Monday, 23 July 2012

PENGENALAN ZAKAT, WAKAF DAN BAITULMAL

ZAKAT

Dalam bahasa arab, “ZAKAT” secara umumnya bererti pertambahan. Berasaskan pengertian umum ini, ia kemudiannya digunakan bagi banyak pengertian seperti cerdik, jenih, berkat, kepujian, bersih dan lain-lain.

Sebagai salah satu istilah dalam pengajian hukum atau “fiqh” zakat bererti mengeluarkan kadar tertentu dari harta yang tertentu bagi faedah golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Selain itu, perkataan zakat ada disebut dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu istilah tunggal bagi sesuatu pengertian kerana al-Quran dan al-Sunnah juga menggunakan perkataan “sedekah” bagi pengertian yang sama. Dalam al-Quran misalnya Allah telah berfirman dalam surah At-taubah ayat 103 yang bermaksud:

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Dalam konteks penggunaan biasa, zakat dari segi bahasa didefinisikan sebagai “bersih”, “suci”, dan “berkembang”. Pengertian “bersih” dan “suci” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri dari sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya. Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat  83 :

Dan (ingatlah Wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia Dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan Katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan Yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang Yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.


WAKAF

Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jualbeli, pewarisan, hibah dan wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya (ain). Wakaf merupakan suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana pemilikan ain (benda yang diwakafkan) adalah kerana Allah S.W.T atau dihukumkan sebagai milik Allah S.W.T Adapun manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan Maukuf Alaih iaitu pihak atau jihah atau orang yang ditentukan menerima manfaat wakaf.

Wakaf adalah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan oleh syarak.
Harta wakaf boleh menyumbang dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah contohnya mendirikan projek komersil seperti hotel wakaf, pusat-pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak yatim, pusat perlindungan dan lain-lain selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Dalam konteks Malaysia, institusi wakaf perlu diberi tempat yang penting dalam era masa kini. Melalui pembangunan institusi wakaf, ia mampu mewujudkan kerjasama yang erat dikalangan golongan individu yang berkemampuan untuk berperanan secara terus dalam membangun keperluan masyarakat islam.

Islam sangat menggalakkan umatnya mengeluarkan harta lebihan yang dimiliki untuk dikongsi bersama orang yang memerlukan dan berbakti dengan harta tersebut. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 92 bermaksud:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa Yang kamu sayangi. dan sesuatu apa jua Yang kamu dermakan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya

Firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah ayat 267:

Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik, dan sebahagian dari apa Yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih Yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Berdasarkan dalil diatas, kita dapat memahami bahawa menafkahkan harta ke jalan kebajikan sangat dituntut dan wakaf adalah salah satu daripada jalan kebajikan tersebut. Selain itu, tujuan wakaf dalam islam adalah untuk menghampirkan diri seseorang kepada Allah S.W.T iaitu mendapatkan keredhaan daripada Allah dengan menyerahkan benda yang berharga dan disayangi untuk kegunaan pihak lain. Allah akan memberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda kepada pewakaf selagi harta wakaf masih memberi manfaatnya kepada mereka yang berhak ke atas wakaf itu.


BAITULMAL

Baitulmal merupakan satu istilah bahasa Arab yang bermaksud RUMAH HARTA. Dalam istilah moden, ia dikenali sebagai Perbendaharaan Negara. Baitulmal merupakan sebuah institusi kewangan yang berfungsi untuk menyelenggarakan segala harta umum atau tempat penyimpanan barang-barang berharga seperti wang emas atau perak. Ringkasnya, ia juga berperanan sebagai pusat pelaburan harta umat Islam. Sekaligus, ia juga berfungsi untuk menubuhkan Bank Islam yang aktif dan secara langsung memperniagakan harta umat islam secara terkumpul.

Sejarah Penubuhan Baitulmal Institusi kewangan Islam dalam bentuk Baitulmal secara tidak rasminya telah wujud sejak dari zaman Rasulullah (s.a.w.) dan Saidina Abu Bakar As-Sidiq lagi. Tetapi Baitulmal dalam erti kata yang sebenar belum lagi wujud kerana pendapatan Negara yang masih belum berkembang dengan pesat pada ketika itu. Pendapatan negara pada masa itu diperolehi melalui dua sumber, iaitu zakat dan harta yang diperolehi daripada peperangan seperti ghanimah, jizyah dan fai. Pendapatan negara pada ketika ini tidak disimpan lama, ia akan terus diagih-agihakan kepada golongan yang memerlukan seperti golongan fakir, anak-anak yatim dan lain-lain golongan yang memerlukan.faktor inilah yang menyebabkan fungsi Biatulmal mudah dan tidak begitu ketara penggunaannya pada ketika itu.

Institusi Baitulmal ini secara rasminya telah wujud pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab. Pada zaman ini, kerajaan Islam banyak melakukan penaklukan dan menyebabkan wilayah islam berkembang dengan pesat. Hasil daripada peluasan ini, harta benda yang terkumpul manjadi amat banyak dan tidak dapat diagihkan secara serta-merta. Khalifah Umar menerima cadangan yang dikemukakan oleh Khalid bin Al-Walid untuk menubuhkan satu Perbendaharaan Negara yang berasaskan kepada Al-Quran dan Al-Hadis serta ijtihad para Sahabat. Pada peringkat awalnya, perbendaharaan tersebut dikenali sebagai Diwan. Pada zaman Bani Umayyah (41-132H), Institusi Baitulmal telah berkembang dengan begitu pesat. Islam telah berjaya meluaskan jajahan takluknya sehingga ke Afrika, Rom dan Constantinople. Sumber pendapatan Negara yang paling penting pada ketika itu ialah Kharaj, di samping Zakat, Ghanimah, Fai dan Jizyah.

Pada zaman Bani Abbasiyyah (132-655H), pusat pemerintahan Islam telah berpindah ke Baghdad iaitu sebuah kawasan yang paling strategik dan juga merupakan yang terpenting bagi urusan perdagangan antara Timur dan Barat. Kesan daripada perpindahan ini, pendapatan institusi Baitulmal telah berkembang berlipat kali ganda. Perebutan kuasa politik antara Al-Ma’mun dengan Al-Amin adalah titik permulaan kepada kemerosotan institusi Baitulmal. Institusi Baitulmal di bawah pemerintahan Al-Ma’mun tidak dapat berfungsi dengan baik dan teratur. Apabila berlaku penaklukan kuasa Barat ke atas Negara Islam selepas era Perang Salib (1096-1250M), Institusi Baitulmal tidak lagi berfungsi dalam erti kata yang sebenarnya dalam menjana ekonomi dan membangunkan prasarana umat islam. Peranannya semakin sempit dan terhad kepada pengumpulan dan pengagihan wang zakat fitrah, zakat harta dan wakaf.

No comments:

Post a Comment