Pengertian Masjid
Masjid adalah tempat berkumpul bagi
umat Islam untuk melakukan ibadah. Masjid
dari sudut bahasa di dalam bahasa Arab ialah nama bagi ‘tempat bersujud’. Dari
sudut syara‘ pula ialah di mana-mana tempat permukaan bumi, ini
berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:
Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat
bersujud)” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Manakala dari
sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan
bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Mu‘jam Lughat
Al-Fuqaha: 428 dan Ihkam As-Sajid: 26-27)
Warisan
Masjid Lama di Selangor
Secara umumnya, terdapat 34 buah
masjid lama yang masih wujud di Negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, hampir
kesemua daerah di Negeri Selangor ini mempunyai peninggalan masjid lama yang
dibina sebelum merdeka (31 Ogos 1957) kecuali dua buah daerah
iaitu Petaling dan Gombak yang tiada langsung kesan
peninggalan binaan masjid lama era tersebut kerana telah diruntuhkan dan
digantikan dengan masjid yang baru.
Pecahan bilangan masjid lama yang masih wujud mengikut daerah
adalah seperti berikut:-
LOKASI
|
BILANGAN
|
Sepang
|
1
|
Hulu Langat
|
2
|
Kuala Selangor
|
3
|
Hulu Selangor
|
4
|
Klang
|
7
|
Kuala Langat
|
7
|
Sabak Bernam
|
10
|
JUMLAH
|
34
|
Dalam artikel ini, Unit Arkib
Korporat MAIS hanya akan memfokuskan kepada lima (5) buah masjid yang telah berusia lebih daripada 100 tahun pembinaannya. Antara masjid
yang telah menepati kriteria yang dinyatakan adalah seperti dibawah iaitu:-
1)
Masjid Al-Muhsinin, Kampung Sungai Kandis
(1906/110 Tahun).
Masjid Al-Muhsinin atau lebih
dikenali sebagai Masjid Kampung Sungai Kandis adalah salah satu masjid tertua yang
terdapat di Selangor. Masjid ini terletak di Kampung Sungai Kandis, Mukim Bukit
Raja, Klang berkoordinat N03°01.962' E101°29.288'. Ia dibina pada tahun 1906.
Masjid ini dibina secara gotong royong oleh penduduk kampung yang
kebanyakkannya berketurunan Jawa. Kos pembinaannya dibiayai oleh hasil daripada
kutipan wang masyarakat setempat.
Pembinaan masjid ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan
iaitu kira-kira 10 tahun.
Anggaran luas kawasan masjid ini
kira-kira seratus kaki persegi. Bahan binaan yang digunakan terdiri daripada
batu dan kayu. Pada asalnya bangunan ini mempunyai dua (2) kolam pada bahagian
kiri dan kanan Masjid, ia digunakan sebagai tempat jemaah berwuduk. Dahulunya,
di tepi-tepi kolam mini dijadikan tempat untuk penduduk berkumpul.
Pengubahsuaian dilakukan dengan kedua-dua kolam di tepi masjid ini dikambus
untuk tujuan membesarkan lagi bangunan masjid ini, bermula dari bahagian kanan
dan kemudian bahagian kiri. Ini kerana berlakunya penambahan populasi penduduk
Kampung Sungai Kandis. Pada masa ini, penggunaan kolam digantikan dengan
kemudahan kolah dan saluran paip air.
Reka bentuk masjid Kampung Sungai
Kandis ini agak ringkas tetapi unik. Bentuk asal hampir menyerupai seni bina
masjid di Pulau Jawa, Indonesia. Namun setelah melalui proses penambahan,
bentuk masjid ini sedikit sebanyak telah mengalami perubahan wajah. Namun
begitu Masjid Kampung Sungai Kandis ini masih mengekalkan ciri-ciri seni bina
asal dengan beberapa struktur binaannya yang masih utuh dan berada dalam
keadaan baik sehingga ke hari ini. Struktur tersebut termasuklah empat tiang
utama yang terletak di dewan solat. Tiang tersebut diperbuat daripada kayu
cengal yang didatangkan khas dari Tanah Jawa. Selain itu, masjid ini juga
dilengkapi dengan dewan orang ramai di kawasan masjid yang dahulunya digunakan
sebagai madsarah.
Antara ciri-ciri istimewa yang
terdapat pada Masjid Kampung Sungai Kandis ini adalah bumbungnya yang
menampilkan rekabentuk bertingkat atau lebih dikenali sebagai bumbung tumpang.
Menurut penduduk setempat, susunan bumbung dengan cara tersebut bukan sahaja
memberi ruang untuk cahaya masuk bahkan memberi ruang yang cukup untuk udara
keluar masuk ke masjid, terutamanya ketika jemaah memenuhi ruang solat.
Mimbar asal dibina oleh penduduk
kampung sendiri, sebahagian daripada kayu yang digunakan adalah dari Indonesia.
Beduk yang ada sekarang ini masih berada dalam keadaan baik walaupun hanya
digunakan untuk mengumumkan tentang berita kematian kepada penduduk. Pada masa
dahulu, fungsi beduk adalah untuk menandakan masuknya waktu solat sembahyang.
Selain beduk, kentung juga masih ada lagi di masjid ini yang seusia dengan
masjid tersebut, iaitu lebih kurang 100 tahun. Masjid ini juga dilengkapi
dengan sebuah menara azan yang dibina bersebelahan masjid.
Walaubagaimanapun, tangga untuk ke menara azan
telah dirobohkan kerana menara tidak digunakan lagi dan diganti dengan sistem
pembesar suara.
2)
Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa
(1876/140 Tahun)
Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung
Jawa di Kampung Jawa terletak di Mukim Bukit Raja, Klang berkoordinat
N03°01.728' E101°27.683. Masjid ini dibina pada tahun 1876. Namanya
diambil bersempena dengan nama pengasas kampung berkenaan iaitu Dato’ Dagang.
Gelaran Dato’ Dagang diberikan oleh Raja Mahadi semasa zaman pemerintahannya
pada tahun 1860-an. Nama beliau ialah Haji Muhammad Tahir bin Haji Mahmud yang
berasal daripada Batu Bara Sumatera, Indonesia.
Jika dilihat daripada sejarahnya,
beliau mula-mula berkhidmat dengan Raja Abdullah. Apabila terjadinya perang
saudara antara Raja Abdullah dengan Raja Mahadi kerana tidak berpuas hati
dengan pentadbiran Raja Abdullah, berikutan terjadinya pembunuhan ke atas
seorang pengikutnya dari Batu Bara. Atas dasar ini, beliau telah berjuang
dengan Raja Mahadi dan menumpaskan pentadbiran Raja Abdullah di daerah Klang.
Atas jasanya itu, beliau telah dianugerahkan oleh Raja Mahadi
sejumlah kawasan di daerah Klang bermula daripada Bukit Markabah sehinggalah ke
Pengkalan Batu. Beliau telah membawa masuk sekumpulan orang dari Jawa untuk
memajukan kawasan ini. Selain membina penempatan, sebuah masjid juga turut
dibina di kawasan tersebut.
Tapak untuk mendirikan masjid ini
telah diwakafkan sendiri oleh Dato’ Dagang, sebahagian daripadanya iaitu lebih
kurang lima (5) ekar telah dijadikan tanah perkuburan untuk kegunaan orang
ramai. Dahulunya, bersebelahan dengan masjid ini terdapat sebuah sekolah,
tetapi sekarang sekolah tersebut telah dipindahkan ke kawasan yang bersesuaian.
Pembinaan asal bangunan adalah
daripada batu dan kayu. Struktur pembinaannya tidak pernah diubah sehinggalah
ke zaman cicit Dato’ Dagang iaitu Dato’ Abdul Sudak. Beliau telah melakukan
pengubahsuaian ke atas bangunan ini untuk menampung jumlah jemaah yang semakin
ramai. Sehingga kini terdapat beberapa perubahan yang dilakukan terhadap
bangunan tersebut. Namun begitu, sesetengah struktur asalnya masih lagi
dikekalkan. Antaranya, empat tiang asal yang diperbuat daripada kayu cengal
yang diletak tengah-tengah masjid. Masjid yang turun temurun dijaga oleh waris
keturunan Dato’ Dagang ini telah mendapat sumbangan dari pihak Kerajaan untuk
dibaikpulih. Setelah dinaik taraf, masjid ini mampu menampung kira-kira 500
hingga 600 orang jemaah pada satu-satu masa.
Dari segi reka bentuk dan ragam
hias, masjid ini banyak dipengaruhi oleh unsur seni bina dari Indonesia.
Bahagian atapnya bersegi empat sama dan disusun bertingkat tiga, ia lebih
dikenali sebagai bumbung bertingkat dan menyerupai bumbung Masjid Agung Demak,
di Jawa. Seni bina ini juga kadang-kala dikenali dengan nama bumbung atap
tumpang, kerana sifatnya bertumpang-tumpang atau bertangkup-tangkup antara satu
sama lain. Melalui struktur bentuk atap, masjid ini secara umumnya dapat
dibahagikan kepada tiga. (3) bahagian utama iaitu bahagian bawah bumbung
bersifat paling besar, bahagian tengah bumbung bersifat sederhana besar dan bahagian
atas bumbung bersifat mengecil dan menguncup.
Masjid ini juga turut dilengkapi
sebuah menara azan, namun ia tidak digunakan lagi kerana sistem pembesar suara
telah digunakan untuk melaungkan azan. Antara peninggalan lain yang masih kekal
termasuklah beduk dan kentung. Dahulunya beduk tersebut digunakan untuk
menandakan masuknya waktu sembahyang, sementara kentung pula digunakan untuk
menyampaikan berita dan hebahan kepada orang kampung sekiranya berlaku
kematian, malapetaka, kecemasan dan sebagainya. Kini, ianya disimpan bahan
bukti sejarah sahaja. Beberapa buah pinggan mangkuk pendatang dari Negara China
yang pernah dating ke masjid ini suatu ketika dahulu antara peninggalan
berharga yang masih disimpan hingga kini. Mimbar yang ada sekarang pula adalah
mimbar yang baru, hasil daripada kerja tangan penduduk tempatan. Tempat wuduk
yang ada hari ini tidak lagi menggunakan kolah sebaliknya digantikan dengan
saluran paip air sepenuhnya.
Di luar bangunan terutamanya di
Bahagian sisi perkarangan masjid terdapat banyak makam-makam lama, antara yang
dimakamkan di situ termasuklah makam Tok Dagang sendiri, makam Nakhoda Darus
yang juga kerabat rapat Dato’ Dagang, di samping beberapa orang pengikutnya.
Makam-makam yang terdapat di sini juga agak unik bentuknya kerana binaannya
dipengaruhi unsur-unsur dari daerah Batu Bara, Indonesia.
3) Masjid Rahmani, Kampung Permatang, Kuala
Selangor (1916/100 Tahun)
Masjid ini terletak di Kampung
Permatang, dalam daerah Kuala Selangor berkoordinat N03°21.754' E101°15.072’.
Masjid ini dibina pada tahun 1916, ia adalah masjid yang paling awal
terdapat di mukim ini selepas Masjid Bukit Belimbing dirobohkan sepenuhnya dan
digantikan dengan masjid baru. Tapak masjid ini diwakafkan oleh salah seorang
penduduk kampung, sementara dana untuk membina masjid ini pada peringkat awal
adalah hasil sumbangan daripada penduduk setempat.
Sebelum terbinanya sebuah masjid di
tapak wakaf ini terlebih dahulu dibina sebuah surau untuk kemudahan penduduk
setempat berkumpul untuk bermuzakarah dan mendirikan sembahyang berjemaah. Walaubagaimanapun, untuk mendirikan sembahyang
Jumaat pada peringkat awal penduduk kampung terpaksa menumpang di kampung
berhampiran seperti di Kampung Bukit Belimbing sebelum masjid ini dibina.
Masjid ini mengalami beberapa kali
sesi pengubahsuaian dan pembesaran bagi menampung bilangan jemaah yang semakin
bertambah dari semasa ke semasa. Namun begitu, ciri-ciri asal masjid ini masih
kekal hingga kini. Reka bentuk masjid ini menampilkan bumbung bertingkat atau
dikenali juga sebagai bumbung tupang, tidak mempunyai menara azan. Bahan yang
digunakan untuk membina masjid ini pada peringkat awal terdiri daripada kayu
dan papan yang diambil dari hutan berhampiran dengan cara bergotong-royong oleh
orang kampung.
Namun, bahan binaan ini kemudiannya
telah diubah suai dan digantikan dengan bahan baru daripada batu bata, simen
dan beratap genting. Walaupun begitu, masjid ini tetap mengekalkan sebahagian
binaan asal seperti tiang-tiang dan palang-palang utama diruang solat, begitu juga
dengan sebahagian binaan kemasan dinding dan siling yang masih mengekalkan
ciri-ciri asal, bahkan beberapa ukiran tebuk tembus di atas panel kayu yang
dijadikan sisip angin dan hiasan atas pintu masjid ini telah mengalami
perubahan fizikal terutamanya dari segi penggunaan bahan dan saiznya, namun
masih tetap mengekalkan ciri-ciri asal.
Penggunaan kolam air tempat wuduk
kekal hingga kini, namun ia telah diubah suai dengan ditinggikan sedikit
kedudukannnya. Ia sekaligus mewujudkan dua (2) cara pengunaan mengambil wuduk,
cara pertama menampilkan kaedah tradisi menggunakan cebok (gayung), di samping
menggunakan salur paip sebagai alternatif kedua. Di pekarangan masjid ini
terdapat sebuah perigi lama dipercayai digunakan untuk mensucikan diri dan
berwuduk oleh jemaah dahulu, namun ia tidak digunakan lagi kini.
Alat kentung yang digunakan untuk
memberitahu penduduk kampung tentang masuknya waktu sembahyang pada masa dahulu
tidak digunakan lagi, sebaliknya kini telah menggunakan sistem pembesar suara,
terutamanya untuk melaungkan azan mahupun membuat hebahan kepada penduduk
kampung sekiranya ada perkara yang hendak disampaikan. Di pekarangan masjid dan
di sebahagian laman penduduk berhampiran ini turut dilimpahi dengan makam-makam
lama dipercayai peneroka dan juga penduduk awal kampung berkenaan.
4)
Masjid Lama Kampung Pancang Bedena (1905/111
Tahun)
Masjid Pancang Bedena ini dibina
pada tahun 1905, ia dipercayai masjid yang tertua di daerah Sabak Bernam
dan sebuah masjid lama yang masih mengekalkan ciri-ciri asal. Lokasinya
terletak di Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam berkoordinat N03°41.713'
E101°57.620’. Nama masjid ini diambil bersempena nama kampung iaitu Kampung
Pancang Bedena. Pada awalnya kampung ini diberi nama Kampung Api-Api kerana
terdapat banyaknya pokok api-api di kawasan berkenaan. Namun kemudiannya
ditukar kepada nama Pancang Bedena diambil sempena peristiwa penemuan sebuah
bedena besar (tempayan bekas menyimpan harta) di dasar laut yang kemudiannya
dipancang kayu oleh penduduk kampung sebagai tanda untuk memudahkan orang ramai
datang bagi membawanya ke darat.
Masjid ini diasaskan oleh Tuan Haji
Muhamad bin Haji Shafie yang juga menantu kepada Penghulu Haji Talib atau lebih
dikenali sebagai Haji Taib Keramat iaitu orang yang mula-mula datang dan
membuka kampung ini selepas perang Selangor. Beliau bersama temannya yang
bernama Pawang Latib. Semasa Tuan Haji Muhamad menjadi Penghulu beliau memohon
perkenan daripada Sultan Aleddin Sulaiman Shah serta penduduk kampung untuk
mendirikan masjid di atas tanahnya seluas setengah ekar yang diwakafkan, bagi
menggantikan Masjid Pancang Bedena yang lama dan Masjid Sungai Burung yang
telah roboh.
Mengikut cerita daripada penduduk
kampung baginda bukan sahaja memperkenankan pembinaan masjid ini, malah menyumbangkan
sebahagian sumber kewangan bagi membiayai pembinaan masjid tersebut, di samping
derma daripada Penghulu Mukim Pancang Bedena, Tuan Haji Muhamad sendiri dan
orang-orang kampung. Tukang yang bertanggungjawab membina masjid ini adalah
Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Hamid Tukang yang berasal dari Kampung
Sungai Keli, Sabak Bernam. Dibantu oleh Bilal Hashim dan Haji Muhamad Jawa,
disamping bantuan daripada beberapa orang kampung dan seorang penduduk
berbangsa Cina yang dikenali sebagai Ang Gun.
Masjid ini diperbuat daripada kayu
sepenuhnya dan beratapkan zink, menampilkan reka bentuk gabungan bumbung
bertingkat dan bumbung limas yang dikenali sebagai bumbung limas bungkus.
Bumbung masjid ini juga turut
dilengkapi dengan ukiran cucur atap dan tunjuk langit, masjid ini tidak
mempunyai menara azan. Dinding dan tingkapnya dihiasi dengan ukiran tebuk
timbus bermotif tradisi Melayu seperti sulur kacang dan pola bujang. Selain
sebagai hiasan, ia sekaligus berfungsi sebagai rongga-rongga udara atau lebih
dikenali sebagai sisipan angin untuk menyejukkan bahagian dalam masjid. Masjid
ini pada peringkat awal tidak mempunyai kolam seperti lazimnya, sebaliknya
menggunakan tempayan-tempayan besar (bedena) untuk menakung air hujan bagi
jemaah mengambil wuduk.
Masjid ini adalah satu-satunya
masjid lama yang dikesan masih mengekalkan ciri-ciri rumah Melayu tradisi
dengan bahagian lantai tinggi daripada permukaan tanah dengan sokongan tiang
dan pelapik batu. Ciri-ciri lain yang masih kekal termasuklah binaan mimbar
yang sehingga kini masih berada dalam keadaan baik. Pada tahun 2005, masjid ini
dibaik pulih sepenuhnya oleh Jabatan Muzium Malaysia dengan mengekalkan
ciri-ciri asal. Hari ini masjid ini tidak lagi digunakan untuk sembahyang
Jumaat kerana masjid baru telah dibina yang terletaknya di jalan utama kampung
ini. Walaupun begitu masjid lama ini masih digunakan oleh orang kampung,
terutamanya dalam menunaikan sembahyang waktu dan sembahyang Hari Raya.
5)
Masjid Raja Alang, Pekan Beranang (1900/116
Tahun)
Masjid Raja Alang terletak di Pekan
Beranang, Selangor berkoordinat N02°52.436' E100°52.253’. masjid ini dibina
sebelum tahun 1900 lagi. Masjid ini diberi nama sempena nama pengasasnya
iaitu Raja Alang. Tanah untuk mendirikan masjid ini diwakafkan oleh Raja Alang
sendiri, keluasan tanah wakaf masjid tersebut adalah satu (1) ekar. Masjid ini
didirikan bersebelahan dengan Sekolah Rendah Agama Integrasi, Pekan Beranang.
Ia memudahkan pelajar sekolah berkenaan menjalani pelajaran praktikal,
terutamanya apabila masuk waktu solat Zohor dan Asar. Masjid ini telah
dirasmikan pembukaannya pada tahun 1939 oleh Raja Alang sendiri yang ketika itu
berusia 100 tahun.
Sepanjang tempoh kewujudannya,
masjid ini telah melalui proses beberapa pengubahsuaian, ia dilakukan bagi menaik
taraf masjid ini. Antara kerja-kerja penambahbaikan tersebut termasuklah
penambahan tandas dan garaj. Kolah tempat mengambil wuduk telah dikekalkan
hingga kini, tetapi kedudukannya ditinggikan dan ditambah bumbung. Peralatan
telekomunikasi awal seperti kertuk dan beduk tidak digunakan lagi masa kini,
namum ia masih disimpan rapi. Mimbar asal masjid pertama juga masih dikekalkan
hingga kini. Masjid ini masih mengekalkan menara azan yang dahulunya digunakan
sebagai tempat muazzin melaungkan azan apabila masuk waktu solat, namun
sekarang ini ia telah diubahsuai dengan menambah corong pembesar suara.
Reka bentuk dan seni bina masjid
yang paling tua di Pekan Beranang ini agak unik dengan menampilkan reka bentuk
moden, iaitu menampilkan ciri-ciri rekaan bentuk Moorish gabungan Timur Tengah
(Arab) dan Asia Tengah (India) dan Barat (Rom). Ia dipercayai direka oleh
arkitek British yang ketika itu bertugas di Pejabat Daerah Hulu Langat pada
zaman penjajahan British.
Binaan masjid ini terdiri daripada
batu-bata, simen, kayu, jaring besi dan kaca berwarna. Masjid ini walaupun
telah melalui beberapa sesi baik pulih, namum bentuk asal tetap dipelihara, ia
adalah hasil wasiat yang ditinggalkan oleh Raja Alang sendiri yang mahukan
bangunan tersebut terus dijaga dan dipelihara. Kini, masjid ini telah dicat
dengan warna-warna yang terang, (kuning, oren dan hijau) ia menyerlahkan lagi
seni bina yang tersergam indah di Pekan Beranang ini.
Sumber: Warisan
Masjid-Masjid Lama Di Selangor (Mohd Zainuddin Abdullah dan Noorhayati Md.
Yatim)