pemudahan Yang Disayang, diselesaikan pada hari Jumaat,
7 Muharram 1343 Hijrah. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan
Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Kandungannya mengenai melakukan fidiyah
menurut Mazhab Hanafi yang boleh dipakai dalam Mazhab Syafi’i.
7. Pegangan Yang Terutama Pada
Sedikit Daripada Pangkal Ugama, diselesaikan pada 10 Syaban 1352 Hijrah. Dicetak pada hari Rabu,
2 Safar 1353 Hijrah/16 Mei 1934 Masihi, tanpa disebut tempat mencetaknya.
Kandungannya membicarakan akidah.
8.
Tamhidul Manahij al-Adabiyah fi
I’rabi Mabanil Ajrumiyah, diselesaikan pada hari Isnin 10 Zulkaedah
1352 Hijrah. Jilid 1 dan 2 dicetak oleh The New Klang Press, Klang, pada hari
Isnin, 11 Rejab 1352 Hijrah/30 Oktober 1933 Masihi. Jilid 4, dicetak oleh
Persama Press, Penang. Kandungannya mengenai ilmu nahu dan merupakan huraian
Matan Ajrumiyah.
9. Dua Khutbah Bagi Dua Hari Raya Fitrah
dan Adha, tidak
terdapat tahun selesai penulisan. Cetakan yang pertama Mathba’ah al-Ishlah,
Jeddah. Dicetak atas perbelanjaan pengarang sendiri. Kandungannya mengenai
khutbah, doa khatam al-Quran untuk khanduri/kenduri, talqin mayat dan doa Nifsu
Syaaban.
KETURUNAN
Anak Tengku
Mahmud Zuhdi yang meninggalkan keturunan ada empat orang; Haji Muhammad,
keturunannya di Jambi, Sumatera, Haji Ahmad keturunannya di Jambu, Patani,
Tengku Abdul Hamid dan Tengku Aminah,
keturunan dua orang yang terakhir ini di Selangor.
Anak Tengku
Mahmud Zuhdi yang menjadi ulama besar dua orang; Haji Muhammad, sangat terkenal
di Jambi. Digelar oleh masyarakat sebagai ‘Ulama Jubah Hitam.’ Yang menjadi
ulama pula ialah Haji Ahmad, Imam Masjid Jambu, Patani dan guru mengajar
pelbagai kitab. Semua anak Tengku Mahmud Zuhdi yang tersebut telah meninggal
dunia.
___________________________________
Rujukan: Tokoh-Tokoh Ulama Selangor
Pengarang: Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Terbitan: Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS)
No comments:
Post a Comment