Monday 23 July 2012

PENGENALAN ZAKAT, WAKAF DAN BAITULMAL

ZAKAT

Dalam bahasa arab, “ZAKAT” secara umumnya bererti pertambahan. Berasaskan pengertian umum ini, ia kemudiannya digunakan bagi banyak pengertian seperti cerdik, jenih, berkat, kepujian, bersih dan lain-lain.

Sebagai salah satu istilah dalam pengajian hukum atau “fiqh” zakat bererti mengeluarkan kadar tertentu dari harta yang tertentu bagi faedah golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Selain itu, perkataan zakat ada disebut dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu istilah tunggal bagi sesuatu pengertian kerana al-Quran dan al-Sunnah juga menggunakan perkataan “sedekah” bagi pengertian yang sama. Dalam al-Quran misalnya Allah telah berfirman dalam surah At-taubah ayat 103 yang bermaksud:

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Dalam konteks penggunaan biasa, zakat dari segi bahasa didefinisikan sebagai “bersih”, “suci”, dan “berkembang”. Pengertian “bersih” dan “suci” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri dari sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya. Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat  83 :

Dan (ingatlah Wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia Dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan Katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan Yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang Yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.


WAKAF

Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jualbeli, pewarisan, hibah dan wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya (ain). Wakaf merupakan suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana pemilikan ain (benda yang diwakafkan) adalah kerana Allah S.W.T atau dihukumkan sebagai milik Allah S.W.T Adapun manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan Maukuf Alaih iaitu pihak atau jihah atau orang yang ditentukan menerima manfaat wakaf.

Wakaf adalah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan oleh syarak.
Harta wakaf boleh menyumbang dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah contohnya mendirikan projek komersil seperti hotel wakaf, pusat-pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak yatim, pusat perlindungan dan lain-lain selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Dalam konteks Malaysia, institusi wakaf perlu diberi tempat yang penting dalam era masa kini. Melalui pembangunan institusi wakaf, ia mampu mewujudkan kerjasama yang erat dikalangan golongan individu yang berkemampuan untuk berperanan secara terus dalam membangun keperluan masyarakat islam.

Islam sangat menggalakkan umatnya mengeluarkan harta lebihan yang dimiliki untuk dikongsi bersama orang yang memerlukan dan berbakti dengan harta tersebut. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 92 bermaksud:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa Yang kamu sayangi. dan sesuatu apa jua Yang kamu dermakan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya

Firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah ayat 267:

Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik, dan sebahagian dari apa Yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih Yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Berdasarkan dalil diatas, kita dapat memahami bahawa menafkahkan harta ke jalan kebajikan sangat dituntut dan wakaf adalah salah satu daripada jalan kebajikan tersebut. Selain itu, tujuan wakaf dalam islam adalah untuk menghampirkan diri seseorang kepada Allah S.W.T iaitu mendapatkan keredhaan daripada Allah dengan menyerahkan benda yang berharga dan disayangi untuk kegunaan pihak lain. Allah akan memberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda kepada pewakaf selagi harta wakaf masih memberi manfaatnya kepada mereka yang berhak ke atas wakaf itu.


BAITULMAL

Baitulmal merupakan satu istilah bahasa Arab yang bermaksud RUMAH HARTA. Dalam istilah moden, ia dikenali sebagai Perbendaharaan Negara. Baitulmal merupakan sebuah institusi kewangan yang berfungsi untuk menyelenggarakan segala harta umum atau tempat penyimpanan barang-barang berharga seperti wang emas atau perak. Ringkasnya, ia juga berperanan sebagai pusat pelaburan harta umat Islam. Sekaligus, ia juga berfungsi untuk menubuhkan Bank Islam yang aktif dan secara langsung memperniagakan harta umat islam secara terkumpul.

Sejarah Penubuhan Baitulmal Institusi kewangan Islam dalam bentuk Baitulmal secara tidak rasminya telah wujud sejak dari zaman Rasulullah (s.a.w.) dan Saidina Abu Bakar As-Sidiq lagi. Tetapi Baitulmal dalam erti kata yang sebenar belum lagi wujud kerana pendapatan Negara yang masih belum berkembang dengan pesat pada ketika itu. Pendapatan negara pada masa itu diperolehi melalui dua sumber, iaitu zakat dan harta yang diperolehi daripada peperangan seperti ghanimah, jizyah dan fai. Pendapatan negara pada ketika ini tidak disimpan lama, ia akan terus diagih-agihakan kepada golongan yang memerlukan seperti golongan fakir, anak-anak yatim dan lain-lain golongan yang memerlukan.faktor inilah yang menyebabkan fungsi Biatulmal mudah dan tidak begitu ketara penggunaannya pada ketika itu.

Institusi Baitulmal ini secara rasminya telah wujud pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab. Pada zaman ini, kerajaan Islam banyak melakukan penaklukan dan menyebabkan wilayah islam berkembang dengan pesat. Hasil daripada peluasan ini, harta benda yang terkumpul manjadi amat banyak dan tidak dapat diagihkan secara serta-merta. Khalifah Umar menerima cadangan yang dikemukakan oleh Khalid bin Al-Walid untuk menubuhkan satu Perbendaharaan Negara yang berasaskan kepada Al-Quran dan Al-Hadis serta ijtihad para Sahabat. Pada peringkat awalnya, perbendaharaan tersebut dikenali sebagai Diwan. Pada zaman Bani Umayyah (41-132H), Institusi Baitulmal telah berkembang dengan begitu pesat. Islam telah berjaya meluaskan jajahan takluknya sehingga ke Afrika, Rom dan Constantinople. Sumber pendapatan Negara yang paling penting pada ketika itu ialah Kharaj, di samping Zakat, Ghanimah, Fai dan Jizyah.

Pada zaman Bani Abbasiyyah (132-655H), pusat pemerintahan Islam telah berpindah ke Baghdad iaitu sebuah kawasan yang paling strategik dan juga merupakan yang terpenting bagi urusan perdagangan antara Timur dan Barat. Kesan daripada perpindahan ini, pendapatan institusi Baitulmal telah berkembang berlipat kali ganda. Perebutan kuasa politik antara Al-Ma’mun dengan Al-Amin adalah titik permulaan kepada kemerosotan institusi Baitulmal. Institusi Baitulmal di bawah pemerintahan Al-Ma’mun tidak dapat berfungsi dengan baik dan teratur. Apabila berlaku penaklukan kuasa Barat ke atas Negara Islam selepas era Perang Salib (1096-1250M), Institusi Baitulmal tidak lagi berfungsi dalam erti kata yang sebenarnya dalam menjana ekonomi dan membangunkan prasarana umat islam. Peranannya semakin sempit dan terhad kepada pengumpulan dan pengagihan wang zakat fitrah, zakat harta dan wakaf.

Friday 13 July 2012

KAEDAH PENENTUAN AWAL RAMADHAN, SYAWAL DAN ZULHIJJAH DI MALAYSIA

Pengenalan Takwim

"Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang, supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); Dan (ingatlah tanda seruan) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah terangkan dia satu persatu (di dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya"

Surah al-Israa 12

--------------------------------------------------------------------------------

* Kertas ini telah dibentang dalam Muzakarah Falak anjuran JAKIM pada 30 Jun - 2 Julai 2003 di Corus Paradise Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Takwim atau kalendar boleh ditakrifkan sebagai satu rekod perjalanan waktu atau sistem susunan masa yang membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu dan minggu menjadi hari. Peranan takwim dalam kehidupan manusia sangat penting. Ia merupakan sistem masa yang berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan bagi membantu manusia mentadbir kehidupan seharian. Ia diasaskan kepada kedudukan bulan (Takwim Hijriah) atau matahari (Kalendar Masehi atau lebih tepat Miladiah).

Tarikh Takwim/Kalendar Diperkenalkan

Takwim Hijriah mula diperkenalkan semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Sayidina Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah. Takwim hijriah dipilih bersempena dengan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Makkah ke Madinah. Awal Muharram tahun pertama hijriah bersamaan dengan 16 Julai 622 Miladiah.

Manakala Kalendar Miladiah pula adalah berasaskan kedudukan matahari. Tahun Miladiah atau Masehi atau Gregorian adalah berasal daripada Kalendar Julian (Julius Ceasar) yang diperkenalkan sejak tahun 45 BC. Kalendar Gregorian hanya mula digunakan secara rasmi pada tahun 1582 setelah melalui beberapa pengubahsuaian oleh Pope Gregory XIII.

JENIS TAKWIM

Pada asasnya Takwim Hijriah berdasarkan kepada peredaran bulan, tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim seperti berikut:

· Takwim Istilahi
Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli 30 dan 29 hari menjadikan 354 hari setahun.

· Takwim Hakiki
Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan hijriah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki. Apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.

· Takwim Wujudul Hilal
Takwim yang berdasarkan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.

· Takwim Imkanur-Rukyah
Takwim Imkanur-Rukyah adalah di mana penentuan bagi setiap awal bulan hijriah yang berdasarkan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

CIRI-CIRI TAKWIM DAN KALENDAR 


Takwim Hijriah

· Bulan

Firman Allah S.W.T.

Maksudnya;
'Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Ketetapan) yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertaqwa'
Surah al-Taubah; 36

Bulan qamariah dalam setahun adalah 12 bulan iaitu bulan Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bilangan hari bagi setiap bulan qamariah mengandungi 29 atau 30 hari bergantung kepada bila berlakunya ijtimak dan kewujudan/kenampakan hilal pada penghujung bulan qamariah hari ke-29 setiap bulan hijriah mengikut syarat-syarat tertentu.

· Hari

Hari di dalam perkiraan Takwim Hijriah bermula dari waktu matahari terbenam. Ini berbeza dengan Kalendar Miladiah yang perkiraan harinya bermula pada jam 12.00 tengah malam. Dalam setahun, Takwim Hijriah mempunyai 354.36 hari, beza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam Kalendar Miladiah. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru hijriah iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.


Kalendar Miladiah

· Bulan

Bulan-bulan yang terkandung dalam Kalendar Miladiah terdiri daripada bulan Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember. Jumlah bilangan hari bagi setiap bulan adalah 31 dan 30 hari berselang-seli bermula dengan bulan Januari, kecuali bulan Februari mempunyai bilangan 28 atau 29 hari sahaja.

· Hari

Pengiraan hari bagi Kalendar Miladiah bermula tengah malam. Dalam tempoh setahun ia mempunyai 365 atau 366 hari mengikut bilangan hari yang ada setiap bulan tetapi jumlah yang tepat atau sebenarnya adalah 365.2422 hari. Bagi tahun yang mempunyai jumlah hari 366 (29 hari pada bulan Februari), ia dikenali sebagai tahun lompat. Ini berlaku setiap empat tahun sekali. Tarikh bagi hari-hari penting setiap tahun adalah tetap dan disambut dalam musim yang sama, contohnya seperti Tahun Baru Miladiah yang disambut pada 1 Januari setiap tahun.

KEMBARA KE DUNIA SEMUT

Oleh: Nurul Amira Abd Talib

Tahukah adik-adik tentang kebesaran Allah dalam mencipta seekor semut yang merupakan binatang paling kecil di dunia? Tentu adik-adik tertanya-tanya siapa itu semut sebenarnya. Untuk pengetahuan adik-adik, semut merupakan haiwan serangga yang hidup secara bermasyarakat. Cuba adik-adik perhatikan. Apabila semut berjalan, semut akan berjalan secara berkelompok. Semut tidak seperti manusia kerana semut tidak membezakan antara yang kaya dan miskin. Sebagai contoh mari kita lihat kehidupan semut Formica Yesensis, yang hidup di pantai Ishikari, Afrika. Masyarakat semut ini tinggal di 45,000 sarang yang saling berhubung di wilayah seluas 2.7 kilometer persegi. Masyarakat yang memiliki sekitar 1 080 000 ratu dan 306 000 000 pekerja ini dinamakan sebagai “masyarakat super’’ oleh para pengkaji. Para pengkaji mendapati bahawa semua alat produksi dan makanan ditukar dalam masyarakat semut secara teratur tanpa sebarang masalah dalam tempat yang sedemikian luas.

Ratu semut ditugaskan untuk meningkatkan jumlah semut dengan menghasilkan sejumlah telur. Dalam sesebuah masyarakat semut akan terdapat lebih dari satu ratu. Tubuh ratu lebih besar dari tubuh semut yang lain. Manakala tugas semut jantan hanya mengawan dengan sang ratu. Hampir semua semut jantan mati setelah mengawan.

Sang semut juga memiliki disiplin yang sangat mirip dengan ketenteraan. Namun, dalam ketenteraan semut, tidak mempunyai sang perwira tetapi mereka menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Cuba adik-adik fikirkan bagaimana seekor haiwan biasa mampu mempunyai disiplin sedangkan golongan serangga ini tidak dikurniakan akal fikiran seperti kita manusia. Mereka sangat berdisiplin dengan amanah yang diberikan kepada mereka. Setiap kelompok semut mempunyai tugas masing-masing.

Misalnya semut penjaga pintu. Untuk pengetahuan adik-adik, sarang semut dihubung-kan dengan dunia luar melalui lubang kecil yang hanya berukuran seperti saiz seekor semut. Untuk melalui lubang ini setiap semut perlu meminta izin daripada semut yang bertugas sebagai penjaga pintu. Penjaga pintu bertugas menutup pintu dengan kepalanya yang sesuai dengan lubang masuk. Lebih menarik, warna kepalanya sama dengan warna kulit pohon dimana sarang itu berada. Semut yang dipertanggungjawabkan menjaga pintu akan duduk berjam-jam di lubang masuk dan hanya membenarkan semut-semut dalam masyarakatnya sahaja untuk melalui pintu itu.

Istimewanya sang semut adalah kerana persahabatan yang murni antara mereka. Golongan serangga ini sanggup berkorban apa sahaja. Misalnya jika berlaku kekurangan makanan dalam masyarakat semut, semut pekerja akan berubah menjadi semut pemberi makanan kepada semut-semut yang lain dengan partikel makanan yang ada dalam perut mereka. Apabila masyarakat berlebihan makanan, mereka akan ber-tukar menjadi semut pekerja. Ini adalah satu pengorbanan yang cukup tinggi, jauh mengatasi pergorbanan yang boleh dilakukan oleh manusia.

Semut sanggup memberi segala milik mereka kepada semut lain tanpa rasa ragu agar semut lain tetap hidup, sedangkan di dunia hari ini ramai manusia yang mati kelaparan tanpa mendapat bantuan makanan secukupnya.

Firman Allah SWT, “Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai semut-semut masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.” (an-Naml : 18 )

Semut juga merupakan makhluk yang sungguh luar biasa. Kajian membuktikan bahawa golongan serangga kecil ini memiliki jaringan komunikasi yang luar biasa. Semut mempunyai kaedah komunikasi yang cukup canggih kerana pancaindera mereka sangat peka. Ia digunakan pada setiap ketika. Terdapat 500,000 sel saraf yang termuat dalam dua atau tiga milimeter tubuh mereka. Oleh itu, adik-adik perlu tahu bahawa sekecil-kecil serangga ini, ia tahu meletakkan dirinya di tempat yang sewajarnya.

Adik-adik perlu menjadi seperti semut, walaupun kecil tetapi kualiti kehidupannya sangat bermakna. Semoga adik-adik menjadi seorang kanak-kanak yang kecil fizikal tapi besar mentalnya.

SUMBER : Majalah Pendidik keluaran November/ Disember 209

PERANAN PENGUATKUASAAN SYARIAH DALAM MEMBENDUNG GEJALA PEMBUANGAN BAYI


Oleh: Mahfudzah binti Mohamad (Bahagian Penyelarasan Undang-Undang, Jakim)

Masalah gejala sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda pengurangan kini berubah kepada keadaan yang amat membimbangkan khususnya kes pembuangan bayi. Trend pembuangan bayi di Malaysia seperti menjadi sumpahan apabila tabiat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini semakin popular di kalangan remaja.

Malah bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan. Ini menyamai trend membunuh tiga nyawa tidak berdosa bagi setiap dua minggu atau dengan kata lain, wujud 3 pembunuh atau pembuang senyap dalam setiap minggu.
  
Persoalannya, apakah punca utama masalah ini dan adakah tidak ada jalan penyelesaian bagi mengatasinya? Adakah peruntukan undang-undang berkaitan masih tidak mencukupi dan penguatkuasaannya masih longgar sehingga menyebabkan ‘pembuang senyap’ ini amat berani beraksi tanpa mengambil kira keadaan sekeliling? Atau adakah institusi kekeluargaan kini telah sampai kepada tahap kritikal sehingga keadaan anak perempuan mereka yang hamil ini langsung tidak disedari oleh ibu bapa dan penjaga?

Selain usaha menerapkan nilai-nilai agama dalam masyarakat khususnya di dalam institusi keluarga, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah buang bayi juga amat perlu ditingkatkan memandangkan gejala ini dilihat semakin menjadi-jadi. Bagi tindakan penguatkuasaan syariah pula, ia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah. Namun tindakan pencegahan inilah menjadi suatu perkara yang amat penting kerana ia melibatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, hamil luar nikah, persetubuhan luar nikah dan lain-lain kesalahan berkaitan.

Namun masyarakat sering kali mempersoal tindakan penguatkuasaan syariah yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) ini. Segala macam tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin “menjaga tepi kain orang”. Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula tohmahan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat menghina, kolot, menghalang kebebasan individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya bagi hukuman sebat syariah.

Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman dalam Enakmen Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut di kalangan masyarakat terhadap hukuman yang dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman yang ditetapkan oleh Undang-Undang Islam. Ini kerana keseluruhan hukuman ini mengandungi unsur-unsur yang membuatkan masyarakat takut untuk menghadapinya.

Manakala aspek pembalasan pula dinyatakan dengan tegas oleh Allah s.w.t di dalam Surah al-Maidah ayat 38:

"السارق والسارقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكالا من الله"

Maksudnya: Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan.

Hukuman yang berbentuk ganti rugi pula adalah hukuman yang yang dikenali sebagai hukuman diyat. Secara jelasnya ia terdapat dalam kes-kes pencerobohan yang dilakukan terhadap kepentingan orang lain. Ada juga hukuman yang diperuntukkan bertujuan sebagai pemulihan bagi pesalah-pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah berkenaan ke jalan kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan. Firman Allah s.w.t dalam Surah az-Zukhruf ayat 48:


"وأخذناهم بالعذاب لعلهم يرجعون"

Maksudnya: Dan kami timpakan ke atas mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.

Dalam Akta/Enakmen/Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri telah terdapat peruntukan yang bertujuan untuk membanteras kegiatan jenayah ini pada peringkat awal lagi. Contohnya peruntukan bagi kesalahan khalwat. Jika diteliti secara mendalam, khalwat merupakan faktor utama yang membawa kepada perzinaan yang akhirnya membawa kepada gejala hamil luar nikah dan buang bayi. Maka di sinilah peranan penguatkuasaan syariah yang harus ‘menjaga tepi kain orang’ bagi membendung gejala sosial daripada terus berleluasa. Ini Kerana tindakan ‘menjaga tepi kain orang’ ini tidak menjadi suatu kesalahan dalam usaha membasmi gejala sosial, bahkan sikap seperti ini adalah sangat dituntut oleh Islam. Ibu bapa atau penjaga juga perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama bermula dari peringkat awal lagi kerana fitrah manusia khususnya remaja yang cepat terpengaruh oleh anasir luar yang merosakkan.         

Monday 9 July 2012

PETIKAN RINGKAS TERJEMAHAN KITAB RIADHUS SHALIHIN


NIAT IKHLAS

Firman ALLAH yang bermaksud : Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya, lagi tetap teguh diatas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar. (Al-Bayyinah 5)

Daripada Umar Bin Al-khattab r.a berkata : Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w bersabda  : Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang di niatkan. Maka barang siapa hijrah kepada Allah dan rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu. (Bukhari, Muslim)

Pentingnya niat bagi membezakan sesuatu itu beroleh pahala atau sia-sia.

TAUBAT
       
Wajib bertaubat pada setiap dosa kepada Allah, terdapat 3 syarat bertaubat:
1. Menghentikan maksiat
2. Menyesal kerana ketelanjurannya
3. Berazam tidak akan mengulanginya lagi tambahan satu lagi syarat jika dosa melibatkan hak sesama manusia
4. Memohon maaf dan minta dihalalkan atau memulangkan kembali hak nya.

Firman Allah pada akhir ayat 31 surah AN-NUR yang bermaksud : dan bertaubatlah kamau sekelian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Rasullullah s.a.w bersabda : Hai sekelian manusia bertaubatlah kamu kepada Allah, dan beristifarlah (memohon ampun) kepadanya, sesungguhnya aku beristifar tiap-tiap hari seratus kali (Muslim)

SABAR

Firman Allah pada ayat terakhir surah A-LI 'IMRAAN yang bermaksud:   Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan),dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan) (Ali'imraan 200)

Firman Allah : Demi sesunguhnya, kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya)  kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang sabar:(Al-Baqarah 155)

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : "sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali" (Al-Baqarah 156)

Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah s.a.w bersabda : siapa yang dikehendaki oleh Allah padanya satu kebaikan, maka diberinya penderitaan (Bukhari)

Daripada Anas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : Jika Allah berkehendak kebaikan terhadap hambanya, maka dilaksanakan segera pembalasan siksa di dunia, sebaliknya jika Allah menghendaki binasa terhadap hambanya, ditahan pembalasan dosanya, hingga akan dituntut kelak pada hari kiamat.


ALLAH berfirman yang bermaksud : wahai orang-orang yang beriman ! bertaqwalah kamu kepada ALLAH, dan hendaklah kamu bersama-sama orang-orang yang benar. (At-Taubah 119)

Abu Muhammad bin Ali bin Abi Thalib r.a. berkata : Saya telah hafal dari ajaran Rasulullah s.a.w : Tinggalkan apa yang kamu ragu-ragukan , kepada apa yang kamu tidak ragu-ragu , sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan, dan dusta itu menimbulkan keraguan. (Attirmidzi)

Hadis ini menekankan bahawa setiap ibadat hendaklah disetai dengan keyakinan tanpanya ibadat akan  menjadi tidak sah, olehitu segala yang dikerjakan mestilah benar-benar menurut perintah Allah dan Rasul s.a.w
 
WASPADA

Firman ALLAH yang bermaksud: "Sesunguhnya tiada satupun yang tersembunyi daripada ALLAH, baik yang di langit ataupun di bumi"

Sabda Rasulullah s.a.w : "Bertakwalah kepada ALLAH dimana saja engkau berada, dan ikutilah perbuatan kejahatan itu dengan kebaikan supaya terhapus kejahatan, dan bergaullah dengan sesama manusia dengan budi yang baik" (Attirmidzi)

TAQWA

Firman ALLAH yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman ! Bertakwalah kamu kepada ALLAH dngan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan islam" (A-Li`Imraan 102)
       
 
Firman ALLAH yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada ALLAH, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan ALLAH (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal 29)

Sabda Rasulullah s.a.w : "Bertakwalah kepada ALLAH, solatlah lima waktu, berpuasa dibulan Ramadhan, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada pemimpin mu, nescaya kamu akan masuk surga yang disediakan oleh Tuhanmu." (Attirmidzi)

YAKIN DAN TAWAKKAL (berserah)

ALLAH berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementarlah hati mereka , dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Nya, menjadikan mereka bertambah iman, da kepda Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Al-Anfal 2)
   
                                                       
Umar r.a. berkata, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sekiranya kamu bertawakkal (berserah) kepada ALLAH  dengan bersungguh-sungguh, nescaya ALLAH akan memberi rezki kepada mu sepertimana burung yang keluar pagi dengan perut kosong dan kembali pada petang dengan kekenyangan" (Attirmidzi)

Disini dapatlah difahamkan bahawa tawakkal  perlu kepada usha atau ikhtiar seperti contoh yang diberikan Rasulullah terhadap burung yang berusha keluar pada pagi hari.

ISTIQOMAH (LURUS, TETAP)

ALLAH berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata : "Tuhan kami ialah ALLAH", kemudian mereka tetap teguh diatas jalan betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu) mereka tidak ada kebimbangan(dari sesuatu yang tidak baik) terhadap meraka, dan mereka pula tidak akan berdukacita". (Al-Ahqaaf 13)

Abu Hurairah r.a. berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w. :"Bersederhanalah kamu dan tetapkanlah dalam beramal, Sesungguhnya tidak seorangpun yang selamat hanya dengan bergantung semata-mata dengan amal perbuatannya. Sahabat bertanya :     Tidak juga engkau ya Rasulullah ? Jawab Nabi : Tidak pula Saya kecuali ALLAH meliputi Saya dengan rahmat Nya". (Muslim)

Pengertian hadis ini ialah supaya kita tidak berlebih-lebihan dalam beramal dari apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. sebab yang penting bukan jumlah tetepi tepat dan ikhlasnya serta tetap diamalkan sentiasa.

Firman ALLAH yang bermaksud : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada petukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat ALLAH) bagi orang-orang yang berakal.         (A-Li`Imraan 190)

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring  mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami!   Tiadalah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (A-Li`Imraan 191)  

Tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung ganang, bagaimana ia di tegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia di hamparkan? Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (Wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya da yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorng Rasul pemberi ingatan. (Al-Ghaasyiyah17-21)  

BERLUMBA-LUMBA DALAM MELAKUKAN KEBAIKAN TANPA RAGU-RAGU

Firman ALLAH yang bermaksud : Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, Oleh itu belumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana dimana saja kamu berada maka ALLAH akan tetap membawa kamu semua (berhimpunpada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya ALLAH maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah 148)

Jabir r.a. berkata : Pada hari perang Uhud, ada seorang bertanya kepada Nabi s.a.w. : Bagaimana pendapat mu kalau sya terbunuh dalam perang ini? Jawab Nabi s.a.w. : Di surga.  Maka segera orang itu membuang beberapa biji kurma yang masih ada dalam tangan nya dan sedang dimakan kemudian ia maju berperang, sehingga terbunuh.(Bukhari, Muslim)

Ia memberi pengajaran pada kita bahawa betapa bersegeranya sahabat dalam melakukan kebaikan tanpa perasan ragu-ragu.

MUJAHADAH - PERJUANGAN MELAWAN HAWA NAFSU

Firman ALLAH yang bermaksud : Mereka yang berjuang untuk keredaan Kami, pasti Kami tunjukkan jalan Kami, dan ALLAH tetap bersama orang yang berbuat baik (Al-Ankabut 69)

Abu Hurairah r.a. berkata : Rasullullah s.a.w. bersabda : Neraka tertutup dengan berbagai shawat hawa nafsu, Sedang surge tertutup dengan kesukaran keberatan. (Bukhari, Muslim)

Seolah-olah surga dan neraka tergantung pada pengendalian hawa nafsu di bawah tuntutan ajaran ALLAH dan Rasullullah s.a.w.  Memang hawa nafsu berat dan sukar untuk taat pada perintah, pda hal kepentingannya hanya tergantung pada kekuatannya, mengandaliakn kepada jalan-jalan yang benar-benar akan membawa keuntungan dan bahagiannya.

MENAMBAH AMAL KEBAIKAN PADA USIA TUA

Firman ALLAH yang bermaksud : Tidakkah kami (ALLAH) telah melanjutkan usia mu yang cukup untuk sedar di dalamnya, Siapa yang suka sedar, telah datang kepada kamu juru nasihat yang memperingatkan.
Ibnu Abbas mengertikan umur lanjut ialah berusia 60 tahun ada pendapat mengatakan 40 tahun. Juru nasihat yang mengingatkan ialah Nabi ada yang mengatakan Uban.

Anas r.a. berkata : Sesungguhnya ALLAH melanjutkan turunnya wahyu kepda Rasullullah s.a.w. terutama lebih kerap datangnya wahyu ketika Nabi hampir wafat. (Bukhari, Muslim)

Jabir r.a. berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w. : Tiap hamba akan di bangkitkan dari kuburnya menurut keadaan di waktu ia mati. (Muslim)

Apa yang selalu dilakukan oleh manusia semasa hidupnya sehingga mati atas amal perbuatan dan kelakuan itu, nescaya jika bangkit dari kubur seolah-olah ia masih terus akan melakukan kebiasaan itu.

JALAN MENUJU KEBAIKAN

Firman ALLAH yang bermaksud : Dan semua yang kamu kerjakan dari kebaikan, maka ALLAH mengetahuinya. (Al-Baqarah 197)

Firman ALLAH yang bermaksud : Sesiapa yang berbuat kebaikan,
maka keuntungannya kembali pada dirinya sendiri.(Fussilat 46)

Abu Dzar r.a. berkata : Ya Rasulullah, amal perbuatan apakah yang utama? Jawab Nabi : Iman (percaya) kepada ALLAH dan berjuang (jihad) untuk menegakkan agama ALLAH. Saya bertanya : Memerdekakan hamba yang mana lebih utama.? Jawab Nabi : Yang lebeh di sayang   dan yang lebeh mahal harganya. Jika saya tidak dapat berbuat demikian? Jawab Nabi : Membantu pekerja atau membuatkan orang yang tidak dapat bekerja. Ya Rasulullah, jika saya tidak dapat berbuatkan demikian? Jawab Nabi : Menahan kejahatan mu pada orang lain, maka itu sebagai sedekah mu pada diri mu. (Bukhari, Muslim)

Kerana perbuatan yang tidak berdasarkan iman akan sia-sia, maka amal yang utama adalah iman sehingga semua amal itu bersendikan iman, dan kedua adalah jihad berjuang besungguh-sungguh untuk menegakan agama ALLAH. Kemudian membantu meringankan beban orang lain, Kalau tadak mampu berbuat kebaikan maka harus menahan diri daripada melakukan kejahatan.

Abu Dzar r.a. berkata : Rasulullah berkata kepada ku : Jangan merendahkan walau sdikit dari kebaikan, walaupun hanya menyambut temanmu dengan wajah yang manis. (Muslim)

Sekecil-kecil kebaikan bernilai di sisi ALLAH, walaupun sekadar senyuman.


Firman ALLAH yang bermaksud : Kami tidak menurunkan Ai-Quran kepada mu (wahai Muhammad) supaya engkau menangung kesusahan. (Taha 1)

Aisyah r.a. berkata : Ketika Nabi masuk ke rumah kami bertepatan ada seorang wanita , Nabi bertanya : Siapakah wanita itu? Jawab Aisyah : Ini fulanah yang terkenal ibadah solatnya yang banyak, Maka sabda Nabi : Mah (kata yang menyatakan kurang senang) hendaknya kerjakan sekuat-kuatnya sahaja, dengan tidak memaksa diri, maka ALLAH tidak akan jemu menerima amal mu sehingga kamu jemu beramal. Dan kelakuan agama yang lebih disukai olah ALLAH ialah yang dapat dikerjakan terus menerus. (Bukhari, Muslim)

Pengertian hadis diatas : Allah lebih suka sesuatu amal di buat secara berterusan, menjadi tabiat manusia jika dirasakan susah ia akan cepat jemu, lalu Rasulullah menunjukan jalan yang harus dibuat iaitu walaupun amalan itu nampak sedikit jika dibuat selalu lama-lama akan menjadi banyak.

Anas r.a. berkata : Datang satu rombongan, terdiri dari tiga orng kerumah  isteri-isteri Nabi s.a.w. untuk bertanya tentang ibadat Nabi s.a.w. Kemudian telah diberitahu , Mereka menganggap seolah-olah sedikit, sebab Nabi telah diampunkan dosanya. Sehingga berkata seorang daripadanya, Saya akan bersolat terus menerus sepanjang malam. Yang kedua berkata, Saya akan berpuasa selamanya. Yang ketiga berkata, Saya akan mejauhi daripada isteri-isteri dan tidak akan berkahwin.  Kemudian Nabi s.a.w. datang dan bertranya :     Kamu yang berkata begini-begini. Demi ALLAH saya lebih takut kepada ALLAH daripada kamu, bahkan saya yang lebih bertakwa, tetapi saya puasa dan berbuka, solat dan tidur juga berkahwin dengan beberapa orang wanita. Maka siapa yang mengabaikan sunah Ku, maka ia bukan dari umatku. (Bukhari, Muslim)


Firman ALLAH yang bermaksud : Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu' hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran ALLAH serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak diantaranya orang-orang yang fasik - derhaka. (Al-Hadiid 16)
Firman ALLAH yang bermaksud : Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepada mu (perkara yang tetap) Yaqin. (Al-Hijr 99)                    

Hadis dari Aisyah, Rasullullah s.a.w. bersabda :  Kelakuan agama yang lebih disukai oleh ALLAH ialah yang terus menerus dilakukan.

MENJAGA AMALAN SUNAH 

Firman ALLAH yang bermaksud : Apa yang diberikan oleh Rasullullah kepdamu, maka terimalah dan yang dilarang hentikanlah. (Al-Hasy-r 7)

Firman ALLAH yang bermaksud : Dan tiadalah Rasullulah berkata-kata menurut hawa nafsu, melainkan yang diucapkan itu semata-mata wahyu yang diwahyukan padanya. (An-Najm 3-4)

Firman ALLAH yang bermaksud : Katakanlah : Jika kamu benar-benar kasih kepada ALLAH, maka ikutilah Aku, nescaya dikasihi ALLAH dan diampunkan dosamu. (A-li 'Imraan 31)

Firman ALLAH yang bermaksud : Sesungguh telah ada bagimu dalam kelakuan Rasullullah itu suatu contoh tauladan yang baik sekali, bagi sesiapa yang mengharapkan keredaan ALLAH dan kesejahteraan dihari kemudian. (Al-Ahzaab 21)

Firman ALLAH yang bermaksud : Siapa yang taat kepada Rasullullah bererti telah taat kepada ALLAH......(An_Nisaa' 80)

Abu Hurairah r.a. berkata : Bersabda nabi s.a.w. : Biarkanlah aku selama aku membiarkan kamu dalam kebebasanmu. Maka sesungguhnya yang menyebabkan kebinasaan umat sebelummu dahulu, kerana kebanyakan pertanyaan mereka, dan menyalahi pada nabi-nabi mereka. Maka apabila Aku mencegah kamu dari sesuatu, tinggalkanlah perkara itu, Dan jika Aku perintahkan sesuatu, kejakanlah sekuat tenagamu. (Bukhar,i Muslim)

 Abu Hurairah r.a. berkata : Bersabda nabi s.a.w. : Semua umatku akan masuk surga, kecuali yang menolaknya. Ditanya : Siapa yang menolaknya ya Rasullullah? Jawab nabi s.a.w. : Siapa yang taat kepdaku masuk surga, dan yang menentang padaku bererti menolaknya. (Bukhari)

Umar Bin Alkhattab mencium hajar Al-aswad sambil berkata : Saya mengetahui benar kau batu tidak berguna dan tidak berbahaya, dan andaikata saya tidak melihat Rasulullah mencium kau, nescaya saya tidak akan mencium kau.  (Bukhari, Muslim)


"Maka demi Tuhan Mu (wahai Muhammad) Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul diantara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya". Maksud firman ALLAH - An-Nisaa' 65

"Sesungguhnya perkataan yang di ucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka di ajak kepda kitab ALLAH dan sunah Rasulnya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata "Kami dengar dan kami taat" dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan" Maksud firman ALLAH - An-Nur 51

BIDA'AH

Firman ALLAH yang bermaksud "Tiada kami tinggalkan dalam Al-Quran suatu apapun (yang kurang atau belum dijelaskan) Al-An'am 38

Firman ALLAH yang bermaksud "Jika kamu berselisih dalam sesutu, kembalilah kepada ALLAH (Al-Quran) dan Rasulullah (hadis) An-Nisa'  59

Firman ALLAH yang bermaksud "Sesungguhnya inilah jalan KU yang lurus, ikutilah, dan jangan megikut jalan-jalan lain, maka akan terpisahlah kamu dari jalan ALLAH (Al-An'am 153)

Aisyah r.a. berkata : Bersabda Rasullullah s.a.w. "Siapa yang mengada-adakan sesutu dalam agama kami ini, sesuatu yang tidak ada dasar daripadanya, maka ia pasti tertolak" (Bukhari, Muslim)