Tuesday, 2 April 2013

PENGURUSAN HARTA PUSAKA BAHAGIAN BAITULMAL

Oleh:
Indera Shahril bin Mohd Shahid
Pengurus Harta Baitulmal, MAIS

Pengenalan

Dalam Islam terdapat suatu kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan dengan faraid sebagaimana yang diputuskan di dalam Al-Quran. Ia diperoleh daripada seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan waris yang layak menerima harta pusaka mengikut Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dibayar hutang piutangnya dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).

Ia dibahagikan mengikut kadar yang telah ditetapkan ataupun secara permuafakatan. Pembahagian tersebut tertakluk kepada sebab dan syarat-syarat tertentu dan tiada yang menghalang ahli waris daripada menerima harta pusaka.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga  dari harta yang ditinggalkan  oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Al-Nisa: 11)

“Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika mempunyai anak, maka isteri memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing  ialah satu perenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah.”
(Surah Al-Nisa’: 12)

"Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(Surah Al-Nisa': 176)

Walau bagaimanapun hak faraid seseorang boleh gugur apabila ahli waris itu membunuh. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Tidak mewarisi orang yang membunuh itu sesuatu”.

Dalam beberapa hadis yang lain pula daripada Ibnu ‘Abbas r.a. berkata: Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.”

Daripada Ibnu Mas’ud pada menyatakan hukum berkenaan anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa) “Maka telah menghukumkan Rasulullah S.A.W. bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu perempuan daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudara perempuan.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Manakala daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’ie)

Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid, sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda: “Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.”

Kedudukan Baitulmal dalam Pengurusan Harta Pusaka

Harta pusaka merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu harta pusaka itu tiada pewaris atau terdapat baki harta setelah diberikan kepada waris-waris yang berhak. Ia berdasarkan kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi jilid 5, halaman 6-7 bermaksud: “Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu, dan tidak meninggalkan waris asabah, maka hendaklah diwarisi oleh dzawil arham. Pada pandangan kami, sesungguhnya pendapat yang sahih dzawil arham itu tidak mewarisi dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam keadaan bilamana urusan baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh pemimpin yang adil.”

Di dalam kitab Al-Mawarith fi Al-Syariah Al-Islamiyyah fi Dhauil Kitab wa Al-Sunnah, karangan Al-Syeikh Muhammad Ali Al-Sobuni, cetakan kelima, percetakan Al-Sobuni, tahun 1407H/1987M menyatakan, pendapat Imam Malik dan Imam Syafi’e bahawa dzawil arham atau para kerabat tidak berhak mendapat waris. Lebih jauh mereka mengatakan bahawa bila harta pusaka bagi waris yang tidak ada ashabul furudh atau 'asabah yang mengambilnya, maka hendaklah dilimpahkan kepada Baitulmal kaum muslimin untuk disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada dzawil arham. Di antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Thabit r.a. dan Ibnu Abbas r.a. dalam sebahagian riwayat darinya.

Dalil yang dijadikan landasan oleh Imam Malik dan Syafi'e ialah:

1.         Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas syar'ie dan qat'ie dari Al-Qur'an atau Al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya dzawil arham untuk mendapat waris. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dzawil arham) bererti kita memberikan hak waris tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti ini menurut syariat Islam adalah batil.

2.         Rasulullah S.A.W. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara baik dari sebelah bapa ataupun ibu,  baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun."

Memang sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun saudara perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin dan tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan ibu saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali sebagai tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.

3.        Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashabul furudh ataupun para 'asabah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan peribadi.

Berdasarkan undang-undang negara, ia juga telah diperuntukkan di bawah Seksyen 13(1), Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 iaitu antara lain menyebut, “Dengan syarat jika ada undang-undang bertulis yang berkuat kuasa berhubungan dengan Baitulmal, Pentadbir Tanah hendaklah sebelum membahagikan apa-apa bahagian harta pusaka si mati beragama Islam, memuaskan dirinya bahawa apa-apa bahagian harta pusaka yang kena dibayar kepada Baitulmal telah dibayar sewajarnya atau peruntukan sesuai telah dibuat bagi pembayarannya.”

Manakala secara praktisnya di Selangor, ia telah diperuntukkan di bawah Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

Bagaimana Baitulmal Mewarisi Harta Pusaka

Baitulmal terlibat secara langsung dalam urusan pembahagian harta pusaka dalam tiga keadaan:

i.          Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusaka mengikut hukum faraid. Dalam keadaan ini, semua harta si mati dikembalikan kepada Baitulmal.

Contoh:

Sekiranya si mati sebatang kara. Tidak mempunyai suami atau isteri dan tidak pula mempunyai saudara mara, semua harta pusakanya diserahkan kepada Baitulmal.

ii.         Sekiranya si mati meninggalkan waris, tetapi mereka tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka atau terhalang daripada menerima pusaka seperti waris dzawil arham atau berlainan agama, maka kesemua harta pusaka itu diserahkan kepada Baitulmal.

Contoh:

a.    Si mati semasa hayatnya mempunyai seorang anak perempuan tetapi anak itu telah mati dahulu daripadanya. Anak perempuan ini ada meninggalkan beberapa orang anak. Mereka ini dinamakan cucu daripada anak perempuan yang mati dahulu. Mengikut hukum faraid mazhab Syafi’e, mereka tidak mewarisi. Oleh kerana waris lain tidak ada,  kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

b.    Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki seibu sebapa yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dzawil arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

c.    Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu sebapa perempuan yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dzawil arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diwariskan kepada Baitulmal.

d.    Si mati belum berkahwin. Tiada waris lain kecuali datuk sebelah ibu (bapa kepada ibu). Datuk ini tidak mewarisi kerana tergolong dalam kategori waris dzawil-arham. Oleh itu kesemua harta pusakanya diserahkan kepada Baitulmal.

e.    Si mati hanya meninggalkan seorang atau beberapa orang anak angkat. Waris lain berdasarkan perkahwinan atau keturunan tidak ada. Anak angkat tidak mewarisi kerana bukan keturunan hakiki atau darah daging kepada si mati. Oleh itu kesemua harta si mati diserahkan kepada Baitulmal.

f.     Si mati seorang muallaf. Semua saudara mara bukan beragama Islam. Oleh itu semua harta pusakanya dikembalikan kepada Baitulmal kerana berlainan agama menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka.

iii.        Sekiranya si mati meninggalkan waris yang berhak menerima pusaka, namun mereka hanya mewarisi sebahagian sahaja daripada harta pusaka itu. Maka bakinya diserahkan kepada Baitulmal.

Contoh:

a.    Si mati seorang muallaf dan meninggalkan seorang isteri tanpa anak. Waris lain seperti ibu bapa dan adik beradik tidak beragama Islam. Dalam kes ini, isteri hanya layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian sahaja manakala bakinya 3/4  bahagian diserahkan kepada Baitulmal.



4

Isteri
1/4
1
Baitulmal
Baki
3

b.    Si mati hanya meninggalkan seorang anak perempuan sahaja. Waris lain seperti ibu bapa, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain lagi waris asabah tidak ada. Seorang anak perempuan layak mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian sahaja manakala bakinya 1/2 bahagian lagi diserahkan kepada Baitulmal.



2

1 Anak perempuan
1/2
1
Baitulmal
Baki
1

c.    Si mati meninggalkan suami dan ibu. Lain-lain waris tidak ada. Suami mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian manakala ibu si mati juga mewarisi secara fardu sebanyak 1/3 bahagian. Bakinya sebanyak 1/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.



6

Suami
1/2
3
Ibu
1/3
2
Baitulmal
Baki
1

d.    Si mati meninggalkan ibu, isteri dan seorang anak perempuan. Ibu mendapat 1/6 bahagian, isteri 1/8 bahagian dan anak perempuan pula mendapat 1/2 bahagian. Setelah pengiraan faraid dibuat ternyata terdapat lebihan sebanyak 5/24 bahagian. Baki ini diserahkan kepada Baitulmal.



24

Ibu
1/6
4
Isteri
1/8
3
1 Anak perempuan
1/2
12
Baitulmal
baki
5

e.    Si mati hanya meninggalkan suami dan tiga orang anak perempuan. Suami layak mewarisi 1/4 bahagian manakala tiga orang anak perempuan pula diperuntukkan sebanyak 2/3 bahagian. Selepas pengiraan, ternyata berbaki sebanyak 1/12 bahagian. Baki ini diserahkan kepada Baitulmal.



12

Suami
1/4
3
3 anak perempuan
2/3
8
Baitulmal
Baki
1

f.     Si mati hanya meninggalkan seorang saudara seibu lelaki tanpa waris lain. Hukum faraid menentukan bahagian saudara seibu walaupun beliau seorang lelaki bahagiannya hanya setakat 1/6 bahagian sahaja. Bakinya 5/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.



6

1 Saudara seibu lelaki
1/6
1
Baitulmal
Baki
5

Unit Faraid, Bahagian Harta Baitulmal

Menyedari bahawa penglibatan Baitulmal dalam urusan harta pusaka adalah sesuatu yang pasti, untuk menjamin kelancaran proses pengurusan harta pusaka yang melibatkan baitulmal, maka MAIS telah menubuhkan satu unit khas di bawah Bahagian Harta Baitulmal yang dinamakan sebagai Unit Faraid.

Unit Faraid, Bahagian Harta Baitulmal dianggotai oleh tujuh (7) orang kakitangan di ibu pejabat dan dibantu oleh seramai dua (2) orang kakitangan di bawah Unit Harta Baitulmal Daerah bagi setiap daerah. Unit ini berfungsi khusus menguruskan hal-hal yang  berkaitan harta pusaka orang Islam bahagian Baitulmal seperti:

a.    Menghadiri perbicaraan harta pusaka di peringkat JKPTG dan Mahkamah;
b.    Menerima dan menawarkan penebusan kepada waris;
c.    Menjadi pentadbir harta Baitulmal kepada pihak MAIS; 
d.    Menerima pembayaran tebus pusaka dan pelbagai hasil pusaka;
e.    Mengadakan dan menyediakan laporan siasatan harta pusaka;
f.     Menerima dan memproses permohonan pengurangan tebus pusaka; dan
g.    Lain-lain perkara yang berkaitan dengan harta pusaka yang mempunyai kaitan dengan pihak Baitulmal, MAIS.

Laporan Aktiviti Unit Faraid Tahun 2011 / 2012

Sepanjang tahun 2011, Unit Faraid telah menerima 70 permohonan kes di bawah Seksyen Operasi yang melibatkan permohonan penebusan, pengurangan bayaran penebusan dan perbicaraan di Mahkamah Syariah dan JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan). Manakala pada tahun 2012, seksyen ini telah menerima sebanyak 64 permohonan.

Di bawah Seksyen Teknikal, sepanjang tahun 2011, seksyen ini telah menguruskan 50 fail untuk proses teknikal yang melibatkan proses pindah milik bagi harta yang telah ditebus, kebenaran pindah milik, permohonan ulang bicara bagi kes Baitulmal sebagai pentadbir, menghadiri perbicaraan untuk proses teknikal, menguruskan pengeluaran wang di institusi kewangan dan kehartaan bagi harta yang telah diperintahkan ke Baitulmal dan menguruskan proses teknikal yang berkaitan harta alih. Manakala pada tahun 2012, seksyen ini telah menguruskan sebanyak 81 fail.

Selain itu, seksyen ini turut bertanggungjawab dalam menyediakan kertas cadangan ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal MAIS yang melibatkan apa-apa perkara yang berkaitan harta pusaka bahagian Baitulmal di peringkat dalam bidang kuasa jawatankuasa berkenaan.

Kutipan Hasil Pusaka Tahun 2011 / 2012

Jumlah keseluruhan  kutipan tebus pusaka dan pelbagai terimaan pusaka di bawah Unit Faraid Bahagian Harta Baitulmal bagi tahun 2011 adalah sebanyak  RM 1,657,521.57. Pecahan kutipan tersebut adalah melibatkan tiga kategori iaitu:

a.    Tebus pusaka secara tunai;
b.    Tebus secara ansuran bulanan; dan
c.    Terimaan pelbagai hasil pusaka. 

Berikut adalah pecahan kutipan keseluruhan hasil pusaka yang telah diuruskan oleh Unit Faraid, Bahagian Harta Baitulmal, MAIS bagi tahun 2011 dan 2012:


BIL.

PERKARA
2011 (RM)

2012 (RM)
1.

Tebus pusaka secara tunai

389,218.97

1,005,598.53
2.

Tebus pusaka secara ansuran

869,998.72

816,478.57
3.

Terimaan pelbagai pusaka

398,303.88

1,749,668.39
JUMLAH

1,657,521.57


3,571,745.49

Contoh Kes Kendalian Unit Faraid

a.         Kes Tebus Pusaka:

Kes Harta Pusaka Haji Sidek bin Yahya 

Si mati iaitu Almarhum Haji Sidek bin Yahya No. KP SL 630419 telah meninggal dunia pada 31hb Mei 1956. Semasa kematiannya, si mati telah meninggalkan seorang isteri iaitu Almarhumah Hajjah Mariam binti Adenan yang telah meninggal dunia sekitar tahun 1979, tiga orang anak perempuan iaitu Pn. Fatimah binti Sidek, Pn. Kadariah binti Sidek dan Pn. Zainab binti Sidek.

Si mati telah meninggalkan dua lot hartanah iaitu di GM 513 Lot 3948 Mukim Nakhoda Omar  ½ bahagian dan GM 455 Lot 761 Mukim Bagan Nakhoda Omar ¼ bahagian.

Dalam kes ini, Baitulmal telah menerima lebihan daripada dua kematian iaitu lebihan faraid daripada kematian Almarhum Haji Haji Sidek bin Yahya dan lebihan faraid daripada kematian kedua iaitu isteri si mati Almarhumah Hajjah Mariam Bt Adenan.

Salah seorang waris telah dilantik sebagai pentadbir oleh pihak JKPTG dan telah memohon untuk membuat bayaran penebusan secara tunai ke atas kedua-dua lot hartanah sebanyak RM 20,833.33.

b.         Kes Lantikan Sebagai Pemegang Amanah / Pentadbir.

Kes Harta Pusaka Nur Ain Yap binti Abdullah @ Yap Lai Choo

Si mati Almarhumah  Nur Ain Yap binti Abdullah @ Yap Lai Choo (No KP : 62112-08-6040) telah meninggal pada 25hb Disember 2007. Si mati telah memeluk Islam pada tahun 1997.

Si mati pernah berkahwin dengan En. Ahmad Akmal bin Mohd Yunus namun telah bercerai hidup semasa hayatnya. Semasa kematiannya, si mati telah meninggalkan seorang anak perempuan yang bernama Floral Akmal binti Ahmad Akmal yang berusia 12 tahun. Selain itu, si mati juga ada meninggalkan saudara perempuan sebapa iaitu Cik Yap Lai Bee yang bukan beragama Islam.

Harta peninggalan si mati ialah dua lot hartanah di GN 47330 Lot 21830 Mukim Asam Kumbang Daerah Larut & Matang, Perak Darul Ridzuan, HSD 31116 PT 35150 Mukim Klang Daerah Klang dan harta alih  iaitu kereta Proton Saga Iswara 1.3S Aeroback tahun 1996.

Dalam kes di atas, Baitulmal telah mewarisi secara  asabah (mendapat baki) kerana si mati hanya meninggalkan seorang waris iaitu anak perempuan. Manakala saudara perempuan sebapa si mati pula bukan beragama Islam dan tidak layak mewarisi harta pusaka si mati. Bekas suami si mati pula telah bercerai hidup dengan si mati dan tidak layak menerima harta pusaka.

Pihak Mahkamah Tinggi telah melantik pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pentadbir kerana anak si mati masih belum cukup umur 18 tahun. Dalam kes di atas, pihak Baitulmal mempunyai hak sebanyak ½ bahagian daripada harta peninggalan si mati manakala ½ bahagian lagi telah jatuh hak kepada anak perempuan si mati dan Baitulmal akan  menyerahkan bahagian tersebut kepada anak perempuan si mati apabila mencapai umur 18 tahun.

c.         Kes Tebus Pusaka Secara Ansuran:

Kes Harta Pusaka Suson binti Mat Resat

Si mati Almarhumah Suson binti Mat Resat telah meninggal dunia sekitar tahun 1974. Di akhir hayatnya, si mati meninggalkan seorang suami iaitu Almarhum Hussein bin Abdul Ghani yang telah meninggal dunia kemudian iaitu pada tahun 1975, dan dua orang anak perempuan.

Si mati meninggalkan sebidang tanah di lot 1725 seluas 2.0234 hektar / 5.00 ekar di Kampung Jenderam Hulu, Mukim Dengkil Daerah Sepang. Di dalam pemilikan geran hartanah, Baitulmal, MAIS memiliki  1/24 bahagian seluas 0.084 hektar / 0.208 ekar.

Salah seorang waris keturunan daripada salah seorang anak perempuan si mati telah hadir ke Baitulmal untuk menebus 1/24 bahagian yang telah jatuh hak ke Baitulmal. Setelah dibuat penilaian terkini melalui Jabatan Penilaian Pengurusan Harta (JPPH), waris tersebut telah menebus bahagian Baitulmal tersebut dengan nilaian sebanyak RM 34,000.00. Oleh kerana waris tersebut tidak berkemampuan untuk menebus secara tunai, beliau telah ditawarkan untuk membayar secara ansuran selama 8 tahun dengan kadar bayaran bulanan sebanyak RM 355.00 setiap bulan dan bayaran akhir sebanyak RM 275.00.

Peruntukan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

Amalan yang ada sekarang, kebanyakan kes pusaka yang melibatkan bahagian Baitulmal, Baitulmal hanya menerima bahagiannya mengikut perintah yang dikeluarkan oleh Amanah Raya Berhad (ARB), Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi.

Tetapi sebenarnya bagi sesuatu kes pusaka, sesudah diketahui Baitulmal mempunyai bahagian ke atas harta pusaka itu, bermakna Baitulmal juga tersenarai sebagai salah seorang waris yang berhak (benefisiari). Oleh itu, Baitulmal juga boleh menjadi pemohon (pempetisyen) ke atas sesuatu harta pusaka itu.

Seksyen 8(1), Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 memperuntukkan seperti berikut:

“… mana-mana orang menuntut mempunyai kepentingan dalam harta
Pusaka sebagai seorang benefisiari, …”

Untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat, mana-mana waris yang merasakan sesuatu kes pusaka itu melibatkan Baitulmal, bolehlah menghubungi Baitulmal dan Baitulmal boleh menguruskan proses pembahagian harta pusaka itu.

Dalam keadaan ini, waris-waris hendaklah menyediakan maklumat-maklumat seperti berikut kepada Baitulmal:

a.    Mengemukakan bukti kematian;
b.    Menyerahkan salinan kad pengenalan semua waris-waris yang berhak;
c.    Menyenaraikan semua harta tak alih dengan mengemukakan salinan hak milik atau carian rasmi;
d.    Menyenaraikan semua harta alih jika ada dengan mengemukakan salinan dokumen berkenaan. Misalnya geran kenderaan, buku akaun bank, sijil saham dan sebagainya; dan
e.    Dokumen-dokumen berkaitan seperti dokumen wasiat jika ada, bukti perkahwinan dan sebagainya.



Baitulmal seterusnya akan menguruskan:

a.    Permohonan perintah faraid ke Mahkamah Syariah jika perlu; dan
b.    Memasukkan satu permohonan untuk membahagikan harta pusaka kepada institusi berkenaan sama ada Amanah Raya Berhad (ARB) sekiranya si mati hanya meninggalkan harta alih sahaja, atau pusaka kecil sekiranya si mati meninggalkan harta tak alih sahaja atau bersama harta alih, atau permohonan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi sekiranya jumlah nilaian kesemua harta si mati melebihi RM 2 juta.

Contoh kes:
Ahmad meninggal dunia meninggalkan waris-waris berikut iaitu seorang isteri dan tiga orang anak perempuan. Waris lain seperti bapa, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain tidak ada.

Ahmad juga meninggalkan sebuah kereta (RM20,000), sebuah rumah kediaman (RM250,000) dan duit simpanan di sebuah bank (RM15,000).
Mengikut hukum faraid, harta pusaka itu akan diwarisi seperti berikut:



24


72
Isteri
1/8
3
9
Anak perempuan 1


16
Anak perempuan 2
2/3
16
16
Anak perempuan 3


16
Baitulmal
Baki
5
15

Berdasarkan kepada nilaian harta, bahagian waris-waris adalah seperti berikut:



24


72

RM 285,000.00
Isteri
1/8
3
9
RM 35,625.00
Anak perempuan 1


16
RM 63,333.33
Anak perempuan 2
2/3
16
16
RM 63,333.33
Anak perempuan 3


16
RM 63,333.33
Baitulmal
Baki
5
15
RM 59,375.00







Dalam kes ini, Baitulmal boleh menjadi pempetisyen untuk memajukan permohonan pembahagian harta pusaka Ahmad ke Pejabat Pembahagian Harta Pusaka Kecil.

Perbincangan antara Baitulmal dengan waris-waris perlu dibuat sebelum perbicaraan dan keputusan pembahagian hendaklah dicapai dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Pada hari perbicaraan, cara pembahagian yang telah dipersetujui dimaklumkan kepada pegawai bicara dan dengan itu perbicaraan harta pusaka berjalan dengan lancar tanpa penangguhan.

Kesimpulan

Pengurusan harta pusaka bahagian Baitulmal sesungguhnya memerlukan kepada kepakaran khusus di mana pelaksanaannya bukan sahaja diputuskan melalui perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi Sivil, Amanah Raya Berhad (ARB) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), tetapi juga melalui siasatan yang dilaksanakan melalui Unit Faraid, Bahagian Harta Baitulmal.

Syor-syor yang dikemukakan bukan sahaja mengikat kedudukan Baitulmal sebagai waris bagi harta-harta yang tidak berwaris, malahan tanggungjawab Baitulmal sebagai badan berkompeten mengurus hal ehwal harta umat Islam wajar diambil kira.

Pertimbangan Baitulmal berdasarkan kepentingan maslahah umum berdasarkan hukum syarak memungkinkan Baitulmal dapat melaksanakan amanah ini dengan baik dan bijaksana seterusnya diterima oleh segenap lapisan umat Islam.

Wallahu a’lam

2 comments:

  1. Salam. Saya nak bertanya, tok saudara saya telah meninggal lama dahulu. Sewaktu mati, beliau tiada anak dan isterinya telah meninggal terlebih dahulu. Asal-usul adik-beradik dan ibubapanya (jika masih hidup) tidak kami ketahui kerana asalnya beliau adalah seorang perantau tunggal dari Indonesia yang datang ke sini, dan kemudian berkahwin dengan tok saudara perempuan saya. Jika mengikut apa yang saya faham, harta pusaka beliau iaitu sebidang tanah akan jatuh ke Baitulmal. Setelah meminta kepastian daripada Baitulmal baru-baru ini, kami dapati serahan ke Baitulmal belum dilakukan. Bolehkah jika kami sebagai keturunan dari adik-beradik tok saudara perempuan menuntut tanah tersebut dan bagaimana prosedur seterusnya?

    Mohon pencerahan. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum,

      Terima kasih kepada tuan yang bertanyakan soalan.

      Untuk makluman, harta pusaka yang jatuh kepada Baitulmal dalam keadaan ketiadaan waris atau meninggalkan waris dzawil arham akan diterima oleh Baitulmal setelah menerima Perintah daripada Seksyen Pusaka Kecil, JKPTG atau Perintah daripada Mahkamah Tinggi Sivil atau Perintah daripada Mahkamah Syariah.

      Justeru itu, sekiranya Perintah telah dikeluarkan dan menyatakan Baitulmal adalah waris atau benefisiari ke atas harta pusaka si mati, maka pihak tuan diminta untuk mengemukakan Perintah tersebut kepada Baitulmal (jika di Selangor di Bahagian, Harta Baitulmal, MAIS).

      Setelah Perintah dikemukakan kepada pihak kami, pihak tuan boleh mengemukakan permohonan untuk menebus harta pusaka si mati tersebut. Pihak kami akan menjalankan siasatan selepas daripada itu sama ada boleh membenarkan pihak tuan menebus ataupun tidak.

      Sebarang pertanyaan, pihak tuan boleh hubungi kami di talian 03-5514 3772 (Ust Jamari/Ust Hanzalah)

      Terima kasih.

      Delete