Friday, 13 July 2012

PERANAN PENGUATKUASAAN SYARIAH DALAM MEMBENDUNG GEJALA PEMBUANGAN BAYI


Oleh: Mahfudzah binti Mohamad (Bahagian Penyelarasan Undang-Undang, Jakim)

Masalah gejala sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda pengurangan kini berubah kepada keadaan yang amat membimbangkan khususnya kes pembuangan bayi. Trend pembuangan bayi di Malaysia seperti menjadi sumpahan apabila tabiat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini semakin popular di kalangan remaja.

Malah bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan. Ini menyamai trend membunuh tiga nyawa tidak berdosa bagi setiap dua minggu atau dengan kata lain, wujud 3 pembunuh atau pembuang senyap dalam setiap minggu.
  
Persoalannya, apakah punca utama masalah ini dan adakah tidak ada jalan penyelesaian bagi mengatasinya? Adakah peruntukan undang-undang berkaitan masih tidak mencukupi dan penguatkuasaannya masih longgar sehingga menyebabkan ‘pembuang senyap’ ini amat berani beraksi tanpa mengambil kira keadaan sekeliling? Atau adakah institusi kekeluargaan kini telah sampai kepada tahap kritikal sehingga keadaan anak perempuan mereka yang hamil ini langsung tidak disedari oleh ibu bapa dan penjaga?

Selain usaha menerapkan nilai-nilai agama dalam masyarakat khususnya di dalam institusi keluarga, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah buang bayi juga amat perlu ditingkatkan memandangkan gejala ini dilihat semakin menjadi-jadi. Bagi tindakan penguatkuasaan syariah pula, ia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah. Namun tindakan pencegahan inilah menjadi suatu perkara yang amat penting kerana ia melibatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, hamil luar nikah, persetubuhan luar nikah dan lain-lain kesalahan berkaitan.

Namun masyarakat sering kali mempersoal tindakan penguatkuasaan syariah yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) ini. Segala macam tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin “menjaga tepi kain orang”. Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula tohmahan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat menghina, kolot, menghalang kebebasan individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya bagi hukuman sebat syariah.

Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman dalam Enakmen Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut di kalangan masyarakat terhadap hukuman yang dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman yang ditetapkan oleh Undang-Undang Islam. Ini kerana keseluruhan hukuman ini mengandungi unsur-unsur yang membuatkan masyarakat takut untuk menghadapinya.

Manakala aspek pembalasan pula dinyatakan dengan tegas oleh Allah s.w.t di dalam Surah al-Maidah ayat 38:

"السارق والسارقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكالا من الله"

Maksudnya: Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan.

Hukuman yang berbentuk ganti rugi pula adalah hukuman yang yang dikenali sebagai hukuman diyat. Secara jelasnya ia terdapat dalam kes-kes pencerobohan yang dilakukan terhadap kepentingan orang lain. Ada juga hukuman yang diperuntukkan bertujuan sebagai pemulihan bagi pesalah-pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah berkenaan ke jalan kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan. Firman Allah s.w.t dalam Surah az-Zukhruf ayat 48:


"وأخذناهم بالعذاب لعلهم يرجعون"

Maksudnya: Dan kami timpakan ke atas mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.

Dalam Akta/Enakmen/Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri telah terdapat peruntukan yang bertujuan untuk membanteras kegiatan jenayah ini pada peringkat awal lagi. Contohnya peruntukan bagi kesalahan khalwat. Jika diteliti secara mendalam, khalwat merupakan faktor utama yang membawa kepada perzinaan yang akhirnya membawa kepada gejala hamil luar nikah dan buang bayi. Maka di sinilah peranan penguatkuasaan syariah yang harus ‘menjaga tepi kain orang’ bagi membendung gejala sosial daripada terus berleluasa. Ini Kerana tindakan ‘menjaga tepi kain orang’ ini tidak menjadi suatu kesalahan dalam usaha membasmi gejala sosial, bahkan sikap seperti ini adalah sangat dituntut oleh Islam. Ibu bapa atau penjaga juga perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama bermula dari peringkat awal lagi kerana fitrah manusia khususnya remaja yang cepat terpengaruh oleh anasir luar yang merosakkan.         

No comments:

Post a Comment